Saturday, July 31, 2010

Terima kasihlah Soi Lek

PM dari PAS begitulah tajuk akhbar Sinar Harian hari ini. Presiden MCA Chua Soi Lek dilaporkan berkata bahawa jika rakyat mengundi Pakatan Rakyat sehingga menguasai kerajaan pusat, maka calon Perdana Menteri kelak adalah daripada PAS.

Ini bakal berlaku katanya kerana PAS memiliki organisasi yang lebih tersusun dan keahlian yang besar seluruh negara.

Sesungguhnya kenyataan Soi Lek itu berupa dakyah yang mengandungi dua elemen jahat, pertama rakyat perlu berwaspada kerana jika PAS lah PM Malaysia maka masyrakat bukan Melayu khasnya akan merana. Keduanya ia bermaksud mahu menggegar perpaduan dalam PR, biar sesama PR berpecah-belah berebut siapa mahu jadi PM.

Saya sebentar tadi dihubungi wartawan meminta pandangan saya berhubung kenyataan Soi Lek itu. Saya katakan PAS berterima kasih pada Soi Lek, tetapi Soi Lek tidak berhak memutuskan apa yang berlaku dalam PR. Gabungan PAS, PKR dan DAP kukuh dan padu dan akan menentukan sendiri nasib dan masa depan kami, tanpa perlu Soi Lek sibuk-sibuk.

Malah rakyat juga perlu berhati-hati kiranya terus leka, tak mustahil jika Umno terus bermasalah, Soi Lek yang punya rekod akhlak yang “hebat” itu bakal naik sebagai PM BN, kerana itu jauhilah BN!

Jika pada PRU ke 12 lalu PAS bersetuju Dato Seri Anwar lah bakal menjadi PM kiranya pakatan ini berjaya, saya tidak fikir PAS ada masalah untuk terus mengekalkan kepercayaan itu.

Yang penting sekarang bahawa dakyah Soi Lek itu membuktikan betapa kuat dan kukuhnya pengaruh Pakatan Rakyat, sehingga seorang bertaraf Presiden komponan BN terpaksa menghinakan diri menjual dakyah menakut-nakutkan rakyat, seolah rakyat masih berfikiran seperti mereka pada tahuan 50an dulu.

MCA tidak perlu menakut-nakutkan rakyat dengan PAS. Jangankan di Semenanjung Malaysia, di Sibu pun baru-baru ini masyarakat Cina khasnya di sana menerima PAS dengan senang hati. Masalahnya masyarakat Cina sudah hilang kepercayaan pada MCA, kini mantan Presiden MCA diseret ke mahkamah, sebelumnya seorang mantan Presiden (Koon Swan) pernah diseret dan didapati bersalah. Apa lagi tinggal pada MCA selain seorang Presiden yang akhlaknya bakal membawa malapetaka buat BN pada PRU ke 13 nanti. Selamat jalan Soi Lek.

Friday, July 30, 2010

PR Selangor takkan bubar DUN

Kebelakangan ini kita dihidangkan dengan kesungguhan BN menghidupkan jentera pilihanraya masing-masing untuk menghadapi PRU ke 13. Terbaru Puteri Umno Malaysia melancarkan bilik gerakan pilihan rayanya.

Penggal pilihan raya ke 12 ini berakhir pada bulan Mei 2013 iaitu kira-kira 2 tahun 8 bulan lagi tetapi BN nampaknya berkobar-kobar mahu bersedia menghadapi PRU. Sudah pastilah ini merupakan taktik mereka untuk meletihkan lawan. Benarkah BN ghairah untuk menghadapi PRU sedangkan sesama komponan parti berkecamuk dengan krisis dan masalah.

Hari ini kesemua akhbar tempatan memaparkan betapa bekas Presiden MCA Ling Liong Sik dihadapkan ke mahkamah kerana menipu kabinet (ada orang berjenaka dengan saya kabinet ketika itu senang ditipu kerana Pengerusinya acap tertidur...........). MIC memang bermasalah tambahan dengan Gerakan Anti Samy nya, begitu juga Gerakan, PPP dan lain-lain. Malah Umno sendiri tidak terkecuali.

Contohnya di Selangor walaupun tak berkuasa, perubatan kuasa dalaman begitu sengit sehinggakan jentera seluruh Selangorkhabarnya tersangkut dan terencat.

Tak mengapalah kalau BN ghairah bermain-main dengan tarikh PRU. Pakatan Rakyat sewajarnya tidak mengikuti rentak mereka. Mungkin diperingkat Persekutuan, kita tidak berkuasa, tetapi kita berkuasa di empat nuah negeri. Kita sesungguhnya tidak terikat dengan kehendak parti pemerintah Persekutuan berhubung tarikh pembubaran dewan negeri.

Bagi kita yang lebih penting adalah meyusun dan memperkasa jentera. Fokus kita adalah mendaftar seberapa ramai pengundi baru, selain itu bekerja bagi memastikan rakyat merasai apa yang kita janjikan, disamping membersihkan negeri selangor dari amalan pincang yang lepas-lepas.

Kita tidak mahu terperangkap dengan permainan tarikh BN itu kerana ia hanya menganggu gerak-kerja kita diperingkat bawahan. Kerana itu dalam mesyuarat Pakatan Rakyat Selangor baru-baru ini kita bersetuju agar biar BN menari dengan lagu-lagumainannya, PR tidak akan layan.

Jika mereka benar membubarkan parlimen awal, kita tidak semestinya terikat sama. Jika perlu kita tangguh sehingga tamat penggal, kita akan buat begitu. Pokoknya Selangor mahu memberi tumpuan pada kerja-kerja untuk rakyat, yang pokoknya juga jika bubar dewan PR Selangor mahu pastikan kita akan menang besar dan mengikis kelaur apa sahaja saki-baki Umno dan BN yang ada dalam dewan Selangor.

Kerana itu kita putuskan kita tak semestinya ikut rentak BN.

Berikut ulasan portal berita Malaysia Insider terhadap kenyataan saya (untuk rekod 6 bulan yang saya sebut sebenarnya adalah contoh bukannya tempoh yang diputuskan):

Bubar DUN: Pakatan Selangor timbang beri notis awal PRU
Oleh G. Manimaran


July 30, 2010

KUALA LUMPUR, 30 Julai — Pakatan Rakyat (PR) Selangor dijangka akan menggunakan pendekatan memberi notis memanggil pilihan raya umum negeri - amalan julung kali digunakan jika menjadi kenyataan.

Perkara tersebut diputuskan pada mesyuarat pimpinan PR Selangor pada 19 Julai lalu.
Malah pada mesyuarat itu PR juga telah memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jikapun Barisan Nasioanl (BN) memanggil pilihan raya umum tergempar di peringkat pusat dalam waktu terdekat.


Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir memberitahu The Malaysian Insider, pihaknya mahu mengamalkan pendekatan baru ini bagi menyuburkan prinsip demokrasi di negara ini dengan memaklumkan semua pihak bahawa pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh tertentu.

“Misalnya, kami mengambil ketetapan bahawa enam bulan sebelum DUN dibubarkan untuk diadakan pilihan raya umum negeri, kami akan memaklumkan kepada umum bahawa pilihan raya negeri akan diadakan.

“Ia bukannya tarikh tepat tetapi sekadar memberi makluman atau notis awal kepada semua parti politik,” kata beliau dengan merujuk kepada amalan di beberapa negara demokrasi lain.
Justeru kata beliau, dengan cara itu semua parti boleh bersiap sedia, tidak seperti dahulu di mana parti-parti politik khususnya pembangkang terperangkap dan terkejut dengan pengumuman pembubaran DUN atau Parlimen oleh kerajaan BN.


Kata Roslan, PR mahu mewujudkan amalan baru di negara ini khususnya di Selangor dengan harapan ia akan menjadi ikutan pada masa-masa akan datang.

“Sebelum ini kita mengadu pilihan raya diadakan secara mengejut, tiada makluman awal yang mencukupi kepada parti-parti politik... oleh itu, kami mahu mewujudkan satu sistem baru di mana semua parti akan mendapat manfaat dari segi persediaan,” katanya.

Minggu lalu Roslan memberitahu The Malaysian Insider, PR Selangor tidak akan membubarkan DUN walaupun BN memutuskan untuk mengadakan pilihan raya umum Parlimen dan negeri-negeri yang dikuasai mereka.

PR Selangor mahu menggunakan tempoh mandat lima tahun sepenuhnya, tanpa mahu terikat dengan rentak BN bagi membolehkannya menunaikan janji-janji pilihan raya umum lalu.
Selangor salah satu daripada empat negeri yang kini diterajui PR. Tiga negeri yang lain ialah Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.


Menteri Besar dan Ketua Menteri boleh memutuskan untuk memanggil pilihan raya negeri dengan memperoleh perkenan Sultan ataupun Yang Dipertua Negeri.Perdana Menteri pula boleh berbuat demikian di peringkat pusat dengan menperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Lazimnya pilihan raya umum negeri dan pusat akan diadakan serentak.
Bagaimanapun pemerhati dan penganalisis menjangkakan kelainan ekoran perubahan landskap politik negara sejak 8 Mac 2008.


Mandat semasa akan berakhir Mei 2013.

Tuesday, July 27, 2010

Bersatu umat Melayu atas bahtera Islam

Umno terus bertepuk tangan sebelah dalam isu perpaduan Melayu melibatkan partinya dengan PAS. Lamaran ditolak namun terus dipaksa-paksa. Ketua Peneranganya dilaporkan berkata:

Nik Aziz boleh cakap apa saja tapi dalam PAS itu ada juga kumpulan-kumpulan tertentu. Sebagaimana orang maklum, PAS ini bukannya semua berkisar pada Nik Aziz saja,” katanya.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata PAS tidak bergantung kepada kepimpinan Nik Aziz semata-mata kerana masih ada pemimpin lain termasuk presiden, timbalan presiden dan jawatankuasa tertinggi parti.

“...tentunya mereka mempunyai pandangan tertentu yang saya kira mungkin menyokong cadangan kita,” katanya.

Dalam bab mempertahankan prinsip dan dasar tidak ada dua atau tiga PAS hanya satu. Berbeza dengan Umno yang tiada prinsip dan dasar yang jelas. Jangan samakan PAS dengan Umno.

Kami cuma ada satu Mursyidul Am dan satu Presiden. Kami di dalam PAS ditarbiyah wala’ atau taat dan patuh pada pimpinan selagi mana kepimpinan tadi tidak membawa kepada perkara yang bertentangan dengan syarak.

Kami mengamalkan wehdatul fikr atau kesatuan pandangan dan fikiran apabila telah diputuskan oleh jemaah demikian.

Umno bersiap-sedialah menghadapi pilihan raya. Kalau kemaruk sangat mahukan kuasa kembali contohnya di Selangor ini, bekerjalah untuk mendapatkan kembali kuasa itu. Lupakanlah tawaran yang tidak disapa itu. PAS bersedia untuk lawan satu dengan satu menentang Umno demi membela nasib dan maruah agama, bangsa dan negara setelah sekian lama dicabuli oleh Umno.

PAS bukan sombong atau benci pada perpaduan, masalahnya Umno sudah semakin hilang pengaruh, bukti terbesar PRU lalu. Orang-orang Melayu yang Umno dakwa di belakang mereka sesungguhnya sudah mula meninggalkan mereka. Benar mereka mahu bersatu, tetapi tidak lagi Umno. Merek telah serik dan mahu cari penyelamat yang baru. Mereka kini menaruh harapan pada PAS………..Kami mahukan persahabatan ahli-ahli Umno, tetapi ia mesti dibina di atas bahtera PAS, ayuh kami terima saudara-saudara dengan tangan yang terbuka. Bersatulah kita demi Islam dalam perjuangan Islam.
PAS Selangor mahu terus melangkah ke hadapan bersama PR

Salah satu rumusan yang dibuat dalam program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS peringkat Negeri Selangor di Shah Alam Ahad lepas, di bawah tajuk “Memenangi hati pengundi Melayu” berbunyi:

Umno Selangor sedang menuju jalan ke pusara. Mereka sedang memastikan yang kiranya mereka rebah ke bumi maka begitu jugalah kuasa politik orang-orang Melayu kononnya. Orang Melayu mesti diyakinkan bahawa propaganda kosong dan jahat mereka ini mesti ditolak.

Pimpinan Melayu di dalam PAS adalah pimpinan yang terbaik kerana kita menjunjung dan berpegang teguh pada ISLAM. ISLAM ADIL UNTUK SEMUA hanya dapat direalisasikan lebih-lebih lagi dirasai oleh umat Melayu selain bangsa-bangsa yang lain kiranya teraju kepimpinan Melayu beralih dari Umno yang zalim dan rakus itu kepada PAS yang menyelami jiwa ISLAM.

Berteraskan rumusan ini ternyata seluruh jentera PAS Selangor dari para penyokong, ahli-ahli biasa termasuklah para pemimpin tertumpu ke arah satu agenda utama iaiatu memastikan sokongan undi Melayu kali ini beralih terus sebagaimana para pengundi bukan Melayu dari Umno ke PAS dan di tempat-tempat tertentu kepada PKR.

PAS Selangor memikul tanggungjawab ini iaitu bekerja ke arah memindahkan sokongan ini dengan harapan nasib dan masa depan orang-orang Melayu terus terbela di bawah kerajaan Pakatan Rakyat. Tohmahan kononnya tanpa Umno kuasa politik Melayu akan pupus adalah dongeng yang perlu dikikis dari minda para pengundi Melayu. Ini bukan suatu tugas yang mudah, ia sukar, lantaran itulah seluruh tenaga dan kekuatan kita perlu dipacu ke arah itu.

Agenda perpaduan Melayu PAS-Umno tiada dalam kamus kita. Jangan ia mahu dijaja oleh sesiapa pun, baik Umno yang sedang tenat mahupun mana-mana pihak yang cuba menangguk di air keruh.

Kita jangan melayan tohomahan dan fitnah yang memang mahu memecah-belahkan perpaduan dalam PAS dan sesama rakan-rakan dalam PR. Macam-macam perangkap dan jerangkap dipasang musuh, jika kita tidak berhati kita berkemungkinan menjadi sebahagian dari perangkap itu.

Kurangkan bercakap dan banyakkan bekerja……

Saturday, July 24, 2010

Umno Selangor menuju ke pusara.........

Semalam menurut laporan portal Malaysia Insider Umno Selangor telah melancarkan kempen "tawan Selangor dari PR" melalui sebuah majlis ceramah yang kononnya besar-besaran di Shah Alam.

Saya tidaklah berhasrat mahu merendahkan usaha gigih Noh Omar itu selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno (yang berebut pengaruh dengan Khir Toyo) tetapi majlis kempen mahu tawan Selangor itu (bukan kata PAS atau PR) menurut laporan portal berkenaan dihadiri oleh 200 penyokong termasuklah penduduk tempatan yang tertanya-tanya apakah yang sedang berlaku (penonton terserempak tanpa undangan maksudnya).

Dalam majlis itu juga dilepaskan "ayam tambatan" Noh iaitu Ezam Md Nor (sekarang Senator) yang lepas-lepas sahaja terus berkokok menyerang Tan Sri Khalid dan kerajaan PR. Modal bersama yang dikongsi untuk menggodam PR pasir dan pasir semata-mata. Betul tak betul tak kira, tetapi itulah modal utama yang mampu mereka fikirkan.

Kalau perang Umno dilancar dengan kehadiran cuma 200 orang, bukan hanya orang PR dan rakyat Selangor tersenyum lebar tetapi saya pasti Khir Toyo "tegak misainya" mahu membuktikan betapa gagalnya kepimpinan Noh kerana "perang" apa kalau begitu sahaja kekuatan yang mampu dibariskan.

Ternyata Umno masih belum pulih. MCA dan MIC Selangor kita tak pasti wujud lagi ataupun tidak. Gerakan dan PPP Selangor entah mana batu nisannya. Kerana itu ini bukan masanya kita bersorak dan bercekak pinggang. Ini masanya kita memecut laju memperkemas dan memperteguhkan jentera pilihan raya kita masing-masing baik PAS, DAP mahupun PKR Selangor.

Gerak kerja mendaftar pengundi baru mesti dipertingkatkan. Menurut angka terbaru SPR bagi tempuh berakhir Jan-Jun 2010 PR jauh mengatasi BN di Selangor dalam mendaftarkan pengundi baru. Syabas, tetapi itu pun tidak cukup lagi. Alang-alang kita bertarung dengan BN dan Umno, pastikan mereka pupus terus.

PAS dilaporkan berjaya mendaftar 4,561 pengundi baru bagi tempuh berkenaan iaitu bersamaan 753 pengundi setiap bulan. Bilangan ini masih kecil sedangkan kita bakal bertanding di 20 kerusi DUN iaitu mempertahankan 8 dan bertanding menempuh ADUN Umno di 12 kerusi. Lantaran itu kita perlu bekerja lebih kuat lagi.

Umno sedang longlai, kita jangan turut begitu. Rakyat mengharapkan kepimpinan kita, kita sekarang memegang mandat, jangan mengecewakan pihak yang mengharapkan. Ayuh bersatu menggarab tenaga bekerja untuk Allah demi memartabatkan dasar perjuangan.






Friday, July 23, 2010

Tidak ada kerjasama PAS-Umno di Selangor

Saya hairan bagaimana permainan politik Umno boleh menjerat dan memerangkap sebahagian kita sehingga akhirnya kita terdorong untuk menembak sesama sendiri sedangkan musuh gegak-gempita gembira tanpa sebutir pun peluru mereka terlepas.

Telahan dan mainan pihak tertentu menjadi modal untuk membunuh sesama sahabat. Ini membuat kita berfikir Umno sahajakah yang beragenda atau sesama kita pun ada agenda cantas-mencantas?

PAS bersedia menjadi galang-ganti kepada Umno jika ia ditolak oleh orang Melayu di Selangor. Terbaru Ahad lepas saya ke Tanjong Karang, membentangkan kertas kerja, bagaimana kita berharap saki-baki 12 kerusi Umno termasuklah Sg. Burong yang ditandingi PAS dapat ditawan.

Isnin lepas kita mengadakan mesyuarat dwi mingguan Majlis Pakatan Rakyat Negeri Selangor. Berbagai isu strategik dibincangkan. Mesyuarat dipengerusikan Tan Sri Khalid dan berjalan mesra dan lancar. Tiada pun isu “perpaduan Melayu”, “kerjasama Umno-PAS”, “Harusaani” dibincangkan kerana saya yakin kawan-kawan semua tidak langsung terpesona dengan agenda lapok Umno. Buang masa saja.

Kita punya banyak kerja yang mahu dibereskan. Pakatan Rakyat Selangor perlu diperkasakan. Kerusi-kerusi yang kita kalah mahu kita tawan. Kita mahu meyakinkan para penyokong dan rakyat kita di Selangor bahawa cerita-cerita basi BN akan panggil pilihanraya awal langsung tidak menarik minta kita.

Bubarlah parlimen tetapi DUN Selangor akan kekal hingga ke akhir penggal.

Cukup-cukuplah kita bersengketa sesama sendiri. PAS Selangor tidak berminat kerjasama dengan Umno, malah kalau benar pun mahu kerjasama boleh masuk logik akal mereka yang celik politkkah? PAS ini satu organisasi besar bukan milik PAS Selangor, macam mana kalau benar mahu kerjasama PAS Selangor sahaja yang kerjasama……kematangan perlu mengatasi diri, jika tidak orang hilang hormat pada kita walaupun kita bergelar yang berhormat.

Sekarang isu yang perlu ditanya adalah sumbangan kita ke arah memantapkan jemaah. Sumbangan kita ke arah memperkasakan Pakatan Rakyat. Sebuah akhbar Mandarin hari ini melaporkan DAP dan PAS Selangor mendahului parti-partilain termasuklah Umno dalam gerakan mendaftarkan pengundi baru.

Biarlah kerja pecah-belah ini dimainkan oleh Umno. Parti Islam tidak pernah mentarbiyahkan ahlinya untuk jadi begitu.

Tidakkah Pesuruhjaya PAS Selangor ada jumpa Mufti Perak baru-baru ini?

Inilah soalan sensasinya. Tambah sensasi kerana dunia sedang terbuai oleh mainan Umno berkenaan kerjasama Umno-PAS. Tambah ada pula mendakwa ada video, tetapi yang saya tahu yang didakwa turut berada dalam video itu tidak pernah berada di situ…….demikianlah nilainya penyampai berita tersebut yang memang tersohor rendah maruahnya. Tambah ada yang terus mahu usul beliau dipecat!

Apa pun saya tiada jawapannya. Orang yang didakwa itu berada di luar negara, insyallah pulang malam ini. Dan biarlah beliau menjelaskan, beliau bukan orang baru dalam politik. Saya yakin ramai sudah tahu jawabannya. Contohnya Ketua Penerangan PAS Perak menulis dalam blognya:

Sebenarnya saya tahu dengan siapa Harussani bertemu malah tahu di mana pertemuan itu lengkap dengan tarikh dan jam pertemuan.

Matlamat pertemuan itu saya sahkan bukan untuk membincangkan isu perpaduan antara PAS dengan UMNO seperti yang didakwa olehnya.

Begitulah dramatiknya hidup ini kiranya kita bekerja untuk mencari salah orang semata-mata. Orang lain pukul gendang kita yang menari............

Monday, July 19, 2010

Tak kan hilang kuasa politik Melayu

Isu perpaduan Melayu sekali lagi secara tiba-tiba dimainkan. PAS dan Umno perlu berkerjasama demi perpaduan Melayu. Mufti Perak mahu jadi jurucakap banyak pihak mahu turut membantu. Soalnya mendesakkah isu ini?

Ada yang sehingga menggambarkan jika inisiatif tidak diambil menjelang PRU ke 13 nanti orang Melayu akan hilang kuasa di Tanah Airnya sendiri, menolak sama-sekali kata-kata hikmat Hang Tuah: ”Tak Melayu hilang di dunia!”

Berderau darah jika orang Melayu hilang kuasa! Macam mana boleh jadi begitu atau yang sebenarnya akan hilang kuasa adalah parti siasah tertentu?

Disaat ini kerajaan Pakatan Rakyat khasnya di Selangor dan amnya dilain-lain negeri Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan semakin kukuh kedudukannya. Kemampuan memimpin dan membawa perubahan meyakinkan rakyat bahawa mereka telah membuat pilihan yang tepat.

Inilah sebenarnya yang merungsingkan sesetengah pihak. Lebih tepat lagi Umno. Kerana jika rekod ini kekal maka PRU ke 13 nanti yang jadi mangsa adalah Umno.

Kalau Umno jadi mangsa ditolak rakyat dalam PRU ke 13 nanti hilangkah kuasa politik Melayu? Saya rasa tidak, kerana realitinya Umno berentap dengan calon dari PAS dan kalangan calon Melayu dari PKR setiap kali pilihanraya termasuklah nanti PRU ke 13.

Kalah Umno menang PAS dan menang calon Melayu PKR oleh itu macam mana kuasa politik Melayu boleh hilang?

Kerana risiko kehilangan kuasa Umno lah maka barangkali didendangkan lagu perpaduan Melayu ini. Mengapa semasa PAS kalah teruk dalam PRU 2004 atau beberapa PRU sebelum ini tidak didendangkan lagu ini?

Kesimpulannya lantaran itulah PAS dan saya yakin ramai umat Melayu tidak berapa terhibur dengan dendangan lagu ini. Bukannya sombong bukannya jual mahal tetapi ianya tidak relevan dan ianya dilihat penuh tipu-muslihat.

Berikut kenyataan resmi PAS Selangor berkenaan perkara ini:

KENYATAAN AKHBAR
PAS SELANGOR TOLAK KERJASAMA POLITIK DENGAN UMNO


Isu perpaduan Melayu yang cuba dijadikan agenda politik oleh Umno dipandang tidak relevan oleh PAS Selangor. PAS Selangor merasakan agenda ini cuba diketengahkan oleh Umno semata-mata untuk memecahkan perpaduan erat dalam Pakatan Rakyat khasnya di negeri Selangor.

Sejak bulan Mac 2008 sehinggalah ke saat ini PAS Selangor semakin selesa dan begitu komited dalam memperteguhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang didokong bersama PKR dan DAP lantaran menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat jelata.

Orang-orang Melayu di negeri Selangor kini semakin terbuka dan dapat menerima kesungguhan dan keikhlasan pimpinan PAS dalam memimpin mereka. Umno di Selangor semakin dipinggirkan dan tidak mustahil dengan rekod cemerlang kerajaan yang diterajui Pakatan Rakyat dokongan PAS, Umno Selangor akan terus ditolak khasnya oleh orang-orang Melayu sendiri.

Pimpinan PAS pelbagai peringkat termasuklah akar-umbi kini sudah bersedia untuk mengambil-alih saki-baki amanah kepimpinan Melayu yang dipegang oleh Umno di Selangor untuk digantikan dengan kepimpinan Islam yang lebih adil dan meyakinkan seluruh masyarakat.

PAS Selangor memberi jaminan kepada orang-orang Melayu di negeri ini agar jangan bimbang dan khuathir kerana kiranya Umno hilang kuasa di negeri ini maka kuasa politik itu akan beralih ke tangan pimpinan Melayu dalam PAS dan PKR yang ternyata lebih jujur dan bersih dalam memimpin agama, bangsa dan negeri ini.

DIKELUARKAN OLEH:
BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI SELANGOR

18 Julai, 2010


Sila rujuk:

http://www.sinarharian.com.my/selangor/content/story7970251.asp

Tuesday, July 13, 2010

KL: Ayam di kepuk mati kelaparan............

Isu kemiskinan bandar merupakan suatu realiti yang tidak seharusnya dipandang kecil oleh semua pihak. Bandaraya Kuala Lumpur yang tersergam indah dengan menara dan bangunan pencakar langit, pusat hiburan taraf dunia dan kompleks beli belah mega umpamanya masih punya penghuni yang jumlah pendapatan mereka di bawah para kemiskinan.

CEO atau Ketua Pegawai Eksekutif di Kuala Lumpur ada yang berpendapatan RM150 sejam manakala ada penghuni bandar di KL yang mencatat tak sampai RM3.50 sejam atau RM2,500 sebulan iaitu di bawah paras kemiskinan. Sepinggan maggi goreng mungkin kurang RM2 tetapi ada yang menghirup sup sirip ikan yu (sharksfin soup) mencecah RM250 semangkuk kecil!

Itulah jurang kaya dan miskin di KLsetelah hampir 53 tahun Merdeka.

Tetapi kita bukan negara sosialis atau kominis dimana pengagihan kekayaan negaran wajib dibahagi sama rata. Malah itupun sudah tidak lagi terpakai di beberapa negara kominis umpama Republik Rakyat China. Memang kekayaan dan kemewahan hak masing-masing individu dan setiap individu berhak atas hasil usaha masing-masing dengan syarat ia tidak bertentangan dengan undang-undang, itulah amalan di negara kitab (dan bagi yang Muslim tidak mengabaikan kewajiban berzakat).

Walaubagaimanapun itu tidak bermakna kebajikan warga miskin dan kurang berkemampuan dipinggirkan begitu sahaja.

Dalam laporan sisipan Metro akhbar The Star semalam didedahkan darihal ramai warga sedemikian di KL tidak ditawarkan rumah pangsa PPRT walaupun mereka layak. Manakala sebahagian yang lain mengadu mereka tidak berjaya mendapatkan pinjaman bank yang ternyata memeras golongan ini.

Menurut sumber Dewan Bandaraya KL DBKL telah mengeluarkan 18,000 surat tawaran kepada mereka yang layak (pendapatan kurang RM2,500 sebulan). Dari jumlah itu 11,226 telah menjawab terima walaubagaimanapun yang benar-benar membeli cumalah 1,500 orang.

Dari 1,500 orang itu cuma 957 membayar tunai manakala 543 mendapatkan pinjaman bank. Selebihnya bagaimana?

Terdapat dua jenis rumah pangsa kos murah yang ditawarkan kepada rakyat yang layak iaitu yang pertama oleh MTEN PPR yang berjumlah RM35,000 seunit manakala oleh DBKL ditawarkan antara RM21,500 ke RM35,000 seunit tertakluk kepada saiz unit.

Jika dalam kes DBKL di atas dari 18,000 yang ditawarkan cuma 1,500 sahaja yang mampu ataupun 8.3 peratus sahaja bermakna lebih 91.66 peratus rakyat miskin masih tidak mampu memiliki rumah sendiri walaupun kerajaan telah menawarkan rumah kos murah kepada mereka.

Dimana silapnya di sini?

Penghuni rumah setinggan telah diarahkan berpindah dan rumah mereka dirobohkan untuk memberi jalan kepada pembangunan. Akhirnya mereka dipindahkan ke rumah kos murah tetapi rupanya tidak mampu memilikinya!

Rupanya ada rakyat Malaysia yang tinggal di ibunegara tetapi tidak mampu memiliki rumah sendiri walaupun rumah pangsa kos murah! Ini anak bangsa kita sendiri. Bukannya warga asing,bukan juga warga pemastautin tetap (PR).

Kita sedih bila tonton TV yang memaparkan kemiskinan rakyat di dunia ketiga, di Afrika, di Amerika Latin di sebahagian Asia, tetapi rupanya nasib yang sama menimpa rakyat kita sendiri tetapi tidak kita sedar.

Terdapat desakan agar satu skim yang lebih praktikal diperkenalkan untuk memudahkan mereka ini memiliki rumah berkenaan. Satu skim sewa beli yang lebih ringan dan mampu perlu segera diperkenalkan, jika tidak warga kita ini nanti bagaikan ayam dikepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan.

Mana pergi pejuang bangsa? Mana pergi juara rakyat?

Monday, July 12, 2010

Bolehkah Umno Selangor “think opposition”?

Kita perlu “think opposition” seru Muhyuddin Yassin kepada perwakilan Umno bahagian Ampang di Selangor.

Jangan berlagak bagai kerajaan walau telah hilang kerajaan. Pimpinan Umno Selangor terlalu bersandar pada kerajaan pusat (yang mereka masih kuasai setakat ini) mengharapkan bantuan sana dan sini sedangkan merekatidak terima hakikat bahawa negeri sudah tiada lagi dalam genggaman mereka.

Demikianlah deritanya Umno di Selangor sehingga terpaksa dikejutkan oleh Timbalan Presiden mereka.

Bagi pimpinan Umno Selangor, mereka beranggapan walaupun telah kalah di negeri, mereka tetap ada pohon besar untuk berteduh di pusat. Maka dihogahlah pohon itu saban hari supaya mengugurkan buah-buahnyan buat makanan mereka di Selangor.

Mereka tidak ingat buah-buah itu bukan untuk menyumbat mulut mereka sahaja. Anak-anak kelaparan di Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah juga perlu diberi makan. Apa lagi anak-anak yang sedia sihat di Terengganu, Johor, Pahang, Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka tak termasuk Sabah dan Sarawak lagi.

Angkara terlalu gopah mahu menyumbat mulut maka mengakibatkan Muhyuddin mengarahkan “think opposition” iaitu berfikirlah sebagai pembangkang. Dah hampir 2 tahun 4 bulan hilang kuasa, ada yang masih lagi jalan mendada seolah mereka masih MB, EXCO atau ADUN kerajaan yang memerintah! Apalagi budak-budak mereka yang perasan seolah Selangor masih lubuk wang mereka.

Belajar dari kami PAS yang lama duduk dalam pembangkang.

Maklumlah dah lama senang-linang, sekali bila susah, tak dapat terima realitinya. Kalau tak dapat terima sampai hari ini, maka sukarlah masa depan mereka. Akhirnya akibat kekaburan dalam hidup itu maka bersedialah untuk “live like an opposition” atau hidup sebagai pembangkang buat selama-lamanya!
Mana menghilangnya Mat Taib?
Krisis Umno Selangor terus parah

Sudah jatuh ditimpa tangga mungkin keteraluan untuk dikatakan terhadap Umno Selangor. Tetapi hakikatnya begitulah. Sebelum ini berita yang kita dengan berkenaan Setiausaha Perhubungannya, Satim Diman yang merajuk dan enggan hadir mesyuarat perhubungan negeri.

Kemudian kita dengar tentang Ketua Penerangan Negerinya Shukor Idrus yang membuat khabar angin kononnya bekas-bekas “juara lompat” dari PKR iaitu Zahrain dan Zul mahu diheret dalam “roadshow” Umno Selangor seluruh negeri bagi menyerang kerajaan PR Selangor, akhir-akhirnya kedua-dua “juara” itu menafikan mahu hadir!

Dam semalam tangga sekali lagi menghempap belakang mereka apabila bekas MB dan bekas Menteri Mat Taib, tidak hadir dalam mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kelana Jaya. Sedangkan Mat Taib adalah Ketua Bahagian!

Ada perwakilan mesyuarat berkenaan menggesa agar Mat Taib undurkan diri dan serah sahaja jawatan pada Timbalnnya Yahya Bujang, walaubagaimanapun saya mendengar dari seorang lagi perwakilan bahawa Yahya Bujang pun mereka tak mahu!

Mampukah Umno bangkit kembali setelah jatuh dari takhta kuasa 8 Mac 2008? Kalau rumah tangga pun nampak kacau-bilau begini lebi baik bukan “think opposition” (seruan TPM Muhyuddin Yassin) tetapi “remain in opposition”……………

Friday, July 09, 2010

Umno oh Umno

Berikut adalah berita yang dipetik dari laman web umno online di http://umno-online.com/?p=13074 :

Wakil rakyat bebas antara penceramah yang diundang oleh UMNO Selangor bagi memjelaskan perkembangan terkini senario politik tanah air.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abd Shukor Idrus berkata, kehadiran wakil rakyat terbabit dapat memberi penerangan jelas kepada rakyat berhubung apa yang berlaku terutama membabitkan isu politik di Selangor.

“Hanya mereka sahaja yang tahu apa yang berlaku, mereka ini pernah berada dalam parti terbabit seperti Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain dan Ahli Parlimen Bandar Baru Kulim, Zulkifli Nordin.

“Melalui program ini, kita dapat memberi penjelasan terutama membabitkan pembohongan yang dilakukan oleh pemimpin pakatan pembangkang Selangor supaya rakyat tidak terus ditiipu dengan permainan mereka,” katanya

Atas keghairahan kononnya mahu menakluk negeri Selangor, Umno Selangor dikatakan akan menganjurkan program jelajah seluruh negeri Selangor bagi mendedahkan “pembohongan” kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. Sebagaimana laporan di atas (yang dikeluarkan oleh sumber Umno sendiri) akan diseretlah dua orang ahli parlimen yang telah melompat keluar PKR iaitu Zahrain dan Zul Nordin untuk menjadi bintang utama pentas jelaja Umno itu.

Kita menunggu-nunggu juga penganjuran majlis seumpama itu. Saya yakin rakyat Selangor akan makin menebal bencinya pada Umno, kiranya dua orang yang disebutkan itu muncul di pentas Umno. Jangankan orang Melayu, tiada bangsa dalam negara ini rasa saya yang mahu meraikan apalagi menghormati seorang pemimpin yang sanggup menggadaikan amanah yang diberikan oleh rakyat kepadanya.

Tiba-tiba dalam Utusan hari ini kedua-dua ahli parlimen itu menafikan akan sertai program Umno Selangor itu. Menurut laporan, mereka berkata mereka memilih untuk menjadi ahli parlimen Bebas oleh itu mereka akan terus bergerak secara “neutral” tanpa berpihak ke mana-mana.

Tidakkah memalukan jika demikian. Bagaimana Ketua Penerangan Umno Selangor boleh mengumumkan nama-nama mereka sedangkan tuan punya badan sendiri tidak sudi. Mahu menguruskan program pun Umno Selangor bercelaru, bagaimana mahu menawan hati rakyat untuk kembali menyokong mereka?!

Hidung tak mancung pipi tersorong-sorong, yang laporakan Umno online yang nafikan Utusan Malaysia, dua-dua Umno belaka…….. panjanglah umur PR Selangor nampaknya.

Monday, July 05, 2010

Adakah Negara Islam retorik kita?

Utusan Malaysia terus memainkan percanggahan pandangan antara PAS dan Karpal Singh berhubung isu Negara Islam. Hari ini ditonjolkan pula reaksi balas Pengerusi DAP itu apabila beliau berkata PAS mesti menghormati DAP berhubung pendirian parti itu yang menolak konsep Negara Islam yang diperjuangkan PAS.

Di dalam ruangan Rencananya Sdr Zulkilee Bakar memainkan semula ucapan Tok Guru Nik Abd Aziz semasa Konvensyen Pakatan Rakyat yang lalu di mana Tok Guru pernah berkata: “Di dada Karpal ada bulan….” (merujuk kepada jaket simbol ketiga-tiga parti yang digunakan pimpinan PR ketika itu).

Apa pun jelasnya DAP menolak Negara Islam dan PAS konsisten memperjuangkan konsep berkenaan.

Soalnya Umno bagaimana? BN bagaimana?

Saya mengemukakan persoalan ini kerana Umno dan BN seteru politik PAS dan DAP. Apabila organ Umno, iaitu Utusan memanaskan isu yang bukan isu ini sudah pasti Umno khasnya dan BN mahu menangguk di air keruh.

Bagaimana Umno dengan Negara Islam? Adakah Umno menyokong dan mempertahankan konsep Negara Islam sebagaimana yang pernah ditegakkan di zaman Rasulullah saw? Atau Umno pun lebih kurang Karpal juga atau bagaimana?

Bagaimana pula MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain kerabat Umno dalam BN? Terbukti mereka semua menolak konsep Negara Islam lalu apa beza antara mereka dengan Karpal?

PAS sedar dan akur penolakan konsep Negara Islam oleh masyarakat bukan Islam di Malaysia, kerana itu PAS menggunakan pentas politik untuk memberikan penjelasan. Kata Karpal yang menjadikan negara yang diperintah Umno ini sekular kerana peruntukkan Perlembagaan demikian. Karpal dan yang lain perlu faham bahawa Perlemabgaan Negara bukan Kitab Allah yang tidak boleh dipinda.

Bagi PAS amalan demokrasi diterima sebagai jalan untuk melangsungkan tuntutan perjuangan ini. Jika berpeluang amalan demokrasi yang digunapakai inilah yang akan mengislamkan perlembagaan negara sebagaimana yang berlaku di Kelantan.

Karpal adalah kawan PAS sebagaimana Soi Lek, Tsu Koon dan Samy adalah kawan Umno. PAS Berkawan dengan Karpal tetapi tidak sekali-kali menjual tuntutan Allah swt, Umno bagaimana?

Allah swt berfirman:

Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. (al Maidah:49)

Ayat ini terkena atas semua umat Islam, PAS, Umno termasuklah kawan-kawan di Utusan, lantas adakah Negara Islam hanya retorik kita?

Thursday, July 01, 2010

Kawan hormat kawan

Akhbar Utusan Malaysia hari ini membawa laporan:

Nik Aziz cabar Karpal buktikan dasar Islam PAS salah

Ini ekoran kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh sempena ulangtahunnya ke 70 nya baru-baru ini bahawa DAP sama-sekali tidak menerima konsep Negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Tambah beliau jika Pakatan Rakyat berjaya mentadbir negara DAP tidak akan merestui pembentukan Negara Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh PAS.

Dan sebentar tadi wartawan Utusan Malaysia menghubungi saya untuk mendapatkan komen.

Saya nyatakan saya setuju dengan kenyataan Mursyidul Am PAS itu malah saya menambah sebagai kawan dalam satu pakatan politik kita mengharapkan DAP sebagai kawan menghormati dan dapat menerima dasar perjuangan PAS sebagaimana PAS menghormati dan menerima dasar perjuangan partinya. Inilah dasar perjuangan yang sama sejak PAS ditubuhkan puluhan tahun dahulu sehingga hari ini.

Wartawan berkenaan bertanyakan adakah saya kesal dengan kenyataan Karpal itu?

Saya katakan tidak.

Saya cuma akan kesal jika orang Umno yang berkata begitu. Kerana orang Islam tidaj seharusnya menolak perjuangan Islam. Manakala bagi orang bukan Islam, mereka berhak menolak Islam malah itulah cabaran kita sebagai pendakwah untuk meyakinkah mereka tentang kebenaran dan keadilan Islam.

Kerana itu PAS berkawan dengan DAP, kerana sifat sebagai pendakwah, seharusnya PAS tidak jemu dan terus bersabar dalam mendakwahkan dasar Islam kepada semua.

Kawan-kawan mesti memelihara kenyataan masing-masing agar tidak menganggu persahabatan yang terjalin. Kita boleh berbeza pendapat dalam perkara-perkara yang melibatkan kaedah dan pendekatan tetapi dalam bab dasar dan prinsip masing-masing, kawan hormat kawan.