Thursday, June 21, 2012

Hidup berjiran (21/6/12)


Ceritanya banyak dan contohnya meluas. Hidup berjiran adalah satu lumrah dan tiada yang tidak berjiran kecuali yang hidup nun jauh dalam hutan belantara atau di pergunungan entah dimana. Dalam erti kata lain kita tidak boleh mengelakkan diri dari hidup berjiran samada kita suka ataupun tidak.
Ada yang tinggal dalam taman perumahan ada juga yang tinggal di rumah pangsa atau pangsapuri, toleh ke kiri atau kanan pasti ada jiran di sana.

Di Negara kita jiran bukan sekadar mereka yang sebangsa  atau seagama dengan kita, lebih-lebih lagi kehidupan di pekan atau Bandar malah kadang-kadang di kampung sekalipun, akan berlaku jiran terdiri dari pelbagai kaum dan agama.

Syukur setakat ini kita tidak ada pengalaman di Negara kita dimana kelompok jiran berlainan kaum atau agama bersengketa, berparang-parangan sesama mereka kecuali beberapa innsiden terpencil contohnya Peristiwa Hitam 13 Mei 1969 dan beberapa yang lain. Itupun dalam peristiwa 13 Mei kita ada mendengar contohnya keluarga Melayu di sempada Kg Baru dan Chow Kit yang memberi perlindungan dan menyelamatkan jirannya yang bukan Melayu.

Secara umumnnya tiadalah ketegangan dalam kehidupan berjiran di sini.
Cumanya suka tak suka konflik peribadi tidak dapat dielakkan bukan barangkali kerana perbezaan kaum atau agama tetapi lebih kepada sikap dan perlakuan masing-masing.

Jiran tidak bertegur sapa dan tidak mengambil tahu hal masing-masing. Keluar masuk rumah tanpa menoleh ke kiri atau kanan masing-masing dengan kehidupan masing-masing. Kenduri dan keraian diadakan tanpa mengundang jiran tetangga, insiden seumpama ini sudah menjadi hamper kebiasaan bukan kerana tidak mahu tetapi tidak kenal. Yang dijemput Cuma saudara-mara atau kenalan pejabat tetapi jiran tidak.
Ada insiden dimana jiran tidak tahu ada kematian atau kemalangan di rumah sebelahnya.

Lebih kritikal lagi apabila kita mula rasa terganmggu dengan kehadiran jiran. Bunyi bising, anak-anak jiran, menjadi cetusan yang mebakar darah kita.

Ini semua isu atau sikap peribadi dan inilah yang perlu kita tangani dan ubati. Saya sengaja menulis perkara ini sebab tertarik dengan satu berita dalam kahbar The Star hari ini muka “3” yang berlaku di Singapura di bawah tajuk:

“Singapore flat residents involved in thorny issue”

Bagaimana penduduk rumah pangsa HDB di Moulmein Road bersengketa angkara sebiuah pohon durian yang membuahkan hamper 100 biji durian setiap musim di sana.
Angkara sepohon durian jiran tetangga boleh bersengketa. Ada yang mendakwa pohon itu ditanam oleh keturunannya maka hanya dia yang layak ke atas hasilnya. Ada yang mahu ianya ditebang sahaja, macam-macam jadinya semata-mata kerana sephon durian!

Semasa saya bersekolah di sebuah sekolah yang dikendalikan oleh mubaligh Kristian di Kota Kinabalu saya ingat akan satu poster di sana yang memetik ayat dari kitab Bible:

“Love your neighbour as yourself”

Atau cintailah jiran anda sebagaimana anda mencitai diri anda sendiri.

Saya percaya semua kaum dan agama mengajar penganutnya agar menghormati jiran tetangga. Menjalin hubungan dan berbaik-baik antara satu dengan yang lain. Sewajarnya kita begitulah tetapi masalahnya ia sukar dalam kehidupan dunia yang serba sibuk dan serba menjaga kepentingan sendiri-sendiri.

Allah swt berfirman di dalam al Quran:

“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri; “ (an-Nisaa’: 36)

Sabda Rasulullah s.a.w. “Barangsiapa yang beriman kepada Allah s.w.t. dan hari akhirat, maka hendaklah ia menghormati tetangganya.” Dan di dalam riwayat lain disebutkan, “Hendaklah ia berbuat baik terhadap tetangganya.” (متفق علية )

Kesimpulannya meniti realiti kehidupan hari ini, bukalah mata dan telinga kita dengan menyapa dan menegur serta mengeluarkan kata-kata yang baik-baik terhadap jiran tetangga kita. Jika kita tidak suka kepada bunyi bising yang keluar dari sistem suara atau TV atau apa sahaja alat canggih hari ini pastikan kita juga mengawal peralatan kita sendiri. Jika kita tidak suka persekitaran rumah penuh sampah sarap kita juga jangan membuang sampah sarap sesuka hati. Jangan kita perbuat sesuatu yang kita tidak suka dilakukan ke atas diri kita, ajarkan ia juga pada isteri dan anak-anak kita, insyallah selamat hidup semua.

No comments: