Perjuangan rakyat Palestin yang dilindungi Allah (31/1/13)

Thursday, January 31, 2013


Bagi saya dokumentari al Jazeera ini "Kill him silently", wajib ditonton oleh semua yang prihatin akan perjuangan rakyat Palestin. Ia memaparkan kisah yang berlaku lebih 16 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1997 bagaimana ejen perisikan rejim haram Israel iaitu Mossad telah merancang pembunuhan seorang pemimpin Hamas Khaled Mishaal di Jordan.
Bagaimana dengan kuasa dan izin Allah swt meskipun telah dirancang dengan begitu teliti akhirnya musuh-muuh Allah ini telah gagal dan terpaksa membayar dengan harga yang mahal di atas kegagalan mereka itu.

Di sini juga kita dapat melihat peranan yang dimainkan oleh Almarhum Raja Hussien Jordan yang walaupun dikritik sesetengah pihak sebagai pro Barat namun jauh di sudut hatinya cinta dan hormat pada perjuangan Islam dan rakyat Palestin tetap bertapak. Beliau yang ketika itu punya hubungan baik dengan Amerika Syarikat dan Israel, telah menggunakan kesempatan untuk Islam, bagaimana kegagalan Israel dengan bijak digunakan untuk membebaskan para pejuang Islam dalam tahanan Israel termasuklah yang paling kanan As Syahid Syeikh Ahmad Yassin yang merengkok dalam penjara Israel.
Atas kegagalan Mossad itu Islam telah bersinar.

Pengajarannya yang pertama Allah swt membenarkan betapa perancangan Nyalah yang sentiasa terbaik, mengatasi dan pasti mengalahkan perancangan manusia. Orang yang ikhlas dalam perjuangan pasti diselamatkan oleh Allah swt dan pasti memperolehi perlindungan Nya. Selain itu kita juga diajar jangan mudah melabelkan seseorang sebagai musuh atau seumpamanya. Sedang Allah boleh menunjukkan betapa orang yang demikian pun boleh berjasa kepada Islam, terkadang lebih besar dari jasa kita sendiri yang sentiasa lupa diri.

Ya Allah cucuri lah rahmat Mu ke atas roh Almarhum Raja Hussien Jordan dan As Syahid Syeikh Ahmad Yassin dan berilah kemenangan ke atas perjuangan saudara kami di Palestin.

Kajian tidak realistik (31/1/13)


Semakin hampir saat pembubaran parlimen semakin ligat spekulasi tentang keputsannya nanti. Berbagai kajian dilakukan dan berbagai pandangan diberikan. Ada yang dilakukan dengan penuh teliti dan professional manakala tidak kurang yang semata-mata untuk memuasakan nafsu dan halwa telinga pihak tertentu.
Apa pun keputusan akhirnya, tunggulah parlimen bubar, tarikh pilihanraya ditetapkan dan rakyat yang buat keputusan.

Laporan akhbar hari ini berkenaan kajian yang dibuat oleh Yayasan Ehwal Siswazah (YES) bagi saya adalah yang paling tidak meyakinkan yang pernah saya lihat.
Dari NST
Bukan apa, kerana kajian dibuat berdasarkan satu segmen kecil pelajar IPTA iaitu 3,000 orang dari 3 IPTA iaitu UM, UKM dan UPM. Dan daripada jumlah itu bukan semua pengundi berdaftar, menurut The Star….”some of whom would be voting for the first time”.

Keputuan kajian menurut NST menunjukkan PM Najib Tun Razak sebagai calon “favourite” untuk jawatan PM dengan memperolehi 63 peratus undi diikuti Datuk Ser Anwar 47.8, Hadi Awang 31.3 dan Lim Kit Siang 15.
Dan BN dikatakan akan menang mendahului Pakatan Rakyat.

Kalau yang di survey adalah rakyat jelata pelbagai kaum dan kedudukan, walaupun sekadar 3,000 orang saya fikir boleh lah juga dijadikan ukuran. Tetapi jika semata-mata dikalangan mahasiswa, entahkan tertekan entahkan tidak, saya ragui kesahihannya. 3,000 pelajar ini adalah kalangan anak-anak kita yang paling tinggi kelayakan mereka dikalangan anak-anak muda sebaya mereka.
Sedangkan di luar yang sebaya mereka, puluhan kali ganda, berkeliaran yang sekadar kelayakan sekolah menengah, yang menganggur, yang bekerja sendiri, yang bekerja untuk orang, yang merempit, dan berbagai lagi. Pasti cita rasa dan pemikiran mereka sama-sekali berbeza.

Bagaimana pula yang melewati usia awal 20an, yang 30an, yang 40an hatta yang 80an di luar sana.
Ringkasnya bacaan kecil ini bagi saya tidak mencerminkan lubuk hati masyarakat besar di luar.

Kalau mana-mana pihak merasa lega, senang hati dan yakin dengan keputusan kajian ini, saya pasti mereka akan dikecewakan.

Angin perubahan di seberang tambak (27/1/13)

Sunday, January 27, 2013


Parti Pekerja atau Workers Party di Singapura berjaya mengalahkan parti pemerintah PAP di Singapura dalam pilihanraya kecil kerusi Punggol Timur. Keputusannya baru sahaja diumumkan beberapa jam lalu, Calon WP Lee Li Lian memperolehi 16 038 undi manakala pencabar terdekat calon PAP Dr Koh memperolehi 12 856 undi, dua calon lain hilang wang pertaruhan.
Kerusi ini kosong ekoran perletakkan jawatan wakil PAP yang juga Speaker Parlimen Singapura atas masalah hubungan luar nikah.

Dengan kemenangan ini PAP kini memiliki 80 kerusi manakala Workers Party 7 suatu pencapaian yang baik bagi parti pembangkang sejak beberapa dekad lalu.
Kekalahan PAP ini membuktikan besarnya ketidakpuasan hati rakyat Singapura terhadap PAP yang telah memerintah Negara pulau berkenaan sejak Republik itu Merdeka pada tahun 1963.

Persoalannya mungkinkah bahang perubahan di Singapura itu mampu membakar merentasi Selat Tebrau sehingga ke Semenanjung?

Apa kurangnya Malaysian Insider dengan Ibrahim Ali (25/1/13)

Friday, January 25, 2013


Apabila membicarakan isu kalmah ALLAH, dalam posting saya di sini saya sering menyeru agar semua pihak bersikap berlapang dada. Tolak-ansur dan toleransi adalah kata kunci di sini. Jangan lagi mana-mana pihak melaga-laga atau mengapi-apikannya kerana jika tidak terkawal, dibiarkan berterus-terusan dan berpanjang-panjangan akhirnya pasti terbakar dan apabila terbakar yang akan hangus adalah perpaduan sesama rakyat Malaysia yang telah sekian lama terbina.
Umat Islam di Malaysia sangat sensitif dalam isu ini. Apabila ada pihak terus-menerus mengapi-api dan cuba menegakkan benang yang basah, akan lahir tindak-balas. Apabila ini berlaku yang rugi adalah kita semua. Kini sudah ada Ibrahim Ali dan kuncu-kuncu seumpamanya yang telah membakar isu ini, kita kesal dengan tindakan beliau.

Tetapi kita juga kesal apabila saudara-saudara bukan Islam turut serta mahu menjadi sebagaimana Ibrahim Ali juga.
Maaf tetapi saya menganggap artikel terkini dalam Malaysia Insider bertajuk:

Friday sermon: ‘Enemies’ of Islam staking claim over ‘Allah’ to confuse Muslims


yang ditulis oleh CLARA CHOOI Assistant News Editor Malaysian Insider sama tarafnya dengan gelagat dan sikap Ibrahim Ali juga. (Kalau Ibrahim Ali kita marah, kenapa tidak Malaysian Insider?)
Kenapa mahu mengulas khutbah JAKIM? Clara seolah memain peranan SB mendedahkan isu kandungan khutbah JAKIM mengapa, bagi saya semata-mata mahu menyemarakkan api kemarahan dan tidak puas hati dikalangan bukan Islam. Buktinya – bacalah komen pengunjung-pengunjung laman berkenaan.

Jadi politikkan isu ini. Ini bukan isu PAS atau Umno atau BN atau Pakatan Rakyat! Ini isu aqidah dan sensitiviti umat Islam. Melaga-lagakan seumpama ini bagi saya samalah “standard” Ibrahim Ali juga.
Seorang pengunjung memberi komen:

Can a police report be made on Jakim for spewing hatred and animosity among the races?
Kenapa ni? Kenapa institusi Islam pula jadi mangsa?

Seorang lagi pengunjung memberi komen:
ALL Muslims who think their faith in Islam is being "diverted and undermined" PLEASE STAND UP!

Expose the wrongdoings of those who attempt to convert you to other Faiths. Report them to the authorities and let the law take its course, but do not take the law into your own hands.
If you cannot come up with solid proofs and identify the perpetrators, if any, please do not go on accusing others of trying to proselytise and convert the Muslims. It would be a great lie and sin to accuse others of non-existent offences.

Of late, it is made out big time in the media as if many Muslims have been and are being converted to other faiths; if so they must standing out in a large crowd! Where are they? Show us the crowd. None? What does that mean, then?
If your faith in your belief is strong and firm, no one, NO ONE, can convert or influence you. If you are weak and at a loss, do not blame others for your own failings. And thus shaming yourselves.

If there are "enemies of Islam", they are either imagined, made up, or to be found within your very own community who are using religion to exploit you and politicising it for their hidden and selfish agendas.
Please stop using religion to pit Muslims against other Malaysians. We respect Islam and true Muslims. Those who abuse their faith and politicising it to achieve their covert agendas are the real enemies of ALL Malaysians. Let's reject them together.

BTW, is that a sermon or a political propaganda? Stop politicising religion please. Give due respect to the religion.
Ternyata isu ini sudah menjadi hangat dan jika kita, tidak kiralah siapa samada ahli politik, NGO, media atau siapa sahaja menyumbang dalam membakar dan melaga-laga serta  mengadu-domba sesama rakyat Malaysia, maka apa kurangnya kita dengan Ibrahim Ali yang mahu membakar Bible?

Saya kesal dengan artikel Malaysian Insider ini dan berharap agar tiada lagi yang akan cuba-cuba menyalakan api kebencian seumpama mereka.

Jangan ada Tartar atau Hitler di Malaysia (25/1/13)


Kita tegas dalam bab penggunaan kalimah “ALLAH” . ALLAH bagi kita dalam hal ini merujuk hanya kepada Tuhan yang satu. Tuhan yang diimani dan diyakini oleh orang Islam. Agama lain yang menyembah Tuhan selain “ALLAH” tidak wajar menggunakan kalimah ini dalam kitab dan buku agama mereka di sini.
Allah berfirman di dalam al Quran, surah al Ikhlas 1-4, maksudnya:

"Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".
"Say: He is Allah, the One and Only; Allah, the Eternal, Absolute; He begetteth not, nor is He begotten; And there is none like unto Him."

Atas penjelasan itu kita berharap agar semua pihak faham dan menerima hakikat demikian. Biarlah kita semua hidup aman di bumi kita yang tercinta ini tanpa perlu menyinggung atau mempertikaikan kepercayaan masing-masing.
Atas semangat itu kita juga kesal sekiranya ada pula pihak yang melampau yang mahu mengambil tindakan menurut nafsu dan kepala sendiri-sendiri. Tindakan atau niat mahu bakar buku agama atau kitab suci agama lain langsung tidak bertamaddun dan tiada kena mengena dengan agama Islam. Dalam sejarah Islam puak yang membakar buku agama dan khazanah ilmu hanyalah puak Tartar yang tidak bertamaddun.

(Pada tahun 2010 seorang Paderi Terry Jones, dari Gereja Dove World Outreach Center, Florida, Amerika Syarikat mengancam mahu membakar al Quran)
Diktator Hitler juga begitu dizamannya.

Oleh itu janganlah ada Tartar atau Hitler dikalangan orang Malaysia di sini.

 

 

Dijauhkan anak Raja seumpama ini (24/1/13)

Thursday, January 24, 2013


Dua hari lepas posting saya “Anak Raja pembunuh” telah mendapat ribuan pengunjung, mungkin ada yang nakal yang menyangka ianya berkenaan anak Raja tempatan, maaf saya tiada isu dalam hal itu. Sasarannya adalah anak Raja istana Winsdor iaitu suku sakat kerabat Ratu Elizabeth II.
Hari ini dalam akhbar The Sun terdapat satu berita di bawah tajuk: “Harry under fire”

Ternyata bukan hanya kita malah ramai pihak di luar sana terusik dengan kenyataan anak Raja ini berkenaan perkhidmatannya di Afghanistan sebagai juruterbang pesawat helikopter penggempur Tentera di Raja British.

Sebuah NGO di London “Stop the War Coalition” menganggap kenyataan Harry itu sebagai bongkak dan tidak sensitif.
Malah mengulas kenyataan Harry yang mengatakan beliau telah membunuh pejuang Taliban dalam tempoh perkhidmatannya di Afghanistan, pemimpin NGO itu mendakwa bagaimana Harry dapat pastikan yang sasaran yang beliau bunuh itu sebenarnya pengganas Taliban atau mungkin orang awam!

Dalam laporan yang sama, jurucakap Taliban pula mendakwa Harry sebagai “bacul” kerana hanya berani berkata demikian setelah beliau meninggalkan bumi Afghanistan. Menurut Zabihullah Mujahid lagi apabila Harry mendakwa perkhidmatannya sebagai juruterbang penggempur Apache laksana suatu permainan, jelas menunjukkan anak Raja itu dangkal ilmu dan tidak tahu keadaan sebenar di Afghanistan.
Sesungguhnya keadaan di Afghanistan memerlukan formula penyelesaian yang sewajarnya diputus dan ditentukan oleh rakyat dan penduduk Afghanistan sendiri, bukannya mana-mana kuasa luar sebagaimana juga di Palestin.

Janganlah ada anak Raja tempatan yang punya sikap dan perangai umpama Harry ini.

Bunyi bising dari Kuil..... (23/1/13)

Wednesday, January 23, 2013


Menurut akhbar The Star hari ini pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah menarik balik notis yang ia berikan kepada Kuil Sri Maha Mariamman di Bangi Lama, yang sebelum ini telah mengarahkan pihak kuil berkenaan agar mengurangkan bunyi yang terbit dari kuil berkenaan serta menghentikan semua aktiviti keagamaan selepas jam 6 petang.
Notis berkenaan awalnya menurut Yang Dipertua MPKj dikeluarkan ekoran aduan penduduk berdekatan.

Walaubagaimanapun hasil rundingan pihak terlibat serta pemimpin tempatan akhirnya pihak MPKj bersetuju menarik kembali notis berkenaan.
Saya percaya penarikan balik notis ini dibuat setelah semua pihak bertolak-ansur demi mengelakkan perkara ini dari merebak dan dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Di sinilah sikap toleransi penting khasnya dalam suasana masyarakat berbilang kaum dan agama seumpama Negara kita.

Tempat-tempat ibadat termasuklah masjid, gereja , kuil, tokong dan lain-lain yang didirikan dengan kebenaran pihak berkuasa sewajarnya diberikan kebebasan menjalankan aktiviti masing-masing. Penduduk yang tinggal di kawasan ini seharusnya sedar bahawa institusi-institusi ini mengajak kepada kebaikan dan apabila semuanya baik maka masyarakat pun menjadi baik.
Suka tidak suka pasti ada pihak yang terganggu dengan bunyi yang datang dari rumah-rumah ibadat ini. Mereka yang seumpama ini terkadang lupa bahawa kita hidup dalam Negara yang majmuk, lainlah kalau kita di Kelantan atau Terengganu dimana majoriti besar masyarakatnya adalah dari satu kaum dan agama, itupun tidak pernah berlaku kemarahan dan ketidapuasan hati sehingga mengakibatkan pihak berkuasa tempatan perlu mengeluarkan notis seumpama kes ini.

Saya sendiri pernah mengalami pengalaman yang sama semasa menjadi ahli majlis di sebuah PBT di Selangor. Saya menerima aduan dari seorang pegawai pejabat wakil rakyat yang mendakwa menerima aduan dari seorang penduduk terhadap bunyi bising yang terbit dari corong pembesar suara sebuah masjid di kawasan saya.
Sebagai ahli majlis boleh sahaja saya memanjangkan perkara ini kepada pihak PBT untuk mengeluarkan notis. Di sinilah kewarasan serta tolak-ansur perlu diutamakan.

Saya memberi jawaban berikut kepada pegawai tadi:
Izinkan saya menerangkan sedikit kepada saudara tentang realiti politik perkara ini.

Ternyata kita sekadar menerima aduan dari seorang penduduk iaitu Puan xxx, saya sendiri menerima beberapa aduan dari penduduk Islam apabila sebuah persatuan mengadakan Hungry Ghost Festival di tapak letak kereta xxx semasa bulan Ramadhan lalu, menyanyi dan memain muzik ketika umat Islam sedang beribadat di malam bulan Ramadhan.
Perkara ini sensitif dan perlu ditangani dengan penuh berhati-hati.

Sebagaimana beberapa individu Muslim yang mengadu pada saya berkenaan Hungry Ghost tadi, saya menerangkan kepada mereka bahawa kita hidup dalam komuniti yang berbilang kaum dan agama. Kita perlu belajar bertolak-ansur dan menghormati satu sama lain.
Bolehlah saya menasihati pihak masjid, saya pun penasihat Masjid xxx, tetapi aduan dari seorang penduduk bagi saya tidaklah begitu besar "weightage" nya untuk kita minta pihak masjid bertindak, JK masjid belasan orang ramainya, bayangkan jika ia bocor dan disebarkan pula oleh orang yang tidak bertanggungjawab akhirnya jadi bahan politik untuk serang kita.

Saya akan cuba menasihati pihak masjid tanpa membangkitkan isu aduan Puan xxx, tetapi kita juga perlu ada mekanisma untuk menangani perkara-perkara seperti ini tanpa mencetuskan sensitiviti yang hanya akan merugikan kita di masa hadapan.
Demikianlah sebahagian jawaban saya terhadap isu yang diajukan kepada saya itu.

Diharapkan semua pihak menerima realiti kepelbagaian agama dan budaya dalam Negara kita ini dengan hati yang lapang dan terbuka. Kalau kita gagal bermakna kita akan mengundang perbalahan dan sengketa yang hanya akan merugikan semua pihak.

Bilalah kan bebas Palestin (23/1/13)


Tanpa mengira fahaman politik, (lawatan ini pasti dipolitikkan nanti) rakyat Malaysia pasti terharu dengan kunjungan Perdana Menteri kita ke Gaza yang mencerminkan sokongan tidak berbelah bahagi seluruh rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Simpati terhadap perjuangan Palestin sememangnya semulajadi bagi seluruh rakyat Malaysia di sini. Kita benci dengan tindakan kejam dan ganas rejim Israel terhadap penduduk Palestin dan penjajahan mereka ke atas bumi Palestin khasnya di Baitul Muqadis. Kita mahukan rakyat Palestin diberikan kebebasan menentukan nasib mereka sendiri dan setiap inci bumi mereka diserahkan kembali kepada mereka.

Dalam kita berkeadaan demikian, rupanya sesama Palestin pun masih berbalah. Dalam keadaan Negara punah ranah dan rakyat sengsara, masih lagi tidak sekata.. Menurut The Times of Israel, yang turut dimuatkan oleh al Jazeera, Presiden Pentadbiran Palestin (yang berkuasa di Tebing Barat) mewakili PLO, Mahmoud Abbas, membantah lawatan PM Malaysia. Menurut akhbar berkenaan:
The visit prompted a bitter protest from Palestinian Authority President Mahmoud Abbas, who said it undermined his status and that of the PLO as the representative of the Palestinian people. Abbas said he was seeking “clarifications” from the Malaysian government.

Antara yang telah mengunjungi Gaza sebelum ini termasuklah Perdana Menteri Mesir,Emir Qatar, Menteri Luar Turki dan Presiden Tunisia pula pada bulan Febuari ini.
Apa pun berlaku di sana kita mendoakan yang terbaik buat rakyat Palestin dan kita mendoakan agar Masjid al Aqsa dapat kembali ke tangan umat Islam.

Anak Raja pembunuh (22/1/13)

Tuesday, January 22, 2013


Saya terdengar berita ini dalam siaran berita di radio ketika memandu dan segera membuat carian di internet. Yang menarik perhatian saya adalah berita berkenaan cucunda Ratu Elizabeth II, Putera Henry atau lebih dikenali “Prince Harry” yang dilaporkan baru sahaja tamat perkhidmatannya selama 5 bulan sebagai juruterbang helikopter penggempur “Apache” , Tentera Inggeris, di Afghanistan.
Harry adalah salah seorang waris takhta monarki British, dengan ditempatkan ditangga ketiga bakal mewarisi takhta selepas ayahnya Charles dan abangnya William.

Apabila ditanya oleh wartawan pernahkah beliau terlibat dalam membunuh pejuang Taliban di Afghanistan beliau menjawab:
“Yea, so lots of people have.”  (Ya, ramai (yang telah saya bunuh))

Beliau menambah:
“Take a life to save a life. That’s what we revolve around, I suppose, if there’s people trying to do bad stuff to our guys, then we’ll take them out of the game.”

(Ambil nyawa untuk menyelamatkan nyawa saya rasa itu sesuatu yang biasa. Sekiranya ada orang yang mahu melakukan perkara yang tidak baik ke atas orang-orang kita, kami akan menamatkan permainan mereka)
Beliau begitu berbangga dengan apa yang telah beliau lakukan.

Dengan kenyataan ini maka kini tersenarailah seorang waris takhta British yang bergelumang tangannya dengan darah orang Islam di Afghanistan, yang pasti bersepai hancur mayat mereka angkara ledakkan peluru dan meriam dari pesawat Apache nya (pesawat yang sama yang membunuh As Syahid Abdul Aziz Rantisi di Palestin).
Soal samada yang terbunuh itu benar-benar pengganas atau orang awam atau yang tidak berdosa tidak pula diulas. Yang pentingnya anak Raja ini menganggap beliau yang walaupun berada di tanah asing, dalam keadaan berperang, oleh itu adat berperang, sasaran mesti dimusnahkan. Dan dalam hal ini yang dimusnahkan adalah anak watan Afghanistan.

Sekiranya ada Bendahara Tun Perak di Kota London pasti beliau ulangi ungkapan keramatnya:
Tetapi janganlah kita bertuankan anak Raja seorang ini……

 

Setimpalkah hukuman ini??? (16/1/13)

Wednesday, January 16, 2013


Klip yang dimuatkan dalam youtube http://youtu.be/wsh5v2kcXwM sungguh memualkan dan pasti membangkitkan kemarahan siapa pun yang menontonnya. Pelakunya sadis, tidak berotak bagaikan binatang, binatng pun tidak memperlakukan begitu kepada anaknya.
Saya merujuk kepada kes bapa tiri T.Rajasekaran, 32 tahun, yang telah membelasah anak tirinya berumur 3 tahun kononnya untuk memberi pengajaran kepada anak kecil itu yang bermain dengan paip di tong gas rumahnya. Anak tirinya telah dipukul, ditendang dan kepala serta tubuhnya dibelasah dengan senduk nasi dan acuan muruku.

Laporan perubatan mendapati tubuh anak kecil itu mempunyai kesan dan parut kecederaan di kepala, dada , tangan serta mata dan pergelengan tangan.
Mahkamah Majistret Kelang semalam telah mendapati si bapa tiri bersalah mendera anak kecil berkenaan. Tetapi malangnya si “binatang” itu sekadar dikenakan hukuman setahun penjara itu pun bermula dari tarikh penahanan beliau, bermakna tak sampai 12 bulan beliau akan dibebaskan!

Setimpalkah hukuman sebegini ringan dikenakan ke atas pesalah yang telah memperlakukan anak tirinya dalam keadaan yang begitu kejam dan tanpa peri kemanusiaan?
Undang-undang buatan manusia sesungguhnya hanya memenuhi kehendak dan nafsu manusia, jauh dari keadilan hakiki yang terjamin dalam hukum yang diturunkan oleh Allah swt. Demikianlah betapa lemahnya manusia.

Bagi saya manusia seumpama Rajasekaran ini wajar dibiarkan menghabiskan usianya dalam penjara, masyarakat tidak memerlukan manusia seumpama beliau di luar sini.

TIDAK: Kata Majlis Syura Ulamak PAS (14/1/13)

Monday, January 14, 2013


Alhamdulillah saya kini boleh katakan yang kita tidak “confused” lagi, berikutan kenyataan rasmi Majlis Syura Ulamak PAS yang bersidang malam semalam. Adapun kenyataan penuh yang dikeluarkan adalah:
Kenyataan Rasmi Majlis Syura Ulamak

Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Rabiul Awwal 1434 bersamaan 13/1/2013 mengambil keputusan sebulat suara bersetuju untuk menyatakan perkara-perkara berikut:

1)    Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan yang diimani oleh umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, Tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

2)    Kalimah Allah adalah alami (universal) kerana Allah Tuhan sekalian alam. Siapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang Arab Jahiliyah yang tidak Islam menyebut Allah lah yang menjadikan alam ini.

3)    Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah. Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini. Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.

Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah.
Kenyataan media ini adalah memperjelaskan maksud kenyataan Al Mursyidul Am, Presiden dan seluruh kepimpinan PAS.

Kenyataan yang walaupun ringkas ini bagi saya sangat padat dan bermakna. Mudah-mudahan melaluinya tiada lagi berbangkit isu ini samada dipolitikkan atau sengaja mahu cari-cari pasal.
Sebelum ini dalam posting saya ada saya utarakan pandangan Dr Asri (bekas Mufti Perlis) berhubung isu ini. Berikut saya sertakan pula pandangan pemikir Islam terkenal, Prof Syed Naguib al Attas. Ini kerana mungkin ada yang tidak boleh terima keputusan Majlis Syura PAS kerana ia dari parti politik, tak boleh terima pandangan Dr Asri, jadi apa kata dengar pula pandangan Prof Syed Naguib.

Bagi saya semuanya menjurus kepada keputusan yang sama, iaitu dalam membicarakan suasana di Semenanjung Malaysia, memang penggunaan nama Allah sebagai “Tuhan” di dalam mana-mana kitab atau rujukan bukan Islam adalah tidak sesuai kerana ia tidak menepati makna sebenarnya dan ia melanggar sesnsitivit umat Islam tempatan.

Berikut pandangan Prof Syed Naguib:

Question: The using of kalimah “Allah” by other people in this country
Answers by Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas:

Well I have been talking about this long time ago. I remember about this in ISTAC, when we first established ourselves (late 80’s and early 90’s), I think the Arcbishop of Penang was asking this question. And I have answered that.
And then we had a meeting with the Archbishop of Kuala Lumpur and about all the representatives of Christianity, including the ministers, we had a meeting at ISTAC.

And I said, “Why you want to use the word ‘Allah’ for yourself?”
They said “we going to pray in Bahasa Malaysia”

That’s the way they put it. So my answers to them, “Why you have to change praying into Bahasa Malaysia. You have been praying in English all the time. Why suddenly change into Bahasa Malaysia?”
Ok, so they said they want to change so that it more patriotic. Then in that case I’m saying that “why don’t you use Tuhan while praying in Bahasa Malaysia? Because you are talking about God isn’t it?…God is not just a name…”Allah” is a name of this Being whom you called God… and in fact a Being whom even higher than what you called to be God”

And then I said, “ …and “Allah” is not from Bahasa Malaysia. It is not a national language. It belongs to the language of Muslim all over the world. Therefore your argument using this for the word “Allah” does not fit into your idea of God. Because “Allah” does not have a son,  It is not one of three (Trinity), that is why out of respect to Allah we can’t allow you to use this.“
But when we Muslim, when we write in English we say God, or when we talk to people we say God but we mean “Allah”…but they cannot say when they speak about God it means “Allah” as they don’t mean it.

So in this particular respect, we have to be clear about this, not was-was (hesitate)...whomever responsible in our governing, they have to be clear about this and to explain to others.
We agree you want to use God, then use Tuhan as we also use that…but we understand in the Malay language that Tuhan is not a translation of Allah..that is why we say “tiada Tuhan melainkan Allah” not “tiada Tuhan melainkan Tuhan”. We don’t say “there is not God but God”..at least the ulama’ among the Muslim Malays, we understand what is the meaning of that (word “Allah”).

So “Allah” cannot be translated as no language has translated Allah. The Arabs themselves they only use that after Islam..although the word existed (before)..the Christians Arab they also did not use Allah (in theological, epistemological and ontological sense in the same manner as the Muslim)..if they say that it is just a language..they talking about language..because they say “Allah” like the Muslim when they (melatah)…
So it appears they want to do that in order to confuse the Muslim into thinking that all the same..that is why I say one of the problems about religion is the nature of God..about who Allah is..that is why in Arkanul Iman (The Pillars of Faith), the first thing is “amana billah”. (ulasan sepenuhnya boleh didapati di http://www.rausyanfikir.com/2010/01/prof-al-attas-view-on-polemical-usage.html

Semoga Allah swt melindungi kita semua.

Pengajaran dari sejarah (13/1/13)

Sunday, January 13, 2013


Sebentar tadi saya sempat menonton dokumentari terbitan BBC berkenaan kesan seni di Sepanyol.
Ia berkisar berkenaan sejarah warna-warni Sepanyol yang dijajah beberapa kali seawal zaman keagungan Rom dan terakhir oleh Tentera Islam Moor dari Afrika Utara dikepalai Panglima Tariq ibnu Ziad sekitar tahun 711.

Pemerintahan Islam berlangsung selama 781 tahun di Sepanyol yang dikenali sebagai Andalusia di bawah pemerintahan Islam yang berkahir pada tahun 1492 apabila pemerintah Islam ketika itu Abu Abdallah Muhammad ke XII menyerah kuasa kepada kebangkitan tentera Kristian pimpinan Isabella dan Ferdinand.

Apa yang menarik menurut BBC adalah kesan seni bina peninggalan pengaruh Islam yang begitu meluas khasnya di Selatan Sepanyol, antaranya yang terneal adalah Masjid di Cordoba dan Kota Alhambra di Granada. Begitu hebat dan teguhnya senibina Islam sehingga kuasa Kristian yang membebaskan Sepanyol kemudiannya sekadar membina sebuah gereja di dalam perkarangan masjid, yang sesungguhnya menurut BBC mencacatkan senibina asal yang indah itu.
Apa pun yang lebih menarik bagi saya untuk kita belajar dari sejarah lama ini adalah bezanya pentadbiran Moor dan Kristian Sepanyol selepas kejatuhan Islam sebagaimana diulas oleh BBC. Semasa kerajaan Andalusia, rakyat Sepanyol yang rata-rata bukan Islam, iaitu Kristian dan sebahagiannya Yahudi, dianggap sebagai zimmi dan diberikan kebebasan mengamal dan menganut agama mereka. Tiada gereja atau rumah ibadat Yahudi yang dirobohkan. Malah ratusan tahun pemerintahan Islam telah melihat sebahagian besar rakyat Andalusia yang bukan Islam memeluk Islam.

Akan tetapi apabila militan Kristian menghalau keluar tentera Islam, antara kanun yang diperkenalkan adalah memaksa penduduk Andalusia “lama” memakan khinzir. Orang Islam ditawan dan akhirnya dihalau keluar dari Sepanyol termasuklah rakyat tempatan yang memeluk Islam. Malah akhirnya rakyat menganut agama Yahudi juga dihalau keluar. Masjid dirobohkan dan atas robohannya dibina gereja.
Banyak pengajaran boleh kita pungut dari sejarah ini, yang pnetingnya mana yang kejam dan tidak berperikemanusiaan jangan kita ulangi. Mana yang baik kita ikuti, itulah pentingnya sejarah bagi kita.

 

Tindakan yang tidak wajar dibela (13/1/13)


Perlakuan seumpama ini tidak wajar dibela oleh sesiapa pun. Saya merujuk kepada insiden pembakaran kenderaan peronda JPJ di Lumut Perak yang dilaporkan terlibat dalam kemalangan.
Tindakan tersebut kononnya didorong oleh kemarahan apabila kenderaan peronda JPJ itu dikatakan yang menjadi punca mengakibatkan kemalangan tersebut sehingga mencederakan lebih 20 orang.
Tindakan mengambil undang-undang di tangan sendiri, jelas tidak beradab, walaupun jika ianya berasas sekalipun.

Menurut laporan polis hari ini, beberapa tangakapan telah dibuat dan pihak polis percaya anasir “tonto” yang sebenarnya telah mendorong kejadian berkenaan.

Kita kesal apabila menyaksikan video, kanak-kanak sekolah yang turut berada di tempat kejadian (kerana dua bas sekolah turut terlibat dalam  kemalangan itu) mengambil kesempatan merakamkan video dari telefon bimbit masing-masing, merakam kejadian berkenaan. Bayangkan apa pelajaran yang mereka pungut dari insiden ini?

Selalunya orang yang tidak menghormati undang-undang seperti ini dan berani bertindak ganas, adalah orang yang sama yang boleh bertindak ke atas orang lain walau dalam kejadian apa sekalipun.
Saya bukan membela sesiapa, jika benar anggota JPJ berkenaan bertindak di luar batasan kuasa mereka, mereka wajar diambil dan dikenakan tindakan. Tetapi kesalahan yang mereka lakukan itu tidak memberi lesen kepada orang lain untuk bertindak ke atas mereka.

Semoga pihak polis segera memuktamadkan penyiasatan dan menyeret mereka yang bersalah ke hadapan pengadilan. Kesimpulannya tindakan tidak sivik ini tidak wajar dulangi oleh sesiapa pun.

Confused, anda? (11/1/13)

Friday, January 11, 2013


Kesimpulannya bagi saya penggunaan isu “kalimah Allah” kebelakangan ini telah menjadikan umat Islam khasnya di Malaysia dalam keadaan “confused”. Tolak politik ke tepi, isu yang dikaitkan dengan akidah ini, ternyata hasil dari lambungan politik telah menjadikan semua pihak letih dan “confused”.
Penerangan dan penjelasan malah menjadikan semua pihak bertambah “confused” dan mereka yang mahu mengambil kesempatan (jika ada) semakin riang.

Kenapa di Timur Tengah boleh, kenapa di Sabah dan Sarawak selama ini boleh, kenapa di Semenanjung Malaysia tidak boleh?
Kenapa ada yang kata boleh ada yang kata tidak boleh? Kenapa Dr Harun Din, Ustaz Harun Taib, Sultan Selangor kata tak boleh?

Kalau tiada penjelasan yang mantap, memang jawabannya : “confused, confused, confused!”
Bagi yang cerdik pandai, jangan anggap orang awam atau orang kebanyakkan cerdik seperti kita, kerana itu yang cerdik pandai perlu terbit dengan penerangan dan penjelasan yang meyakinkan, yang hanya boleh dipunggut dari yang berilmu sahaja.

Apa pun kesudahannya saya secara peribadi kagum dengan penjelasan bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagaimana yang terbit dalam akhbar The Star hari ini. Kata beliau:
“Since the Bible was translated (as in the case of those in Peninsular Malaysia) from English to Malay, the right translation for God was “Tuhan” , not “Allah”. They are not translating from Arabic to Malay, but from English to Malay. Therefore the polemics over the use of the word “Allah” should not arise in the first place..”

Kalau dah begitu selama ini, dan tiada sengketa, mengapa kita mahu mencetuskan persengketaan. Duduk dan bincang baik-baik. Yang penting semua pihak boleh hidup dalam aman dan sensitiviti terpelihara.

 

Renungan Jumaat (11/1/13)


Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan dan pada hari itu juga dia dikeluarkan dari syurga. Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (HR Muslim).
Dan tiadalah permintaan yang rasanya terbaik pada hari ini melainkan doa buat ibu (dan bapa) yang dikasihi. Inilah insan yang telah mengandungkan kita dalam keadaan susah dan sakit selama 9 bulan, dan dalam serba azab melahirkan kita ke dunia ini tanpa sedikit pun benci atau marah sedangkan kelahiran itu amat sakit dan pedih buatnya.

Tiada ada seorang ibu pun yang menganiaya atau menyakitkan anaknya. Di peruntukkan nyawa untuk membela dan mengasuh anaknya. Alangkah baik permintaan yang Allah janjikan akan dikabulkan Nya oleh orang beriman yang meminta pada hari Jumaat, kita pohonkan buat kebaikan dan kesejahteraan ibu kita.
Semoga dipenuhi hidup ibu kita (jika masih hidup) dengan kesejahteraan , keceriaan, bebas dari sebarang kesusahan atau penyakit yang berpanjangan. Semoga Allah pelihara dan mengasihani ibu kita sebagaimana ibu memelihara dan mengasihani kita semasa kecil.

Jangalah kita sekali-kali menguris apalagi meyakitkan hati beliau. Ibu yang tua tidak pernah mengimpikan sesuatu yang buruk buat anaknya. Sebengis atau sekasar mana pun mungkin perangai atau perwatakan ibu, jika ada, ia tidak akan sekali-kali menyumpah atau mendoakan yang buruk buat anaknya.
Mohonlah agar diampunkan dosanya, dipelihara ia, dilindungi ia.

Dalam pada itu pastikanlah kita tidak sekali-kali jatuh derhaka pada ibu. Kesenangan, kemewahan apa yang ada pada hari ini tidak akan menjelma jika tidak kerana ibu yang memungkinkan kita lahir ke dunia dengan izin Allah.
Kerana itu Rasulullah saw sentiasa berpesan pada kita jangan derhaka kepada ibu.

Rasulullah saw bersabda:

Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kalian berbuat derhaka kepada ibu, meminta sesuatu yang bukan haknya dan menanam bayi perempuan hidup-hidup. ( Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5975 (Kitab al-Adab, Bab derhaka kepada ibubapa termasuk dosa besar).

Abdullah ibnu Umar ra pernah menjelaskan berdasarkan hadis Rasulullah saw bahawa dosa besar itu ada 9 dan antaranya adalah:

……menghina ibubapa dan (menyebabkan) ibubapa menangis disebabkan kederhakaan (anak kepada mereka)
Oleh itu marilah pada hari Jummat ini kita mengambil kesempatan mendoakan yang terbaik buat ibu kita.

 

 

 

Wanita pertama Speaker Singapura (9/1/13)

Wednesday, January 09, 2013


Apabila ditanya mengenai dirinya yang bertudung beliau pernah berkata:
I think they (residents) see beyond whats covering my head. I think whats important is whats in here (pointing to her heart).

Demikian ulasan wanita pertama yang dilantik sebagai Speaker Parlimen Singapura, Halimah Yacob. Semalam PM Singapura mengumumkan bahawa beliau, yang sebelumnya Menteri Pembangunan Masyarakat, Beliau dan Sukan, dilantik menggantikan Speaker sebelumnya yang telah melepaskan jawatannya atas isu moral.

Menurut Berita Harian Singapura:
Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang dihubungi semalam berkata masyarakat Melayu/Islam pasti berasa bangga dengan pencalonan Cik Halimah sebagai Speaker.

"Masyarakat Melayu/Islam pasti berasa bangga dengan pelantikannya sebagai Speaker wanita pertama dan wakil masyarakat yang disenangi semua. Saya mengucapkan tahniah kepada beliau dan berharap beliau akan terus cemerlang, sekali gus mengharumkan nama baik masyarakat yang diwakilinya," jelas Encik Masagos lagi.
Difahamkan sebelum ini sebagai Menteri, Halimah memiliki rekod yang cemerlang dan disenangi oleh kakitangan kerajaan dan rakyat Singapura.

Sudah pastilah yang lebih membanggakan adalah Halimah merupakan pemimpim tertinggi wanita Muslim Singapura, yang berpakaian menutup aurat. Perlantikan beliau pasti bukan hanya membanggakan rakyat Singapura dan masyarakat Melayu di sana tetapi juga umat Islam seluruh dunia.

Syabas Sdr Pooi (5/1/13)

Saturday, January 05, 2013


Sahabat saya hari ini menjadi bahan utama akhbar tempatan.
Beliau, Pooi Weng Keong, adalah Pengarah Pemilihan semasa Kongres Kebangsaan DAP di Pulau Pinang tempoh hari dan hari ini dalam akhbar Pooi diberitakan meletakkan semua jawatan politiknya atas dasar pertanggungjawaban ke atas kesilapan penjumlahan undi dalam proses pemilihan kongres berkenaan.

http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2013/1/5/nation/12536301&sec=nation

Cheah SS, Dr Loi saya dan Pooi (dari kiri)

Pooi saya kenali semasa sama-sama berada sebagai ahli majlis sebuah PBT di Selangor. Beliau seorang yang komited, seorang yang sangat berkaliber. Beliau yang saya kenali seorang yang mudah bertolak-ansur, tajam pemikiran dan sangat berpandangan jauh.

Tiba-tiba dalam akhbar hari ini Pooi menjadi tajuknya. 
Saya tidak mahu mengulas apa yang berlaku dalam insiden berkenaan tetapi melihat tindakan Pooi melepaskan jawatannya bagi saya mencerminkan betapa tingginya nilai moral beliau. Beliau mengaku salah dan atas kesilapan itu beliau memikul pertanggungjawaban lantas melepaskan jawatannya.

Tidak ramai seperti Pooi tak kiralah dari parti, pertubuhan atau badan mana pun di Malaysia. Kalau di dunia luar amalan seumpama ini sering kita dengar khasnya di Eropah, Jepun, Taiwan dan Korea tetapi di sini sangat berkurangan.
Yang terakhir kita dengar adalah apabila Spekar Parlimen Singapura Michael Palmer melepaskan jawatannya kerana terlibat dalam hubungan seks luar nikah. Tetapi itu skandal seks dalam kes Pooi ini pertanggungjawabanya adalah atas kesilapan atau kemelamahan. Tidak ramai mahu mengaku silap atau lemah. Dan tidak ramai pula mahu mengorbankan jawatan apabila telah silap atau lemah.

Saya bersimpati dengan sahabat saya itu. Namun syabas Pooi anda seorang yang bertanggungjawab, tidak ramai seperti anda.

Orang Melayu di Singapura boleh berjaya (4/1/13)

Friday, January 04, 2013


Saya sentiasa kagum dengan saudara-saudara kita orang Melayu di Singapura. Walaupun mereka bukan majoriti sebagaimana kita di sini, walaupun tiada menerima sebarang kesitimewaan sebagaimana kita di sini, mereka terus bertahan dan mampu mengekalkan jati diri dalam suasana yang sangat berbeza berbanding di sini.
Dalam ketiadaan kesitimewaan mereka bangkit mempertahankan diri, meredah cabaran namun tetap berjaya, walaupun ada juga sebahagian kecil yang tidak sebagaimana di sini juga.

Sebelum ini kita pernah terbaca seorang pemandu teksi berbangsa Melayu mengaku memperolehi pendapatan 7,000 Dolar Singapura sebulan ( iaitu bersamaan RM17, 500) dan masih punya masa untuk diluangkan bersama keluarga.

Hari ini pula Berita Harian Singapura melaporkan satu-satunya syarikat Melayu yang tersenarai di Bursa Singapura (SGX) iaitu Second Chance Properties Limited berjaya naik 18 tangga dalam SGX iaitu dari nombor 234 tahun 2011 ke 216 tahun 2012 dari sudut prestasi syarikat. Jumlah syarikat yang tersenarai di SGX adalah sebanyak 700.
Memetik akhbar tersebut:

Berdasarkan perangkaan terbaru, permodalan pasaran SCP melonjak kepada $270.2 juta tahun lalu berbanding $181.8 juta pada 2011, naik 48.6 peratus.
Ini membolehkan SCP meningkatkan lagi kedudukannya di kalangan syarikat tersenarai dalam SGX , daripada tempat ke-298 pada 2010 kepada tempat ke-234 pada 2011 dan seterusnya ke tempat 216 pada tahun lalu.

Berbanding tahun sebelumnya, SCP naik 18 tangga pada 2012 daripada keseluruhan 700 syarikat tersenarai dalam bursa saham berdasarkan saiz permodalan pasaran.
Malah, dengan kedudukan yang lebih kukuh itu, SCP berupaya mengatasi beberapa syarikat terkemuka seperti Hotel Royal, Amara Hotel, BreadTalk, Isetan, Cortina, Challenger, Singapore Shipping, Old Chang Kee, Best World dan Food Junction yang tersenarai dalam SGX.

Semoga kejayaan mereka menjadi iktibar dan pendorong buat kita di sini. Saya yakin jika mereka melangkah masuk ke pasaran Malaysia, pasti mereka akan beroleh kejayaan yang lebih besar.
Saya tidak maksudkan bantuan dan keistimewaan buat Bumiputera disini wajar dihapuskan. Status quo itu perlu dikekalkan. Walaubagaimanapun, sepatutnya dengan kesitimewaan itu lebih ramai lagi boleh berjaya, mengapa tidak?