Saturday, January 15, 2011

PAS memegang amanah memperkasakan Islam

Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 menyenaraikan beberapa kesalahan yang diistilahkan sebagai jenayah syariah jika dilakukan oleh umat Islam dan hukuman yang boleh dikenakan ke atas pesalah jika sabit kesalahannya.

Enakmen ini telah dilulus dan diwartakan pada tahun 1995 iaitu di bawah kerajaan BN yang diterajui Umno. Namun demikian ia tinggal di atas kertas tanpa sebarang inisiatif untuk memastikan ia dilaksana dan dikuatkuasakan memandangkan Umno tidak meletakkannya sebagai suatu keutamaan. Enakmen ini dijaja apabila berhadapan dengan pengaruh PAS semasa kempen pilihanraya tetapi setelah kempen ia kekal sebagai hiasan dalam kertas.

Kini PAS merupakan rakan kongsi dalam kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. PAS jelas prinsip dan dasar perjuangannya iaitu bermatlamat mahu memartabatkan Islam. Walaubagaimanapun kedudukan PAS dalam kerajaan campuran ini tidaklah mutlak sebagaimana contohnya di Kelantan. Oleh itu capaian keupayaan politiknya terbatas, namun tidak bermakna ia harus diam dan berpeluk tubuh.

Dengan sedikit kuasa yang ada ia perlu berusaha, tidak seperti Umno yang punya kuasa mutlak namun sunyi menikus apabila berhadapan dengan tuntutan Islam.

Perkembangan yang melibatkan MPSJ adalah satu contoh dimana PAS di Selangor akan berusaha secara hikmah, mencari peluang member makna dan keperkasaan kepada Islam dimana sahaja ada ruang.

Enakmen ini telah sedia ada, ia mungkin tidak menepati sepenuhnya tuntutan syariat Islam sebenar sebagaimana termaktub dalam al Quran dan Hadis, tetapi sekurang-kurangnya ia suatu permulaan, suatu ruang terbuka, yang perlu dipergunakan bagi menjelas mesej Islam dan bagaimana Islam berusaha menyelamtkan ummah dari kancah kebinasaan.

Selangor adalah sebuah negeri yang bermasyarakat majmuk. Kehadiran masyarakat berbilang kaum di Selangor menuntut PAS membawa kaedah yang berhikmah dalam menerap dan memperkenalkan Islam walaupun sekadar dikalangan masyarakat Islam sahaja.

Masyarakat bukan Islam, bukan pasti akan merasa terancam, gelisah dan tidak senang apabila kita mengambil langkah melaksanakan Islam dalam masyarakat. Inilah realiti yang ada, oleh itu kita dituntut agar sentiasa bijaksana, yang penting kita ada usaha dan iltizam.

Seluruh ahli dan pimpinan PAS sedar bahawa dengan amanah yang ada walaupun bukan mutlak, pertanggungjawaban terhadap amanah itu sentiasa berdiri di hadapan. Menang bukan sekadar di dunia tetapi di akhirat kemenangan ini akan dipersoal oleh Allah swt. Oleh itu ruang kemenangan ini perlu diperguna bagi membawa mesej Islam dan mempamirkan keadilannya kepada masyarakat.

PAS Selangor menyumbang dalam berbagai peringkat untuk memartabatkan Islam melalui kerajaan Pakatan rakyat ini. Gaya kepimpinan Islam dikalangan pimpinan masyarakat dari EXCO ke ahli parlimen, ADUN terus ke ahli-ahli majlis, ketua-ketua kampong, JKKK PAS perlu diserlahkan. Program-program Islam termasuklah memerdekakan masjid-masjid dan surau-surau seluruh Selangor, menjadikan masjid sebagai wahana transformasi ummah, menghidupkan institusi pengajian dan pendidikan Islam, membawa keadilan dalam pengagihan zakat dan bantuan, menerapkan unsure Islam dalam aktiviti dan program kerajaan, semua ini dihidupkan hasil kehadiran PAS dalam kerajaan.

Biar ada bezanya antara PAS memerintah dan Umno walaupun kedudukan PAS hanya kecil berbanding Umno dalam kerajaan. PAS mahu ganti Umno, kerana itu PAS perlu serius dan berterusan dengan kuasa yang dipinjamkan oleh Allah swt di Selangor ini untuk menzahirkan keadilan Islam.

No comments: