Sunday, March 20, 2011

PR Pulau Pinang jangan seperti BN

Satu dari perangai buruk BN yang mengundang kemarahan rakyat adalah diskriminasi terhadap mereka yang tidak menyokongnya. Kisah yang biasa kita dengar satu ketika dahulu adalah penafian pembangunan dan kemudahan infrastruktur pada kawasan-kawasan yang tidak mengundi dan menyokongnya.

Kita biasa mendengar cerita contohnya jalan kampong yang hanya melalui kawasan-kawasan tertentu tetapi putus dan terabai di kawasan-kawasan lain semata-mata kerana diskriminasi ini.

Pernah di Sabah ketika Datuk Harris Salleh Ketua Menterinya, status Tambunan sebagai Daerah diturunkan semata-mata kerana Pairin Kitingan memilih keluar Berjaya dan menjadi ADUN Bebas.

Pakatan Rakyat sewajarnya mengelakkan perangai seumpama ini jika tidak kita juga nanti mengundang kemarahan rakyat dan akibatnya kita juga ditolak seperti mereka.

Saya membangkitkan hal ini apabila membaca kenyataan Pengerusi Task Force Telekomunikasi Pulau Pinang Jeff Ooi (blogger yang kini ahli parlimen) bahawa kemudahan WIFI yang mahu diperkenalkan oleh kerajaan negeri itu tidak akan meliputi tiga kawasan parlimen yang tidak menyokong PR iaitu Kepala Batas, Nibong Tebal dan Tasek Gelugor.

Setekat ini kerajaan negeri akan membangunkan 750 hot spots meminggirkan ketiga-tiga kawasan parlimen berkenaan atas alasan kurang sumber, dan Jeff menambah :

If the local people in the constituencies want WiFi, then they should vote for Pakatan (Jika penduduk tempatan (di sana) mahu mendapatkan WIFI mereka mesti mengundi Pakatan)

Kekurangan sumber adalah satu hal tetapi apabila tidak menyokong Pakatan turut diguna sebagai alasan maka jadilah kita sebagaimana BN. Saya fikir kerajaan negeri pimpinan YAB Sdr Lim Guan Eng perlu memperbetulkan kenyataan Jeff itu agar kita tidak dilihat mendiskriminasi sebagaimana BN.

Pulau Pinang menurut laporan yang saya terima merupakan salah sebuah negeri PR yang paling kukuh dan stabil, jangan kerana tidak berhati-hati kita membuka ruang buat musuh menyerang kita dan akhirnya kita kecundang semata-mata kerana kita ghairah dan longgar dalam pertimbangan.

No comments: