PAS belanja $1661 PRU 1955 (13/4/13)

Saturday, April 13, 2013


Dalam kita bertungkus-lumus bekerja bagi memenangkan PAS dan PR menjelang PRU ke 13 ini saya mahu mengajak para pengunjung blog ini untuk merenung sejenak betapa besarnya pengorbanan dan jasa para pejuang PAS terawal dalam meniti arus perjuangan bagi mendaulatkan Islam di tanahair kita.
Sebagaimana kita ketahui pada 27 Julai tahun 1955 menjelang kemerdekaan tanahair, pihak pentadbiran British Malaya telah menganjurkan Pilihanraya Persekutuan yang pertama bagi merebut 52 kerusi Perundangan Persekutuan bagi seluruh Malaya.


ALMARHUM TUAN GURU HJ AHMAD
TUAN HUSIN
PAS masuk bertanding dalam PRU ini sebagaimana Umno, MCA dan MIC, buat pertama kalinya. Dengan kekuatan yang sangat kecil (namun semangat perjuangan yang besar) PAS turut meletakkan calon bertanding dan dengan izin Allah walaupun Perikatan : Umno, MCA dan MIC menyapu 51 kerusi, PAS menang 1 iaitu kerusi Krian di Perak melalui Tuan Guru Hj Ahmad Tuan Hussien.
Dari 1,027,211 pengundi yang keluar mengundi PAS meraih 40,667 undi atau 3.9 peratus.
Yang lebih hebatnya tahukah anda berapa perbelanjaan kempen yang ditanggung PAS ketika itu? Subhanallah….. menurut Dr Ismail Said di dalam bukunya: “Menegak agama membela bangsa – Perjuangan PAS 1951-1970” dalam PRU itu bagi seluruh Malaya PAS menerima derma sebanyak $586.00 sedangkan perbelanjaan ibupejabat PAS adalah sebanyak $1,661.00. Ini bermakna selepas PRU PAS masih berhutang sebanyak $1,076!

Dan tahukah anda bagaimanakah Tuan Guru Hj Ahmad berjaya mengalahkan calon Perikatan Umno Sulaiman Palestin? Menurut penulis yang sama aset Almarhum Tuan Guru adalah:
“…keadaan dan sikap beliau yang sederhana, tawadduk. Yang menarik dikatakan beliau tidak pernah meminta dirinya diundi sepanjang kempen PRU kecuali menerangkan tujuan PAS menyertai pilihanraya iaitu hendak menyuarakan keinginan bangsa Melayu yang mahukan kemerdekaan berlunaskan Islam…”

Semoga kita yang ada pada hari ini yang menggalas dan mewarisi perjuangan mereka yang terdahulu akan turut juga mempunyai kualiti dan keperibadian mereka terdahulu.
(YA ALLAH CUCURI RAHMAT KE ATAS ROH ALMARHUM TUAN GURU HJ AHMAD TUAN HUSSIN)

0 comments: