Monday, March 07, 2011

PAS tak kan musnah angkara Merlimau dan Kerdau

Kekalahan PAS di Merlimau dan Kerdau terus menjadi isu hangat dihangatkan oleh mereka yang mahu curi kesempatan menyerang PAS dan Pakatan Rakyat. Inilah peluang untuk menjatuhkan PAS. Inilah peluang untuk membuktikan perjuangan PAS sudah tidak relevan. Bahawa Pakatan Rakyat sudah sampai kesaat kehancurannya.

Media arus perdana tersohor ke hadapan dalam usaha-usaha jahat ini

Saya sendiri dihubungi oleh wartawan sebuah akhbar harian berhubung keputusan ini. Adat pertandingan ada menang dan ada kalah. Jangankan calon PAS, Lim Kit Siang dan Karpal Singh pun pernah tewas dalam pilihanraya begitu juga Tuan Guru Nik Abd Aziz di parlimen Bachok satu ketika dahulu.

PAS sendiri kalah teruk dalam pilihanraya umum Persekutuan yang pertama pada tahun 1955. Cuma menang satu kerusi di Kerian, sehingga Almarhum Prof Zulkifli Mohamad sendiri tewas di Selangor dan hilang wang pertaruhan. Ketika itu usia PAS setahun jagung. Kalau disebabkan kekalahan itu maka PAS perlu dibubar atau pemimpinnya ditukar niscaya tidak adalah PAS hari ini.

Saya beritahu wartawan berkenaan sesungguhnya kalau kita lihat dari rekod pilihanraya-pilihanraya kecil selepas PRU 2008, antara PAS dan Umno sebenarnya baru seri 1-1. Ukuran perlu dibuat berdasarkan kerusi yang gagal dipertahankan. PAS betanding dan mencabar BN-Umno di parlimen Kuala Terengganu. Keputusannya PAS menang bermakna PAS punya satu markah merampas kerusi BN. Di Galas, Kelantan, BN-Umno berjaya merampas kerusi PAS apabila calon mereka mengalahkan calon PAS. Bermakna Umno juga punya satu markah merampas kerusi PAS.

Lantas muktamadnya setakat ini baru seri 1-1.

Kerusi-kerusi lain termasuklah terbaru Merlimau dan Kerdau, Umno-BN berjaya mempertahankan kerusi mereka, oleh itu tiadalah berlaku perampasan kerusi. Demikian juga ketika PAS berjaya mempertahankan kerusi parlimen Bukit Gantang.

Saya tidak nampak PAS mengalami “setback” yang teruk ekoran kekalahan ini kerana ianya sesuatu yang lumrah dan biasa dihadapi. Malah menurut rekod PAS pernah kalah dalam pilihanraya kecil namun menang kembali semasa pilihanraya umum contohnya DUN pengkalan Pasir di Kelantan dimana PAS tewas kepada Umno dalam satu pilihanraya kecil pada tahun 2005, calon Umno menang dengan majoriti 134 undi. Walaubagaimanapun dalam PRU 2008 lalu calon PAS berjaya merampas kembali kerusi berkenaan dengan menewaskan calon Umno dengan majoriti 2,348 undi!

Memang keputusan di Merlimau dan Kerdau menunjukkan PAS tewas dengan gagal mempertahankan undi lama. Tetapi kalah dalam pilihanraya kecil bagi PAS dalam sejarah pilihanraya di Malaysia adalah sesuatu yang biasa. Menang adalah luar biasa.

Jangan ditolak ketepi PAS semata-mata kerana kekalahan ini. PAS masih relevan dan kuat. Masih punya dua MB di Kelantan dan Kedah, masih ada wakil dalam kerajaan Selangor, masih punya 23 ahli Dewan Rakyat dan 3 wakil di Dewan Negara.

Presiden dan Timbalan Presiden serta pimpinan PAS tak perlu dipersalahkan kerana kekalahan ini, ia suatu ujian. PAS mencatat prestasi buruk di bawah Presiden ini pada PRU 2004, namun berjaya melantun ke atas kembali dengan rekod pencapaian terbaik di bawah pimpinan Presiden yang sama pada PRU 2008 baru-baru ini.

PAS adalah sebuah gerakan Islam yang mengamalkan kepimpinan berjemaah. Ianya keputusan kolektif dan jika kalah atau menang ia pertanggungjawaban bersama. Bila kalah di Uhud Rasulullah tidak diperasalahkan, ia ujian dari Allah, dan umat Islam bangkit kembali selepas itu.

Insyallah PAS akan berjaya mengatasi kekecewaan di Merlimau dan Kerdau ini. Yang penting perjuangan ini perlu diteruskan dengan penuh iltizam dan istiqomah. Jangan biarkan musuh mengeksplotasi kita dikala murung, nyahkan musuh dalam selimut.

2 comments:

cheley said...

Salam,
Betul apa yang tuan katakan, itu bukan kekalahan PAS, tetapi BN berjaya mengekalkan kerusi yang dimilikinya. PAS tak kalah apa-apa dan tak hilang apa-apa, wang pertaruhan pun masih kekal, yang kalah adalah BN kerana terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk mengekalkan kerusi yang memang dimilikinya sebelum ini, mungkin PRU 13 PAS melalui PR akan sapu bersih kerusi BN seperti ini...Insyaallah.

Anonymous said...

Salam, pengundi bandar seperti kebanyakan di selangor xkan terperdaya dgn segala dakyah dan kemewahan Bn..biarlah PR nampak mcm x kuat asalkan kebajikan rakyat terjaga...hidup PR..