Tuesday, May 31, 2011

65 tahun: Umno makin dipinggirkan

Umno meraikan ulangtahunnya yang ke 65 baru-baru ini. Di saat dunia sedang menuntut kepimpinan yang telus, adil dan bersih, Umno menyeret usia tuanya dengan kudis dan pekung yang memualkan angkara ketempangan dan kepincangan barisan kepimpinan partinya dari satu dekad ke satu dekad.


Bermula dengan kelantangan menentang gagasan Malaysan Union yang mahu dipaksakan oleh Inggeris ke atas Tanah Melayu pada tahun 1946, Umno menyusup di segenap ceruk dan rantau kampung-kampung Melayu sehingga akhirnya terlibat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dan akhirnya memegang tunggak pemerintahan apabila Negara mengecap kemerdekaan pada tahun 1957.


Umno dewasa dalam keseronokkan meraih sokongan padu umat Melayu dan rakyat Malaysia amnya lantaran kelicikkannya menggunakan kuasa yang ada ditangan untuk memenangi sokongan sehinggakan orang Melayu bagaikan terasuk membuta-tuli terus-menerus taat dan menyokong mereka.


Melalui kuasa Umno membeli sokongan. Dan melalui kuasa juga Umno bangkit bongkak seolah akan menongkat langit terus berkuasa kerana umat Melayu dan rakyat Malaysia amnya sudah berpuas hati sehingga tak mampu menyingkirkan mereka dari takhta kekuasaan. Malah pernah dalam kempen-kempen mereka lantaran khayal dengan kuasa, pimpinan Umno mengungkapkan, letak siapa sahaja menjadi calon hatta “tunggul kayu” sekalipun, orang Melayu tetap memangkah Umno.


Sekurang-kurangnya itulah pemahaman Umno dan itulah pemahaman orang-orang Melayu yang mereka berjay
a khayalkan suatu ketika dahulu.


Bagi orang-orang Melayu khasnya dan rakyat yang lain amnya Umno penyumbang besar dalam saham memperjuangkan kemerdekaan Negara. Jasanya terlalu besar lantas muncul persepsi tanpa Umno tidak Merdeka Negara ini maka lantaran taatnya orang Melayu pada prinsip terhutang budi dan membalas jasa lalu terikatlah orang Melayu dengan sumpah “pantang tak mengundi Umno”.


Sejarah perjuangan kemerdekaan pun sebenarnya telah diolah oleh Umno berikutan kuasa yang kukuh ditangan mereka. Lebih berdekad-dekad kini dengan keterbukaan dunia barulah kita mengetahui rupanya sejarah Umno sebagaimana sejarah keganasan Tentera Jepun dalam buku teks rakyat Jepun hari ini, telah ditokok tambah dan dipinda-pinda menurut kesesuaian.
Bekas pejuang dan pemimpin wanita AWAS dan Rejimen ke 10, Allahyarham Shamsiah Fakeh dalam bukunya “Memoir Shamsiah Fakeh dari AWAS ke Rejimen ke 10 (Penerbit UKM)” menulis:


“Seperkara yang menghairankan dan yang menyedihkan ialah parti Umno ini mengambil politik dan pendirian yang bekerjasama dengan penjajah Inggeris dan menentang parti dan pertubuhan kebangsaan sayap kiri. Umno mulanya memakai semboyan “Hidup Melayu” dan menetang semboyan “Merdeka”. Dipandang daripada pengertian politik orang revolusiner, bahawa Umno pada masa itu adalah parti reaksioner. Sejarah telah membuktikan bahawa dalam perjuangan menuntut kemerdekaan tidak ada ahli Umno yang ditangkap atau dipenjarakanoleh kerajaan penjajah British. Apatah lagi tiada seorang pun yang mati ditali gantung”.


Umno terus meniupkan sentimen jasa dan sumbangannya pada kemerdekaan dan pembangunan Negara sebagai modal kewajaran rakyat mengundi dan menyokongnya tiap kali pilihanraya. Tetapi kemajuan pemikiran dan keterbukaan dunia kini ternyata melapokkan modal Umno itu. Yang dituntut rakyat dewasa ini bukan lagi politik zaman Bangsawan tetapi lebih pada penilian kepimpinan, akhlak dan moral yang berkaitan dengan ketulusan dan kebersihan sesuatu yang makin ketara sunyi dalam Umno.


Baru-baru ini bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohammad ketika mengulas ucapan Presiden Umno semasa perayaan 65 tahun parti itu berkata Umno perlu bangkit dari sebarang masalah yang mengancam perpaduannya. Politik cantas-mencatas kata Mahathir mesti dihapuskan. Sesungguhnya amalan cantas mencantas ini bukan hanya hadir selepas Mahathir tetapi semasa Mahathir malah sebelum Mahathir, disaat-saat awal Umno pun sudah ada.


Bekas Ketua Pergerakan Wanita Umno (ketika itu dikenali sebagai Kaum Ibu) Allahyraham Khatijah Sidek di dalam bukunya “Memoir Khatijah Sidek Puteri Kesatria Bangsa (Penerbit UKM)” menulis:


“Saya masuk Umno pada bulan April 1953. Masa itu Umno masih lemah seperti kerakap di atas batu. Saya bekerja keras supaya Umno berkembang di peringkat bawah dan sentiasa menjalankan segala kerja yang diatur. Sekarang Umno menjadi sebuah pokok yang besar, kuat dan rendang. Tetapi mereka yang menentang saya berkata: Kalau Khatijah yang macam batu api ini terus dalam Umno, nama Umno akan rosak”


Khatijah menceritakan bagaimana setelah mengaktifkan Wanita Umno seluruh Negara dan diambang Kemerdekaan beliau dipecat kerana ada elemen dalam Umno bimbangkan pengaruh beliau – contoh cantas mencantas peringkat awal dalam Umno!


Hari ini Umno berusia 65 tahun. Gengaman pengaruhnya atas orang Melayu hakikatnya semakin longgar. Hari ini Umno hilang kuasa di empat buah negeri iaitu Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. Hari ini suara Melayu di Parlimen bukan hanya didominasi Umno tetapi sudah juga diwakili PAS dan PKR.


Malah kemampuan Umno memerintah dan memimpin semakin dipinggirkan berikutan tertariknya minat rakyat Malaysia termasuklah orang-orang Melayu terhadap kualiti kepimpinan pemimpin-pemimpin Melayu dalam PAS dan PKR. Nama-nama seperti Nik Abdul Aziz, Anwar Ibrahim, Hadi Awang, Azizan Razak, Khalid Ibrahim, Dr Hasan Ali, Azmin Ali semakin banyak disebut dan diberi perhatian berbanding nama-nama dalam Umno.


Rekod Umno yang 65 tahun itu lebih padat dengan kepincangan Presiden yang disingkir Timbalan Presiden yang dipecat, pemimpin-pemimpin kerajaan yang bermasalah termasuklah Menteri Kabinet, Menteri Besar yang rasuah dan dipenjara, akhlak dan moral yang mengaibkan lantas tidak keterlaluan jika pada usia senja ini kita merakamkan bahawa Umno sesungguhnya berhadapan dengan krisis survival yang kronik.


Relevan lagikah Umno untuk tahun-tahun mendatang ini? Atau sudah wajarkah mereka dirihatkan demi untuk diganti dengan kepimpinan Melayu yang lebih berkelayakan, bertanggungjawab, serius dan prihatin pada nasib dan masadepan rakyat termasuklah orang-orang Melayu?


Kemanakah perginya Umno selepas 65 tahun ini, hanya Allah dan rakyat Malaysia khasnya orang-orang Melayulah yang akan tentukan, pastinya mereka mahu sesuatu yang lebih baik bagi mereka dan keturunan mereka sesuatu yang Umno terbukti sudah semakin uzur untuk melahirkan.


Artikel ini terbit dalam akhbar mingguan SISASH Bil 0265

No comments: