Wednesday, December 29, 2010

Jangan tunduk pada duri dalam daging di di Selangor

Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor dijangka mengadap Tuanku Sultan Selangor hari ini untuk berikhtiar menyelesaikan kemelut perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (meneurut maklumat Tuanku kini bercuti sehingga awal bulan hadapan).

Sementara itu bekas MB Selangor Khir Toyo dilapor menasihatkan Khalid agar membaca Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor terlebih dahulu sebelum mempertikaikan perlantikan bekas Pengarah JAIS Kusrin Manawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru. Khir juga menyeru Khalid agar tidak payah mengadap Sultan semata-mata kerana beliau tidak dimaklumkan darihal perlantikan ini oleh pihak Jabatan perkhidmatan Awam( JPA).

Terima kasihlah Khir kerana prihatin dalam isu ini. Saya rasa bagi Khir sendiri nasihat yang paling baik baginya adalah bersedia menghadapi pertuduhan rasuah terhadap beliau. Angkara pertuduhan rasuah itu nama beliau langsung tidak terbabit dalam rombakan kepimpinan Umno negeri. Rakyat Selangor resah dan gusar ekoran perkembangan membabitkan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri ini, kerajaan yang mereka pilih mentadbir dan mengurus negeri sewajarnya berhak memilih dan terlibat dalam membuat keputusan siapakah yang paling layak.

Yang tentunya Khusrin tidak layak! (Ramai lagi pegawai yang merupakan anak Selangor lebih tinggi pencapaian akademik, berkaliber, berpengalaman dan profesional)

Bayangkan persepsi para pegawai kanan Selangor, apabila mereka yang layak dan berkaliber ini dipintas secara kejam dan penuh berbaur politik oleh pihak kerajaan Pusat dan Umno.

Umno sedang merancang secara bersungguh untuk menjatuhkan kerajaan sah Pakatan Rakyat Selangor yang dinobatkan oleh rakyat. Usaha melantik Khusrin ini diyakini salah satu kerja untuk mematahkan popularity kerajaan pimpinan Tan Sri Khalid.
Rakyat Selangor akan sentiasa berdiri teguh dibelakang MB mereka. Keputusan nanti mungkin tidak berpihak kepada kerajaan negeri, kalau demikian maka kerajaan negeri perlu mengambil langkah mengerhanai Khusrin agar tidak berlaku dua MB di Selangor dalam satu waktu!

Kita tidak mahu ini berlaku tetapi sekiranya hasrat dan aspirasi rakyat serta kerajaan negeri tidak dihormati maka mengapa pula kita mesti dipaksa menghormati sesuatu yang tidak sah. Jangan sampai ada individu yang tidak diberi mandat rakyat bermaharajalela di negeri ini.

Bersedialah menghadapi duri dalam daging, musuh dalam selimut, yang penting kerja-kerja jahat ini pasti dihukum oleh rakyat dalam PRU ke 13 nanti.

Tuesday, December 28, 2010

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor “diculik” ?

Semalam Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hasan mengumumkan bekas Pengarah JAIS Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru. Dalam waktu yang sama MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengeluarkan kenyataan bahawa perlantikan tersebut masih belum muktamad.

Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri ini adalah penjawat awam yang paling kanan dalam negeri yang akan duduk sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berama MB dan barisan EXCO negeri. Oleh itu sewajarnyalah amalan memaklum dan mendapat persetujuan negeri dikekalkan. Langkah kerajaan Persekutuan “menculik” jawatan ini sangat dikesali dan tindakan melantik seorang pegawai yang sememangnya selama ini bermasalah dengan pentadbiran negeri sudah pastilah mencetuskan syak wasangka betapa wujudnya konspirasi menggagalkan kelicinan pentadbiran negeri.

Menurut beberapa portal berita kerajaan negeri telah bertindak proaktif melaksanakan pemilihan dari kalangan pegawai-pegawai kanan negeri yang layak dan berkualiti. Suatu pemilihan yang diketuai sendiri pimpinan negeri telah dilaksanakan dan tiga nama dari kalangan yang paling layak telah dipersembahkan kepada pihak Istana untuk dipilih.

Bagaimana KSN pula yang boleh memaklumkan bahawa pusat telah peroleh perkenan Istana Selangor sedangkan urusan dengan istana adalah hak negeri? Mengapa jawatan MB tidak dihormati?

Rakyat Selangor berhak mendapat seorang Setiausaha Kerajaan Negeri yang professional, berkaliber dan mampu melaksanakan tugas selari dengan kehendak dan aspirasi kerajaan negeri. Meletakkan seorang yang sebaliknya, sudah pasti akan merencatkan “delivery system” apalagi jika pegawai itu lebih cenderung kepada pihak yang mahu menggagalkan kejayaan negeri.

Rakyat Selangor telah memberi mandat kepada kerajaan Pakatan Rakyat untuk menerajui mereka, sebarang langkah seumpama ini dilihat sebagai usaha jahat memperkosa mandat itu dan membelakangkan kuasa dan hak rakyat. Jika BN dan Umno melonjak gembira dengan kerja “menculik” ini, jangan mereka lupa rakyat Selangor yang berilmu itu sedang melihat dan memerhati perkembangan yang memalukan ini.

Saya yakin dan percaya tindakan tidak demokratik ini akan mengundang kemarahan rakyat dan Umno serta BN lah yang bakal menjadi mangsa paling besar apabila ralyat melaksanakan hak mereka pada pilihanraya umum ke 13 nanti.
Selamat mencabar kesabaran rakyat.
Umno Selangor makin kacau?

Umno mengumumkan pimpinan negeri-negeri yang baru bagi parti tersebut. Yang menarik dua buah negeri dimana parti tersebut kecundang iaitu Kedah dan Pulau Pinang melihatkan pemimpin baru memegang teraju iaitu Ahmad Bashah di Kedah dan Zainal Abidin Osman di Pulau Pinang. Anehnya Selangor dimana BN dan Umno turut kecundang walau bagaimanapun tidak melihat sebarang perubahan.

Presiden Umno Najib Tun Razak yang sebelum ini mengetuai negeri dikuasai Pakatan Rakyat itu tetap kekal memimpin parti pembangkang di Selangor itu.

Soalnya tiadakah pemimpin Umno tempatan yang layak?

Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan apabila ditanya pemberita mengapa tiada perubahan di Selangor, jawab beliau kerana Selangor dikuasai “pembangkang” (siapa pembangkang di Selangor PR atau Umno?) maka sesuailah ia diterajui PM sendiri. Tapi bagaimana dengan Pulau Pinang dan Kedah dan bagaimana Kelantan? Mengapa tak letak PM juga dinegeri-negeri itu?
Nampak Selangor Umno Selangor telah hilang arah dan ketandusan pimpinan yang berkaliber yang boleh meletakkan kembali harapan pada parti usang itu untuk kembali menerajuinya? Mengapa tidak Khir Toyo? Mengapa tidak Satim? Rahman Palil? Noh Omar? Ezam Md Nor? Semuanya tak layak?

Sementara itu Pakatan Rakyat terus mengukuhkan kedudukan di negeri bertuah itu, ikon kekuatan PR untuk terus merampas takhta Putrajaya. Menurut laporan bagi suku tahun penghujung 2010 ini PAS contohnya berjaya mendaftarkan puluhan ribu lagi pengundi-pengundi baru, mengukuhkan lagi prospek PR berkuasa malah berpotensi menang lebih besar lagi. Jentera DAP dan PKR turut bertungkus-lumus memenangi keyakinan rakyat.

Umno semakin tenat dan kacau.......ayuh kikis saki baki kerusi mereka yang ada.

Friday, December 24, 2010

1 Malaysia: 1 BN atau 1 Umno?

1 Malaysia adalah cogankata dan logo yang diilhamkan oleh PM yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN. Kebelakangan ini ia digunakan dalam setiap acara dan kegiatan politik mereka termasuklah secara meluas semasa Konvensyen BN di Bangunan MCA baru-baru ini.

Asalanya ia lebih sebagai slogan penyatuan dan perpaduan tetapi dari itu ia bergerak semakin sebagai kata juang politik, dan kini tidak terpisah dari politik BN dan Umno. Dalam pilihanraya kecil Batu Sapi dan Galas penggunaannya sangat meluas oleh BN dan Umno.
Ternyata 1 Malaysia yang asalnya bermotif lain kini laku sebagai slogan politik BN dan Umno. Lalu jika benar ia mahu menjadi seruan politik mereka maka isytiharkanlah demikian. Mengapa rakyat dibelenggu dalam dilemma separuh ular separuh belut.

Kerana itu kerajaan Selangor mengambil langkah bijak dan proaktif, 1 Malaysia ini diharamkan sahaja penggunaannya kerana ia punya motif dan mesej politik yang tidak dibenarkan oleh peraturan tempatan yang digubal di zaman BN lagi.

TPM Muhyuddin berkata kerajaan Selangor gentar populariti 1 Malaysia. Bukan gentar Tan Sri, tetapi berterus-terang. Kalau mahu berpolitik, berterus-terang sahaja, jangan sembunyi-sembunyi, jangan mencuri kesempatan, jangan mengabur dan menipu rakyat. Kalau ular katakana ular kalau belut katakana belut.
Guna sahaja 1 Malaysia dalam semua iklan dan kain rentang Umno dan BN sebagaimana sekarang.
Sementara itu menurut laporan, Pusat Kajian Bebas Medeka Centre telah menerbitkan kajiannya yang terbaru terhadap prestasi kerajaan PR Selangor. Menurut Merdeka Centre, jika diadakan pilihanraya segera, Pakatan Rakyat akan mampu bertahan dan mengekalkan pemerintahan di Selangor.57 peratus dari 1,214 responden yang disoal menyatakan mereka yakin dengan arah tuju kerajaan PR di bawah Tan Sri Khalid Ibrahim. Rupanya tak popular semana lah 1 Malaysia sebagaimana dibayangkan?!

Thursday, December 23, 2010

Selangor dilanda konflik.........

Sejauh manakah kebenarannya, belum pasti tetapi angin bertiup kencang di Shah Alam, khabarnya calon kerajaan Pakatan Rakyat Negeri untuk mengisi kekosongan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri telah dikebelakangkan kerana memberi laluan kepada seorang yang lain.

Calon yang diberi keutamaan ini tidak pernah mendapat restu oleh kerajaan negeri malah sepanjang beliau memegang jawatan Pengarah sebuah jabatan, sering berkonflik dengan kerajaan dan pimpinan negeri, sehingga mencetuskan keresahan dan kadang-kala ketegangan.

Sejauh manakah kuasa MB dalam memberi nasihat kepada istana tidak pasti, tetapi apa pun penjawat jawatan awam yang sepatutnya membantu dan melicinkan pentadbiran kerajaan negeri berlandaskan aspirasi kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat, sewajarnya dipilih oleh "government of the day".

Amatlah malang bagi Selangor kiranya calon penjawat awam tertinggi di Selangor ini terdiri dari seorang yang tidak boleh bekerja apalagi berkongsi aspirasi kerajaan negeri. Sesuatu perlu diperbetulkan. Suara rakyat perlu dihormati!

Wednesday, December 22, 2010

PAS tidak akan korbankan perjuangan Islam

Berikut adalah laporan dari portal berita Malaysia Insider berhubung isu Negara Islam yang berbangkit ekoran kenyataan beberapa tokoh Pakatan Rakyat semasa dan selepas Konvensyen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang Ahad lalu:

Sementera itu, Hadi ketika dihubungi semalam pula berkata bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan sesiapa sahaja termasuk Karpal untuk menyelesaikan isu negara Islam.
Tambah Nik Aziz, walaupun negara Islam tidak disebut secara spesifik dalam Perlembagaan Persekutuan, namun sebenarnya ia secara rasmi sudah disebut dalam Artikel 3 tentang kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Walaupun dalam Perlembagaan (Persekutuan) tidak disebut secara spesifik “negara Islam” sebenarnya Artikel 3 tentang kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sudah cukup menjawab.

“Hakikatnya Malaysia sebuah negara yang sah untuk mendukung prinsip politik dan pentadbiran Islam.

“Saya syorkan pakailah tafsir Perlembagaan yang positif, tidak pesimis tentang Islam. Kerana agama persekutuan dalam maksud agama bagi negara, bukan sekadar rasmi malah agama perundangan.

“Maka sewajarnya dalam Perlembagaan itu dijelaskan maksud agama ialah ‘ad-din’, iaitu cara hidup yang lengkap dan menyeluruh, bukan kepercayaan semata-mata. Bila dimaksudkan sebagai ad-din, ia sudah meletakkan Islam sebagai akidah yang mantap tak boleh dicampur aduk,” katanya.

Oleh kerana itu, katanya, Islam sebagai sistem hidup yang harus dipakai sama dalam urusan politik pemerintahan.


Hakikatnya PAS tidak pernah sekali-kali lesu, menyembunyikan apalagi menguburkan hasratnya untuk berjuang bagi memartabatkan Islam. Dalam kerangka realiti politik di Malaysia hari ini, sesungguhnya tiada halangan ke arahnya walaubagaimanapun ia memerlukan pendekatan berhikmah, ikhlas dan iltizam. PAS dahulu, PAS hari ini dan PAS yang akan datang insyallah akan terus memegang erat cita-cita perjuangannya iaitu:

Memperjuangkan wujudnya dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hokum-hukumnya menuju keredhaan Allah (Fasal 5 (1) Perlembagaan PAS)

Inilah yang membezakan PAS dengan parti-parti lain termasuklah khasnya Umno.

Selagi PAS terus dipimpin oleh kepimpinan yang meletakkan matlamat ini mengatasi kepentingan peribadi, duniawi, insyallah Islam punya masa depan di Malaysia. Ramai yang terkorban, bermandi darah dan air mata, berkorban harta dan kedudukan demi menegakkan perjuangan suci ini di Malaysia, jangan biarkan pengorbanan itu sekadar sia-sia: “Bergeraklah ke gerbang jasa, kalah menang bukan alasannya, sucikanlah niat di hati, hingga nyata benarnya janji Rabbi....” (petikan lagu tema PAS)

Tuesday, December 21, 2010

PAS terus perkasakan Pakatan Rakyat

Semalam pihak media menghubungi saya ekoran kenyataan Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang di Konvensyen Pakatan Rakyat yang diadakan di Pulau Pinang Ahad lalu. Ada akhbar yang memuatkan di muka hadapannya, bahawa Tuan Guru Presiden PAS itu mendakwa PR akui kegagalannya.

Mungkin sesetengah pihak yang memiliki agenda jahat mahu menggambarkan yang seolah Presiden PAS menzahirkan ketidak-selesaannya dengan pakatan politik ketiga-tiga parti ini.

Saya jelaskan bahawa apa yang sebenarnya dinyatakan adalah muhasabah terhadap kelemahan yang ada, suatu teguran yang konstruktif yang bukannya mahu menghancurkan tetapi menggesa agar tindakan segera diambil agar memperkasakan lagi wadah yang diterima rakyat ini.

Berikut sedutan ucapan Presiden PAS:

Dengan perasaan penuh keikhlasan kita menyedari akan kelemahankelemahan ini, tetapi kita bukanlah seperti komponen musuh yang saling bercakaran sesama sendiri, lalu bertindak menyembunyikan masalah mereka sehingga ianya menjadi seperti ‘api dalam sekam’ yang menunggu masa untuk menjahanamkan negara kita yang tercinta ini. Inilah beza nya pakatan kita dengan mereka, di mana kita berani untuk berdepan, berbincang, berbahas, semuanya dalam semangat yang tulin bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam gagasan kita ini. Inilah yang ingin kita sampaikan kepada rakyat. "

Sebagai pemimpin dalam gabungan yang mewakili parti yang paling berusia, sudah pastilah PAS berhak menegur agar segala kelemahan yang muncul dalam pakatan ini segera ditangani, diperbaiki, agar ia menjadi bertambah kuat dan kukuh bagi menghadapi musuh politik yang satu iaitu BN.

“Perlu kita ingat, bahawa Pakatan kita ini bukan sahaja bergerak untuk menafikan kekebalan pemerintahan Barisan Nasional semata-mata, tetapi adalah untuk melaksanakan perubahan yang adil di mana keharmonian dan keupayaan masyarakat memahaminya di jadikan teras dalam perubahan dalam negara kita ini.”

Sebagaimana tegas Tuna Guru:

"PAS yakin dengan gabungan ini. PAS sedar rakyat memberikan pengharapan besar terhadap PR bagi mengambil-alih kepincangan dan ketempangan BN yang semakin ketara dari hari ke hari. Bagi menggalas tugas yang besar ini PR perlu bukan sahaja dilihat teguh tetapi benar-benar teguh luar dan dalam. PAS ingin menyatakan bahawa dasar yang ingin kita laksanakan dalam negeri di bawah Pakatan Rakyat perlulah bertitik tolak dari pemahaman bahawa (1) kita membaiki kerosakan yang ada dalam negara kita, (2) kita ingin meletakkan negara dan negeri di atas dasar yang sepatutnya, (3) semuanya dilaksanakan dengan semangat dalam perkara yang menjadi Dasar Bersama kita.

Tuesday, December 14, 2010

Selamat Hari Jadi Tan Sri Khalid

Selamat hari ulangtahun kelahiran yang ke 64 kepada MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim. Semoga Allah swt mengurniakan kekuatan untuk terus memimpin rakyat Selangor dengan adil dan bersih kearah kemakmuran dan kesejahteraan sejati. Semoga Allah swt teguhkan iman, pertajamkan taqwa, terus mengabdikan diri kepada Nya setiap waktu dan ketika.

Saya diberikan kesempatan mengenali Tan Sri seawal penyertaan beliau ke dalam PKR. Saya yang ketika itu mengetuai WTV8 sempat membikin sebuah segmen temuramah khas bersama beliau, sebelum pun menjadi MB. Saya diberikan kesempatan bersama beliau dalam beberapa siri ceramah politik awal termasuklah program pengenalan bersama PAS yang turut diserta Dato Dr Hasan Ali ketika itu.

Pernah berdemo bersama beliau di hadapan MPK ketika isu “Istana Zakaria”, memperkenalkan beliau kepada para pengundi khasnya penyokong PAS semasa pilihanraya kecil DUN Ijok. Dan banyak lagi peristiwa bersejarah dan manis semasa awal kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor sehinggalah beliau dilantik menjadi MB.

Beliau seorang yang jujur, keras bekerja dan sentiasa proaktif dan positif dalam pendekatan dan pemikiran.

Selangor bertuah kerana dikurniakan pemimpin seperti beliau.

Selamat hari jadi Tan Sri.
Saya tertarik dengan kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Ustaz Dato Harun Taib yang masih menaruh harapan disebalik apa yang dikatakan perpecahan yang membimbangkan dikalangan umat Islam ekoran persaingan politik dalam Negara. Kata beliau kiranya semua kembali kepada Islam, dan bersatu atas dasar akidah maka kita akan menjadi semakin kuat dan Negara turut terjamin keselamatannya.

Beliau turut menegaskan bahawa sejak PR dibentuk, PAS semakin mantap walaupun mungkin punya perbezaan fahaman dan perjuangan dengan rakan-rakan dalam Pakatan.

Islam terjamin bersama PAS

Isu perpecahan Islam dan bangsa Melayu memang merupakan modal mainan Umno untuk menagih simpati dan menyerang pencapaian PR.

Dewasa ini masyarakat Melayu Islam semakin yakin dengan kemampuan dan keupayaan PAS membela mereka terutama apabila melihat sendiri di negeri-negeri yang PR kuasai. Umno sekadar menepis dan menabur fitnah, bersilat dan mengadu-domba, sedangkan orang-orang PAS dari jentera parti sehinggalah ketua-ketua kampong, JKKK, nazir dan ajk masjid, ahli-ahli majlis dan jk penduduk, ADUN dan pejabat ADUN, EXCO dan lain-lain semuanya ikhlas dan bersungguh bekerja selain bantuan dan sokongan dari rakan-rakan dalam PR.

PAS kini terbit bukan sekadar pengganti Umno malah muncul sebagai alternatif yang jauh lebih baik, berkesan dan berwibawa. Nasib dan masa depan umat Melayu dan Islam, terpelihara . Dalam waktu yang sama hubungan dengan masyarakat bukan Islam/Melayu khasnya melalui sokongan dan bantuan rakan-rakan dari DAP dan PKR menonjolkan PAS sebagai parti yang terbuka dan tidak ekstrim dan radikal sebagaimana digambarkan Umno da komponan BN sebelum ini.

Kawan-kawan dalam Umno jika benar dan ikhlas mahu memperkasakan Islam maka jalan yang tinggal adalah bersama PAS menerajui isu ini. Buang yang keruh ambil yang jernih. Islam sebagaimana kata Ustaz Harun akan menjadi semakin kuat apabila kita insaf dan melangkah bersama untuk kebaikan.

Monday, December 13, 2010

Biar si kotor dengan kerja-kerja kotornya

Siapa kata Umno/BN tak goyah dengan kehadiran Pakatan Rakyat. Sejak PRU ke 12 lalu rumah tangga mereka tidak lagi aman seperti dahulu. Bersengketa, bercakaran, tidur tak nyenyak.

Pada satu waktu mereka cuba gambarkan yang mereka ini gagah, PR bagaikan nyamuk kecil yang tidak mendatangkan kesan apa pun. Tetapi hakikatnya mereka tidur berkelambu saban malam takutkan nyamuk kecil tadi.

Semalam MINGGUAN MALAYSIA bagaikan tiada modal, memaparkan wajah kaum keluarga Timbalan Presiden PKR Sdr Azmin Ali, seolah berita itu diharapkan dapat membunuh PKR dan menghancurkan PR. Lagu-lagu lama dimainkan diharapkan dapat membeli keyakinan dan sokongan ramai, ternyata ia hambar dan mencerminkan ketandusan moral dan “standard” pihak Utusan.

Hari ini kisah Wikileaks membabitkan Dato Seri Anwar pula mainan muka depan mereka dan beberapa akhbar arus perdana lain.

Mungkinkah dengan mainan wikileaks ini maka akan jatuh tersungkur PKR dan PR dan semakin kukuh dan kembali berkuasa Umno dan BN di negeri-negeri yang mereka dihambat keluar? Begitulah mungkin angan-angan mereka.

Apakah rakyat akan termakan begitu sahaja? Begitu rendah sekalikah pandangan mereka terhadap kemapuan berfikir rakyat Malaysia?

Bagi saya perkembangan ini menunjukkan BN dan Umno tiada modal kukuh untuk menjatuhkan kredibiliti dan kemampuan PR khasnya di negeri-negeri yang mereka kalah. Penerimaan rakyat terhadap kepimpinan PR di negeri-negeri ini terserlah berbanding ketempangan dan kepincangan mereka yang lampau.

Cari dan pungutlah modal-modal saduran dan palsu untuk mencuri pukul PR mana tahu menjadi, begitulah kira-kira taktik mereka.

Saya yakin rakyat Malaysia dewasa ini tidak mudah lentur keyakinan dan semangat mereka bagi lihat Negara ini terus selamat dan berjaya di bawah kepimpinan baru yang mahu di bawa PR. Sementara itu biarlah Umno dan BN berseronok dengan kerja-kerja kotor mereka, rakyat tahu orang kotor memang bermain dengan barang-barang kotor.

Friday, December 10, 2010

Bersama pertahankan Selangor dari kembali ke tangan BN

Muka 6 akhbar NST hari ini membawa tajuk: “Muhyiddin – We can win back Selangor”

Dimana Timbalan Presiden Umno yang juga TPM dalam satu majlis bersama pimpinan BN Selangor telah menyatakan walaupun sukar namun tidak mustahil BN dapat menawan kembali Selangor. Syaratnya kata beliau BN mesti memberi khidmat baik kepada rakyat dan mencapai mereka.

Ternyata setelah 2 tahun 8 bulan kehilangan negeri Selangor yang bertuah ini, Umno dan BN tidak berterusan kempunan dan tidur tak lena. Sesungguhnya Selangor ini dahulunya sememang merupakan kubu kuat BN. Adapun hamper kecundang dalam Pilihanraya 1969 tetapi sebelum dan selepas itu Umno mencengkam kuat negeri ini.

Kuatnya mereka bertapak dahulu sehinggakan ada pimpinan yang berani mengeluarkan kenyataan di Selangor ini kalau kita letak calon hatta tunggul kayu sekali pun ia tetap menang dan diteima rakyat.

Tetapi itu dahulu.

Dari tahun ke tahun ketidakpuasan hati rakyat membara. Pada awalnya ia sekadar bara yang kecil, tidak banyak mendatangkan kesan.

Pimpinan negeri mengambil kesempatan sepenuhnya atas sokongan dan dokongan rakyat. Korapsi bermaharajalela, penyelewengan, kepincangan, salah guna kuasa timpa menimpa dari tahun ke tahun. Walaupun pimpinan bertukar ganti namun penyakit dan kemelut ketempangan ini terus membusung dan berleluasa.

Tanah-tanah, hutan dan hasil mahsul negeri dikikis tanpa memperdulikan nasib dan masadepan rakyat dan negeri tercinta ini. Pernah Almarhum Tuanku Sultan sehingga mengeluh di TV: Habis tanah di Selangor Beta nak tinggal kat mana? Kat Pulau Ketam?!

Satu demi satu bukit diserahklan kepada pemaju tanpa banyak usul bicara. Digondol dan ditarah untuk meraih kekayaan yang dibahagi-bahagi hasilnya termasuk kepada orang politik. Hutan diperkosa, lombong dan sungai pun begitu.

Rakyat di bawah yang mahukan bantuan, diperalatkan dan dipergunakan untuk kepentingan politik. Subsidi dan bantuan diagihkan cuma pada kroni. Yang susah terus susah manakala kroni senang-lenang.

Wakil rakyat bukan berkhidmat untuk rakyat tetapi untuk diri dan kepentingan kroni. Begitu juga EXCO dan MB.
Demikianlah Selangor dahulu.

Bara kebencian rakyat akhirnya bangkit menyala dan menyambar hangus kedurjanaan mereka itu. Mac 2008 Selangor dibersihkan dari pimpinan yang tempang. Selangor diserahkan kepada saf kepimpinan baru, yang lebih bertenaga, ikhlas dan bersungguh mahu membela dan memperjuangkan nasib dan kepentingan rakyat.

Walaupun mereka baru dan belum diuji namun hakikatnya mereka bersih dan memberi pengharapan yang baru buat rakyat di negeri yang makmur dan kaya ini.

Rakyat tidak mahu kembali mengundang ketempanagan yang lampau. Baru beberapa hari lalu mereka melihat bekas pimpinan negeri diseret ke mahkamah angkara rasuah. Cukuplah mimpi ngeri yang lalu sebagai pengajaran buat semua.
Muhyuddin mungkin mahu BN “win back Selangor” . Tetapi ia bukan keputusan Muhyuddin, ia keputusan rakyat. Realitinya rakyat Selangor yang bijak dan berilmu tidak sekali-kali akan terjun kembali ke lubuk puaka setelah mereka berjaya menongkah keluar darinya.

Bersama kita mempertahankan Selangor dari kembali ke tangan BN!

Tuesday, December 07, 2010

Khir akhirnya didakwa RASUAH
Seluruh Selangor dikejutkan diambang tahun baru Hijrah semalam. Ketua Pembangkang Khir Toyo diseret ke mahkamah sesyen oleh Suruhanajay Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas pertuduhan rasuah.
Beliau dituduh di bawah seksyen 185 Kanun Keseksaan iaitu memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah bernilai RM6.5 juta hanya dengan harga RM3.5 juta daripada sebuah syarikat, tiga tahun lalu. (Tiga tahun lalu Khir ketika itu masih Menteri Besar Selangor). Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Sekiranya sabit kesalahan Khir boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pagi ini akhbar media perdana seluruh Negara memaparkan wajah sugul Khir di muka depan akhbar masing-masing.
Benarkah Khir rasuah? Buat masa ini beliau masih tidak bersalah melainkan disabitkan bersalah.


Kalau Khir sabit kesalahannya, maka Khir bukanlah bekas MB yang pertama dari Umno yang sabit kesalahan kerana rasuah. Allahyraham Dato Harun Idris pernah merengkok di penjara angkara rasuah.
Benarkah nilai tanah dan rumah Khir itu sekadar RM6.5 juta sebagaimana kertas pertuduhannya? Kalau ditanya ADUN Sekinchan, YB Ng Swee Lim katanya tanah, rumah dan segala binaan, perbaot dan hiasan “mahligai” Khir itu bernilai RM24 juta!

Apa pun Khir perlu jawab pertuduhan terhadapnya itu.

Hakikatnya tanah dan rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L Shah Alam itu milik Khir dan iserinya, bukan milik orang lain. Sebagaimana bekas MB Umno yang lain iaitu Mat Taib pada bulan Disember 1996 ditahan di lapangan terbang Brsibane, Australia dengan wang tunai berbagai matawang bernilai RM2.4 juta tunai. Walaupun beliau kemudiannya bebas, hakikatnya wang itu wang Mat Taib bukan wang orang lain.

Dari segi politiknya rakyat Selangor perlu diberitahu darihal kenyatan berhubung rumah Khir di seksyen 7 Shah Alam itu. Rumaah jutaan ringgit milik bekas MB Umno Selangor yang menjadi MB tidak sampai dua penggal. Orang Sg Panjang, otrang Sg Besar, seluruh penduduk Selangor, rakan-rakan ahli-ahli Umno, lihatlah.

Selangor perlukan pemimpin yang bersih dan berwibawa. Bukan pemimpin yang mampu berbelanja besar, untuk kepentingan diri dan keluarga, membina “mahligai” ketika rakyat sempot dalam kesusahan.

Hari ini rakyat mengerang kesakitan, petrol naik, diesel naik, gas naik, gula naik............tetapi pemimpin Umno yang bijak memerintah dapat membina rumah mahligai semasa menjawat jawatan MB. Pilihlah pemimpin jenis mana yang anda mahu?!

Sunday, December 05, 2010











Syabas rakyat Selangor

Kami sekadar mahu mempraktikkan hak yang dijamin oleh perlembagaan Negara yang berdaulat ini, iaitu hak untuk berhimpun dan bersuara. Kami mahu menyerahkan memorandum kepada Raja kami yang tercinta, pelindung demokrasi dan payung rakyat.

Kami bukan datang untuk mencetuskan huru-hara. Kami bukan datang untuk merusuh. Kami datang dengan aman, sebagai rakyat Selangor yang prihatin, rakyat negeri yang berdaulat di bawah Persekutuan Malaysia, datang dengan pemimpin kami yang dipilih rakyat, untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh rakyat.
Rakyat Selangor mahu menguruskan sendiri khazanah air mereka. Kami menjunjung kasih ke bawah Duli Tuanku Yang Dipertuan Agong agar menitahkan semoga hak air dikembalikan kepada rakyat melalui kerajaan Negeri Selangor.
Rakyat sudah sedia terbeban dengan pelbagai kos hidup yang meresahkan. Kami tidak bersedia pengurus air di Selangor sewenang-wenangnya menaikkan pula kos penggunaan air sedangkan kerajaan negeri komited untuk member air percuma, 20 meter padu pertama, kepada rakyatnya.
Kami bukan datang untuk bertempur dengan pihak polis.Kami mahu berjumpa Raja kami. Kami mahu serahkan memorandum kepada Tuanku. Kemudian kami bersurai.
Kami bukan mahu berkonfrantasi dengan pihak polis. Memang pihak polis ada tugas untuk dilaksanakan, begitu juga rakyat Selangor punya hak yang mahu dilaksanakan.
Kami tidak kisah diperlakukan, ditekan, dizalimi oleh pihak polis dalam menjalankan tugas kami, walaupun kamu tahu ada pihak “pemberontak” yang sekerat dua, berhimpun secara haram, tanpa mewakili mana-mana pihak yang berwibawa tidak pula diusik atau disentuh polis. Biarlah ada yang ditangkap, dihalang, yang pentingnya mesej kami perlu diketengahkan.
Syabas kepada mereka yang hadir mempertahankan hak rakyat Selangor siang tadi. Ini bukan perhimpunan politik, ini tentang nasib dan masadepan Selangor. Kalau tidak terkawal pengurusan air, terus-terusan diserahkan kepada syarikat kapitalis yang memeras, yang susah bukan sahaja penyokong PR, yang akan susah semua termasuk, Umno, MIC, MCA, tak berparti, semua akan terjejas.
Rakyat Selangor teguh dibelakang MB dan kerajaan negeri Selangor dalam isu ini.

Friday, December 03, 2010


KENYATAAN AKHBAR
KEMBALIKAN HAK AIR RAKYAT SELANGOR

PAS Selangor merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat negeri ini yang telah menandatangani memorandum rakyat berhubung isu mengembalikan hak pengurusan air kepada kerajaan negeri. Sesungguhnya respon yang sangat besar dan positif dari rakyat jelata seluruh negeri Selangor itu membuktikan keprihatianan rakyat betapa mereka mahu agar pengurusan air diserahkan kembali kepada kerajaan negeri demi menjamin pengurusan yang lebih efisyen disamping terus menikmati 20 meter padu pertama air percuma yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor.

Bagi pihak PAS Selangor saya ingin menyeru seluruh ahli dan penyokong parti serta rakyat negeri ini agar bersama mengiringi Menteri Besar Selangor dan barisan EXCO Kerajaan Negeri dalam menyerahkan memorandum itu kepada Yang Dipertuan Agong di Istana Negara pada hari Ahad ini.

Penyerahan memorandum secara aman kepada Yang Dipertuan Agong itu nanti akan merupakan simbol kesepaduan rakyat negeri Selangor dan rakan-rakan di Wilayah Persekutuan dalam menutut agar bekalan air di negeri ini dikembalikan kepada rakyat melalui kerajaan negeri.

PAS Selangor yakin rombongan secara aman itu akan berjaya melaksanakan tugas mereka dan mengharapakan tidak ada mana-mana pihak yang mencetuskan provokasi atau gangguan sehingga menggagalkan hak bersuara rakyat dalam Negara yang mengamalkan demokrasi ini.


DIKELUARKAN OLEH:

ROSLAN SHAHIR BIN DATUK MOHD SHAHIR
KETUA PENERANGAN
BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI SELANGOR

3 Disember 2010/ 26 Zulhijjah 1431