Nama "ALLAH" : Jangan gaduh-gaduh (28/12/12)

Friday, December 28, 2012


Isu ini telah lama reda, tidak lagi dibangkit atau dipolitkkan. Selalunya dalam kes seumpama ini masyrakat Malaysia khasnya orang politik tidak merasakan keuntungan dari menghangat-hangatkannya lantas ia dibiarkan hanyut begitu sahaja.
Tiba-tiba ia dibangkitkan kembali melalui perutusan resmi orang politik juga:

“For this reason, DAP urges the BN federal government to allow the use of the word Allah in the Bahasa Malaysia version of the Bible as has been allowed in Sabah and Sarawak for the last 50 years and practiced in the Middle East for more than a thousand years,” (perutusan Krismas SU Agung DAP: Lim Guan Eng)
Bagaimana penggunaan nama “Allah” oleh bukan Islam, khasnya masyarakat peganut Kristian boleh ditentang orang Islam di sini?

Memang nama “Allah” merupakan sebutan lazim dikalangan masyarakat Arab. Yang Islam pun sebut Allah, begitu juga yang Kristian malah yang Jahiliyah pun begitu, ribuan tahun dahulu. Hakikat ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun, bagi yang berkesempatan menyaksikan “Christmas Mass” atau upacara sembahayang Krismas  di Baitul Muqadis (Bethelehem), yang disiarkan oleh CNN dan al Jazeera, akan mendapati paderi-paderi Arab di sana berkali-kali mengucapkan nama “Allah” malah upacara mereka pun dalam bahasa Arab.
Itu bagi masyarakat Arab yang menggunakan lidah Arab, tetapi masyarakat Malaysia bagaimana?

Di Semenanjung Malaysia, agama Kristian mula bertapak dengan kedatangan Portugis di Melaka, diikuti Belanda dan Inggeris. Catatan Munsyi Abdullah banyak menyebut darihal kerja-kerja mubaligh Kristian sehinggalah penterjemahan Bible ke Bahasa Melayu. Tetapi tidak erbangkit dalam lipatan sejarah penggunaan nama “Allah” leh penganut Kristian di sini termasuklah dalam Bible.
Mungkin kerana di Semenanjung sasaran gereja adalah ke arah masyarakat Cina dan India, lantas isitlah “Lord” dan “God” lebih sesuai. Tiada (sebagaimana diakui gereja) usaha untuk menyebarkan agama ini dikalangan masyarakat Melayu kerana ianya dilarang undang-undang dan orang Melayu tidak mudah mahu menukar agama (kecuali kes tertentu).

Berlainan di Sabah dan Sarawak, yang masyarakat Kadazan, Iban, Murut dan lain-lain (melainkan suku yang beragama Islam) selain mengguna bahasa asal mereka, mereka juga biasa dengan bahasa Melayu. Kerana itu mungkin penyibaran agama ini di sana, berdasarkan kesesuaian setempat, meresakan perlu mengguna nama “Allah” kerana ia lebih sesuai, lantas gereja di sana menggunakan nama “Allah” termasuklah dalam Bible.
Berbalik kepada Semenanjung, tiada keperluan menggunakan nama “Allah” kerana “Allah” lebih difahami sebagai Tuhan orang Islam, orang Melayu, lalu ia tidak digunakan sehinggalah kebelakangan ini tiba-tiba muncul desakan. Mengapa?

Adakah kerana memartabatkan bahasa Melayu maka mereka merasakan lebih sesua “Lord” dan “God” ditukar kepada Allah atau mengapa?
Saya tidak berniat bersangka buruk kepada yang beragama Kristian, tetapi berdasarkan hujah di atas, dan sensitiviti masyarakt setempat, saya merasakan lebih baik “status quo” yang ada dibiarkan sahaja.  Membuat desakan seumapam ini hanya akan mengundang pergeseran dalam hubungan antara agama, dan ia tidak sihat buat rakyat dan Negara.

Kesimpulannya, biarlah rakan-rakan di Sabah dan Sarawak atas faktor sejarah menggunakannya, tetapi di sini, juga atas faktor yang sama, bairlah Tuhan kekal sebagai “Lord” dan “God” di dalam Bible dan gereja. Jangan gaduh-gaduh.

------------------------------------------------------------
(SELINGAN)

Saya teringat dalam satu forum di Dewan Perhimpunan Cina di awal tahun 80an dahulu. Ketika itu Dr Ting Chiew Peh (sekarang Tan Sri dan bekas Menteri MCA) merupakan pensayarah di UKM, beliau bertanyakan Ustaz Harun Taib (sekarang YB Dato Ketua Dewan Ulamak PAS) berkenaan penggunaan Assalamualaikum. Beliau mohon penjelasan dan bertanya mengapa beliau sendiri tidak boleh menggunakan ucapan itu.
Ustaz Harun (dengan style biasanya) menjawab ungkapan itu adalah ungkapan Islam yang digunakan sesama Islam dan memuji Allah, Tuhan orang Islam. Kata beliau lagi kalau Dr Ting mahu puji Tuhan orang Islam, tak salah boleh guna……

Ibnu Al-Arabi didalam Ahkamul Qur’an mengatakan: Tahukah kamu arti Salam? Orang yang mengucapkan Salam itu memberikan pernyataan bahawa ‘kamu tidak terancam dan aman sepenuhnya dari diriku.’ Kesimpulannya, bahawa Salam bererti, (i) Mengingat (dzikr) Allah SWT, (ii) Pengingat diri, (iii) Ungkapan kasih sayang antar sesama Muslim, (iv) Doa yang istimewa, dan (v) Pernyataan atau pemberitahuan bahawa ‘anda aman dari bahaya tangan dan lidahku’

Merry Christmas (25/12/12)

Tuesday, December 25, 2012


Sekali lagi kita menjadi tersepit.
Kita sedia beriktikad bahawa Islam adalah yang terbaik, bahawa Islam menjanjikan keamanan buat semua dan memberikan perlindungan kepada semua yang bernaung di bawahnya.

Tiba-tiba dalam bab perayaan agama lain, kita menjadi tersepit. Kerana apa? Kerana tiba-tiba dari wajah keamanan tadi kita bertukar menjadi sombong dan keras.
Kita memberi tafsir bahawa orang lain yang kita janjikan keamanan dan perlindungan itu hanya wajar merayakan perayaan mereka sesame mereka. Kita tidak boleh bukan hanya turut bergembira bersama mereka malah nak ucapkan selamat perayaan pun ditegah.

Saya mohon maaf kepada yang terpelajar dalam ilmu ini, tetapi janganlah kita terlepas pandang realiti  semasa dan kaji semua sudut dari “etymology” kepada asal-usul selain suasana masyarakat berbilang kaum dan agama sebagaimana Malaysia.
Hari ini Hari Krismas, hari dimana penganut Kristian percaya adalah hari kelahiran Jesus atau Nabi Isa. Bagi mereka hari ini adalah hari terbesar perayaan dalam calendar mereka. Jika saya punya kawan dan rakan Kristian tak kanlah saya mengunci mulut dan berlagak bodoh sehingga tidak boleh mengucapkan “Merry Christmas” kepada mereka…..

Bayangkan pula kalau saya dari keluarga Kristian, punya ibu-bapa dan adik beradik Kristian tetapi saya telah Islam. Takkanlah tanggal 25 Disember ini saya lari memencilkan diri semata-mata kerana talut mahu mengucap “merry Chritmas” kepada mereka. Adakah saya menjadi Kristian kembali dengan ucapan itu?
Memang kita tersepit kalau kita membuat tafsiran tanpa memikirkan aspek lain yang lebih besar.

Bagi perkataan “Christmas” rujuklah dulu setidak-tidaknya istilah dan maksudnya.
"Christmas" is a compound word originating in the term "Christ's Mass". It is derived from the Middle English Cristemasse, which is from Old English Crīstesmæsse, a phrase first recorded in 1038.[7] Crīst (genitive Crīstes) is from Greek Khrīstos (Χριστός), a translation of Hebrew Māšîaḥ (מָשִׁיחַ), "Messiah"; and mæsse is from Latin missa, the celebration of the Eucharist. The form "Christenmas" was also historically used, but is now considered archaic and dialectal;[27] it derives from Middle English Cristenmasse, literally "Christian mass".[

Kalau begitu adakah kita bertukar akidah apabila mengucapkan “Merry Christmas”, demikian juga “Happy Deepavali” dan seumpamanya.
Biarlah kita terus dipandang mulia dalam waktu kita memegang erat aqidah dan kepercayaan kita. Saya terbaca malah Presiden Abdullah Gul dan PM Erdogan pun mengucapkan selamat Krsitmas buat rakyat Turki yang beragama Kristian malah begitu juga Ikhawan Muslimin di Mesir.

Cubalah buat usaha dan cari ikhtiar agar orang memandang tinggi pada Islam dan akhirnya hasil dari kehebatan kita itu orang tunduk dan terima Islam, itu kan lebih baik.
Kita di Malaysia ini berbilang kaum dan agama, mereka yang bukan Islam walaupun kecil bilangannya dari kita, adalah manusia sebagaimana kita juga, punya hati dan perasaan. Kalau nak ucap “Merry Christmas” pun ditegah, bayangkan apa persepsi yang ada dalam kepala mereka terhadap kita. Jangan tersepit.

Merry Christmas kepada semua rakan saya yang beragama Kristian.

Terkini: Karpal cabar Hadi (12/12/12)

Wednesday, December 12, 2012


Suka tak suka kita perlu bertanya adakah isu yang sedang bergolak di Kota Bharu, iaitu yang melibatkan tindakan MPKB-BI (Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandaraya Islam) terhadap salon unisex dan mereka yang berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai, akan menjejaskan peluang Pakatan Rakyat untuk melonjak menang dalam PRU ke 13 ini.
Setidak-tidaknya itulah yang berada dalam kepala Pengerusi DAP Karpal Singh.

Menurut berita terkini The Star Online, Karpal mencabar Presiden PAS agar menyatakan pendirian PAS terhadap isu “gender segregation” atau pemisahan antara jantina lebih tepat lagi isu aurat dalam Islam menurut pegangan PAS.

Karpal mendakwa:
"The last that the DAP would want to do would be not to scuttle efforts by the opposition pact in its quest to capture Putrajaya in the coming election," Karpal said.

Sekali lagi PAS berhadapan dengan isu prinsip. Adakah matlamat menghalalkan cara atau bagaimana.
Nampaknya alasan bahawa orang bukan Islam akan diberi penerangan, mereka tidak jelas kerana mereka tidak faham sudah tidak boleh diguna lagi mutakhir ini. Pimpinan PAS perlu bijak memberikan penjelasan agar:

1. Ajaran Islam sebenar difahami bukan hanya oleh bukan Islam termasuklah oleh yang Islam
2. Rakan-rakan dalam Pakatan boleh faham dan terima PAS sebagai rakan
3. Peluang PAS dan Pakatan menang cerah
Diharapkan setelah memberi penjelasan di atas Karpal khasnya tidak lagi mengeluarkan kenyataan terbuka yang sedimit sebanyak mencederakan Islam dalam komentarnya yang pedas-pedas itu.

Semoga Allah memberikan bimbingan kepada pimpinan PAS dalam usaha mempertahankan prisnip dan dalam waktu yang sama berdakwah melalui politik.

 

Status agama dalam kad pengenalan WAJIB dikemaskini (11/12/12)

Tuesday, December 11, 2012


Tiada sebarang peruntukan undang-undang mewajibkan saudara baru untuk menukar nama kepada nama Islam dan menukar kad pengenalan dengan maklumat baharu, demikianlah penjelasan pihak kerajaan di Dewan Negara semalam.
“Mereka hanya dinasihat menukar status agama dan nama di Jabatan Pendaftaran Negara,”demikian jelas Timbalan Menteri di JPM, Dr Mashitah Ibrahim.

Soal tukar nama mungkin tidaklah berapa penting dan tiada keperluan akan tetapi memasukkan status baru, iaitu Islam, dalam kad pengenalan setelah memeluk Islam, dirasakan sesuatu yang wajar dan penting kerana ia bakal menyelesaikan kemelut yang kita hadapi kebelakangan ini yang mencetuskan pelbagai kontroversi.

Apabla berlaku kematian, apabila berlaku isu hak penjagaan anak-anak di sanalah sering isu ini timbul, dan kita seakan tiada penyelesaian yang meyakinkan.
Akibatnya berlakulah insiden rampas-merampas mayat untuk dikebumikan, apabila pihak keluarga simati tidak tahu menahu darihal pertukaran status tadi.

Kerana itu satu mekanisma yang lebih kemas perlu diperkenalkan. Tidak cukup dengan pihak jabatan agama mengeluarkan kad memeluk Islam, yang penting adalah pertukaran status dalam kad pengenalan. Benar kadangkala yang memeluk Islam mahu atau perlu merahsiakan pengislamannya dari pengetahuan keluarga atas sebab-sebab tertentu, tetapi demi kepentingan semua khasnya memelihara maruah dan maratabat Islam sendiri, pertukaran status agama dalam kad pengenalan perlulah diwajibkan.
Kita tidak mahu melihat isu rampas-merampas mayat contohnya memberikan gambaran buruk terhadap Islam. Biarlah status dalam kad pengenalan, apabila telah diwajibkan ke atas yang memeluk agama Islam menukar statusnya, menjadi penentu agama akhir simati.

Kita mahu hidup aman dan lantaran menyedari hakikat berbilang agamanya rakyat Negara ini, kerajaan perlu serius dalam hal ini.

Apa khabar Badan Kehakiman kita? (6/12/12)

Thursday, December 06, 2012


Kes Allahyarham adik Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati oleh anggota polis di Shah Alam pada bulan April tahun 2010 kini bergelora kembali. Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi yang telah menolak keputusan Mahkamah Sesyen yang sebelum ini mendapati Koporal Jenain Subi bersalah atas tuduhan membunuh tanpa niat apabila melepaskan 20 das tembakan terhadap kenderaan yang dipandu Allahyarham sehingga mengakibatkan beliau terbunuh. Beliau dihukum 5 tahun penjara.
Dengan keputusan tersebut Mahkamah Tinggi telah membebaskan Korporal Jenain.

Sudah pastilah keputusan ini membangkitkan kemarahan keluarga Allahyarham dan mereka yang marah dengan kejadian berkenaan. Apa pun pihak Peguam Negara masih boleh merayu terhadap pembebasan ini dan proses perundangan masih belum selesai.
Apa yang mahu saya bangkitkan di sini adalah penerimaan kita terhadap proses perundangan dan badan kehakiman dalam Negara. Saya tidak bermaksud mahu menyebelahi mana-mana pihak kerana saya masih ingat ketika kes ini meletus saya turut berada di Balai Polis Shah Alam mengiringi pimpinan parti membuat laporan polis terhadap kejadian berkenaan.

Apa yang mahu dibangkitkan di sini adakah kita menganggap badan kehakiman itu adil apabila keputusan memihak kepada kita dan tidak apabila sebaliknya? Harus diingat dalam kes ini proses kehakiman masih belum muktamad kerana keputusan Mahkamah Tinggi masih boleh dicabar.
Sekadar mengambil kes ini sebagai contoh, tanpa merujuk kepadanya secara spesifik, saya rasa kita perlu meneliti hal ini, kerana seingat saya antara pemimpin politik yang mula-mula membangkitkan protesnya terhadap Badan Kehakiman adalah Tun Dr Mahathir ketika beliau menjadi PM.

Ini pernah ditegaskan oleh Tun Musa Hitam (apabila berhenti dari menjadi TPM) bahawa apabila sahaja mahkamah tidak memihak kepada kerajaan maka TDM akan menuduh bahawa hakim berkenaan anti kerajaan. Natijah kita telah lihat apabila TDM memecat Ketua Hakim Negara ketika itu dan beberapa hakim lain menjadikan beliau Perdana Menteri pertama bertindak ke atas hakim-hakim.
Tetapi itu kes 1988 iaitu lebih 20 tahun lalu. Ada diantara hakim yang dipecat telah pun meninggal dunia dan TDM pun bukan PM lagi hari ini.

Adakah badan kehakiman kita hari ini telah pulih atau masih ditakuk 20 tahun lalu atau bagaimana?
Adakah pihak kerajaan menguasai keputusan kehakiman atau tidak atau bagaimana?
Pasca krisis 20 tahun lalu kita melihat ramai muka-muka baru telah duduk di bangku institusi berkenaan. Memang sebagai manusia ada keputusan yang kita setuju dan ada juga yang kita tidak berpuas hati. Jadi dimanakah duduk kita sebenarnya?

Berbalik kepada kes ini saya merasakan pihak Peguam Negara wajib merayu atas keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan. Kegagalan berbuat demikian akan membangkitkan protes ramai. Namun dalam waktu yang sama kiranya segala proses perundangan dan kehakiman telah mukatamad, semua piohak perlu berlapang hati dan menerimanya.
Jika tidak maka kita menghukum badan kehakiman kita sebagai curang dan tidak adil, benarkah begitu?

 

 

 

Tarikh pilihanraya: suatu penantian yang menyiksa (5/12/12)

Wednesday, December 05, 2012


Perhimpunan Agung Umno 2012 telah datang dan pergi. Bagi rakyat Malaysia yang tak sabar-sabar menunggu tarikh pembubaran Parlimen, agak kecewa apabila tiada langsung petanda yang diberikan oleh pimpinan Umno khasnya Presiden Umno selain menyebut sudah semakin dekat. Memang dekat iaitu April 2013, tetapi ramai yang beranggapan bahawa kemungkinan besar tarikh tersebut diumum oleh Presiden Umno yang juga PM semasa ucapan penangguhan beliau, tetapi tidak juga.
Maka sekali lagi kita semua perlu menunggu, dan nampaknya tukang telek dan ahli nujum sudah tiada banyak pilihan, jika tidak Disember 2012, Januari 2013, Febuari, Mac atau April…..

Apa pun ternyata BN terpaksa menganggap pilihanraya kali ini adalah yang paling genting dan mencabar buatnya. Buat pertama kali mereka berhadapan dengan saingan yang setanding dalam sejarah pilihanraya Malaysia. Apakah bakal berlaku kejutan, segalanya terpulanglah kepada rakyat jelata dan sudah pasti ketentuan Allah swt.
Di Selangor, secara peribadi saya tidak nampak BN punya banyak tenaga untuk merampas kembali negeri ini dari pimpinan PR. Presiden Umno sepatutnya mengumumkan nama Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, bagi menampakkan kebersediaan mereka bertempur dengan BN, malangnya tidak dan beliau masih memegang jawatan itu sekaligus menunjukkan Umno dan BN tidak punya pemimpin yang berkaliber untuk disabungkan di negeri ini.

Presiden Umno sudah menyatakan bahawa kali ini BN akan menyediakan calon-calon yang mampu menang “winnable” candidates, sudah pastilah banyak muka baru dan difahamkan yang tiada jawatan diperingkat bahagian juga akan di payung-terjunkan demi memberi harapan buat Umno dan BN.
Kerana itulah kekhuatiran Presiden Umno darihal isu sabotaj dalam parti ditekankannya berkali-kali dalam ucapan pennagguhan beliau.

Marilah kita saksikan nanti apakah “winnable” candidates itu benar-benar “winnable” atau sebaliknya menjadi “debacle” atau malapetaka buat Umno dan BN.
Sementara itu PR juga tidaklah boleh terlalu “over confident” atau berangan-angan Mat Jenin. Kerja kuat perlu diteruskan dan selain itu calon-calon juga mestilah dipastikan dikalangan mereka yang benar-benar berkaliber dan punya kemampuan sebagaimana dikehendaki rakyat. Jangan pula PR yang bermasalah dalaman. Berebut-rebut dan “sabotaj” dalam isu pemilihan calon.

Bagi PAS , “SOP (standard operating procedure) ” nya telah ada dengan mekanisma tapisan oleh Majlis Syura, pastikan benar-benar menepati kehendak yang diputuskan. Jangan ada yang “melobi”, meminta-minta jadi calon, kerana itu dalam Islam merupakan satu tegahan. Saya masih ingat dalam satu pilihanraya kecil, pemimpin tertinggi PAS lantaran disiplin Islam yang disebutkan menggugurkan nama seorang calon atas dasar ini. Ramai yang terkejut dan tidak puas hati, tetapi beliau tetap berpegang dengan disiplin berkenaan dan Alhamdulillah calon yang dipilih telah menang besar dalam pilihanraya kecil itu.
PAS mengikut sejarahnya tidak pernah menghadapi masalah pemilihan calon. Almarhum Dr Burhanuddin walau berasal dari Perak telah bertanding dan menang di Besut, begitu juga Almarhum Prof Zulkiflee Mohammad di Bachok, Khatijah Sidek di Dungun dan seumpamanya. Tidak pernah ada halangan dari “warlords” tempatan dalam soal pemilihan calon bagi PAS, janganlah kerana sudah menang besar hari ini PAS juga macam Umno sudah ada “warlords” tempatan, negeri dan seumpamanya.

Jika mampu mengekalkan kehormatan Islamnya sebagaimana dahulu insyallah ia punya potensi besar kali ini.
Berbalik kepada Perhimpunan Agung Umno yang lepas, saya terkejut apabila menjelang perhimpunan itu seorang rakan “blogger” membuat posting dalam blognya:

“Diberitakan beberapa orang politik yang sebelum ini bersama Pas akan mengumumkan penyertaan mereka ke dalam Umno pada perhimpunan tersebut. Antara orang yang bakal menyertai Umno ialah bekas dua pemimpin tertinggi Pas.”
Walaupun “blogger” taraf “superstar” itu memulakan postingnya dengan:

“Khabar Angin - iya atau tidak bergantung kepada keadaan.”

Tetapi ternyata maklumat atau khabar angin atau terjahan beliau itu tidak berasas. Tiada pun bekas pemimpin PAS yang lompat masuk Umno sepanjang perhimpunan berkenaan. Bermakna “iya” atau “tidak” beliau itu berkesudahan dengan “tidak”. Namun sebagai seorang “blogger” yang “pro” saya merasakan sekurang-kurangnya beliau akan menjernihkan kembali “iya” atau “tidak” beliau itu dengan penjelasan bahawa ia tidak berasas atau menariknya, malangnya sampai hari ini “posting” tersebut masih melekat di blog beliau dan tiada kisah apa pun dari beliau berkenaannya.
Begitulah kalau “blogger” mahu cetuskan sensasi. Cuma saya merasakan kita mesti ada pertanggungjawaban jika tidak pun sebagai seorang “blogger” yang professional, setidak-tidaknya sebagai seorang Muslim. Fitnah itu berat …… Jangan kerana kebencian atau tidak puas hati kita kepada seseorang menjadikan kita mebelakangkan akhlak dan keperibadian Islam dalam pendekatan kita.

Apa pun biarlah siapa yang mahu menang, menang dengan penuh maruah, barakah dan naungan Allah swt. Jangan menang dengan fitnah dan adu domba, carut dan maki (memang seorang rakan “blogger” tersohor juga ringan kaya betul dengan perbendaharaan kata lucah dalam tulisannya – tapi popular juga!). Islam itu Allah janji akan menang, dan ia akan menang dengan keperibadian dan akhlak Islam, bukan sebaliknya.
Selamat menunggu lagi tarikh pilihanraya.