Monday, September 19, 2011

Jangan jadi kaki "kencing"

Tadi saya menghadiri satu mesyuarat membincangkan darihal hutang tertunggak. Hakikatnya manusia hari ini tidak terlepas dari keperluan untuk berhutang. Masalahnya apabila kita tidak bijak atau cuai dalam menguruskan hutang maka akibatnya kita menjadi mangsa hutang. Inilah yang lazimnya berlaku.

Kita berhutang untuk membeli rumah, untuk membeli kereta, ada yang berhutang untuk memajukan lagi perniagaan atau sebagai modal perniagaan. Ada juga berhutang melalui kad kredit, ini sudah pasti antara yang paling popular. Ada juga berhutang kerana mahu berkahwin, mahu melancong dan sebagainya. Ada yang punya asas untuk berhutang ada juga yang berhutang ikut suka.

Memang apabila kita perlu wang maka kita akan gunakan apa sahaja ilmu dan kepakaran diri untuk merayu bagi mendapatkan wang tadi melalui berhutang. Ini samada melalui institusi kewangan, peminjam wang berlesen termasuk “ah long” dan yang paling popular melalui saudara mara,atau kawan-kawan.

Saya pernah berhutang dan pernah juga memberi hutang. Jadi apabila kita berhutang sepatutnya kita memikul amanah untuk membayar kembali jumlah yang kita hutang itu dan menepati apa sahaja syarat dan janji yang telah kita buat semasa mahu mendapatkan hutang tadi.

Sudah pastilah nama baik dan maruah kita menjadi cagaran apabila kita berhutang terutama dengan kawan-kawan atau saudara-mara. Apabila kita tidak menepati janji apalagi kalau melarikan diri pula dari hutang tadi ringkasnya tidak mahu bertanggungjawab sudah semestinyalah nama baik dan maruah kita akan ternoda. Begitulah juga apabila berhutang dengan institusi kewangan kita akan di “black list” dan seumpamanya. Dengan “ah long” pula nahas padahnya!

Saya ada kawan-kawan yang semasa mencurahkan masalah dan kesusahan mereka sampai mengusik hati, jiwa dan perasaan kita. Lalu kita terpanggil untuk membantu dengan sangkaan kawan ini pasti membayar balik apabila ia senang atau sebagaimana yang ia janjikan. Tetapi apabila tiba waktunya ia bertangguh-tangguh, lebih parah lagi cuba melarikan diri dan ada yang paling muka tebal mampu berlakon seolah tiada apa yang berlaku.

Akibatnya kawan menjadi lawan, harga diri dan maruah tergadai dan tiada lagi dihurmati.

Kesimpulannya nasihat kepada diri kita sendiri jauhilah dari berhutang lebih-lebih lagi dengan kawan-kawan atau saudara-mara. Kalau terdesak sangat pastikan anda nanti mampu mebyara kembali sebagaimana yang dipersetujui. Jika ada masalah, jangan larikan diri, bertanggungjawablah samada minta tangguh dan buat perjanjian baru.

Sesungguhnya maruah dan harga diri kita lebih mahal dari dicap sebagai “kaki kencing” – istilah popular hari ini.

Anda ada pengalaman?

No comments: