Keputusan Pilihanraya Singapura iktibar buat BN

Tuesday, May 31, 2011

Rakyat Singapura baru sahaja selesai melangsungkan pilihanraya umumnya. Walaupun parti pemerintah PAP kekal memerintah dengan majoriti duapertiga di Parlimen namun demikian undi popularnya mencatat kemerosotan yang paling besar dalam sejarah republik berkenaan. Jika pada pilihanraya umum terakhir pada tahun 2006 parti PAP memperolehi 67 peratus dari undi popular kali ini ia merosot ke 60 peratus.

Parti PAP pimpinan Perdana Menteri Lee Hsien Loong iaitu anak kepada pengasas Singapura Lee Kuan Yew (yang menang tanpa bertanding dalam pilihanraya kali ini), memperolehi 81 kerusi parlimen dan tewas 6 kerusi kepada pembangkang. Ini berbanding dengan 82 kerusi pada pilihanraya 2006 sedangkan ketika itu pembangkang sekadar memeprolehi 2 kerusi (bilangan kerusi Parlimen bertambah dari 84 ke 87 pada pilihanraya umum kali ini).

Parti Buruh atau Workers Party memperolehi kemenangannya yang terbesar apabila membolot kesemua 6 kerusi yang dimenangi pembangkang. Merkea menag satu kerusi SMC (kerusi yang ditandingi satu calon dari satu parti) di kerusi parlimen Hougang dan lima kerusi GRC (kerusi yang ditandingi secara berkelompok) di kerusi parlimen Aljunied.

Beberapa kerusi lain menyaksikan kekalahan tipis pembangkang khasnya di kerusi Joo Chiat dimana calon PAP memperolehi 9630 undi berbanding calon parti Buruh 9248, di kersui Potong Pasir calon PAP memperolehi 7973 undi berbanding calon SPP 7859 undi.

Rata-rata lonjakkan sokongan kepada pembangkang dikaitkan dengan beberapa isu sosio-ekonomi yang melanda rakyat Negara maju berkenaan. Walaupun pertumbuhan ekonomi Negara berkenaan mencatat kenaikkan mendadak sehingga KDNK (keluaran dalam Negara kasar) nya bagi tahun 2010 naik 14.5% namun kemewahan Negara berkenaan tidak diceminkan pada keadaan hidup sebenar rakyat kebanyakkan.

Menurut statistik rakyat dari kelas terendah Negara berkenaan yang mewakili 10 peratus dari jumlah penduduknya sekadar memperolehi pendapatan bulanan sebanyak RM3,400 berbanding RM57,450 bagi kelas tertinggi. Malah semasa kempen pilihanrayanya rakyat didedahkan oleh kempen pembangkang bahawa para menteri keabinet Singapura dibayar gaji sehingga RM2.4 juta setahun iaitu lebih tinggi dari gaji Presiden Amerika Syarikat yang memperolehi RM968,220 setahun.

Dengan kos hidup yang tinggi akibat dari kemajuannya yang pesat, ramai rakyat dari kelas bawahan hdiup dalam keadaan sengsara termasuklah mereka yang telah bersara dan tiada pekerjaan. Ternyata keghairahan kerajaan Singapura memaju dan membangunkan negaranya telah meminggir samasekali nasib rakyat kebanyakannya. Kerajaan Singapura turut dipersalahkan atas kebanjiran penduduk asing dalam Negara berkenaan yang dikatakan merampas peluang penduduk tempatan oleh kerana kelonggaran dasar kerajaan Republik itu.

Sesungguhnya perkembangan di seberang Tambak Johor ini wajar diambil iktibar oleh kerajaan di Negara kita. Walaupun kita tidaklah berada pada tahap maju sebagiaman Singapura, ironisnya kos hidup rakyat dalam Negara kita turut tetap melonjak naik sehingga mendatangkan kesan kepada rakyat kebanyakkan.

Harga barangan makanan selain petrol terus-menerus naik mencacak dalam Negara sedangkan pendapatan dan upah rakyat tidak berubah. Harga rumah dan sewa rumah turut naik. Akibatnya rakyat dari kelas menengah dan bawahan mula merasa keperitan hidup yang sudah pasti menyumbang kepada masalah sosial dan jenayah.

Baru-baru ini Presiden kesatuan sekerja awam CUEPACS, Datuk Omar Osman mededahkan bahawa akibat dari kenaikan kos barangan dan kos hidup telah memaksa kakitangan kerajaan peringkat bawahan mengambil kerja sambilan untuk menampung kehidupan masing-masing. Ini sudah pasti akan menjejaskan produktiviti dan prestasi kerja masing-masing malah tidak mustahil akan menyumbang kepada penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Kakitangan disektor swasta juga tidak kurang terjejas kehidupan mereka akibat kos barangan dan penghidupan yang diluar kawalan ini. Semasa perayaan Hari Pekerja baru-baru ini terdapat tuntutan agar umur wajib persaraan disektor swasta dilanjutkan dari 55 tahun tahun ke 58 tahun. Ini juga dikaitkan dengan masalah bebanan hidup yang sudah pasti akan menggigit kehidupan warga emas ini apabila mereka berada di alam persaraan.

Sekiranya kesengsaraan hidup ini berpanjangan tidak mustahil keresahan rakyat itu akan diterjemahkan dalam bentuk undi dalam pilihanraya umum kelak. Sekiranya Singapura yang mewah dan makmur itu turut melihat rakyatnya bangkit memprotes sebagaimana diterjemahkan pada pilihanraya umum Negara berkenaan tidak mustahil pembangkang di Malaysia bukan sekadar akan melihat pertumbuhan undi dan sokongan malah cita-cita untuk merampas beberapa buah negeri lagi termasuklah Putrajaya semakin menjadi hampir dan dalam genggaman.

Dengan perkembangan ini parti pemerintah diperingkat Persekutuan, Barisan Nasional seharunya berfikir semasak mungkin sebelum tergiur untuk mahu memanggil pilihanraya umum awal. Jangan sahaja Singapura, keputusan di Sarawak pun sudah cukup untuk memberi petanda bahawa masa depan tidaklah secerah mana buat BN, panggilah pilihanraya umum awal, risikonya kemerosotan undi dan tidak mustahil kehilangan kuasa buat selamanya.

ARTIKEL INI TERBIT DALAM AKHBAR MINGGUAN SIASAH BIL. 0264

65 tahun: Umno makin dipinggirkan

Umno meraikan ulangtahunnya yang ke 65 baru-baru ini. Di saat dunia sedang menuntut kepimpinan yang telus, adil dan bersih, Umno menyeret usia tuanya dengan kudis dan pekung yang memualkan angkara ketempangan dan kepincangan barisan kepimpinan partinya dari satu dekad ke satu dekad.


Bermula dengan kelantangan menentang gagasan Malaysan Union yang mahu dipaksakan oleh Inggeris ke atas Tanah Melayu pada tahun 1946, Umno menyusup di segenap ceruk dan rantau kampung-kampung Melayu sehingga akhirnya terlibat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dan akhirnya memegang tunggak pemerintahan apabila Negara mengecap kemerdekaan pada tahun 1957.


Umno dewasa dalam keseronokkan meraih sokongan padu umat Melayu dan rakyat Malaysia amnya lantaran kelicikkannya menggunakan kuasa yang ada ditangan untuk memenangi sokongan sehinggakan orang Melayu bagaikan terasuk membuta-tuli terus-menerus taat dan menyokong mereka.


Melalui kuasa Umno membeli sokongan. Dan melalui kuasa juga Umno bangkit bongkak seolah akan menongkat langit terus berkuasa kerana umat Melayu dan rakyat Malaysia amnya sudah berpuas hati sehingga tak mampu menyingkirkan mereka dari takhta kekuasaan. Malah pernah dalam kempen-kempen mereka lantaran khayal dengan kuasa, pimpinan Umno mengungkapkan, letak siapa sahaja menjadi calon hatta “tunggul kayu” sekalipun, orang Melayu tetap memangkah Umno.


Sekurang-kurangnya itulah pemahaman Umno dan itulah pemahaman orang-orang Melayu yang mereka berjay
a khayalkan suatu ketika dahulu.


Bagi orang-orang Melayu khasnya dan rakyat yang lain amnya Umno penyumbang besar dalam saham memperjuangkan kemerdekaan Negara. Jasanya terlalu besar lantas muncul persepsi tanpa Umno tidak Merdeka Negara ini maka lantaran taatnya orang Melayu pada prinsip terhutang budi dan membalas jasa lalu terikatlah orang Melayu dengan sumpah “pantang tak mengundi Umno”.


Sejarah perjuangan kemerdekaan pun sebenarnya telah diolah oleh Umno berikutan kuasa yang kukuh ditangan mereka. Lebih berdekad-dekad kini dengan keterbukaan dunia barulah kita mengetahui rupanya sejarah Umno sebagaimana sejarah keganasan Tentera Jepun dalam buku teks rakyat Jepun hari ini, telah ditokok tambah dan dipinda-pinda menurut kesesuaian.
Bekas pejuang dan pemimpin wanita AWAS dan Rejimen ke 10, Allahyarham Shamsiah Fakeh dalam bukunya “Memoir Shamsiah Fakeh dari AWAS ke Rejimen ke 10 (Penerbit UKM)” menulis:


“Seperkara yang menghairankan dan yang menyedihkan ialah parti Umno ini mengambil politik dan pendirian yang bekerjasama dengan penjajah Inggeris dan menentang parti dan pertubuhan kebangsaan sayap kiri. Umno mulanya memakai semboyan “Hidup Melayu” dan menetang semboyan “Merdeka”. Dipandang daripada pengertian politik orang revolusiner, bahawa Umno pada masa itu adalah parti reaksioner. Sejarah telah membuktikan bahawa dalam perjuangan menuntut kemerdekaan tidak ada ahli Umno yang ditangkap atau dipenjarakanoleh kerajaan penjajah British. Apatah lagi tiada seorang pun yang mati ditali gantung”.


Umno terus meniupkan sentimen jasa dan sumbangannya pada kemerdekaan dan pembangunan Negara sebagai modal kewajaran rakyat mengundi dan menyokongnya tiap kali pilihanraya. Tetapi kemajuan pemikiran dan keterbukaan dunia kini ternyata melapokkan modal Umno itu. Yang dituntut rakyat dewasa ini bukan lagi politik zaman Bangsawan tetapi lebih pada penilian kepimpinan, akhlak dan moral yang berkaitan dengan ketulusan dan kebersihan sesuatu yang makin ketara sunyi dalam Umno.


Baru-baru ini bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohammad ketika mengulas ucapan Presiden Umno semasa perayaan 65 tahun parti itu berkata Umno perlu bangkit dari sebarang masalah yang mengancam perpaduannya. Politik cantas-mencatas kata Mahathir mesti dihapuskan. Sesungguhnya amalan cantas mencantas ini bukan hanya hadir selepas Mahathir tetapi semasa Mahathir malah sebelum Mahathir, disaat-saat awal Umno pun sudah ada.


Bekas Ketua Pergerakan Wanita Umno (ketika itu dikenali sebagai Kaum Ibu) Allahyraham Khatijah Sidek di dalam bukunya “Memoir Khatijah Sidek Puteri Kesatria Bangsa (Penerbit UKM)” menulis:


“Saya masuk Umno pada bulan April 1953. Masa itu Umno masih lemah seperti kerakap di atas batu. Saya bekerja keras supaya Umno berkembang di peringkat bawah dan sentiasa menjalankan segala kerja yang diatur. Sekarang Umno menjadi sebuah pokok yang besar, kuat dan rendang. Tetapi mereka yang menentang saya berkata: Kalau Khatijah yang macam batu api ini terus dalam Umno, nama Umno akan rosak”


Khatijah menceritakan bagaimana setelah mengaktifkan Wanita Umno seluruh Negara dan diambang Kemerdekaan beliau dipecat kerana ada elemen dalam Umno bimbangkan pengaruh beliau – contoh cantas mencantas peringkat awal dalam Umno!


Hari ini Umno berusia 65 tahun. Gengaman pengaruhnya atas orang Melayu hakikatnya semakin longgar. Hari ini Umno hilang kuasa di empat buah negeri iaitu Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. Hari ini suara Melayu di Parlimen bukan hanya didominasi Umno tetapi sudah juga diwakili PAS dan PKR.


Malah kemampuan Umno memerintah dan memimpin semakin dipinggirkan berikutan tertariknya minat rakyat Malaysia termasuklah orang-orang Melayu terhadap kualiti kepimpinan pemimpin-pemimpin Melayu dalam PAS dan PKR. Nama-nama seperti Nik Abdul Aziz, Anwar Ibrahim, Hadi Awang, Azizan Razak, Khalid Ibrahim, Dr Hasan Ali, Azmin Ali semakin banyak disebut dan diberi perhatian berbanding nama-nama dalam Umno.


Rekod Umno yang 65 tahun itu lebih padat dengan kepincangan Presiden yang disingkir Timbalan Presiden yang dipecat, pemimpin-pemimpin kerajaan yang bermasalah termasuklah Menteri Kabinet, Menteri Besar yang rasuah dan dipenjara, akhlak dan moral yang mengaibkan lantas tidak keterlaluan jika pada usia senja ini kita merakamkan bahawa Umno sesungguhnya berhadapan dengan krisis survival yang kronik.


Relevan lagikah Umno untuk tahun-tahun mendatang ini? Atau sudah wajarkah mereka dirihatkan demi untuk diganti dengan kepimpinan Melayu yang lebih berkelayakan, bertanggungjawab, serius dan prihatin pada nasib dan masadepan rakyat termasuklah orang-orang Melayu?


Kemanakah perginya Umno selepas 65 tahun ini, hanya Allah dan rakyat Malaysia khasnya orang-orang Melayulah yang akan tentukan, pastinya mereka mahu sesuatu yang lebih baik bagi mereka dan keturunan mereka sesuatu yang Umno terbukti sudah semakin uzur untuk melahirkan.


Artikel ini terbit dalam akhbar mingguan SISASH Bil 0265

Tun Dr Mahathir Melayu yang semakin pelupa

Monday, May 09, 2011

Keputusan Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak terus menjadi bahan perbualan di bibir orang politik sehingga hari ini. Walaupun BN Sarawak kekal menang dengan majoriti dua pertiga kerusi namun beberapa trend yang terbit dari keputusan tersebut menjadi tajuk ulasan dan kupusan hangat sesetengah pihak.

Seharusnya keputusan rakyat dihormati oleh semua. Keputusan samada masyarakat Melayu, Melanau, Iban, Dayak, Cina atau Orang Ulu untuk memilih parti yang mereka yakini jangan dijadikan suatu kebimbangan sehingga mencetuskan prejudis dan syak wasangka sedangkan demikianlah amalan demokrasi, rakyat diberikan hak untuk menyatakan pilihan mereka. Keputusan mereka itu jangan dihukum tetapi diraikan kerana rakyat telah bersuara secara aman dan bebas.

Apabila BN contohnya menang besar dalam Pilihanraya Umum 2004 sehingga menawan kembali Terengganu dan meninggalkan Kelantan di bawah tangan PAS dengan majority yang rapuh keputusan rakyat itu dihormati. Apabila di Selangor contohnya dalam PRU 1995, pihak pembangkang ditolak sehingga DAP hanya bertahan dengan 1 kerusi iaitu melalui Teng Chang Khim di Kelang (sekarang Dato’) kecenderungan masyarakat Melayu, Cina dan India untuk kembali bernaung di bawah BN tidak pernah dipertikaikan.

Mengapa apabila ada segmen rakyat menolak BN contohnyanya dalam kes Sarawak maka ditonjolkanlah seolah masyarakat tertentu berbahaya dan mahu wujudkan dominasi dan ketegangan.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad baru-baru ini apabila mengulas perkembangan politik semasa menyatakan:

“.....sekarang kita lihat apa berlaku pada Pilihanraya Negeri Sarawak ke 10 lalu, kaum Cina hanya mahu bersama kaumnya dan tidak mahu bekerja dengan orang Melayu.”

Reaksi Dr Mahathir ini apabila melihat DAP memenangi 12 dari 15 kerusi yang dipertandinginya di Sarawak dirata-rata kerusi majoriti Cina. Tetapi apakah benar kenyataan bahawa kaum Cina hanya mahu bersama kaumnya? Tidakkah kenyataan serupa ini merendahkan intelek dan kewibawaan masyarakat tersebut?

Apa pun yang nyata komen bekas PM itu meleset dan mungkin dikeluarkan kerana menyedari bahawa BN dan bukannya Negara atau rakyat yang sesungguhnya akan menghadapi masa depan yang kelam. Ianya meleset kerana DAP diketahui bukan bersendirian dalam PR Negeri Sarawak mahupun PRU ke 12 yang lalu. Jika MCA dan Gerakan bersekongkol dengan Umno melalui BN, DAP diketahui umum termasuk oleh Dr Mahathir sendiri bekerjasama dengan PKR dan PAS melalui Pakatan Rakyat.

Kaum Cina, India dan Melayu di dalam Pakatan Rakyat sebagaimana yang di dalam BN menyedari bahawa mereka perlu bekerjsama jika mahu berkuasa dan berperanan dalam arus perdana politik Negara. Tiada suatu kaum boleh berkuasa secara mutlak di Malaysia melainkan di negeri-negeri tertentu contohnya Kelantan dan Terengganu yang memang didominasi orang-orang Melayu.

Bukan menjadi rahsia lagi bahawa di Sarawak tempoh hari DAP ketara bersama PKR dan PAS. Demikian juga calon-calon PKR dan DAP yang bertanding masing-masing menzahirkan secara terbuka kerjasama mereka melalui Pakatan Rakyat. Jadi dimanakah bukti kenyataan Dr Mahathir itu bahawa kaum Cina hanya mahu bersama kaumnya dan tidak mahu bekerja dengan orang Melayu.

Lupakah Dr Mahathir (yang mempopularkan terma “Melayu mudah lupa” itu) bahawa semasa DAP mendominasi Pakatan Rakyat di Perak pada PRU ke 12 lalu, calon yang diangkat sebagai Menteri Besar Perak adalah dari PAS, orang Melayu Islam.

Sesungguhnya masyarakat Cina sebagaimana masyarakat lain dalam Negara berhak untuk memilih dan memutuskan apa sahaja dalam amalan demokrasi yang dianuti oleh Negara kita. Saya merasakan Dr Mahathir lebih bimbang kepada kemampuan Pakatan Rakyat, berbanding dengan apa yang beliau cetuskan itu. Begitulah juga pimpinan lain dalam BN khasnya Umno dan MCA.

Sekiranya masyarakat Cina kekal trendnya begini sebagaimana yang ditunjukkan dalam PRU ke 12 dan Pilihanraya Sarawak baru-baru ini, ditambah dengan sokongan orang-orang Melayu yang pernah bangkit mengundi protes dalam PRU 1999 di era Reformasi serta masyarakat India yang sudah bosan dengan kepimpinan mereka dari MIC, tidak mustahil lanskap politik Negara akan turut berubah.

Itulah sebenarnya kebimbangan Dr Mahathir dan beliau pula sebagaimana doa Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor satu ketika dahulu, akan hidup menyaksikan kejatuhan Umno dan BN. Itulah kebimbangan beliau.

Malaysia perlu belajar menghormati suara rakyat sekiranya kita masih percaya dengan sistem demokrasi yang telah kita amalkan sejak lebih 50 tahun dahulu. Hari ini kita hidup menyaksikan Negara-negara yang mengawal, mengekang dan menghapuskan demokrasi satu per satu runtuh di hadapan mata kita. Malaysia jangan jadi seperti Libya, Mesir, Syria dan Negara-negara Timur Tengah lain.

Dan rakyat pula jangan diancam dan ditakut-takutkan dalam bersuara. Rakyat Malaysia sudah matang dan dewasa. Mereka terdedah kepada maklumat dan berilmu. Jika mereka menolak parti atau kelompok tertentu kerana parti dan kelompok itu rasuah, zalim dan pincang, maka mereka sesungguhnya berhak berbuat demikian. Tidak kiralah orang Cina, Melayu atau India, siapalah kita untuk memaksa mereka menyokong yang kotor dan durjana.

ARTIKEL INI TERBIT DALAM AKHBAR MINGGUAN SIASAH BIL.

Beradablah dalam berjemaah

Saya sangkakan adab pertandingan dalam parti Islam adalah boleh mempromosi calon tetapi tidak dibenarkan memburuk atau mengaibkan lawan. Kalau yang melanggar peraturan adalah ahlis biasa mungkin boleh dimaafkan tetapi apabila pimpinan yang melakukannya, ada sesuatu yang tak kena.

Saya merujuk kepada pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden PAS, mengikut maklumat bagi jawatan Presiden. Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang Mohamad, Presiden PAS dijangka tidak ditentang walaupun ada cubaan mencalonkan seseorang untuk mencabarnya.

Berbalik kepada jawatan Timbalan Presiden, proses pencalonan diperingkat kawasan masih berjalan tetapi telah ada yang menggunakan media arus perdana untuk mempromosi calon idaman masing-masing, tapi yang mengecewakan sehingga ada yang melanggar adab dan peraturan jemaah.

Dalam NST hari ini seorang wakil rakyat dari Kelantan (yang terlibat dalam salah sebuah buku karangan MSO satu ketika dahulu) selain mempromosi salah seorang calon jawatan berkenaan turut mengkritik Timbalan Presiden kini dengan menyatakan:

“.......Nasharudin on the other hand is a little weak.”

Beliau menambah:

“I am disappointed with Nasharudin. Sometimes he does not give the strength the president needs, especially in preparing for the coming general election”.

Kemudian seorang pemimpin PAS Pusat pula walaupun cuba “cover” kenyataannya tetapi tetap mengkritik lawan menyatakan:

“This man (calon pencabar Timbalan Presiden sekarang) is political but not academically qualified as oppose to the incumbent but he will go the extra mile to close ranks after the contest. He may seem extreme with his views but he is actually very balanced and that is exactly what we need.”

Jelas mempromosi pencabar iaitu sesuatu yang dibenarkan tetapi jelas juga menyinggung lawan yang sudah pasti tidak dibenar.

Apa pun para perwakilan gerakan Islam terbesar dalam Negara ini nantilah yang akan menetukan siapakah bakal menjadi pemimpin tertinggi parti ini. Dalam keghairahan kita menentukan saf kepimpinan kita, biarlah patuh dan ikut adab, kalau tidak dibenar janganlah langgar semacam. Harap mereka yang diamanahkan menyelia proses pemilihan ini beri perhatian. Wallahualam.