Monday, April 29, 2013

BN Selangor yakin boleh? (29/4/13)


“Barisan Nasional confident in Selangor” begitulah tajuk ruangan “GE13 The Showdown”
dalam akhbar The Star hari ini yang memuatkan temubual dengan Timbalan Pengarah Pilihanraya BN Selangor, Mohd Zin Mohamed.
Saya membaca dari hujung ke hujung laporan berkenaan, malah berkali-kali kerana mahu melihat mampukah ia meyakinkan saya sendiri berbanding dengan realiti sebenar yang saban hari sedang terbentuk diperingkat akar-umbi.

Tapi saya faham sebagai Timbalan Pengarah Pilihanraya tak kanlah Zin mahu sebut yang BN pasti kalah lagi di Selangor, itu mustahil walaupun mungkin rakyat tahu ianya hampir pasti.
Semalam saya berada di dua kawasan Parlimen iaitu Tanjung Karang dan Kuala Selangor kerana menghadiri program ceramah dan menziarahi sahabat-sahabat para petugas jentera pilihanraya. Rata-rata “mood” di kedua-dua kawasan pilihanraya ini begitu hangat. Kedai-kedai kopi dan gerai padat dengan pengunjung walaupun sudah larut malam. Saya lihat rakyat rata-rata tidak lagi segan silu menzahirkan sokongan masing-masing ke atas parti yang bertanding. Kenderaan, lencana, baju dan kemeja T terpampang lambing dan symbol pilihan masing-masing. Saya tidak mahu keterlaluan tapi rata-rata symbol PAS dan PKR lebih ketara berbanding dacing.

Parlimen Tanjung Karang punya 73.3 peratus pengundi Melayu manakala Kuala Selangor 64.4 peratus.
Dalam laporan akhbar berkenaan, Zin menyebut bahawa pengundi Melayu di Selangor kini sedar bahawa PAS tidak mampu menggantikan Umno di Selangor. Tambah beliau ramai pengundi Melayu sedar bahawa Umno lebih boleh diharapkan dalam mempertahankan kepentingan mereka.

Benarkah demikian?
11 penggal Umno menjadi tunggak di Selangor dari 1959-2008, apa yang hebat sangat sumbangan Umno pada orang Melayu sehingga orang Melayu tergiur dan termimpi-mimpi mahu Umno kembali memimpin mereka di Selangor?

Zin turut menambah bahawa kemasukkan Tan Sri Muhammad Mohd Taib ke dalam PAS pun sebenarnya tiada kesan kerana yang ghairah hanya penyokong tegar PAS, tiada pertambahan sokongan buat PAS lantaran penyertaan itu.
Benarkah demikian?

Dua kenyataan ini sahaja bagi saya menunjukkan betapa rendahnya BN-Umno meletakkan martabat keupayaan pemikiran orang Melayu di Selangor. Orang Melayu seolah dilihat bagaikan boleh diheret-heret ke sana ke mari, seolah tiada boleh mencetuskan keputusan sendiri semuanya dikawal oleh Umno!
Bagi saya orang Melayu di Selangor tahun 2013 ini bukannya sama seperti mereka di tahun 50an atau 60an. Selangor hari ini kekal sebagai negeri termaju di Malaysia, rakyatnya rata-rata bermaklumat bukan sekadar di Shah Alam, Petaling Jaya, Gombak, Ampang, Selayang, Kelang malah sampai ke Hulu Selangor dan Sabak Bernam, rakyatnya termasuk orang-orang Melayu semuanya bermaklumat dan terdedah kepada ilmu dan perkembangan semasa.

PAS mula terasa kehadirannya di Selangor sejak PRU 1999 apabila menang 4 kerusi. Selepas dari itu tiada lagi undur ke belekangan buat PAS yang sememangnya telah lahir di Selangor awal-awal penubuhan PAS pada tahun 50an dahulu. Walaupun tewas pada PRU 2004 tetapi ia bangkit kembali pada PRU 2008 dan bersama dengan rakan-rakan, DAP dan PKR membentuk kerajaan baru PR di Selangor menggnatikan BN.
Apa isitmewa Umno sehingga PAS tidak boleh menggantikannya? 5 tahun PAS duduk dalam kerajaan PR ini, rakyat khasnya orang Melayu melihat satu garis perubahan dalam pendekatan berbanding Umno. PAS dari ahli-ahli EXCO, ADUN nya, ahli-ahli parlimen, ahli-ahli majlis, Ketua-ketua Kampung, ahli-ahli JKKK berjaya menusuk dan menzahirkan pendekatan kepimpinan yang jauh lebih baik khasnya apabila unsur-unsur Islam di bawa masuk bersama.

5 tahun dalam kerajaan, tiada pimpinan PAS yang gagal dalam perlaksanaan amanah mereka. Kepimpinan lebih telus, bersih, berakhlak kalau nak dibandingkan dengan Umno, ini sesuatu yang nyata.
Umno yang duduk dalam kerajaan BN selama 11 penggal di Selangor telah meletakkan seorang MB sendiri dalam penjara! Seorang lagi sedang menunggu rayuan jika gagal akan turut terhumban dalam penjara angkara rasuah dan salah guna kuasa! Itu rekod Umno di Selangor.

Pemimpin yang terlibat dengan salah-laku moral juga boleh disenarai. Terakhir seorang bekas ahli parlimen didapati bersalah membuat tuntutan paslu dan bakal menjalani hukuman penjara juga jika gagal rayuannya.
11 penggal di Selangor, tetapi yang mewah dan senang dikalangan orang-orang Melayu di Selangor adalah kalangan yang rapat dan dikeliling pimpinan mereka. Kontrak diberi secara rundingan terus. Yang dapat, dapat lagi, yang kaya, kaya lagi. Budaya politik wang cukup sinonim dengan Umno di Selangor dan ini diakui dikalangan mereka sendiri.

Oleh itu dimanakah bangkit keyakinan Zin bahawa orang Melayu di Selangor mahukan Umno kembali berkuasa?
Siapa kata Muhammad Taib tidak memberi impak atau kesan khasnya ke atas pengundi Melayu? Beliau seorang bekas MB, bekas Naib Presiden Umno, bekas Menteri, bekas Ketua Penerangan Umno, dan ke mana-mana beliau pergi kebelakangan ini beliau yang pernah duduk ditangga tertinggi itu menyebutkan bahawa PAS lah yang terbaik buat orang Melayu, Umno gagal. Takkanlah orang Melayu akan lebih percaya Zin atau Khir Toyo atau Abd Rahman Bakri (bekas ahli parlimen Sabak Bernam) berbanding beliau?!

Kesimpulannya Umno telah diberi peluang bukan sepenggal dua tetapi sebelas penggal. Orang Melayu sesungguhnya malu dan kesal dengan Umno. Barisan calon-calon yang Umno kemukakan pun tiadalah mana sangat yang mahu dikagumi. Seorang calun DUN saya tahu SPM pun belum tentu ada sijil manakala seorang lagi di Lembah Kelang sekadar SPM.
Bukannya kelayakan akademiki penentu utama tetapi Umno yang bercita-cita mahu menggantikan personaliti seumpama Tan Sri Khalid, Iskandar Samad, Dr Ahmad Yunos, Azmin Ali perlulah kemukakan nama-nama yang lebih meyakinkan.

Bagi saya Zin boleh dan terpaksa berkata begitu namun yang jelas orang Melayu Selangor tidak lagi buta dan akan bangkit 5 Mei nanti merihatkan Umno dan BN.

 

 

1 comment:

Anonymous said...

Bagi dorg kelayakan akademik tak penting, yg penting org tempatan. Tapi rasanya calon PAS di Meru ni lebih tempatan dari org tempatan. Semua org kenal dia sbb dia bantu org tak kira parti. Yg calon BN ni org kat UDM lain pun tak kenal dia.