Katakan tak nak.....sampai bila? (16/8/12)

Thursday, August 16, 2012


Terdapat beberapa larangan dan peraturan yang diperkenalkan dalam Negara ini yang kalau kita perhatikan tidak diindah atau dipedulikan oleh orang ramai. Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah ke sesuatu yang serius yang apabila tidak dipatuhi memungkinkan berlaku mudarat yang besar ke atas diri dan masyarakat.
Lantas pihak bertanggungjawab sesungguhnya perlu lebih serius dan kuat dalam aspek penguatkuasaan demi melindungi kepentingan ramai.

Di Australia, mahkamah tertingginya baru sahaja menolak bantahan syarikat-syarikat pengeluar rokok terhadap peraturan baru yang mahu diperkenalkan oleh pihak berkuasanya iaitu melarang syarikat-syarikat pengeluar rokok dari memperagakan logo masing-masing di kotak rokok keluaran mereka. Menurut peraturan itu kotak-kotak rokok di Australia kelak akan hanya mempamirkan gambara seperti berikut, tanpa sebarang logo pengeluarnya (selain hanya nama jenama):


Peraturan baru ini selain cukai tinggi ke atas rokok bermaksud mendidik rakyat Australia agar meninggalkan tabiat buruk yang merosakkan kesihatan itu. Menurut statistic 17 peratus warga Australia merokok berbanding 20 peratus di Amerika Syarikat (saya tiada angka untuk Malaysia).

Agak-agak bila Malaysia mahu ikut jejak langkah Negara berkenaan?
Hari ini walaupun pelbagai larangan untuk mengawal tabiat buruk ini di Malaysia kesannya dingin. Bersepah masih merokok di Komplek Beli Belah malah Hospital dan pejabat kerajaan sedangkan kempen besar-besaran telah dilancar (termasuk di masjid).

Berubahlah!

Tragedi mercun/bungapi angkara siapa? (15/8/12)

Wednesday, August 15, 2012


Di ambang 1 Syawal iaitu Hari Raya Eidul Fitri sudah semestinya umat Islam sibuk membuat persediaan menghadapi hari kemenangan itu. Selain mempertingkatkan ibadah kerana berada pada 10 malam terkahir iaitu tempoh pelepasan dari azab api neraka, persiapan baju Raya, kuih dan lain-lain juga sedang sibuk diatur.
Cumanya setiap kali mahu Raya juga maka ketika itulah kita juga didedahkan dengan kemalangan-kemalangan berpunca dari permainan bungapi dan mercun.

Contohnya dalam NST hari ini:
KOTA BARU: A 22-year-old man may probably lose sight in the right eye while a 15-year-old female student suffered serious injuries to the thighs in two separate firecracker explosions today.

 Mohd Azril Norahaidi, 22, from Kampung Gaung here seriously injured his right eye when 20 ball firecrackers, which were set to dry a zinc roof at his father's home in Kampung Paloh, Pasir Mas, exploded at about 11am.

Kita seolah tidak berdaya mengatasi masalah ini sedangkan yang anehnya Kerajaan Malayasia telah mengharamkan pengimportan bungapi dan mercun sejak tahun 90an lagi iaitu selepas tragedy letupan kilang bungapi Bright Sparklers di Sungai Buloh tahun 1991!!!
Ini bermakna tidak ada mana-mana syarikat atau individu dibenarkan memohon lesen impot barangan ini. Lantas bagaimana kalau sudah ada pengharaman seumpama itu, masih ada anak-anak termasuk orang dewasa yang tercedera akibat bermain bungapi dan mercun ini???

Beberapa hari lalu dilaporkan para penguatkuasa DBKL dibelasah oleh beberapa individu yang menjual bungapi dan mercun di Jalan Masjid India secara haram.
Siapa yang bersalah dalam hal ini?

Dalam Harian Metro semalam dilaporkan warga Malaysia sanggup menyeludup masuk bungapi dan mercun dari Thailand kerana ia membawa pulangan yang lumayan. Seorang penyeludup dilaporkan berkata bahawa penyelusdup kecil-kecilan dipanggil “semut” manakala yang besar dipanggil “tauke kapal”!
Tidurkah para pegawai dan agensi penguatkuasa kita di sempadan?!

Kalau bungapi dan mercun dengan mudah diseludup masuk, bagaimana agaknya senjatapi dan dadah???
Pihak kerajaan perlu tegas mengatasi masalah kelonggaran ini. Jika ada sehingga peringkat “tauke kapal” sudah pasti ada elemen rasuah yang terlibat di sempadan masuk Negara kita. Janganlah kerana mahu senang secara haram, akibatnya barang haram ini bolos masuk dan anak-anak bangsa kemalangan secara sia-sia.

Pengharaman ini mesti dituruti dengan penguatkuasaan yang ketat, jika bolos serupa ini, lebi baik kita benarkan sahaja pengimportan bahan ini sekurang-kurangnya kerajaan dapat pungut duti impot dan cukai!


Nik Aziz: Biar "geger"......(14/8/12)

Tuesday, August 14, 2012


Kata Tok Guru Nik Aziz semakin Karpal “geger” berkenaan Hudud dan Negara Islam maka orang sebenarnya akan semakin faham mengenainya.
Sementara itu hari ini dalam akhbar NST dua orang pakar dan pengamal undang-undang juga mula “geger” berkenaan isu ini yang saya yakin sebagaimana pandangan Tok Guru akan membuka mata orang ramai berkenaan isu yang diperbahaskan dan memberikan kefahaman.

Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi berkata kepada NST:
"A problem will occur because if a crime is committed by two different people, one is a Muslim and another a non-Muslim, two different sets of law need to be applied to them. That would not be fair."

Beliau membangkitkan isu “keadilan”, katanya tidak adil apabila ada dua jenis undang-undang berbeza untuk menghukum satu kesalahan. Tak tahulah yang “tidak adil” yang dimaksudkan itu merujuk kepada si  bukan Muslim atau si Muslim.
Yang menariknya sebagai seorang pakar undang-undang Shad dalam NST mengatakan jika Hudud mahu dilaksana, walau untuk orang Islam sahaja, Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda kerana kuasa perundangan jenayah terletak padanya.

Kenyataan ini menyanggah pandangan Karpal sebelum ini yang mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Sekular dan hakikat tersebut tidak boleh diubah walau melalui pindaan dua pertiga majoriti di Parlimen.
Oleh yang demikian benarlah pandangan Tok Guru semakin “geger” semakin terserlah kefahaman orang ramai berkenaan Hudu dan Negara Islam.

Berbilang kaum Malaysia dan Singapura: Mana terbaik? (13/8/12)

Monday, August 13, 2012


Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong semalam dilaporkan oleh Berita Harian Singapura hadir dalam sebuah majlis berbuka puasa anjuran Kelab Masyarakat Kebun Baru di Ang Mo Kio Avenue 4. Dalam majlis tersebut Lee mengatakan:
Perpaduan antara penduduk berbilang kaum di sini merupakan ciri yang membezakan Singapura daripada beberapa masyarakat berbilang kaum di negara lain.

Saya percaya Negara lain yang Lee maksudkan itu adalah kita di Malaysia. Sememangnya Singapura dan Malaysia walaupun duduk berjiran namun sentiasa bersaing antara satu sama lain. Bukan hanya di padang bola, apa sahaja isu memang zaman berzaman sejak Singapura berpisah dari Malaysia, ada-ada sahaja isu yang dibalahkan.
PM Lee Hsien Loong berbuka dengan masyarakat Islam sana
Kebetulan Tuhan jadikan sifat berbilang kaum antara Singapura dan Malaysia itu mirip sekali. Di Singapura dari segi demografi pecahan penduduknya adalah 77% Cina 14% Melayu India dan selebihnya 9% manakala di Malaysia Melayu dan Bumi[utera lain  61% Cina 24% India dan lain-lain 15%.

Di Singapura masyarakat Cina majoriti dan Melayu minority manakala di Malaysia sebaliknya.
Kerana itu kita akui memang sifat berbilang kaum di Singapura itu unik malah demikianlah juga di Malaysia.

Isu ini menarik dan boleh diperbahaskan panjang lebar, dalam keadaan minoriti bagaimana nasib masyarakat Melayu di Singapura jika berbanding dengan masyarakat Cina di Malaysia yang juga minoriti. Perbahasan kalau berasakan fakta dan rasional tanpa prejudis perkauman menarik untuk diteliti dan dikaji tapi kalau ducampur-aduk sentimen perkauman, pasti tak akan membawa kemana.
Saya akan cuba teroka isu ini dari masa kesemasa sekadar mencetuskan bahan perbincangan. Apa pun selaku rakyat Malaysia kita hargai masyarakat berbilang kaum Malaysia yang kita bina bersama yang kita yakin jauh lebih makmur dan bertoleransi terbaik lebih baik dari yang lain.

Bertemu "Sang Kelembai"...... (13/8/12)


Semalam semasa bersiar-siar di Kuala Lumpur saya terserempak dengan rakan lama yang sama-sama ber “blog” sekian lama iaitu “Sang Kelembai” ataupun Sdr Zaharin Mohd Yasin. Lama saya kira tidak berjumpa dengan beliau, dipertemukan Allah dalam bulan Ramadhan.
Walaupun kami mungkin berbeza fahaman politik tetapi beliau sebagaimana beberapa kalangan rakan-rakan blogger kami yang lain tidaklah ekstrim sehingga tiada ruang untuk bertegur –sapa dan beramah mesra sebagaimana manusia normal. Malah kami boleh duduk minum teh bersama tanpa perlu menyinggung atau menyakit-nyakitkan hati, yang penting maruah dan silaturhim perlu dijaga.

"Sang Kelembai"
Memang sebagai blogger “style” penulisan kita mencerminkan akhlak dan peribadi kita. Ada yang mahu cepat popular lalu meletakkan dirinya bebas dari sebarang pantang larang, adab dan akhlak, ringan membuahkan kata-kata kesat, nista malah carutan kerana yang penting orang suka baca dan aku jadi terkenal.
Ada yang sudi menabur fitnah dan mereka-reka cerita, kerana semata-mata mahu mengejar “hits” dan mahu jadi jaguh sensasi.

Saya mula ber “blog” pada 20 haribulan Mei 2004 iaitu lebih 8 tahun dahulu dan saya mengenakan disiplin sendiri ke atas diri saya: jangan tabur fitnah, jangan maki-hamun, jangan lucah dan alhmadulillah walaupun mungkin tidaklah sepopular mana blog saya ini namun saya mencapai kepuasan di dalam setiap posting saya dan yang pentingnya saya merasakan yang saya telah menyumbang ke arah jalan kebaikan dan kebajikan mengharapkan redha Allah swt.
Kita lihat hari ini blogger ada yang diheret ke mahkamah da nada yang dipenjara gara-gara menyalahi undang-undang, menyinggung perasaan dan mengaibkan orang.

Kita perlu berani menyatakan kebenaran, berjuang bebaskan diri dari kepompong kezaliman tapi jangan sekali-kali menabur fitnah dan menyemarkkan benci dan hasad dengki. Jadilah seorang yang bertanggungjawab, seorang yang berani kerana Allah dan tidak sekali-kali menulis sehingga melanggar adab dan peraturan yang diteapkan Nya.
Memang mudah menulis dan menulis mudah menjadi popular, tetapi bagi saya biarlah juga nanti mudah dan popular di Hari Akhirat.

Selamat berpuasa dan Selamat Hari Raya Eidul Fitri Abang Zaharin dan rakan-rakan blogger yang lain serta seluruh pengunjung blog ini.




Amanat perjuangan PAS (1/8/12)

Wednesday, August 01, 2012




Seorang pengunjung blog ini yang saya yain seorang bukan Islam telah menurunkan komennya dalam isu Hudud yang mendominasi beberapa posting terakhir saya. Ternyata beliau tidak senang dengan isu ini dan meluahkan isi hatinya. Saya meraikan pandagannya iaitu:
Klu hudud sahaja cara nak meraih undi dari org melayu..xpayah la.

Jgn terikut negara lain yg laksanakn hudud.kat m'sia berbilang bangsa,berbilang kaum.
Jgn juga disebabkn nama negara m'sia ni negara islam..nak suka hati wat undang2 sendiri.hormati kaum lain.kaum lain juga byk menyumbang tenaga kemodenan.kami bukan islam kami sgt hormati hak org islam,agama islam.jgn ingat kami terlalu menghormati,nak wat hukum sesuka hati.wa faham,hudud untuk org islam..jgn disebabkn ketidakpuasan hati pada undang2 skarang nak di laksanakn hudud.jgn disebabkn jerung tlepas bilis di tangkap nak laksanakn hudud.lebih baik kita perbaiki undang2 yg sedia ada.sama2 kita hampuskn RASUAH.tanpa rasuah,Yakin M'sia akan aman.(peserta bersih 3.0)

Yang jelas PAS adalah sebuah parti politik dan ia berjuang melalui sistem demokrasi untuk memperoleh kuasa bagi melaksana dasar dan matlamat perjuangannya. Mendapat mandat politik melalui pilihanraya adalah satu proses dalam sistem demokrasi yang diiktiraf dunia.
Bermakna PAS tiada kuasa melaksana Islam jika ia tiada kuasa.

Contohnya apabila mendapat kuasa di Kelantan sejak 1990an dan sepenggal di Terengganu 1999-2004 , PAS melalui kuasa yang diperolehinya di negeri-negeri berkenaan telah meluluskan Enakmen yang memuatkan hukum hudud dalam perundangan negerinya. Walaupun sehingga kini kedua-dua undang-undang tersebut tidak dapat dikuatkuasa oleh kerana kekangan diperingkat Persekutuan tetapi dari segi rekodnya kedua-duanya adalah undang-undang yang sah setelah diperkenan oleh Sultan kedua-dua buah negeri.
Ini bermakna ianya bukan dilakukan sesuka hati tetapi setelah memperoleh mandat dalam erti kata lain sokongan rakyat.

PAS sejak penubuhannya memang akur bahawa Malaysia adalah sebuah Negara yang berbilang kaum kerana itulah dalam kedua-dua enakmen negeri yang diluluskannya itu, ia terpakai hanya untuk orang-orang Islam. Sesungguhnya dua sistem undang-undang iaitu sivil dan syariah telah wujud dalam Negara kita sejak zaman Inggeris lagi, dan ia sesuatu yang telah diterima rakyat zaman berzaman.
Berbalik kepada polemik Karpal dan Nasarudin berkenaan PAS, Hukum Hudud dan Negara Islam saya tertarik dengan komen yang diberikan oleh EXCO Agama Kelantan Ustaz Dato Mohd Amar Nik Abdullah kepada pihak media semalam. Beliau berkata:

Perlaksanaan Hukum Hudud tidak akan dibuat sebaik sahaja pembangkang menang sebaliknya dilaksanakan selepasa mendapat sokongan majority rakyat. Untuk PRU ke 13 ini tumpuan utama kita adalah menjatuhkan BN . Hudud taka da dalam Buku Jingga dan memang tak bincang, TETAPI TAK BERMAKNA PAS MENINGGALKAN CITA-CITANYA.
Kita hormati pandangan beliau (Karpal) tetapi pendirian kita, kita akan tetap teruskan cita-cita melaksanakan hudud mengikut lunas undang-undang  dan perlembagaan.

Memang orang bukan Islam sebahagian besar akan menolak hukum ini, tetapi tidakkah ianya sebagaimana yang telah lulus di Kelantan dan Terengganu hanya terpakai kepada orang Islam sahaja? Ia tidak “dipaksa” ke atas yang bukan Islam, lalu bagaimana pula berbangkit isu tidak menghormati orang bukan Islam ?
Dan yang paling penting di sini ia diluluskan melalui proses undang-undang iaitu digubal dan diluluskan oleh dewan perundangan dan diperkenankan oleh Raja-raja sebagai suatu undang-undang. Tidak berlaku paksaan atau penguatkuasaan secara otokratik.

Sehubungan dengan ini saya ingin memetik pidato terakhir Almarhum Prof Zulkiflee Muhammad (ketika itu Timbalan Presiden Pas dan ahli parlimen Bachok) sebelum beliau meninggal dunia, dihari PAS meraikan kemenangannnya bagi penggal kedua memerintah Kelantan selepas PRU 1964, beliau berkata:
Kita minta rakyat mengundi kita, kita minta mereka mempercayai kita bukan dengan janji-janji khidmat tetapi dengan janji-janji akan menjalankan hukum Tuhan. Tuhan yang kita sembah. Tuhan yang merenung apa yang kita buat tiap-tiap hari. Tuahn yang memerhatikan kesungguhan hati kita sebelum daripada kesungguhan perbuatan kita. Inilah saudara-saudara kedudukan kita pada hari ini. Satu kedudukan yang sungguh dan benar.

Dan dalam memoirnya berjudul “Memoir Khatijah Sidek: Puteri Kesatria Bangsa” Allahyarham Khatijah Sidek  bekas Ketua Wanita Umno Malaya yang kemudiannya menyertai PAS dan menang sebagai ahli parlimen Dungun 1959 memetik surat yang dikirim oleh Presiden PAS ketika itu Almarhum Dr Burhabuddin al Helmy dalam mengalu-alukan penyertaan beliau ke dalam PAS pada tahun 1958:
Memang baik sekali berjuang atas nama Allah dan Islam kerana kita bukan sahaja berjuang untuk kehdiupan di dunia tetapi juga kehidupan di akhirat selama-lamanya. Dan inilah caranya kita menunaikan kehendak Allah.”

Apa pun saya mengharapkan PAS dan Pakatan Rakyat akan berjaya dalam PRU ke 13 nanti dan PAS insyallah terus konsisten dengan agenda dan cita-cita perjuangannya sehingga terlaksana.