Apabila Roslan SMS dicabar (27/2/13)
Wednesday, February 27, 2013
Saya tak sangka posting saya bertajuk : “MB Selangor nanti
bukan dari BN tapi PR” telah menarik minat seorang pengikut, yang bukan
sebenarnya mengulas secara langsung kandungan posting berkenaan tetapi membawa
isu baru.
Beliau fokus pada isu : rumah urut di Selangor dan posting
yang buat pada bulan Febuari 2007 (ketika itu belum ada Pakatan Rakyat) http://n32.blogspot.be/2007/02/jangan-belai-iblis-tetapi-belailahlah.html
Terbaru beliau mengulas:
Salam Bro Roslan,
Jadi, bolehkah ayat dibawah ini dilontarkan kepada MB Khalid
pula?
"Soalnya mengapa MB tidak memiliki kekuatan untuk
mengharamkan sahaja rumah-rumah urut yang beroperasi seperti ini. Haramkan
terus kegiatan urut lelaki oleh wanita, susahkah?"
Jika Bro Roslan betul2 mempunyai kekuatan nak menghapuskan
rumah2 urut di Selangor, saya cabar bro Roslan membuat satu entry khas untuk MB
Khalid sepertimana yg bro buat utk Khir TOyo dulu ...
if and only if you have the guts!
Saya menghargai pandangan beliau dan berterima kasih kerana
beliau mengambil masa mengunjungi blog saya. Pengalaman saya lebih 9 tahun
dalam dunia blog ini mengajar saya memang aka nada sentiasa mereka yang tidak
sehaluan dengan kita, tak guna berbalah dan bertelagah. Terbaik kita
menghormati sahaja pandangannya sebagaimana kita mengharapkan orang lain juga
menghormati pandangan kita walaupun mungkin tidak setuju.
Ada blogger yang ringan mulut, kadang-kadang dikalangan
kawan-kawan juga, apabila berhadapan dengan situasi sebegini akan mudah melenting,
memaki hamun, merendah-rendahkan pandangan orang lain.
Kita biarlah beradab.
Berbalik kepada komen sahabat kita di atas. Bagi saya rumah
urut yang mengamalkan urutan yang melanggar syarak sewajarnya ditentang oleh
orang Islam lebih-lebih lagi pemimpin Islam, tak kiralah Umno kah dia, PAS, PKR
siapa pun. Itu pendirian saya.
Kuasa perlesenan aktiviti seumpama ini adalah kuasa kerajaan
negeri lebih tepat lagi di bawah PBT yang dikuasai negeri. Alhamdulillah MB-MB
PAS, samada di Kelantan, Terengganu mahupun Kedah tidak pernah menghalalkan industri
ini kerana ia jelas bertentangan dengan syarak.
Dalam pada itu kita juga berhadapan situasi masyarakat
berbilang kaum. Ada negeri-negeri yang punya perwakilan dan masyarakat
berbilang kaum yang tinggi tidak seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor
dan Terengganu.
Bagi masyarakat bukan Islam sebagaimana minuman keras adalah
merupakan sesuatu yang lazim bagi mereka. Di sini situasinya berbeza.
Apa pun kuasa negeri adalah pada MB. Dan bagi MB dalam
negeri-negeri yang didominasi umat Islam saya tidak dapat helah mengapa
aktiviti yang haram tidak boleh diharamkan, tiada sebab.
Dalam kes Khir Toyo ketika beliau MB beliau menyebut
sebagaimana saya sebut dalam posting saya itu:
Semalam dalam ruangan METRO akhbar THE STAR dilaporkan:
Selangor Mentri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo said
at present most premises offered massage services in cubicles or rooms.
This is against the law. I dont see why massage services
must be conducted in rooms or compartments when the law says the premises must
be open, he said, adding that the government was intent on issuing closure
orders against centres that continued to provide services in rooms or cubicles.
We have come across outlets that claim to offer foot
reflexology services but the service is conducted in rooms. I dont know why
this is so, he said.
Dr Khir said he had made several spot checks on massage
parlours during the ongoing state-wide operation against massage parlours.
He said he was shocked to find out that most of the premises
did not comply with regulations.
One centre even hands out condoms to all their customers who
go there for a massage. What massage are they offering? I dont want massage
parlours to be turned into vice dens.
Khir ketika itu seakan bersungguh mahu mnegawal dan
mengahramkan aktiviti ini, tetapi sehinggalah tamat penggal beliau sebagai MB
apabila tewas dalam PRU 12 aktiviti ini tetap di lesenkan.
Sahabat kita mempertikaikan adakah saya berani membuat
teguran yang sama terhadap MB Tan Sri Khalid kini, saya jawab INSYALLAH bukan
hanya saya malah semua umat Islam di Selangor termasuk sudah pasti ahli-ahli
PAS dan pemimpinnya akan berani malah telah pun dalam beberapa peristiwa
membuat teguran.
Dalam kes Selangor kini pengawalannya lebih ketat, warisan
lesen dari zaman Khir kini melalui proses tapisan kerana dalam PBT di Selangor
kini sudah ada wakil-wakil PAS dan atas mereka ini wajib memncetuskan idea
bagaimana mengawal aktiviti ini, mungkin bagi masyarakat bukan Islam kita tidak
boleh wajibkan pengharamannya tetapi ke atas masyarakat Islam tidak ada sebab.
Tak perlu cabar saya, tetapi cabar semua kita yang Muslim
apabila dipinjamkan Allah kuasa, gunakan kuasa itu untuk Islam, itu sebenarnya
lebih mulia. Ini dah dekat pilihanraya ini, jadi tanggungjawab kita menaikkan
pemimpin yang seumpama ini, ayuh.Biarlah tarikh PRU telah ditetapkan lepas ini (26/2/13)
Tuesday, February 26, 2013
Banyak betul teka-teki tentang tarikh pembubaran Parlimen.
Hampir setiap hari itulah topic perbualan dimana-mana pun. Terbaru saya
mendapat tahu esok tarikhnya…..entahlah.
Yang pasti bagi parti-parti yang bertanding diperingkat ini
sepatutnya proses pemilihan calon sudah selesai, jentera sudah lengkap semuanya
cuma menunggu untuk digerakkan 100 peratus.
Satu yang harus menjadi pengajaran, siapa pun jadi kerajaan
selepas ini pastikan tarikh pembubaran Parlimen ini menjadi suatu yang telah
ditetapkan, tak perlu lagi teka-teki, tak perlu lagi parti yang memerintah
diperingkat Persekutuan mendapat “advantage” menetukan tarikh mengikut
kehendaknya. Memang ini merupakan warisan sistem British, tetapi ternyata
rakyat Malaysia tidak senang dan selesa dengannya.
Biar selepas ini kita menjadi seperti Amerika Syarikat
semuanya telah ditetapkan bukan hanya tarikh pilihanraya malah termasuk hari
Presiden mengangkat sumpah semuanya telah ditetapkan.
Betul ke esok PM akan mengadap Agong bagi mendapat perkenan
pembubaran Parlimen….entahlah.
Faktor calon penting di Selangor (25/2/13)
Monday, February 25, 2013
Selangor walaupun duduk dalam Malaysia namun dari segi
geopolitiknya banyak berbeza dengan negeri-negeri lain malah taburan
kerusi-kerusi negerinya sebanyak 56 itu juga punya perbedaan kadangkala ketara
antara satu sama lain.
Kecenderungan pengundi di Parlimen Hulu Selangor tidak sama
dengan yang di Kuala Selangor, di Sepang tidak sama dengan yang di Gombak, di
Shah Alam tidak sama dengan di Sabak Bernam. Dengan memiliki 53% pengundi
Melayu, dan 46% pengundi bukan Melayu, Selangor memiliki kecenderungan pengundi
yang berbeda-beda.
Kerusi yang punya pengundi Melayu lebih 80% iaitu Sabak
Bernam tidak sama kecenderungan pengundinya dengan yang punya lebih 75%
pengundi Melayu di Gombak.
Yang anehnya pra PRU ke 12, rata-rata pengundi Selangor di
luar bandar tidak pernah mahu memberi undi kepada parti lain selain BN (dan
dahulunya Perikatan) kecuali beberapa kerat penyokong tegar. Tak kiralah
pengudi Melayu atau bukan Melayu begitulah “trend”nya dari tahun 50an, 60 an
sehinggalah 2004.
Begitu kuatnya sokongan rakyat di luar bandar Selangor
terhadap BN satu ketika dahulu (dahulunya Perikatan) sehingga ada ungkapan jika
diletakkan tunggul kayu sekalipun rakyat luar bandar Selangor akan tetap
bersama mereka!
Tetapi itu dahulu, dan kini Selangor telah berubah, lanskap
politiknya berubah, serba-serbi berubah. Pengundi dalam bandar khasnya di
Lembah Kelang tak kira Melayu atau bukan Melayu begitu kuat “trend”nya menolak
BN kebelakangan ini. Adalah dijangkakan kecenderungan ini tidak akan berubah
kali ini.
Cumanya yang merupakan kriteria utama pengundi hari ini
adalah calon selain parti yang bertanding. Kelayakan calon selain kredibiliti
dan keupayaannya menjadi kayu pengukur calon tak kiralah dalam bandar mahupun
luar di Selangor. “Tunggul kayu” sudah tiada nilai lagi kalau diletak juga akan
disepak begitu saja!
Kalau kita perhatikan PRU ke 12 lalu dua kerusi yang
dimenangi calon BN perlu menjadi perhatian semua pihak. Satu kerusi Parlimen
Pandan yang dimenangi calon BN Ong Tee Keat dan satu lagi kerusi DUN Sg Panjang
yang dimenangi bekas MB Khir Toyo.
Ong menang Pandan dengan majoriti 2,961 undi walaupun dua
kerusi DUN dalam Parlimennya iaitu Teratai (DAP) dan Chempaka (PAS) dimenangi
PR. Ini bagi saya menunjukkan faktor calon. Ong ternyata disenangi dan diterima
baik oleh pengundi Pandan atas faktor yang hanya diketahui pengundi di sana.
Ong telah 5 penggal mewakili Pandan.
Begitu juga Khir di Sg Panjang. Dalam PRU 12 Khir menang
dengan majority 5,828 undi mengatasi majoritinya dalam PRU 11 iaitu 5,460 dan
malah mengatasi majoriti pemenang Parlimen (juga dari BN) yang menang dengan majoriti
5,009 undi. Khir ketika itu adalah MB berkemungkinan kekuatan kemenangan beliau
itu disabitkan kerana beliau MB selain punya jentera yang baik di Sg Panjang.
Apa pun pengajaran di sini adalah faktor calon. Jika mahu
menang pastikan calon anda “sellable” iaitu boleh dijual kepada pengundi. PR
khasnya PAS perlu ambil ingatan ini, jangan kerana kerusi itu boleh menang maka
kita letak sahaja ikut citarasa kita tanpa memikirkan kemahuan pengundi
tempatan. Nanti kita juga termasuk dalam perangkap “tunggul kayu” yang telah
memerangkap BN PRU 12 lalu.
Kemukakanlah calon-calon yang bertenaga, berkelayakan,
mempunyai perwatakan yang boleh diterima, insyallah peluang menang ada di sana.
Bagi PR kerusi DUN Pelabuhan Kelang, Sementa dan Gombak
Setia perlukan perhatian. Di Pelabuhan Kelang ADUN PKR yang lampau telah
melompat, pastikan gantinya kali ini lebih baik, sebaiknya berkaliber. Di
Sementa BN menang percuma apabila calon PKR “lari” tak serah borang, pastikan
calon kali ini tidak begitu.
Di Gombak Setia PAS telah pecat ADUN terdahulu, kerusi ini
kritikal kerana pengundinya bijak dan tidak mudah ditundukkan. Pernah tokoh
ulamak besar Selangor Dato Ismail kamus menang kerusi ini pada PRU 1999, namun
Dato juga kalah di sini pada PRU 2004 berikutnya. Bermakna pengnudi pernah undi
PAS dan pernah juga tolak PAS.
PRU 12 2008, sekali lagi PAS diterima, kali ini pastikan
calon PAS yang paling baik mengatasi kredibiliti calon lalu.
Ternyata PRU bukan sekadar ikut-ikutan tetapi ia suatu
peperangan yang perlukan kajian, taktik dan strategi yang tinggi. Jangan lemas dalam bacaan orang ini orang itu. Hanya yang
punya perancangan baik selain jentera yang kuat akan menang, yang lain bakal jadi “tunggul
kayu”.
MB Selangor nanti bukan dari BN tapi PR (24/2/13)
Sunday, February 24, 2013
Dalam akhbar The Sunday Star hari ini, penulisnya Joceline
Tan memberi tumpuan kepada PRU 13 dengan memberi fokus pada Selangor. Sekurang-kurangnya
begitulah “Khalid’s fate in the balance”, banyak mencocok dalam jawatan MB
Selangor pasca PRU 13, iaitu antara MB sekarang Tan Sri Khalid Ibrahim dan
Pengerusi PKR Selangor Azmin Ali, tetapi ada juga mengulas tentang harapan di
Selangor.
Menurut beliau PR yakin mempertahankan Selangor malah
menurut Speaker Selangor Dato Teng (yang saudara kandungnya mengetuai jentera
BN Pulau Pinang) mereka mensasarkan memperolehi majoriti dua pertiga!
Masalahnya BN Selangor juga yakin menang! Menurut Panglima
Bilik Perang BN, Datuk Seri Mohd Zin, BN yakin menang di 22 kerusi (pasca PRU
12 BN cuma menang 20 kerusi, Umno 18 MCA 2), 16 kerusi kelabu dan 18 kerusi
panas. Bermakna 22 putih boleh menang, 16 kelabu ada harapan menang dan baki 18
lima puluh-lima puluh. Hebat!
Selangor merupakan salah sebuah negeri di Malaysia yang
mempunyai jumlah pengundi baru yang tertinggi iaitu 455,000 orang. Jumlah ini
punya dua pilihan PR atau BN. Dan Selangor punya 53% pengundi Melayu paling
ramai di Sabak Bernam, Sg Besar, Tg Karang, Gombak dan 46% pengundi bukan
Melayu.
Sudah pasti diperingkat ini kedua-dua pihak PR dan BN tidak
boleh mengeluarkan kenyataan yang negatif, takkanlah BN Mohd Zin nak kata BN
bernasib baik jika boleh pertahankan 20 kerusinya yang ada, atau tak kanlah
Teng nak berkata saya sedia serahkan jawatan Spekaer ini kepada BN dan kami
menjadi pembangkang yang kuat.
Masing-masing perlu “think positive” dan keluarkan kenyataan
yang positif belaka, asal jangan terlalu “over confident”.Bagi saya siapa bakal jadi MB sebagaimana Joceline cuba tonjolkan tidak penting. Jika BN menang, Umno lah MB nya jika PR menang maka tunggu dan lihatlah. Tetapi yang penting sekarang adalah siapakah antara dua BN dan PR yang mampu menang kali ini setelah PR merobohkan dominasi BN pada PRU ke 12 lalu.
Bagi saya PR insyallah akan menang lagi di Selangor. Banyak
fakotornya dan mungkin posting saya selepas ini akan memberi fokus kepadanya. Salah
satunya adalah rakyat Selangor kini telah mulai merasa perubahan, lain selama 50
tahun sebelum 2008, dan lain selepas 2008 sehingga kini. Lain ini serba serbi
rasanya. Pilihanraya menentukan kepimpinan
negeri dan bagi rakyat Selangor kepimpinan yang masuk pada tahun 2008
berjaya mencetuskan satu perubahan dari segi kepimpinan yang selama ini tidak
pernah mereka rasai.
Joceline menulis bahawa Panglima BN menyatakan mereka perlu
35% pengundi Cina di kerusi-kerusi campuran bagi meraih kemenangan setelah
pengundi Melayu dan India kembali sepenuhnya kepada mereka. Boleh dapatkah 35%
itu?
Tanyalah mana-mana pengundi Cina di Selangor samada di
Sekinchan, di Kuala Kubu Bharu, di Teluk Datuk, apalagi di Bukit Gasing atau
Seri Kembangan, Kinrara, Subang Jaya adakah mereka bersedia undi BN PRU 13 ini, saya yakin dari
10 sekurang-kurangnya 9 akan kata TIDAK.
Saya bukan
keterlaluan, tetapi ini pengalaman peribadi saya, kecualilah saya tersalah
dengar.
Pengundi Melayu di Selangor pula bukanlah sama dengan
pengundi Melayu di Johor contohnya. Di Selangor, kemajuan pesatnya sejak
menjadi negeri termaju dari zaman penjajah lagi menjadi bumi subur buat orang
Melayu dari negeri lain untuk datang bermastautin. Selain itu kemajuan pesatnya
membuka maklumat dan ilmu yang meluas buat penduduknya termasuklah pengundi
Melayu.
Anak asal Selangor kini berganding dengan ramai anak-anak
luar Selangor khasnya dari Pantai Timur dan Utara untuk menjadikan bilangan
pengundi Melayu seramai 53% itu. ADUN PAS sahaja kini ada dari Terengganu, Kedah malah anak Sarwak pun ada!Malah sesama pengundi Melayu dalam negeri pun tidak boleh dilonggokkan dalam bakul yang sama. Pengundi di Sg Air Tawar, di Jeram tidak sama dengan pengundi Melayu di Gombak Setia, di Bukit Antarabangsa.
Maksudnya untuk BN mempercayai yang mereka telah kuasai majoriti
pengundi Melayu di Selangor bagi saya adalah tidak tepat. Mungkin (entahkan
benar entahkan tidak) blok pengundi Melayu hasil asakkan pelbagai “durian
runtuh” kembali sejuk dan lentuk ke arah BN Umno, boleh diterima tetapi untuk
mengandaikan “MAJORITI” Melayu Selangor condong ke Umno, saya rasa tidak.
Demikian juga pengundi India, yang telah memberikan undi
besar pada PR dalam PRU ke 12 lalu, tidak pernah dalam sejarah Selangor begitu.
Pada tahun 1990 ketika mendiang MG Pandithan membentuk IPF dan IPF bersama
barisan pembangkang pun kecenderungan pengundi India menolak BN walaupun telah
ada tetapi tak lah sekuat PRU 13.
Kali ini mungkin BN berjaya menambat hati mereka kembali,
tetapi untuk mengatakan “MAJORITI” pengundi India sudah bersama BN semata-mata
kerana kerjayaan Kamalanathan di Hulu Selangor bagi saya juga terlalu tinggi
angan-angannya. Mungkin ada yang telah kembali ke BN tetapi tidaklah mutlak.
Kesimpulannya “kelainan” yang mampu dilahirkan kepimpinan PR
di Selangor telah menarik perhatian pengundi Selangor. “Kelainan” inilah akan
membawa kemenangan kepada PR sepenggal lagi. BN akan kalah lagi, dan MB
Selangor sudah pasti dari PR bukan BN.PRU13: Bekerjalah kerana Allah swt (24/2/13)
Tarikh pilihanraya umum ke 13 semakin dekat, itu sudah
pasti. Diperingkat ini sudah tiada lagi teka-teki kerana usia Parlimen pun
sudah sampai ke maghribnya.
Jelasnya mana-mana pihak yang belum bersedia, tidak kemas
jenteranya atau baru mahu mengenal-pasti pekerja untuk membina jenteranya,
ialah akan ketnggalan corot dan berkemungkinan gagal.
Diperingkat ini semua pihak sudah semestinya telah hampir selesai
mengenal-pasti calon, selesai menyediakan ongkos untuk bertempur dan yang
paling penting selesai dalam kerja mengkaji, mencula daftar pengundi
diperingkat masing-masing. Agar apabila sahaja diumumkan tarikh pembubaran
parlimen, semua peringkat jentera telah “full speed”.
Satu malapetaka pilihanraya, dipihak mana pun, adalah
apabila calon dirahsiakan pada jentera sehinggalah keperingkat aklhir,
terkadang di “parachute” kan disaat-saat akhir, dalam keadaan jentera di bawah
tidak tahu menahu, sedar-sedar “berdepak” jatuh di atas bumi mereka!
Bayangkanlah kegawatannya. Ada kalanya jentera sneak perut, tak senang mahu
menerima, ringkasnya calon yang diturunkan tidak senang “dijual”. Tambahan
jentera bawah sebenarnya telah pun ada calon mereka.
Ketika itu demamlah pihak berkenaan. Sabotaj, ya jentera
sendiri akan ditebuk dan digodam angkara tak berpuas hati. Ini pernah berlaku
bukan hanya pada Umno, malah parti lain
pun termasuk PAS.
Moralnya di sini, sepatutnya belajarlah dari kelemahan yang
dulu, kini sudah masuk 13 kali dah berpilihanraya. Kalau kira pilihanraya
Persekutuan tahun 199 bagi PAS dan Umno dah 14 kali berpilihanraya!
Lazimnya apabila keputusan pilihanraya telah diketahui,
pihak yang tidak berpuas hati, biasanya yang kalah (yang memang pun ada juga
tapi taklah seghairah) akan melakukan “post mortem” sendiri. Dibedahnya
pilihanraya yang telah “mayat” itu, diteropong, dikaji , diselidik segala
kelemahan dan punca yang ada untuk mencari sebab musabab dan terbit dengan
cadangan dan ketetapan pembaikian.
Umno dan PAS sudah pasti telah banyak penemuan “post mortem”
nya.
Jangan “post mortem” tinggal “post mortem”, campak sahaja
ketepi atau dilupakan, lalu berulanglah kesilapan yang lampau kesalahan dan
kelemahan 1955, 1959, 1964, 1969, 1974, 1978, 1982, 1986, 1990, 1995, 1999,
2004, 2008….
PAS dalam hal ini perlu telah gelidah semua post mortem ini
dan jadikan pengajaran dan iktibar dalam menghadapi PRU ke 13 nanti.
Petugas pilihanraya tidak “friendly”, bengis, PACA tidak
terlatih, tak datang kerja, poster turun lambat…..dari sekecil-kecilnya sehinggalah
calon tidak “sellable” dan malah pemimpin tertinggi keluar “statement”
bercelaru, terkadang bertelagah antara kawan…..”dinosaur”, “ubat lupus tarikh”…..ini
semua tak silap saya semuanya pernah menjadi penemuan “post mortem”, kalau tak
dijadikan iktibar kali ini pasti kita akan mengulangi kekecewaan yang lalu.
Diperingkat ini jangan sekali-kali putus hubungan dan talian
dengan Allah swt. Allah hanya akan menolong mereka yang ikhlas menolong Allah
swt. Jangan bongkak, jangan sombong, banyakkan amal, pelihara akhlak.
Kalau ditahap ini masih berbalah tentang calon, tentang
jentera, tentang siapa mahu jadi Menteri, MB, EXCO…..awas kita berkemungkinan
kecewa nanti.
PAS adalah parti yang memperjuangkan Islam. Adden inilah
yang ditegakkan oleh mereka yang mendahului kita pada tahun 50an, 60an, 70an
sehinggalah sekarang ini. Jangan lari darinya. Kalau ikhlas terus ertindak atas
landasan ini tidak ada sebab Allah tidak memberikan kemenangan. Bekerjalah
kerana Allah swt.Jangan "double standard" (14/2/13)
Thursday, February 14, 2013
Berita terbaru dari Lahad Datu, Sabah menyebut bahawa pihak
kerajaan Malaysia sedang dalam proses berunding dengan lebih 100 pejuang Moro
yang bersenjata yang telah menyeberang masuk dari Selatan Filipina ke Sabah
melalui Tambisan ke Lahad Datu.
Kumpulan bersenjata berkenaan telah berjaya dikepung oleh
pihak keselamatan Malaysia dan proses rundingan sedang berjalan.
Kehadiran mereka ini dipercayai bukannya untuk mencetuskan
masalah di Malaysia tetapi kerana lari dari konflik di Selatan Filipina.
Adalah diharapkan pihak kerajaan akan menggunakan diplomasi
sebaik mungkin untuk memastikan pihak pejuang Islam ini dapat berundur tanpa
perlu ada sebarang elemen paksaan atau tangkapan. Mata dunia khasnya dunia
Islam sedang meerhatikan kita. Kalau kita ghairah dan bersungguh mahu
memperjuangkan nasib pejuang Palestin contohnya tetapi sebaliknya bagi pejuang
Moro, maka kita akan dianggap double standard.
Semoga isu ini akan selesai segera dan berakhir tanpa
mana-mana pihak khasnya Islam rugi.
Kerana kari santan binasa.....(14/2/13)
Pepatah Melayu menyebut, “kerana pulut santan binasa kerana
mulut badan binasa”, tetapi dalam hal Leong Pei Koe, lain pula halnya. Mulut
beliau mungkin terpelihara tetapi yang kacau adalah jarinya. Jari yang
mencerminkan kemarahan hatinya yang gelap barangkali ketika itu sehingga
tergamak mengacukan dalam bentuk lucah ke arah orang lain.Kalau pun terhadap orang lain sudah dikira biadap dan kurang ajar, inikan pula terhadap Raja kita yang kita sedia hormati.
Semalam di Mahkamah Majistret Balik Pulau, si Leong ini
telah didapati bersalah di bawah Seksyen 294 (A) Kanun Keseksaan dan dihukum
sebulan penjara dan denda RM6,000.00. Tidak cukup setakat itu sahaja gatal
jarinya hari kejadian, beliau turut mengacukan jari biadap yang sama kepada
seorang pegawai polis, iaitu pegawai pegiring Raja Permaisuri dan di atas
kesalahan itu beliau di hukum penjara semonggu dan denda RM2,000.00.
Kini akibat tindakan dangkalnya itu beliau terpaksa membayar
dengan harga yang mahal iaitu merengkok di penjara.Biarlah kes ini menjadi pengajaran buat kita semua, buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali. Dalam kes Leong ini, “kerana kari santan binasa, kerana jari badan binasa……”
Tindakan biadap yang bukan budaya kita (12/2/13)
Tuesday, February 12, 2013
Saya menerima berita ini melalui media alternatif di
internet, setakat ini tiada lagi berita dari sumber media perdana.
Seorang pemuda Leong Pei Koe, 29 tahun telah ditahan polis
di Lapangan Terbang Pulau Pinang kerana dituduh menunjukkan isyarat lucah
kepada Permaisuri Agong. Pemuda berkenaan dilaporkan kini disiasat di bawah
seksyen Kanun Keseksaan kerana menunjukkan isyarat lucah di khalayk awam.
Pantasnya media alternative sehingga telah mendedahkan wajah
pemuda berkenaan dan lain-lain butir peribadinya.
Apa pun biarlah pihak polis menyelesaikan siasatan dan kita
lihat bagaimana apabila beliau didakwa di mahkamah kelak.
Namun bagi saya tindakan pemuda berkenaan, apa pun
alasannya, adalah biadap. Jangankan kepada sesama kita sudah dikira biadap ini
pula terhadap Permaisuri Agong, dimanakah adab dan kesopanan kita?
Saya lebih bimbang membaca beberapa laporan di internet ini,
jika benar begitulah punca kesnya, maka ia sangat merbahaya dan mengancam
kesepaduan kaum dalam Negara.Tak kiralah siapa pun, apa pun bangsa dan agama kita, selagi kita rakyat Malaysia, biarlah kita berpegang kepada tatasusila budaya kita. Ada pihak pula membangkitkan kenapa seorang MB BN tidak dikenakan tindakan kerana pernah menunjukkan isyarat lucah juga semasa hari penamaan calon satu pilihanraya kecil di negeri beliau (videonya tersebar luas).
Memang meluas video berkenaan tersebar, soalnya tak seorang
pun yang ambil kesempatan membuat laporan polis.
Berbalik kepada kes Permaisur Agong ini, janganlah ia
dipolitikkan. Di Malaysia sejak semakin dekat bahang pilihanraya ini, semakin
politik warna penglihatan mata kita. Semuanya politik. Malah ada orang kata
hujan turun tak turun pun disalahkan orang politik.
Diharapkan pihak polis segera siasat kes ini dan jika ada
kes, segera bawa tertuduh ke mahkamah. Dan jika sabit kesalahannya wajar sangat
beliau dihukum agar jadi pengajaran kepada beliau dan semua kita. Tiada budaya
bangsa Malaysia yang mengajar anak bangsanya bertindak biadap begitu.
Gong Xi Fa Cai (12/2/13)
Sempena Tahun Baru Cina , tahun ular ini saya ingin
mengambil kesempatan mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada semua kawan-kawan dan
kenalan yang berbangsa Tionghua. Semoga tahun ini dengan izin Allah swt akan
membawa lebih kebaikan dan kehramonian buat semua.
Sempena Tahun Baru Cina kali ni banyaklah dimuatkan ucapan
berupa klip video samada di youtube mahupun di blog dan facebook masing-masing.
Pimpinan politik dari berbagai pihak juga tidak ketinggalan dengan ucapan
mereka masing-masing dalam bentuk ini.
Bagi saya klip video ini adalah yang paling baik dan
berkesan yang saya tonton sempena Tahun Baru Cina, tahniah ke[ada pembikinnya.
Pope Benedict berundur pada usia 85 tahun (12/2/13)
Berita hasrat Pope Benedict XVI, 85 tahun, mahu melepaskan
jawatannya sebagai pemimpin tertinggi Roman Katolik pada hujung bulan ini
mendapat liputan meluas seluruh saluran media. Beliau yang baru lapan tahun
memegang jawatan berkenaan menyatakan bahawa alasannya adalah kerana beliau
tidak lagi memiliki kemampuan dan kekuatan untuk memimpin. Beliau percaya untuk
memimpin sebagai Pope seseorang itu perlulah memiliki kekuatan minda dan
fizikal.
Kata beliau:
“After having repeatedly examined my conscience before God I
have come to the certainty that my strength due to an advanced age are no
longer suited to an adequate exercise of the Petrine ministry.”
Inilah kenyataan ikhlas dari seorang pemimpin yang tahu bila
mahu berundur. Memang sussah apabila telah memikili kedudukan dan kuasa bagi
seseorang itu mahu melepaskan kedudukannya. Berbagai alasan lazim diberikan
untuk terus berkuasa, masih diperlukanlah, masih dipercayai dan lain-lain
sedang ia tidak sedar di belakangnya ramai menunggu yang lebih kuat dan upaya
malah kadangkala lebih layak dan mampu.
Bagi saya sebagai pemimpin Benedict XVI atau nama sebenarnya
Joseph Ratzinger mengutamakan kepentingan penganut Roman Katolik mengatasi
kepentingan dan kedudukan peribadinya.
Kalau sudah tidak berupaya, tidak memiliki kekuatan fizikal
seperti 10-20 tahun lalu. Lebih baik lah kita memberi laluan kepada yang lebih
berupaya.
Walaupun beliau pemimpin agama lain, saya menghormati
pendiriannya. Dalam Islam pun Rasulullah saw memimpin walaupun sehingga akhir
hayat tetapi usianya sekitar 63 tahun. Begitu juga Abu Bakar dan Umar melainkan
Ali yang terbunuh di usia muda.
Di Malaysia, bekas PM Tun Dr Mahathir yang licik politiknya
bersara pada usia 78 tahun, dan penggantinya Tun Abdullah terpaksa memikul
kelemahannya dan akhirnya BN hilang 2/3 majoriti ditangan Dollah angkara
kegagalan Mahathir. Tun Hussien Onn melepaskan jawatannya pada usia 59 tahun
dan Tunku pula pada usia 68 tahun. Tun Razak meninggal sebagai PM pada usia 54
tahun.
Kesimpulannya mana-mana pemimpin pun yang paling baik antara
mereka sudah pastilah yang tahu sendiri bila masanya untuk mengundurkan diri,
sebagaimana kisah Pope di atas.
Biarkan Yong Teck Lee (12/2/13)
Saya menelaah dengan penuh kebimbangan kenyataan Presiden
SAPP sebuah parti politik di Sabah, Yong Teck Lee. Yong bekas Ketua Menteri
Sabah dilaporkan berkata bahawa keutamaan parti beliau adalah berjuang menuntut
autonomi bagi negeri Sabah. Beliau mahukan segala urusan dan pentadbiran Sabah
di putuskan sepenuhnya oleh kerajaan negeri Sabah dan bukannya dari KL (atau
Putrajaya).
Kenyataan ini beliau keluarkan ekoran tarik-tali antara
parti beliau dan Pakatan Rakyat bagi menghadapi PRU ke 13 di Sabah. Dahulunya
SAPP berada di bawah payung BN.
Ternyata Yong memiliki agenda yang tidak sihat dalam
ememupuk perpaduan nasional khasnya sesame kita semua rakyat Malaysia.
Bayangkan jika idea ini juga mahu diterapkan di Perlis. Kelantan, Pulau Pinang,
Johor dan seumpamanya.
Mungkin tuntutan Yong ini tidak bertentangan dengan amalan
demokrasi, tetapi sebagai rakyat Malaysia yang percaya pada sistem Federalisama
yang telah berdekad-dekad kita semua dakapi dan terima dengan harmonis, sudah
pasti ianya tidak dapat diterima.
Mana hilangnya semangat toleransi, integrasi yang telah
sekian lama kita perjuangan bersama. Berjuang untuk kepentingan anak negeri di
Sabah, mahukan pembangunan seimbang antara Sabah dan Semenanjung Malaysia,
pembahagian ekonomi yang seimbang mungkin berasas tetapi autonomi ini sesuatu
yang hanya diperjuangkan oleh mereka yang telah didiskriminasi secara total,
ditekan sebagaimana di Selatan Filipina atau Thai.
Kesimpulannya tidak payahlah mana-mana pihak termasuk PR
berunding dengan mereka yang seumpama ini, ianya bakal merugikan dan tidak
dapat diterima rakyat jelata.
Biarlah Yong dan kuncu-kuncunya bermimpi di siang hari
dengan agenda mereka itu. SAPP pun sebenarnya sudah semakin pudar dan hilang
pengaruh di Sabah, biarlah Yong dengan labu-labunya.
Benci pencetus huru-hara (8/2/13)
Friday, February 08, 2013
Sekali lagi saya mengesan seakan ada satu agenda jahat dalam
portal Malaysian Insider khasnya terhadap Islam.
Saya tidak bermaksud menyebelahi mana-mana pihak dalam isu
ini secara peribadi sebagai seorang Muslim oleh kerana terlalu banyak pandangan
ulamak Islam yang negatif dalam isu Valentine’s Day ini, maka wajarlah sebagai
seorang Muslim kita akur.
Dalam Islam pandangan ilmuan Islam khasnya para ulamak
mengatasi pandangan dan sikap peribadi, itulah disiplin dalam Islam samada suka
atau tidak, samada diterima atau tidak oleh pandangan universal, tafsiran sekular,
liberal dan seumpamanya.
Tetapi saya perhatikan buat kali kedua portal ini
mensensasikan di dadanya isi kandungan khutbah Jumaat, seakan mahu menyalakan
api kemarahan seakan mahu mengundang komen-komen jahat dan sinis semuanya nanti
terhadap Islam.
Muslims told at Friday prayers to “hate” Valentine’s Day
Umat Islam diseru semasa solat Jumaat (khutbah) untuk “membenci”
Valentine’s Day
Apa agenda Malaysian Insider? Ini jawabannya, sila
perhatikan beberapa komen di bawah posting mereka:
1) This is beginning to sound like kim jong un's north korea
2) Hahahaha....what a joke? No wonder Malaysia Is spending
money unnecessarily on salary for this Jakim staff....hopeless fellows.
3) Religion of peace?
4) Valentine's Day has become a favorite annual whipping boy
of religious fanatics, nutcases and lunatics of every stripe. Here it is the
fellers parroting Jakim sermons while in India it is the saffron clad loonies
touting Hindu supremacy.
Kenapa mahu mencetuskan kritikan, terhadap Islam? Tiadakah
lagi tinggal sensitiviti dalam jiwa kita dalam keghairahan kita mahu mengejar
kebebasan dan hak bersuara?
Maaf tetapi saya tiada hormat pada mereka yang mahu
mencetuskan huru-hara walau dalam cara halus sebegini.
Isu kalimah Allah - Jangan bermain api (5/2/13)
Tuesday, February 05, 2013
Saya membaca kenyataan terbaru dari The Malaysian Consultative
Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST)
berkenaan isu kalimah “Allah” dengan penuh kebimbangan malah kadangkala
mengecewakan.
MCCBCHST mempertikaikan larangan penggunaan nama Allah oleh
bukan Islam, (sebenarnya dalam terjemahan kitab Bible dalam Bahasa Malaysia),
dan menganggapnya sebagai suatu usaha untuk membendung dan mengekang hak
masyarakat bukan Islam ke atas agama dan kepercayaan mereka. Dalam kenyataan
terbaru mereka, disebutkan:
“This unhealthy practice could also lead to unwanted social
repercussions and tensions between communities” (Amalan tidak sihat ini, boleh
mencetuskan kesan tindakbalas sosial yang tidak dikehendaki dan menyemarakkan
ketegangan antara masyarakat).
Adakah bantahan masyarakat Islam Malaysia terhadap
penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam, dalam kes ini terhadap
terjemahan kitab Bible itu suatu amalan yang “tidak sihat”? Adakah kebimbangan
terhadap tercetusnya kekeliruan, terhadap terjemahan yang tidak tepat itu
sesuatu yang tidak sihat?
Sesungguhnya keenganan pihak tertentu dalam menerima
kenyataan, dan bertolak ansur terhadap sesuatu yang jika dibiarkan bakal
mengundang masalah yang lebih besarlah itulah sebenarnya punca menyemarakkan ketegangan
antara masyarakat.
Saya tidak tahu bila isu ini akan reda. Saya tidak tahu bila
semua pihak boleh bertolak-ansur dan memikirkan dari sudut yang lebih besar dan
positif.
Masyarakat Islam Malaysia termasuklah istana, pihak berkuasa
agama, ahli akademik, parti-parti politik, NGO dan seumpamanya telah bersuara
menyatakan kebimbangan mereka. Tiba-tiba menyuarakan kebimbangan itu dianggap
amalan yang tidak sihat, sesuatu yang boleh mencetuskan ketegangan, maka saya
kira isu ini sudah menjadi terlalu parah dan tidak akan menguntungkan sesiapa.
Kembalilah kepada rasional, kembalilah kepada semangat
tolak-ansur dan persefahaman yang telah dibina sekian lama antara masyarakat
berbilang kaum di Negara ini malah puluhan tahun sebelum Merdeka lagi.
Kalau kita tidak dapat berbuat demikian, maka isu ini akan
membakar perpaduan antara kita dan sampai bila-bila tidak akan reda tetapi
semakin bersemarak bahangnya. Cukup-cukuplah.
Jadilah pendakwah bukan penghukum (4/2/13)
Monday, February 04, 2013
Ada ketikanya kita melihat diri kita ini sempurna (perfect),
walaupun mungkin kita tidak sedar. Kita melihat yang lain disekeliling kita
cacat, tak lengkap, tidak sempurna.
Lalu kita mudah membenci, memandang rendah orang lain.
Kita menganggap apa yang ada pada kita yang terbaik, samada
ilmu, harta, rupa, kelakuan , kedudukan, pangkat, gelagat dan perangai. Orang
lain yang tidak seperti kita buruk belaka. Lalu kita tidak sedar kita
sebenarnya sudah menjadi hakim, menghakimi orang lain, malah terkadang kita
bukan sahaja menjadi hakim malah pendakwa sekali, kita mendakwa seseorang dan
kita juga menghukumnya.
Pada mata kita mereka yang tidak seperti kita semuanya jahil
belaka.
Sedangkan kita sesungguhnya diajar oleh Rasulullah saw untuk
menjadi pendakwah, mengajak, mengajar, memberi contoh kepada yang lain. Jika
ada yang mahu dengar Alhmadulillah, jika ada yang mahu ikut Ahmadulillah, jika
ada yang menolak, tidak bersedia, belem boleh terima, sepatutnya kita tidak
berputus asa, cuba lagi, doakan agar lembut hatinya.
Kalau setelah berdakwah, gagal, kita lepas tangan, maka
sudah pasti tiada lagi penduduk yang menghuni Bandar Taif pada hari ini, bandar
100km dari Kota Mekah, kerana apa? Kerana penduduknya lebih 1383 tahun dahulu
sudah pasti telah maut semuanya di hempap gunung-gunung batu dikeliling Mekah
oleh Jibril a.s
Rasulullah saw pernah ke sana ketika itu, berdakwah mengajak
penduduk Taif mengikut Islam. Sudahlah mereka menolak dengan keras, mereka
perintahkan pula anak-anak mereka merejam Baginda dengan batu, dihalau keluar,
sehingga berdarah tubuh Rasulullah yang mulia itu.
Akibatnya menurut sirah, datang malaikat Jibril a.s dan para
malaikat yang menjaga gunung. Jibril memohon dari Rasulullah agar diberikan
kebenaran kepadanya mengarahkan malaikat penjaga gunung tadi agar merejam dan menghempap
penduduk Taif dengan gunung-gunung batu yang pejal kerana mencederakan tubuh Baginda.
Apa kata Rasulullah saw:
‘Tidak! Bahkan saya mengharap mudah-mudahan Allah
mengeluarkan dari keturunan mereka orang yang menyembah kepada Allah dan tidak
menyekutukan dengan sesuatu pun’.
Demikianlah besarnya salah kita kalau nak dibandingkan
dengan besarnya kemuliaan Rasulullah saw.
Ramai yang menguasai ilmu dikalangan kita, ramai yang ahli
ibadah dikalangan kita, malangnya tidak ramai yang memiliki keupayaan berdakwah
sebagaimana Rasulullah saw.
Kita mudah memandang rendah orang yang tidak seperti kita,
kita mudah membenci orang yang tidak seia dengan kita, kita mudah memusuhi
orang yang tidak percaya atau mengikuti kita. Kerja kita menghukum, menghukum
dan menghukum.
Bayangkan kalau kita juga boleh mengarahkan malaikat penjaga
gunung sebagaimana Rasulullah saw, habis ranap bumi ini!
Allah swt berfirman dalam al Quran:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari
sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana
sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu
mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah
kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan
daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah
tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut)
dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi
Maha mengasihani.” ( Al hujurat : 12 )
Syeikh Abdul Qadir Jailani dalam mengulas ayat ini ada
menyebut antara lain:
Jika kamu bertemu dengan seorang yang jahil (tidak berilmu),
maka katakanlah (dalam hatimu) : “Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia
tidak tahu, sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui
akibatnya. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia
tentu lebih baik dariku.”
Mudah-mudahan jadilah kita semua dikalangan yang terbaik
yang sentiasa tidak putus dari mencontohi akhlak dan kemuliaan Rasulullah saw……..
Tak sabar nak berpilihanraya (3/2/13)
Sunday, February 03, 2013
Semua pihak sedang memperkatakan darihal Pilihanraya Umum
(PRU) ke 13 yang sudah pasti dipanggil (Parlimen bubar) sebelum atau pada bulan
April 2013. Ianya sudah pasti akan berakhir selepas barangkali berakhir proses
pilihanraya tersebut yang enath apa kesudahnnya, hanya Allah swt yang tahu.
Sebentar tadi saya sempat berada di sebuah warung kopi di kampong
ayah saya di Kg Assam Jawa dalam parlimen Kuala Selangor. Duduk minum dengan
kawan-kawan anak tempatan lalu datang minum sekali tiga orang anak tempatan
Cina. Seorang merupakan peyokong tegar Pakatan Rakyat, seorang mendakwa dirinya
ahli MCA tetapi menyokong PR dan seorang lagi pemimpin MCA tempatan.
Mereka dan anak tempatan lain yang berada di meja saya itu
kesemuanya penyokong akar umbi peringkat terbawah.
Masing-masing ghairah bercerita begitu begini siap dengan
ramalan masing-masing. Saya tidak banyak menyampuk sekadar mendengar, menarik
mendengar sendiri denyut jantung akar umbi sebenar ini. Kadang-kadang apa yang
kita baca dan dengar samada di media perdana mahupun alternatif, semata-mata
mahu melepaskan kepentingan politik dan citarasa pemilik dan “political master”
masing-masing, tidak malah terkadang tersasar jauh dari persepsi, bacaan dan
citarasa pengundi peringkat akar umbi dan tempatan.
Ternyata rakan-rakan saya petang tadi samada yang pro BN
mahupun pro PR kesemuanya telah matang dalam berpolitik dan membaca politik.
Maklumlah kita sudah mahu masuk 13 kali pilihanraya, sudah pasti rakyat semakin
dewasa, matang dan cerdik.
Rata-rata mereka semua mahu kebaikan buat Negara ini. Jangan
ada gaduh-gaduh kata salah seorang.
Yang jelasnya pengharapan atau “expectation” politik rakyat
diperingkat akar umbi juga tinggi. Mereka sudah berani menilai pemimpin ini
baik pemimpin ini tidak, wakil rakyat ini bekerja wakil rakyat ini tidak.
Kerana itu semua pihak perlu berhati-hati dalam meletakkan calon jika berhasrat
mahu menang.
Parti-parti yang bertanding jangan menganggap perjalanan
kali ini mudah. Jangan tangkap muat, jangan “over confident” kerana rakyat
sesungguhnya sudah semakin matang.
Akhbar The Star hari ini menjangkakan PRU ke 13 yang bakal
tiba akan menjadi yang paling hangat dalam sejarah pilihanraya dalam Negara.
Baguslah kalau hangat itu bermakna rakyat bebas sebenar-benarnya membuat
pilihan, rakyat yang merupakan penentu tidak dipaksa, tidak dimomok, tetapi
menjadi Raja pada hari mengundi membuat keputusan dan pilihan sendiri.
Semoga semuanya berjalan dengan baik dan lancar, apa pun Negara
kita terus aman dan tiada berbalah sebagaimana dunia lain, pohon dilindungi
oleh Allah swt.
Subscribe to:
Posts (Atom)