Isu Palestin: Parlimen Malaysia mesti bersungguh (18/11/12)

Sunday, November 18, 2012


Saya difahamkan kerajaan Malaysia akan mengemukakan usul tergempar di Parlimen esok mengutuk tindakan kerajaan Haram Israel ke atas Gaza, Palestin selain menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi ke atas perjuangan rakyat Palestin.
Sebanyak lima ketetapan akan dibentangkan bagi menyatakan pendirian itu iaitu:

PERTAMA: Mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah Palestine di Gaza sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin.
KEDUA: Menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) membuat ketetapan supaya Israel menghentikan serta-merta serangan ketenteraannya ke atas wilayah Palestin di Gaza melalui gencatan senjata.

KETIGA: Menggesa Perhimpunan Agung PBB supaya mengadakan Sesi Tergempar Khas Perhimpunan Agung PBB di bawah Resolusi 377A(V) sekiranya Majlis Keselamatan PBB gagal menjalankan tanggungjawabnya.
KEEMPAT: Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah mewujudkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat; dan

KELIMA: Mengambil keputusan untuk menyampaikan resolusi ini kepada semua Dewan/ Perundangan dan Parlimen yang berkenaan, khasnya Kongres Amerika Syarikat, Parlimen Britain dan Parlimen Kesatuan Eropah.
Saya yakin usul ini akan disokong sebulat suara oleh semua ahli Parlimen kita, baik wakil BN mahupun pembangkang. Cuma saya merasakan usul ini terlalu “lembut” dan seakan memorandum demonstrasi sahaja bunyinya, selayaknya jika kita serius menyatakan keprihatinan, simpati dan sokongan kita, sebagai kerajaan, bunyi dan kesungguhannya juga wajar lebih keras dan serius.

Saya cadangkan selain 5 ketetapan di atas, tambahlah jika sungguh kita serius:
1) Lulus peruntukkan segera RM10 juta (atau lebih) sebagai bantuan kemanusiaan dan dihantar secara peribadi oleh beberapa wakil dari kalangan ahli parlimen kita terus ke pentadbiran Palestin di Gaza (kalau PM Mesir dan Menteri Luar Tunisia boleh berkunjung ke Gaza di saat cemas ini, mengapa tidak kita. (Saya cadang Speaker Parlimen, seorang Menteri, seorang Timbalan Menteri, Ketua Pembangkang, Presiden PAS dan Setiausaha Agung DAP, pergi terus ke sana mewakili kerajaan dan rakyat Malaysia!)

2) Kerahkan kor perubatan dan kor jurutera Angkatan Tentera Malaysia bersiap sedia untuk dihantar bagi memberi rawatan perubatan kepada rakyat Gaza selain membantu membina kembali kemudahan infrastruktur yang telah dimusnahkan Israel.
3) Hantar bantahan keras terus kepada Israel (walau kita tidak ada hubungan diplomatik) biar beberapa wakil dari kalangan ahli parlimen kita (cadangan saya lima yang di atas tadi juga) diterbangkan dalam penerbangan khas samada bertemu wakil Israel di PBB atau terus ke Tel Aviv bagi menyampaikan bantahan keras kerajaan dan rakyat Malaysia. Nak suruh lulus usul hantar tentera, sudah pasti Malaysia tak daya, sekurang-kurangnya hantar wakil, barulah bersungguh kelihatan usaha kita.

Mohon sangatlah perkara ini turut dibawa dan dibincangkan di Parlimen esok. Kalau sekadar nak lulus lima usul di atas sahaja, saya percaya dewan di Korea Utara atau di Vanuatu pun boleh lulus. Jangan sampai Israel sekadar mentertawakan kita sebagaimana ia mentertawakan Negara Arab hari ini yang begitu lesu!
Seriuslah membantah Israel dan membantu Palestin saya yakin semua rakyat Malaysia menuyokong!

Peperangan semakin hampir (17/11/12)

Saturday, November 17, 2012


Disaat saya menulis posting ini saudara kita di Gaza, Palestin terus dihimpit menderita, bumi mereka digasak bertalu-talu oleh serangan jet pejuang Israel. Menurut al Jazeera terbaru, 3 pejuang Palestin syahid terbunuh oleh serangan udara jet Israel di Kem Maghazi, tengah Gaza. Manakala CNN pula melaporkan kabinet Negara Haram Israel telah meluluskan agar dikerah 75,000 tentera simpanan Israel agar berpadu tenaga dengan 30,000 tenteranya di sempadan Gaza sementara menunggu isyarat menggempur bumi Palestin itu.
Pimpinan Negara Islam yang ketara kelihatan aktif dan prihatin adalah Mesir dan Turki. Difahamkan PM Turki akan mengunjungi Mesir dalam waktu terdekat bagi membincangkan isu ini. Sementara kerajaan Saudi memilih mencari jalan selamat. Beberapa demonstarsi besar-besaran telah diadakan di Mesir dan Turki termasuk beberapa Negara Islam lain, selain oleh umat Islam dan penyokong Palestin di Amerika Syarikat dan Eropah.

Walaubagaimanapun pagi tadi beberapa penganalisa CNN melaporkan bahawa Mesir khasnya cuma beretorik kosong dan tidak menjangkakan bahawa Negara itu dan Turki selain Iran akan mengambil apa-apa langkah berani.
Benar atau tidak telahan para penganalisa itu kita serah pada Allah swt. Apa pun dengan kehadiran begitu banyak tentera Israel di sempadan sebagaimana dilaporkan, tidak mustahil mereka sudah bersedia melancarkan perang darat, dan kita menunggu apakah tindakan balas kerajaan-kerajaan Islam termasuk Mesir, Turki dan Iran selain yang lain termasuklah kita di rantau sebelah sini.

Allah swt berfirman maksudnya:
Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman - selain daripada orang-orang yang ada keuzuran - dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar; (an Niza:95)

Dari Sahl bin Sa'ad Radiyallahu Anhu, bahwa Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda, "Menjaga orang-orang muslim dari serangan musuh sehari di jalan ALLAH lebih baik daripada dunia dan seisinya.”
Ya Allah selamatkanlah saudara-saudara kami……

 

 

 

Bumi Gaza berdarah, kita buat apa?! (16/11/12)

Friday, November 16, 2012


Siang tadi saya mengikuti satu posting oleh anak saudara saya yang bekerja di Putrajaya. Katanya malang teks khutbah Jumaat di masjid yang beliau hadiri tidak langsung berdoa untuk saudara kita di Palestin. Beliau menerima beberapa komen dari rakan-rakannya yang lain yang turut menyatakan begitu juga di masjid yang mereka hadiri. Dan malangnya masjid yang saya hadiri di Subang Jaya juga langsung jangankan menyentuh kesengsaraan yang menimpa saudara kita di Palestin, berdoa untuk mereka pun tidak.
Begitulah keadaan kita di sini sedang terbaru menurut BBC jumlah yang syahid di Gaza sudah mencecah 21 dan serangan udara oleh jet-jet pengebom Negara Haram Israel terus berjalan sudah masuk tiga hari.

Hari ini hari Jummat, penghulu segala hari, hari yang besar dalam Islam sedang saudara seagama yang berjuang mempertahankan bumi mereka dan berusaha mahu membebaskan Masjid al Aqsa dihujani peluru dari musuh-musuh Allah, dan kita nak berdoa pun tidak peduli…….subhanallah.

Ramai sangat yang bercakap dan mendakwa berjuang untuk Islam tetapi apabila peristiwa seperti ini berlaku, banyak pula alas an diberi, banyak sangat kepentingan dunia yang didahulukan……
Anak yang syahid ini di dukung oleh PM Mesir (kiri) dan PM Palestin
(kanan) siang Jumaat tadi
Dalam dunia Islam hari ini, hari Jumaat, kita boleh lihat tiadalah yang sejujur dan seikhlas kerajaan Mesir. Presiden Morsi telah mengarahkan Perdana Menterinya Hisham Qandil untuk menyeberangi sempadan masuk ke dalam bumi bergolak Gaza bagi bertemu pimpinan Hamas untuk menyatakan sokongan padu rakyat Mesir terhadap rakyat Gaza, Palestin.

Di Gaza, dihadapan pimpinan Palestin Hisham Qandil berkata sebagaimana dipetik BBC:
Kami merasakan kesengsaraan rakyat Gaza. Palestin adalah degup jantung dunia Islam, dunia Islam tidak akan aman sekiranya jantungnya menderita.

Itulah pimpinan Islam sebenar. Ya Allah berikanlah kekuatan kepada kerajaan Islam Mesir untuk menjadi teraju dunia dan gerakan Islam, menyelematkan Palestin dan melenyapkan musuh-musuh Mu.
Di Gaza semasa mengunjungi hospital di sana, PM Hisham Qandil bersama PM Palestin Ismail Haniyeh mendukung mayat seorang syuhada kecil, yang syahid akibat serangan binatang Israel. Menurut BBC darah syuhada kecil itu terkena dan terpalit pada baju PM Mesir……dan kita di sini buat apa???

Sementara itu tentera kerajaan haram Israel dilaporkan sedang berkumpul di sempadan Gaza, bersedia untuk melancarkan serangan darat.
Di TV3 sewaktu posting ini dibuat sedang hebat mengumumkan berbillion wang ditabur untuk pembangunan Negara di sana-sini. Parti-parti lain sedang sibuk buat persiapan untuk menang pilihanraya. Bumi Palestin berdarah dan terus berdarah…..malangnya di sini khatib yang kerjanya baca khutbah pun langsung tidak ringan lidahnya untuk berdoa buat Palestin.

 

 

Mother Mary menurut Islam (13/11/12)

Tuesday, November 13, 2012


Kisah penjelmaan imej  “Virgin Mary” atau “Mother Mary” iaitu ibu kepada “Jesus Christ” menurut kepercayaan Kristian, di tingkap bangunan hospital SJMC di Subang Jaya baru-baru ini hangat diperkatakan kebelakangan ini. Ramai penganut Kristian berkunjung dan menyembah serta berdoa di hadapan hospital tersebut.
Terbaru pihak gereja telah selesai berbincang dengan pentadbiran hospital yang bersetuju menyerahkan kepingan tingkap yang dipercayai menjelmakan imej “Mary” itu kepada gereja untuk disimpan di sana, sebuah gereja Katolik di Kelang.

Ini antara lain bagi mengelakkan kesesakkan penganut Kristian di perkarangan hospital. Walaubagaimanapun sehingga kini pihak gereja masih tidak mengesahkan kesahihan penjelamaan itu.
Apa yang berlaku adalah masalah penganut Kristian dan biarlah mereka yang menyelesaikannya. Cuma saya agak bimbang juga apabila membaca beberapa komen di beberapa laman web antaranya: (komen seorang pengunjung laman web)

Rev Murphy Pakiam,
Kindly recall what Cecilia Chin told and wrote a book to you and all your team during the tenure in Penang.

Tell the message to our people that has been conveyed to you, the words from Mother Mary. Be humble, just do it.
How can Russia be converted? and under whose power that this can happen? I think you have forgotten all the basics while going for the honours.

Dan satu lagi:
Do you wonder why the image is sighted in Subang Jaya and not somewhere else in Malaysia?

 Why not in Kuala Terengganu, Kota Bharu or Alor Star? After all, it did not appear in the window of a church. It appeared on the window of Sime Darby Medical Centre.
Other towns have hospitals too.

Before any Sime Mary stories were reported, I’ve already been saying that Subang Jaya is the Malaysian capital of evangelism.
Gambaran yang mahu diberikan seolah “penjelmaan” ini adalah petanda bahawa agama Kristian akan diterima secara besar-besaran di Malaysia (sebagaimana Rusia pasca Kominis) dan Subang Jaya akan menjadi pusat pengembangan Kristian Malaysia.

Itu gambaran yang boleh difaham walaupun sukar dipercayai.
Apa pun yang lebih menarik bagi saya adalah walaupun Islam dan Krisitian bagi penganut mereka adalah dua agama berbeza dan terkadang bermusuhan, namun hakikatnya banyak persamaan dan mungkin dengan izin Allah satu hari nanti menjadi keluarga Isa bin Maryam yang besar di akhir zaman,

“Virgin Mary” atau “Mother Mary” atau yang Islam kenali sebagai Mary atau Maryam disebut dalam al Quran, dengan satu surah diperuntukkan buatnya iaitu Surah Maryam. Berikut petikannya:
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur.

Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari kami lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya.
Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa.

Ia berkata: "Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci".
Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?"

Ia menjawab: "Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya.
(surah Maryam 16-21)

TIDAK: Tiada kebebasan agama buat kami yang sudah Islam (8/11/12)

Thursday, November 08, 2012


Dalam laman Free Malaysia Today dipaparkan identiti wanita yang mengajukan soalan kepada Nurul Izzah dalam satu forum bertajuk : ““Islamic state: Which vision? Whose responsibility?”,  tempoh hari. Respon ahli parlimen itu telah mencetuskan kontroversi sehingga mengakibatkan beliau terpaksa beri penjelasan dan penerangan tentang apa sebenarnya maksud ulasan beliau itu.
Siapakah wanita itu? Namanya Siti Kasim seorang peguam yang merupakan ahli jawataknuasa hak asasi Majlis Peguam.

Soalannya menurut pengakuan beliau adalah: ……. whether freedom of religion should be extended to the Malays….( samada kebebasan agama boleh terpakai ke atas orang-orang Melayu)
Kalau soalan itu diajukan kepada saya, sudah pastilah jawapannya TIDAK kerana ayat:

“Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”  al Baqarah  : 256
hanya merujuk kepada mereka yang belum Islam yang tidak boleh dipaksa memeluk Islam. Ini sebagaimana diperjelaskan oleh Ustaz Nik Abduh Nik Abd Aziz di dalam facebooknya:

Ayat 'tiada paksaan dalam berugama' adalah merujuk kepada hak non muslim untuk kekal dalam ugama mereka sebebas-bebasnya. Itu satu hak yang Allah berikan kepada manusia untuk memilih ugama masing-masing. Tiada pemerintah muslim yang berkuasa atau sesiapa pun boleh memaksa non muslim untuk memeluk ugama Islam.
TETAPI, jika Allah telah membuat pilihan (menjadikan manusia dilahirkan sebagai muslim), maka manusia itu tidak hak untuk melanggar pilihan Allah ke atasnya.

Bagaimana dibayangkan seorang muslim dipaksa untuk menjadi muslim? Bukankah dia itu telah muslim?
Bagaimana dibayangkan haknya untuk menukar ugama? Bukankah itu melanggar hak Allah dan hak maruah ibu bapanya juga? Bagaimana dianggap hak jika ia melanggar hak yang lain??

Semoga jelaslah semua pihak yang perlu dijelaskan. Semoga jangan diulangi kenyataan-kenaytaan yang Cuma boleh memerangkap dan merugikan diri dan agama kita.

 

Jom perhatikan Obama (8/11/12)


Obama menang penggal kedua, Romney tewas. Demokrat bertahan di Senat, Republikan di Dewan Perwakilan. Apa ada semua ini pada anda?
Saya teringat menonton temubual di TV dengan beberapa rakyat Palestin, semasa kempen pilihanraya Presiden AS itu, rata-rata yang ditemubual berkata, tiada beza Obama atau Romney, AS selama-lamanya tidak pernah membantu membela nasib rakyat Palestin.

Romney sudah kecundang oleh itu impian untuk melihat seorang Paderi Gereja Mormon yang cenderung kepada Negara Haram Israel, menjadi Ketua Negara AS berakhir. Kini yang ada Obama, yang walau bukan orang agama, dan tidak berapa “ultra” Israel namun tidaklah juga cenderung kepada Islam mana pun.

Obama buat masa ini enggan menyerang Iran, tetapi Romney bersedia. Tetapi Obamalah yang telah membunuh Osama Ben Laden, tidsak menangkapnya dan menyeret ke pengadilan seperti Saddam, kerana mahu membuktikan bahawa dialah juara menentang pengganas.
Apa pun yang penting AS mestilah selaku pemain terbesar dalam percaturan ekonomi dunia perlulah lakukan sesuatu untuk merawat ekonomi dunia yang sedang menggelungsur, termasuk menjejaskan kita di sini. Tak tahulah “magic” apa akan digunakan, tetapi Obama lah penggeraknya.

Dunia Islam sebelah Timur khasnya di Mindanao sudah mula melihat tanda akan aman, kita menunggu pula apa nasib di Selatan Thai, Myanmar (melibatkan kaum Rohingya). Di Timur Tengah khasnya di Plaestin tidak nampak sebarang tanda penyelesaian yang positif. Barat terus membantu PLO tanpa memperduli Hamas dan Negara Haram Israel terus dibelai sebagai anak manja termasuk oleh Obama.
Di Mesir, Obama tidak campur tangan apabila rakyat mengundi blog Ikhwan dan Morsi menjadi Presiden, namun mereka terus diperhatikan. Libya masih kacau begitu juga Syria dan lain-lain Negara Islam khasnya di Utara Afrika.

Kerajaan Syiah Iran terus bertarik-tali dengan Barat.
Apa pun kalau sekali lagi ditanya, apa ada semua ini pada anda, mungkin ada yang menjawab “Ada aku kisah !?!” Kisah tak kisah sebab kita ni duduk atas dunia dan bukan di bulan atau planet lain, maka terbatuk Presiden AS maka kita di sini, kisah tak isah, tetap merasa gegarnya.

Jom perhatikan Obama.

Tiada paksaan dalam agama (Islam) (6/11/12)

Tuesday, November 06, 2012


Apakah sebenarnya yang disebut oleh Nurul Izzah sehingga mengundang kontroversi kebelakangan ini. Terbaru Presiden PAS mengeluarkan kenyataan akan meminta penjelasan dari ahli parlimen itu sendiri.
Rata-rata semua orang Islam tahu bahawa Islam mengajar kita tiada paksaan dalam agama, ini berkaitan dengan firman Allah swt dalam al Quran maksudnya:

“Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”
al Baqarah  : 256
Apa yang kita faham seseorang tidak boleh dipaksa memeluk Islam. Itu muktamad. Tetapi apabila seseorang telah Islam, ia terikat dengan disiplin dan hukum-hakam Islam, yang sumber tertingginya adalah al Quran dan Hadis. Dalam erti kata lain lantaran ia telah memilih Islam, ia tiada pilihan melainkan mati dalam Islam kerana itulah peraturan dalam Islam yang ia pilih untuk menganutnya.

Sekali lagi saya tidak pasti apa yang telah diungkapkan akan tetapi rekasi, bukan dari media perdana tetapi media alternatif khasnya dari kalangan yang bukan Islam seolah mengambarkan ahli parlimen berkenaan menyatakan:
How can anyone say (freedom of religion) only apply to the non-Muslim, it has to be applied equally.

Ulasan yang diberikan seolahnya ahli parlimen berkenaan seorang Muslim yang berfikiran terbuka kerana mengakui kebebasan beragama adalah pilihan dan hak masing-masing tidak terkecuali orang Melayu.
Seorang lagi pengulas dalam sebuah blog khas buat penganut Kristian memulakan tulisannya dengan menulis:

The Malaysiakini report on Nurul Izzah Anwar's statement that there should be no compulsion in religion even for Malays is a watershed idea for the nation.
Saya tidak mahu percaya kepada media arus perdana kerana kebanyakkannya punya agenda politik yang semua kita tahu. Tetapi bagaimana kalau laporannya dating dari yang bukan arus perdana?

Apa pun terpulanglah kepada ahli parlimen berkenaan untuk membuat penjelasan dan perjelaskanlah sejelas-jelasnya agar tidak menyusah dan memberi liability kepada pihak lain.
Kalau tidak benar, kalau disalah petik, dipetik luar dari maksud sebenar atau apa sahaja, buatlah penjelasan supaya tidak ada mana pihak boleh eksploitasi dan lebih penting maruah dan nama baik Islam terpelihara.

Dalam surah yang sama Allah swt berfirman maksudnya:

Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
(al Baqarah : 257)

 Rujukan:



 

 

Apa yang boleh kita belajar dari pilihanraya AS (4/11/12)

Sunday, November 04, 2012


Hari Selasa ini rakyat Amerika Syarikat akan keluar mengundi Presiden mereka. Obama dari Demokrat yang mempertahankan jawatannya akan ditentang oleh Romney dari Republikan. Selain itu pilihanraya kongres turut diadakan bagi menentukan parti manakah yang menguasai badan legislatif tertinggi dalam Negara “Bapa Demokrasi” itu.
Mungkin Obama akan berjaya atau mungkin juga Romney akan mencatat sejarah negulingkan Obama yang hanya mampu bertahan satu penggal.

Bagi saya yang menarik adalah perjalanan pilihanraya di sana berbanding dengan di sini.
Banyak yang perlu kita belajar dan kaji dari perlaksanaan pilihanraya di sana supaya kita dapat pula melahirkan satu sistem yang lebih telus, teratur dan sistematik di sini.

Yang menarik saya perhatikan adalah budaya perdebatan terbuka dan kebebasan media walaupun hakikatnya media di sana juga sebenarnya mempamirkan juga kecenderungan kepada satu-satu pihak tetapi kecenderungan itu tidaklah “melampau”.
Selain itu kita perhatikan “emosi” rakyat dan para pengundi termasuklah penyokong di sana agak terkawal. Kenapa bila pilihanraya di sini kita menjadi terlalu emosional, sehingga pilihanraya seolah bagaikan satu peperangan? Mungkin masing-masning pihak boleh memberi seribu satu alas an, tetapi alangkah baik sekiranya kita dapat melahirkan satu suasana aman dan matang semasa berpilihanraya, supaya semuanya berjalan lancer tanpa sengketa atau pergaduhan kerana yang pentingnya adalah rakyat bebas memilih pemimpin yang paling layak dikalangan mereka.

Tetapi tidaklah sistem di AS itu yang paling “perfect”. Dalam akhbar hari ini juga ada pendedahan berkenaan pendaftaran pengundi, pengundi mati dan lain-lain masalah di AS. Tetapi ia tidaklah serius. Bermakna apa yang ada pada kita boleh dibaik-pulih, diperbaiki dan yang penting kita pelajari dari pengalaman orang lain.
Saya mengharapkan dalam PRU Negara kita nanti, suatu perubahan ke arah yang lebih baik akan berlaku, yang penting semua pihak perlu ikhlas dan jujur dan yang pneting adalah masa depan Negara.

Lawan judi "haram" dengan judi "halal" (4/11/12)


Ketua Pengarang akhbar The Star, Wong Chun Wai, dalam ruangannya hari ini mengulas isu judi khasnya judi “haram” di Malaysia yang berleluasa kebelakangan ini. Beliau memberikan angka-angka yang menarik dalam ruangannya itu.
Menurut beliau pada tahun 2008 sahaja pihak berkuasa telah menahan sejumlah 2,156 orang yang terlibat dalam aktiviti judi “haram” ini dengan merampas sejumlah RM15juta aset berkaitan judi berkenaan. Pada tahun berkenaan adalah dianggarkan judi “haram” mengaut keuntungan sejumlah RM3.2 billion!

Judi haram hukumnya menurut Islam, manakala judi “haram” yang dimaksudkan khansya oleh Wong di sini merujuk kepada aktiviti judi yang tidak dilesenkan oleh kerajaan, iaitu judi selain kasino di Genting, selain tikam nombor termasuklah Magnum, Sports Toto, Pan Malaysian Pools, judi lumba kuda dan kelab-kelab judi yang diberi lesen.
Ini bermakna RM3.2 billion di atas merujuk kepada keuntungan selain dari judi yang dilsenkan, agak-agaknya kalau kedua-dua keuntungan ini dicampurkan berapa billion lah agaknya pendapatan judi di Malaysia!?!

Kerana itu tak hairanlah menurut atrikel Wong itu Malaysia tersenarai antara Negara “penjudi” yang paling besar di dunia!
Judi “haram” disini termasuklah siber judi yang dikendalikan oleh operator kafe siber yang kebanyakannya tidak berlesen, juga termasuk sindiket judi tikam nombor tidak berlesen atau lebih dikenali sebagai “black market”. Wong mendedahkan juga judi-judi “haram” lain termasuklah yang berjudi semasa acara dan kejohanan sukan khasnya bolasepak yang dikendalikan oleh sindiket-sindeket tertentu. Malah pada PRU 2008 percaya atau tidak, sindeket tempatan mengaut sejumlah RM500 juta duit taruhan dikalangan mereka yang berjudi meneka siapakah calon atau parti yang menang dalam pilihanraya tempatan!

Kebimbangan yang dilahirkan dari aktiviti judi “haram” yang berleluasa ini adalah jenayah. Mereka yang tegar dan mahu terus berjudi tidak akan segan-silu terlibat dalam aktiviti jenayah umpama mencuri, ragut, peras dan sebagainya untuk memperolehi “modal” bagi berjudi.
Memang kerana itulah judi tak kiralah yang “haram” atau “berlesen” ditegah oleh agama kerana ia mampu meruntuhkan institusi keluarga, masyarakat dan Negara. Dan saya percaya semua agama dan kepercayaan melarang atau menegah penganutnya berjudi. Malah satu komen ruangan SMS dalam akhbar Wong hari ini juga berbunyi:

Stay away from gambling joints please. Don’t gamble with your life and future. Think of loved ones and exercise self control. You wont regret it. IM
Sebenarnya semua tahi judi tak kiralah yang “haram” atau “berlesen” akan memiliki kecenderungan untuk melakukan jenayah jika mereka kehabisan “modal” lantaran ketagihan mereka itu. Kerana itu semua aktiviti judi perlu dihapus, dibenteras dan diperangi.

Wong dalam kesimpulannya cuba membayangkan agar lesen judi tidak diperketatkan seperti pada hari ini kerana berkemungkinan dengan cara itu bilangan juid “haram” dapat dikawal, tetapi apa bezanya judi “haram” dan “berlesen” tidakkah kedua-duanya menjurus kepada kebinasaan diri?!

Sekali lagi saya mahu tegaskan, semua pihak perlu main peranan. Ini bukan isu politik atau agama, ini satu masalah besar yang jika tidak ditangani akan mengundang keruntuhan kepada Negara dan padahnya dirasai bukan hanya oleh orang Melayu Islam tetapi semua rakyat.
Bagi judi “haram” yang dimaksudkan – satu peperangan besar-besaran perlu dilancarkan melibatkan semua pihak dan agensi samada di peringkat Persekutuan mahupun negeri. Penglibatan pihak SPRM dalam operasi peperangan ini mesti diwajibkan demi mengelakkan sebarang angkara rasuah dalam penguatkuasaan.

Jangan bercakap sahaja. Jangan menuduh sahaja. Semua pihak perlu bangkit dan menanganinya kerana ia suatu realiti dalam masyarakat hari ini.
Bagi judi yang berlesen pula, tindakan mengharamkan atau menutup operasinya perlulah dikaji, dipertimbang dan dilaksanakan. Mulakan dengan menaikkan cukai ke atas aktiviti ini. Jangan hanya mahu berperang pada yang “haram” sedang yang berlesen terus dibiarkan kaya “menipu” dan “memeras” mereka yang terjerumus di dalamnya.

Selagi tiada kesungguhan dalam hal ini, selagi itulah agnka keuntungan yang dicatatkan di atas akan terus berlipatganda, masyakarat kita semakin rosak, jenayah semakin meningkat dan kita sekadar menjadi penonton menunggu giliran menjadi “mangsa”.

Bilakan hapus judi siber? (3/11/12)

Saturday, November 03, 2012


Muka depan akhbar The Star hari ini mendedahkan darihal gentingnya isu siber judi ataupun kafe siber haram yang menjalankan aktiviti perjudian siber.
Kadangkala bosan kita membaca atau mendengar mengenainya kerana terlalu berulang-ulang. Pengangkapan dan tindakan diambil ribuan kali tetapi tetap juga industri jahanam ini hidup kekal malah makin menjadi-jadi.

Yang selalu kita dengar operasi dijalankan oleh pihak berkuasa samada polis, PBT tetapi realitinya walau penguatkuasaan meningkat dan bertubi-tubi namun tak mati-mati ia.
Saya punya pengalaman terlibat dalam beberapa operasi seumpama ini semasa duduk sebagai ahli majlis sebuah PBT di Selangor, namun dalam kes saya setelah diambil tindakan premis berkenaan tak beberapa hari ia beroperasi semula. Dimabil tindakan memotong bekalan api, tak beberapa hari disambung secara haram bekalannya (api).

Sering mereka yang menceburkan dirinya dalam aktiviti ini adalah anak-anak muda, dan rata-rata yang paling ramai adalah anak-anak Melayu termasuk kebelakangan ini ramai warga asing Bangladesh dan Indonesia juga.
Secara jujur sekiranya kita serius mahu mematikan terus industri ini sebenarnya tidak mustahil. Apa yang perlu dilakukan adalah tindakan bersepadu semua pihak. Ini bagi mengelakkan gejala “kowtim” atau rasuah menyelesaikan secara senyap-senyap. Tidaklah saya menuduh mana-mana pihak tetapi jika serius biar serius betul-betul.

Lancarkan operasi besar-besaran dan libatkan semua pihak PBT, polis, SPRM, TNB. Jangan sekadar punggah angkut mesin-mesin judi dan sita premis tetapi phak polis perlu tangkap pemilik premis dan mereka yang memakan gaji bekerja di premis berkenaan.
Tuan punya bangunan juga perlu diambil tindakan kerana membenarkan aktiviti haram di premus miliknya.

Dan kes-kes ini perlu segera diseret ke mahkamah. Jangan sekadar melepaskan bauk ditangga, hangat-hangat tahi ayam.
Sesungguhnya banyak aktiviti haram dan bertentangan undang-undang terus menerus berlaku dalam Negara kerana banyak sangat agensi terlibat dan kecenderungan untuk rasuah itu besar.

Kalau mahu seribu daya, kalau tidak apakan daya.