Renungan JUMAAT (30/3/12)

Friday, March 30, 2012

Besarnya kuasa Allah swt sehingga diajarkan kepada kita bahawa segala sesuatu samada mudharat atau kebaikan semuanya datang daripada Nya.

Tiada kuasa atau kepandaian yang boleh menolak atau menghalang apa yang telah ditetapkannya, kalau jatuh sakit, kekurangan rezeki, tertekan jiwa, kehilangan sesuatu semuanya adalah gerakan dari Nya. Kita wajar terima dan sabar.

Demikian juga jika telah ditetapkan sesuatu itu rezeki kita, habuan kita, hak kita, maka tiada sesiapa yang boleh menafikannya jika ia telah ditetapkan oleh Allah swt. Kita wajar terima dengan syukur.

Bagi kita selaku hamba Nya, sentiasalah bersabar dan bersyukur selain memohon kemapunan kepada Nya setiap saat semoga apa sahaja yang direncanakan Nya buat kita adalah yang baik-baik belaka. Semoga kita menjadi dikalangan hamba-hamba Nya yang disayangi.

Allah swt berfirman dalam al Quran Surah Yunus: 107 maksudnya:

Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Insaflah.....

Susu ROSAK disuapkan pada anak-anak (29/3/12)

Thursday, March 29, 2012

Sekali lagi kita menerima laporan anak-anak sekolah mengalami sakit-sakit perut setelah meminum minuman bantuan percuma yang diberi melalui pihak sekolah. Kali ini di Bayan Lepas yang melibatkan 481 orang murid sekolah kebangsaan di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Bayangkan program yang mereka sertai adalah program “Gaya Hidup Sihat” sebagaimana dilaporkan oleh NST. Adalah difahamkan susu soya berkenaan dibekalkan oleh sebuah syarikat pembekal tempatan.

Menurut Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang pihaknya menarik balik kebenaran yang diberikan kepada syarikat itu untuk membekalkan susu di seluruh Pulau Pinang berkuat kuasa serta merta.

Nampaknya kes seumpama ini terlalu kerap belaku. Kita mengharapkan pihak sekolah dan Jabatan lebih bertanggungjawab. Jelas tiada pemantauan yang rapi sehingga mengakibatkan susu yang telah rosak pun boleh sampai ke tangan anak-anak kita.

Dalam kes ini syarikat pembekal sewajarnya bukan hanya diarahkan berhenti membuat bekalan tetapi syarikat ini perlu didedahkan nama dan pemiliknya kepengetahuan umum, lesennya dibatal (buka digantung) dan mereka didakwa kerana cuai.

(Gambar NST menunjukkan mangsa yang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang)

Masyarakat Melayu SINGAPURA bermasalah (29/3/12)

Saya terbaca berita berikut dari sebuah laman web berita Singapura bertajuk “Masyarakat Melayu berpendapatan rendah belum bersedia bayar yuran” http://cyberita.asia1.com.sg/mekoniaga/story/0,6879,210960,00.html?

Berita berkenaan melaporkan mengenai produk kewangan yang dipasarkan di Singapura iaitu termasuklah insuran perubatan,pelan pendidikan, amanah saham dan lain-lain. Pihak berkuasa di sana mengenakan syarat bahawa produk ini perlu dibeli melalui khidmat nasihat perunding kewangan. Untuk mendapatkan khidmat ini mereka perlu membayar fee antara $250 ke $3000.

Akibatnya masyarakat Melayu yang berpendapatan rendah tidak membeli produk-produk penting ini oleh kerana mereka keberatan untuk membayar fee yang dikenakan. Lantaran ini mereka juga tidak memperolehi khidmat nasihat profesional yang seharusnya membantu penghidupan mereka.

Sudah pastilah apabila mereka tidak dilindungi oleh insuran termasuklah insuran perubatan dan pelan pendidkan untuk anak-anak, mereka akan menghadapi masalah di masa hadapan apabila berdepan dengan kemalangan atau masalah kesihatan atau anak-anak perlu melanjutkan pelajaran.

Umum mengetahui kos hidup di Singapura adalah antara yang tertinggi di rantau ini.

Demikianlah nasib saudara-saudara kita di seberang tambak. Semoga ia membawa iktibar kepada kita di sini wallahualam.

Masjid Selangor perlu DITAMBAH-BAIK (25/3/12)

Sunday, March 25, 2012

Di Selangor sejak tampuk pemerintahan negeri bertukar pada tahun 2008 salah satu perubahan besar yang dirasakan di masjid-masjid dan surau-surau seluruh negeri adalah pengembalian hak ahli kariah dalam menentukan pengurusan dan pentadbiran institusi berkenaan.

Kuasa dikembalikan kepada ahli-ahli kariah untuk memilih pimpinan masjid dan surau tidak seperti dahulu dimana pimpinan berkenaan diputuskan oleh parti pemerintah tanpa melalui ahli kariah.

Beberapa pembaharuan diperkenalkan dalam proses dan kriteria pemilihan yang sangat dialu-alukan. Antaranya Nazir atau Pengerusi Masjid dan Surau mestilah memiliki beberapa kelayakan dan kemahiran antaranya sekurang-kurangnya kelulusan SPM, boleh mengendalikan majlis tahlil, membaca khutbah dan lain-lain.

Walaubagaimanapun setelah beberapa tahun pembaharuan ini diperkenalkan saya rasakan wajar juga ia disemak semula untuk ditambah-baik. Isunya di sini adalah kita memilih pimpinan yang akan memimpin “Rumah Allah”. Merekalah yang akan dipertanggungjawabkan memastikan solat fardhu lima waktu dan solat Jumaat berjalan lancar di masjid, imam dan bilal serta siak bertugas, kewangan masjid diuruskan dengan serba telus dan amanah, mengimarahkan masjid dengan program-program dakwah dan ilmu, serta menyusun program-program kemsyarakatan yang member manfaat kepada ummah.

Melaui keadah yang ada kita membuka pemilihan dikalangan ahli-ahli kariah, di sinilah timbul kebimbangan apabila demokrasi mutlak diperkenalkan. Bagus kita member kuasa kepada ahli-ahli kariah, tetapi harus diingati bahawa takrif ahli kariah itu sangat luas dan ia melibatkan semua umat Islam di kawasan berkenaan. Maka termasuklah di sini mereka yang mengunjungi masjid dan yang tidak, yang “practising Muslim” dan yang tidak.

Saya melahirkan kebimbangan ini kerana kebetulan semalam saya hadir menyaksikan proses pemilihan pimpinan masjid di sebuah masjid di Daerah Petaling. Kehadiran dalam mesyuarat berkenaan luar biasa berbanding dengan kehadiran ketika solat waktu, kebetulan ia diadakan selepas Maghrib.

Apabila berlaku sorak-menyorak dan tepuk tangan dalam masjid ketika proses pemilihan ternyata ramai yang hadir itu tidak tahu akan adab di dalam masjid.

Ini membangkitkan persoalan pada kita bagaimana jika lantaran demokrasi mutlak yang kita amalkan itu, dimana pintu pagar terbuka kepada siapa sahaja asalkan ahli kariah, berbodong-bondong yang jahil masuk dan akhirnya dilantik dikalangan mereka kerana suara merekalah yang teramai, lalu bagaimana?

Ini bukan pemilihan parti, ini bukan pemilihan NGO atau syarikat korporat, ini pemilihan masjid iaitu saf kepimpinan yang akan diamanahkan menguruskan “Rumah Allah”, bagaimana?

Sedang Allah swt berfirman dalam al Quran (an Nisa:58):

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Wajarlah masjid dipimpin oleh orang-orang yang baik dalam masyarakat. Akhlaknya baik, budi-pekerti baik, bertaqwa dan dia sendiri adalah pengunjung masjid. Pimpinan masjid kelak akan menjadi contoh dan tauladan kepada masyarakat bayangkan jika yang dipilih itu jahil, tak pernah ke masjid, terpilih lantaran sokongan dan suara ramai!

Oleh itu saya mengesyorkan agar selain jawatan Nazir, jawatan Timbalan Nazir, Setiausaha, Bendahari dan ahli-ahli jawatankuasa masjid juga perlu diperkemaskini dan diperbaiki syarat-syaratnya. Kita tidak boleh menafikan hak ahli kariah, tetapi kita perlu kenakan syarat agar yang dicalon dan yang terpilih nanti benar-benar terdiri dari mereka yang bertaqwa.

Mungkin Jabatan Agama Islam boleh mensyaratkan agar mereka ini nanti ditemuduga atau dikenakan menduduki peperiksaan yang menguji kefahaman agama sekurang-kurangnya kita yakin masjid nanti berada dalam tangan mereka yang benar-benar “ahlinya” sebagaimana yang dimaksud oleh ayat Quran di atas.

Bayangkan orang jahil yang memegang tampuk kepimpinan masjid, Nauzubillah.....

Menteri Besar Selangor yang kini memegang portfolio Agama Islam perlu segera mengarahkan agar JAIS mengkaji perkara ini. Jangan nanti kebaikan yang mahu kita perkenalkan dicemari oleh kelemahan memantaunya.

Saya yakin institusi masjid dan syrau di Selangor akan terus menjadi institusi contoh dalam Negara jika perkara ini dipandang serius dan diperbaiki.

Pilih yang TERBAIK (22/3/12)

Thursday, March 22, 2012

Walaupun tarikhnya belum diketahui tetapi ternyata semua pihak yang berkepentingan sedang member sepenuh tumpuan kepada Pilihan Raya Umum ke 13 yang dijangka tidak berapa lama lagi. BN sibuk melancarkan projek demi projek dan program demi program, begitu juga tidak ketinggalan pihak PR melalui kerajaan negeri-negeri yang ia kuasai.

Rakyat para pengundi masing-masing asyik menyaksikan gelagat orang-orang politik ini kerana akhirnya nanti mereka, yakni rakyatlah yang akan menentukan segala-galanya, melalui peti undi.

Saya tertarik melihat bunting yang tertera gambar MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim disepanjang jalan di Subang Jaya yang siap dengan ungkapan “Terima kasih di atas kepercayaan anda” beserta tandatangan Tan Sri. Bagi saya bunting ini mengambarkan betapa ikhlasnya Tan Sri Khalid dan kesungguhan beliau mahu diberikan satu penggal lagi mentadbir Selangor.

Apa pun sekarang ini adalah masanya bagi rakyat meneliti dan mengamati kad laporan atau “report card” wakil rakyat masing-masing. Tak kiralah dari BN atau PR.

Di Selangor contohnya saya perhatikan ada dikalangan ADUN PR yang memiliki rekod kerja yang baik dan pasti mereka ini telah berjaya menambat hati rakyat sepanjang sepenggal mereka berkhidmat. Kesungguhan dan keikhlasan kerja yang tidak kenal penah-lelah pasti akan mendapat habuan dalam bentuk sokongan berterusan dari rakyat.

Antara ADUN yang saya kenal yang jatuh dalam kategori ini termasuklah Gan Pei Nie, Iskandar Abd Samad, Lau Weng San, Dr Ahmad Yunus, Nik Nadzmi dan Hannah Yeoh.

Ada juga yang barangkali tidak mencapai “standard” yang diharapkan, yang ini perlu diberi perhatian.

Jelasnya rakyat dewasa ini tidak perlukan wakil yang sekadar retorik, penuh dengan janji dan kata kosong. Yang “gas bag” contohnya eloklah dirihatkan. Wakil yang tidak diplomatik, wakil yang tidak berjiwa rakyat, tidak pandai mengambil hati rakyat termasuklah kakitangan awam.

Rata-rata parti-parti politik akan sibuk “menjual” calon masing-masing dalam PRU ini. Calon yang laris sudah pastilah yang berkualiti, bersih, berakhlak, penuh dengan nilai dan ciri kepimpinan. Mudah-mudahan yang paling baik antara yang baik-baik akan dipilih dan terpilih.