Monday, October 17, 2011

Majikan Malaysia yang "haiwan'

Kemboja membekukan penghantaran tenaga pembantu rumahnya ke Malaysia dan kita jadi gempar. Ini setelah Indonesia melakukan perkara yang sama sebelumnya.

Kedua-dua Negara menggunakan alasan terlalu banyak kes penderaan dan penganiayaan ke atas warga mereka. Menurut Duta Kemboja ke Malaysia ini termasuk kes rogol dan kematian , dimana 3 pembantu Kemboja telah meninggal dalam tempoh seminggu.

Hari ini Menteri Luar Malaysia mengatakan jika dakwaan itu benar beliau sanggup terbang ke Phnom Penh memohon maaf bagi pihak kerajaan Malaysia.

Sementara itu PAPA atau Persatuan Agensi Pembantu rumah Asing Malaysia menyatakan bahawa mereka telah mencadangkan untuk mewujudkan satu mekanisma bagi melindungi kebajikan pekerja asing ini terutama setelah bangkit kes Kemboja ini.

Apa sudah jadi dengan majiklan Malaysia?

Sebelum kita marah-marah pada Indonesia dan Kemboja, kita sesungguhnya perlu meneropong ke dalam diri kita sendiri. Kita marah dengan keganasan dan penindasan yang berlaku di Negara luar di Eropah Timur di Afrika, Nigeria, Somalia di Timur Tengah tetapi rupanya kita juga tidak kurang dengan perangai kehaiwanan kita sendiri.

Memang bukan semua kita, tetapi sahihnya memang ada segelintir warga Malaysia yang mendiskriminasi, menindas, memperkosa warga asing yang datang ke sini untuk mencari rezeki yang halal. Mengambil kesempatan atas kesempitan hidup dan kesusahan mereka.

Mereka ini harus dihukum.

Lihatlah dengan mata kepala kita sendiri. Kalau anda lihat nasib pembantu rumah Indonesia contohnya, ada diantara mereka bukan sekadar menjaga hal ehwal rumah, memasak, mencuci pakaian, menjaga kebersihan rumah, jaga anak-anak sampaikan berkebun dan mencucui kereta pun mereka dikerah.

Tidakkah anda simpati bila melihat pagi-pagi warga Indonesia ini mencuci kereta tuannya, bagi saya menucuci kereta ini di luar skop pembantu rumah!

Saya pernah menerima aduan dari seorang petugas masjid bahawa pembantu rumah jirannya yang bukan Melayu mendakwa bahawa beliau sukar untuk solat kerana tidak diberi waktu, terpaksa menjaga anjing dan seumpamanya.

Saya yakin kita juga pernah melihat warga Indonesia bekerja direstoran-restoran tidak halal, memegang daging khinzir dan binatang yang tidak disembelih kerana mencari rezeki.

Ringkasnya memang tiada mekanisma yang meyakinkan yang benar-benar melindungi nasib dan kebajikan pekerja-pekerja asing ini yang walaupun setakat tahap buruh tetapi adalah manusia sebagaimana kita juga.

Kalau mereka yang datang ke sini ditapis dengan cermat dan teliti mengapa majikannya juga tidak ditapis?! Kalau majikan yang bukan Islam, perlu ada aku janji atau ikatan yang memastikan mereka menghormati anutan pembantunya. Kalau majikan yang ada walau rekod jenayah yang kecil mana sekalipun samada suami atau isterinya atau anak-anaknya, jangan dibenar mereka menggaji warga asing terutama yang wanita.

Saya dan saya yakin ramai kita pasti malu dengan nasib yang menimpa warga asing khasnya pembantu rumah akibat penderaan dan kezaliman majikannya. Kes seumpama Nirmala Bonet dan ramai lagi adalah berpunca dari akhlak warga Malaysia yang “sakit” dan harus dibiarkan menjaga dirinya sendiri dan tidak mengambil pembantu.

Jangan kerana kita ada wang maka kita berhak menggaji mereka.

Ramai kita yang ada pembantu memang menjaga dan memelihara adab dan peraturan sehingga ada pembantu yang merasakan diri mereka sebagai sebahagian dari keluarga majikannya, memang ramai. Masalahnya segelintir kecil “hiawan” dikalangan kita inilah yang perlu dikawal. Oleh itu wajar sangat kerajaan memperkenalkan mekanisma yang ketat demi melindungi maruah dan nama baik Negara kita.

Tiada guna terbang meminta maaf menyembah kaki sekalipun tetapi perangai kita tetap seperti itu juga. Fikirkanlah........

No comments: