Wednesday, April 06, 2011

Berilah keutamaan pada yang perlu diutamakan

Saya sempat menontan Buletin Pagi di TV3 dan tertarik dengan sumbangan Yayasan Sime Darby kepada beberapa sekolah khas yang mengendalikan kanak-kanak cacat penglihatan. Sumbangan berbentuk buku-buku dan muqadam Braille diterima oleh Pengerusi Persatuan Braille Malaysia Dato Mah Hassan Omar.

Apa yang menarik perhatian adalah apabila Dato Mah menyatakan yang buku-buku dan kemudahan Braille sangat berkurangan untuk kegunaan anak-anak di sekolah. Benarkah demikian? Malah salah seorang guru yang ditemuramah menyatakan yang betapa kurangnya bahan-bahan Braille sehingga guru sendiri terpaksa mem “Braille” kan bahan-bahan untuk digunakan oleh anak-anak murid.

Saya mahu mendedahkan perkara ini kerana saya perhatikan kebelakangan ini “priority” atau keutamaan kita tampak seakan menyusukan beruk di hutan (maaf menggunakan peribahasa yang agak kasar ini). Apabila Newa Zealand dilanda gempa dan Jepun disapu tsunami kita bergegas mahu membantu, kita kumpulkan wang sehingga ada yang dikumpul dari salah sebuah daerah paling miskin di Semenanjung iaitu di Baling untuk membantu mereka yang malang di Jepun.

New Zealand dan Jepun adalah negeri maju dengan pendapatan per kapita untuk rakyat New Zelanad sebanyak RM84 000 dan Jepun RM 102 000 berbanding Malaysia yang cuma RM46 000. Baiklah apabila kita bergegas membantu sejurus ada yang ditimpa malang dan musibah tapi dalam waktu yang sama bukankah yang lebih dekat yang perlu dibantu terlebih dahulu sebelum kita bangkit untuk yang jauh?

Mungkin bacaan saya salah tetapi kalau ada anak-anak kita yang tidak bernasib baik terpaksa menderita kerana bahan bacaan “Braille” tiada, bukankah mereka yang lebih utama perlu dibantu? Jangankan mereka saya yakin ramai lagi rakyat di Malaysia yang masih dalam kategori kais pagi makan pagi tetapi hilang dari penglihatan dan pengetahuan kita kerana kita lebih laparkan publisiti dan mahu bermegah di kaca TV!

Orang Baling pun dalam kes ini masih ramai yang susah, begitu juga di Sarawak yang akan melalui proses penamaan calonnya pagi ini.

Bantulah orang susah dan ditimpa musibah tapi jangan terlepas pandangan yang di depan mata. Semoga banyak lagi Yayasan dan tokoh korporat yang keluar membantu sebagaimana Yayasan ini.

No comments: