Saturday, October 15, 2011

Yang Dipetuan Agong ke 14


Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Muadzam Shah,83, diputuskan oleh Majlis Raja-raja Melayu sebagai Yang Dipertuan Agong yang ke 14 menggantikan Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh penggalnya pada 13 Disember ini.

Penggiliran Yang Dipertuan Agong seperti ini unik kerana ia hanya berlaku di Malaysia. Jawatan tertinggi Negara ini digilir-gilirkan antara lapan Raja-raja Melayu yang memilih antara mereka untuk jawatan berkenaan setiap penggal lima tahun. Bermula dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Almarhum Tuanku Abdul Rahman sebagai Yang Dipertuan Agong yang pertama dan kini sudah mahu masuk yang ke 14.

Malah bagi Sultan Abdul Halim ini adalah kali kedua beliau naik sebagai Agong setelah memegang jawatan berkenaan dari Septembr 1970 sehingga September 1975 (ketika itu saya masih di sekolah rendah).

Di ketika banyak kritikan dan komentar dibuat berkenaan institusi Raja-raja Melayu ini, proses pemilihan dan penggiliran Agong berjalan dengan sempurna menepati peraturan Perlembagaan Negara.

Sesungguhnya sebagaimana pemimpin-pemimpin politik, Raja-raja Melayu juga tidak terlepas dari kritikan dan kata pelbagai dari rakyat kebanyakkan. Yang baik dan berjiwa rakyat pantas dihormati dan dikenangi serta disebut-sebut, begitu juga yang sebaliknya.

Ada yang kuat berpegang pada agama dan beramal dengannya contohnya Almarhun ninda Sultan Selangor yang pernah menghadiahkan istana Baginda untuk menjadi kolej Islam, iaitu Kolej Islam Kelang sekarang. Tidak silap Baginda juga pernah naik mimbar menyampaikan khutbah. Almarhum Raja Perempuan juga jika dilihat pada gambar-gambar awal 50an dahulu antara kerabat di Raja yang pertama menutup aurat.

Ada yang begitu prihatin tentang nasib dan penderitaan rakyat. Saya teringat membaca di dalam tulisan Allahyarham Ahmad Boestama di dalam “Tujuh tahun malam memanjang” yang menyebut (Almarhum) Tuanku Sultan Pahang merupakan satu-satunya Raja Melayu yang melawat kem tahanan politik apabila beliau menulis:

Di dalam banyak-banyak Sultan hanya Sultan Pahang seorang sahajalah yang pernah melawat ke khemah-khemah tahanan sepanjang ingatan saya.

Semasa kunjungan Tuanku ke kem dimana beliau ditahan Boestamam mencatatkan bahawa Tuanku Sultan pernah bertitah:

Kalau sekiranya Encik Boestamam ini ditahan di Pahang, sudah lama saya membebaskannya.

Dalam Hikayat Abdullah, Munsyi Abdullah menulis berkenaan Sultan Mahmud, Sultan Melaka terkahir:

(Abdullah mengisahkan darihal kemewahan perniagaan buah-buahan tempatan di Melaka yang kebanyakkannya di bawa masuk dari tanah seberang Padang)..........Apabila musim durian berbuah, kerja orang Padang ialah menebas sahaja, dan memungutnya apabila durian gugur. Beberapa orang saudagar di Melaka menjadi kaya kerana berniaga dagangan yang keluar dari Padang. Hasilnya beribu-ribu ringgit dalam setahun. Demikianlah kesenangan yang mereka peroleh hasil kemakmuran zaman Sultan Mahmud menjadi Raja di Lingga, Riau dan Pahang, Padang, Muar dan Batu Pahat di bawah perintahnya (selain Melaka). Dipelihara kesenangan itu kerana keadilan dan kebaikannya.

Walaubagaimanapun dalam karangan yang sama Munsyi banyak juga mengkritik Sultan-sultan Melayu yang lain termasuk Sultan Husin Syah Singapura, angkara kezaliman mereka.

Raja-raja dan Sultan juga manusia sudah pasti mereka tidak terlepas dari ujian. Cabaran, kelemahan dan kelonggaran sebagaimana juga pemimpin politik.

Yang pastinya Agong yang ke 13 Tuanku Mizan amat disenangi rakyat.

Kita dapat membaca karekter dan perwatakan Raja-raja Melayu semasa jika membaca tulisan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas: “Mayday for justice”. Dalam karangannya itu Tun menggariskan saat cemas ekoran peristiwa pemecatan beliau oleh Almarhum Sultan Johor, Agong ketika itu (dizaman Tun Dr M sebagai PM). Bagaimana atas inisiatif seorang Sultan beliau berkesempatan menyembahkan masalahnya kepada Raja-raja Melayu dan bagaimana beliau dipermain dan dibelit hasil bikinan orang politik.

Yang pastinya juga institusi Raja-raja Melayu kini telah sebati dalam hidup kita. Rakyat Malaysia semakin terdedah dan faham kepentingan dan peranan mereka. Oleh itu pengharapan rakyat terhadap institusi ini sangat tinggi demi untuk emmbela mereka dan memelihara Negara. Diharapkan Negara akan terus melahirkan Yang Dipertuan Agong berjiwa rakyat yang berani kerana Allah membela dan mempertahankan rakyat dan Negara Nya.

Biarlah kita bangkit bersama di akhirat nanti sebagai rakyat dan Raja untuk diadili dan dibalas oleh Raja Yang Maha Besar.

Daulat Tuanku.

No comments: