Friday, October 14, 2011

Orang Melayu biar bijak memilih

Laporan terbaru badan penyelidik bebas Merdeka Centre melaporkan bahawa lebih 80 peratus pengundi bukan Melayu tetap teguh berdiri di belakang DAP di Pulau Pinang. Namun demikian sokongan pengundi Melayu ke atas parti berkenaan semakin menurun sehingga dilaporkan sekadar kurang dari satu pertiga pengundi Melayu (kurang 35%) kekal bersamanya.

Saya tidak mahu mengulas ketepatan laporan ini mahupun meramalkan kecenderungan pengundi Melayu di Pulau Pinang. Biarlah orang Pulau Pinang yang menentukannya nanti.

Bagi saya secara keseluruhannya pengudni Melayu di dalam Negara berbeza-beza kecenderungannya mengikut negeri, Bandar dan lokaliti ini khasnya di Semenanjung Malaysia sejak dari Pilihanraya Umum pertama tahun 1959 lagi.

Untuk mengatakan orang Melayu setia dulu,kini dan selamanya bersama Umno contohnya, parti Melayu terbesar dalam Negara adalah tidak tepat kerana pengundi Melayu juga menolak Umno dan memenangkan PAS di Kelantan dan Terengganu seawal tahun 1959.

Sesungguhnya sebagaimana pengundi-pengundi lain, pengundi-pengundi Melayu juga banyak terpengaruh dengan isu-isu semasa, selain sentimen agama (yang biasanya berjaya ditiupkan oleh PAS) dan bangsa.

Yang penting saya mahu mengulas di sini pengundi-pengundi Melayu mestilah punya maruah dalam memilih pemimpin. Biar pemimpin yang kita angkat itu nanti lebih baik, bersih dan berkaliber dari kita sekurang-kurangnya. Jangan pilih yang kaya sahaja atau yang tinggi pelajarannya sahaja atau yang pandai bercakap sahaja. Memang sukar dalam membuat pemilihan.

Syukur sebagai seorang Muslim kita punya panduan dari Allah dan Rasul Nya. Yang jelas dalam Islam punya “SOP” dalam memilih pemimpin sekaligus membuktikan betapa pentingnya tugas memilih pemimpin itu dalam Islam. Dalam hal ini biarlah orang Melayu nanti bijak membuat perhitungan dan pemilihan yang terbaik dari yang baik-baik tetapi yang penting jangan tinggal panduan agama.

Allah swt berfirman maksudnya:

Sesungguhnya Penolong (pemimpin) kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (pemimpinnya) (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang. (al Maidah: 55-56)

1 comment:

Anonymous said...

Dengan melihat kpd prestasi PR yang memberangsangkan di bawah kepimpinan MB, yang pastinya orang Melayu di kawasan bandar Selangor tetap teguh bersama PR.