Sunday, May 30, 2010

GAS bercaun bakal mengorbankan Samy dan kawan-kawan

Nampaknya tiada komponan parti BN yang terkecuali dari krisis dan perpecahan dalaman. Terbaru MIC dengan krisis kepimpinannya sehingga mencetuskan GAS ataupun Gerakan Anti Samy yang dilancarkan oleh Timbalan Ketua Pemuda parti tersebut yang telah dipecat oleh Samy.

Krisis atau masalahan dalaman mana-mana parti pun jika tidak ditangani dengan baik dan cermat akan mengakibatkan keruntuhan dan kehancuran parti itu ditangan ahli-ahlinya sendiri. Sejarah politik di Malaysia telah melihat banyak parti yang menimpa nasib yang sebegitu.

Dalam memperkatakan isu krisis dalaman ini saya tertarik dengan kenyataan bekas PM Tun Dr Mahathir. Tun dizamannya juga sebenarnya tidak sunyi dari krisis, tetapi lumrah orang yang telah tidak berjawatan, segala yang dizamannya nampak indah manakala yang pada orang lain tampak hodoh.

Kata Tun sebagaimana dipetik akhbar Sunday Star hari ini:

Dr Mahathir urged Umno members to voice their concerns if their leaders were not on the right track.
(Dr Mahathir menyeru ahli-ahli Umno agar menyuarakan kebimbangan mereka sekiranya pemnimpin-pemimpin mereka tersasar dari landasan perjuangan)

Tambah beliau:

If they feel their leaders are not listening they can even challenge them.
(Sekiranya mereka merasakan pimpinan mereka tidak lagi mendengar maka pemimpin itu boleh dicabar)

Lihatlah apa yang ebrlaku ke atas Tun apabila Tengku Razaleigh mencabar beliau sebagai Presiden dalampemilihan Umno tahun 1987. Bukan hanya Ku Li dan penyokongnya menjadi mangsa sehingga akhirnya tertendang keluar dari Umno, Umno sendiri telah diperkudakan agar mengikut telunjuk Tun. Peraturan melibatkan kuota dan subsisdi akhirnya dipaksa masuk dalam peraturan Umno sehingga mengakibatkan tiada lagi yang berani mencabarnya selepas itu.
Itu dikalangan Umno, yang lain pula samada dari parti pembangkang mahupun NGO habis semuanya disumbat ke Kamunting semata-mata kerana berani mencabar atau mempertikai keputusan beliau.

Jangankan mereka di atas, hakim-hakim habis semuanya dipecat semata-mata kerana Tun mahu terus menongkat langit!

Sebernarnya apa yang berlaku pada tahun 1987 ditangan Tun sehinggalah hari ini, krisis yang melanda semua komponan BN adalah angkara bikinan tangan pimpinan BN itu sendiri. Umno, MCA, MIC, Gerakan, PPP (dan komponan dari Sabah dan Sarawak) semuanya tenat, retak dan sedang menunggu belah. GAS beracun bukan sekadar menyerang Samy tetapi yang lain juga akan tersedak menghidunya, hanya masa yang akan menetukan.

Ikutlah nasihat Tun, kalau pemimpin sudah tidak lagi mendengar, cabar sahaja mereka!

Migrasikan sahaja BN bersama meter pukal...........

Sempena ulangtahun ke 2 pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bulan Mac baru-baru ini, telah dianjurkan Konvensyen Pakatan Rakyat peringkat Selangor. Konvensyen tersebut telah menghimpunkan seluruh pimpinan PR Negeri Selangor dari pelbagai peringkat. Beberapa kertas telah dibentangkan khususnya berkaitan pencapaian kerajaan negeri di bawah PR.

Wakil-wakil tiap-tiap parti komponan telah dijemput membahaskan kertas-kertas berkenaan. Saya telah dipilih mewakili PAS Selangor pada hari berkenaan. Antara teks ucapan saya pada hari berkenaan adalah:

Kita yakin program Merakyatkan ekonomi Selangor (MES) ini mendapat sambutan luar biasa dari rakyat Antara kandungan program ini adalah 20 meter padu pertama air percuma kepada rakyat yang memiliki meter individu. Ini bagi sesetengah pihak mungkin kecil, tetapi kesannya sangat dirasai oleh rakyat di bawah. PAS Selangor menyeru agar usaha merobah meter-meter pukal kepada meter individu khasnya di rumah-rumah pangsa dan apartmen, lubuk penyokong-penyokong kita disegerakan supaya pemberian kerajaan PR ini dapat dirasai oleh semua.

Alhamdulillah Khamis lepas kerajaan negeri bawah kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim telah mengambil langkah proaktif bagi merealisasikan permintaan ini.

MB telah melancarkan kupon bekalan air percuma, merupakan langkah jangka pendek bagi memungkinkan rakyat khasnya di pangsapuri kos rendah menikmati 20 meter padu pertama air percuma sebagaimana dinikamti oleh rakyat lain di Selangor. Langkah ini selian langkah memigrasikan meter-meter pukal kepada individu yang akan dilancarkan dengan kerjasama pihak Syabas.

Aneh dalam kekalutan kerajaan Pusat bawah kepimpinan BN sedang sibuk mahu meyakinkan rakyat bahawa subsisdi barangan dan perkhidmatan terpaksa dihentikan dan ditarik-balik, kerajaan PR Selangor terus memberi manfaat kepada rakyat Selangor melalui program MESkhasnyadengan bekalan air percuma ini.

Nampaknya bukan hanya meter pukal perlu dimigrasikan, BN pun laksana meter pukal perlu dimigrasikan juga, gantikan dengan PR!

Monday, May 24, 2010

Menghapuskan subsidi atau menaikkan harga?

Hari Khamis ini bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) rakyat Malaysia dipelawa untuk memberikan pandangan tentang usaha kerajaan untuk menurunkan subsidi ke atas barangan dan perkhidmatan pengguna tertentu.

Menurut angkanya kerajaan menyerap sejumlah RM74bilion bagi memberikan subsidi kepada rakyat Malaysia yang melibatkan barangan dan perkhidmatan tertentu. Ini bersamaan purata RM12,900 setiap isi rumah setiap tahun.

Antara barangan yang dimaksudkan termasuklah minyak masak, tepung, gula , petrol, dan perkhidmatan kesihatan serta tol.

Kerajaan dikatakan tidak dapat bertahan lama dengan pemberian subsidi seumpama ini kerana ia mengakibatkan hutang kerajaan terus meningkat iaitu pada RM362 bilion tahun lepas iaitu 54peratus dari keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Apa akan jadi jika subsidi ini diturunkan atau ditarik balik?

Ini bermakna kita akan membayar lebih bagi satu-satu barangan atau perkhidmatan itu. Contohnya caj yang dikenakan untuk khidmat pesakit luar di hospital kerajaan adalah RM1. Caj ini menjadi RM1 setelah kerajaan memberikan subsidi yang besar ke atasnya. Dengan penurunan atau pengurangan subsidi bermakna kita akan membayar mungkin RM3 atau RM5 atau lebih bagi perkhidmatan berkenaan.

Adakah dalam keadaan hari ini, rakyat Malaysia sudah bersedia untuk menyerap pengurangan atau penghapusan subsidi ini sehingga menanggung kos yang lebih tinggi? Tiadakah jalan lain bagi kerajaan contohnya menarik balik atau mengurangkan subsidi ini ke atas golongan atau kelas tertentu, dalam erti kata lain mereka yang kaya dan selesa membayar lebih sedang yang kebanyakkan tidak.

Contohnya air percuma 20meter padu pertamayang diberikan oleh kerajaan Selangor hanya diberikan kepada pengguna domestic atau individu. Sedangkan pengguna komersilatau perniagaan tidak menikmati subsidi ini. Apakah tiada mekanisma yang serupa yang boleh diperkenalkan bagi melindungi rakyat kebanyakkan, biar yang mewah dan meraih keuntungan membayar lebih?

Saya kira rakyat Malaysia rata-rata masih memerlukan subsidi ini kerana kos hidup masih tinggi dan pendapatan tidak pun meningkat sebegitu mendadak.

Kalau di Selangor kerajaan negeri sedang memikirkan bagaimana rakyat negeri dapat menikmati dan mencecah kekayaan negeri melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), tetapi di Pusat, kerajaan sedang memikirkan bagaimana mahu memeras ekonomi rakyat untuk menanggung beban hutang besar yang ditanggungnya!

Rakyat perlu merenung perkara ini dan bijak membuat keputusan apabila diamanahkan memberi mandat. Apa guna negara maju dan kaya tetapi rakyat menderita dan menanggung susah.

Sunday, May 23, 2010

Menunggu tsunami ke II PRU ke 13

Setiap pagi Ahad, selain mendapatkan perkembangan berita-berita semasa di akhbar tempatan, saya akan beri perhatian kepada tulisan para pengulas dan penganalisa politik di akhbar-akhbar berkenaan. Sudah pastilah kumpulan pengampu dan propogandis paling ramai di akhbar-akhbar media perdana berbahasa Melayu.

Di situlah para penulis cari makan akan mengagung dan mendewa-dewakan pimpinan mereka, semuanya suci bersih dan geliga belaka, manakala lawan mereka semuanya kotor, hodoh dan dungu. Kesian contoh akhbar Utusan Malaysia, dari Utusan Melayu bawah teraju Said Zahari satu ketika dahulu yang berani, tegas dan benar, kini menjadi tekukur, mengangguk dan menyanyi-nanyi menurut petikan jari tuannya.

Satu ruangan yang seakan wajib saya baca dan telaah adalah INSIGHT yang dikendalikan oleh penulis veteran Joceline Tan. Memang dalam blog ini sepanjang 6 tahun lalu, Joceline sering menjadi bahan saya jika beliau berlebihan menyondol PAS, tetapi saya kena akui beliau seorang yang tajam dalam membuat analisa walaupun kadangkala tidak tepat dan tersasar.

Apa pun saya kenali beliau terutama semasa menjadi Setiausaha Akhbar Presiden PAS dahulu dan masih menjalin hubungan sebagai rakan sehingga kini.

Hari ini Joceline menulis berkenaan pengundi Melayu di bawah tajuk “Greater shift in the Malay vote” http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/5/23/focus/6306114&sec=focus
dimana beliau membongkar bahawa dalam pada kita memperkatakan darihal lonjakan sokongan pengundi Cina khasnya terhadap Pakatan Rakyat, sesungguhnya para pengundi Melayu pun sebenarnya sudah mula melangkah beralih kepada PR samada disedari ataupun tidak.

Kebetulan saya rasa inilah “point” yang cuba saya hujahkan dalam posting saya yang lalu bertajuk “Jangan perlekeh keupayaan orang Melayu” di blog ini: http://n32.blogspot.com/2010/05/jangan-perlekeh-keupayaan-orang-melayu.html

Kata Joceline peralihan sokongan orang Melayu ini paling ketara jika dilihat pada lonjakkan sokongan yang diterima oleh PAS. Undi PAS bertambah lebih tiga kali ganda dari tahun 1990 apabila ia hanya menerima 376,000 undi kepada 1.1 juta dalam tahun 2008.

Ini bermakna cara politik lama sudah tidak termakan atau semakin ditolak oleh orang Melayu. Politik kain batek, politik subsidi,politik janji dan wang ringgit semasa kempen pilihanraya semakin memakan diri berbanding dengan memberi sokongan kepada BN sebagaimana satu waktu dahulu.

Orang Melayu sebagaimana rakan-rakan-rakan mereka orang Cina juga mahukan pimpinan yang berkualiti. Pemimpin yang boleh dipercayai, yang memperjuangkan nasib mereka secara tulus dan ikhlas, tidak rasuah, bermoral tinggi semuanya kulaiti yang semakin asing dan jauh dari barisan pimpinan Umno pada hari ini, samada diakui ataupun tidak.

Kerana itu kita jangan sekali-kali menghukum pengundi Melayu sebagaimana orang-orang Umno menghukum pengundi-pengundi Cina bila menolak mereka di Hulu Selangor dan Sibu. Jika tepatlah analisa dan bacaan Joceline bermakna pengundi Melayu berpotensi bangkit sekali secara menyeluruh menolak Umno, syaratnya kita kena berusaha dan bekerja kuat menawan hati mereka.

Saya ambil contoh di Sibu. Semasa DAP bersendirian dahulu,sukar bagi mereka masuk dan berinteraksi dengan para pengundi Melayu khasnya di DUN Nangka. Tetapi dalam tempoh 10 hari, dengan kehadiran para petugas PAS dari seluruh negara, mereka berkampung di DUN Nangka, orang-orang Melayu/Melanau di sana mula membuka pintu pada PR.

Walaupun pintu itu belum lagi dibuka seluas-luasnya namun kesannya dapat dilihat. Di Daerah Mengundi Illir Nangka walaupun BN menang di semua peti undi, namun dengan kehadiran PAS undi DAP bertambah lebih 10 peratus. Ia mungkin kecil tetapi ia suatu petanda yang sangat positif. Illir Nangka adalah daerah mengundi jauh di Sibu, ia bukan Seri Serdang atau Taman Templer di tengah-tengah bumi Selangor!

Orang Melayu memang sudah bangkit menolak BN dalam PRU ke 12 lalu, cuma tahap lonjakkannya berbeza-beza dari satu daerah ke satu daerah dan dari satu negeri ke satu negeri. Dalam erti kata lain belum betul-betul menyeluruh. Di Selangor sahaja buktinya Dato Dr Hasan Ali menang di DUN Gombak Setia yang majoriti pengundi Melayunya 80.3 peratus dengan kelebihan 2,797 undi (calon BN dahulumenang dengan majoriti 2,728). Di DUN Sabak yang majoriti pengundi Melayunya 79.7 peratus,Ustaz Sallehen Mukhyi dari PAS tewas dengan majoriti 117 undi (calon BN dahulu menang dengan majoriti 2,256 undi).

Kesimpulannya pengundi Melayu memang telah bangkit dan insyallah berpotensi bangkit lebih besar lagi kerana mereka peka danmelihat apa yang berlaku di sekeliling mereka. Kata Joceline pakatan antara PAS,DAP dan PKR kelihatan lebih meyakinkan rakyat. Masing-masing bertolak-ansur dan boleh bekerjasama dengan baik demi kepentingan rakyat.

Bagi saya pengundi-pengundi Cina telah memberikan paku terakhir buat keranda MCA dan Gerakan. Mereka tidak kelihatan akan mahu memeluk kembali BN dalam waktu terdekat ini. Keberkesanan kepimpinan kerajaan PR di Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan terus meyakinkan mereka.

Begitu juga para pengundi Melayu. Mereka dapat melihat kesungguhan PAS dalam memperjuangkan nasib dan masa depan Islam dalam negara selain menjadikan PR sebagai wadah terbaik untuk memimpin dan memperjuangkan nasib dan kebajikan umat Melayu yang berbeza sama-sekali dengan”style” dan kaedah Umno.

Saya yakin bahawa sedikit demi sedikit para pengundi Melayu akan semakin sedar dan celik. Tidak mustahil tsunami yang lebih besar akan melanda dalam PRU ke 13 nanti, dan ianya sumbangan dan bikinan tangan orang-orang Melayu selain rakan-rakan bukan Melayu yang lain.

Terjaminkah Hak Asasi Manusia di Malaysia?

Saya terbaca dalam sebuah akhbar betapa pihak polis di Negeri Sembilan menolak permohonan permit ceramah yang dipohon oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri itu. Kononnya penolakan permit itu atas alasan faktor keselamatan.






Baru minggu lepas kita dapat tahu yang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) telah mengangkat Malaysia menjadi anggota Majlis Hak Asasi Manusia (UNHRC) badan dunia itu. Ketika pengumuman lantikan itu dibuat Wisam Putra mengeluarkan kenyataan bahawa perlantikkan Malaysia itu mencerminkan komitmen negara ini terhadap mempertahan dan mempromosi hak asasi manusia diperingkat global.

Hak asasi manusia apa jika hak bersuara pun dilarang?

PKR adalah sebuah parti politik yang sah berdaftar yang mempunyai ahli parlimen di Dewan Rakyat dan Negara malah punya MB dan anggota EXCO di negeri-negeri di Malaysia, selain ADUN di negeri-negeri termasuk di Negeri Sembilan.

Tidakkah menafikan permit ini suatu penafian hak asasi? Alasan keselamatan yang diberikan sungguh tidak relevan. Bilakah kali terakhir sebuah ceramah politik anjuran Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan berakhir dengan rusuhan dan huru-hara?

Bagi saya penafian permit ceramah ini memberi aib kepada negara setelah dilantik duduk dalam UNHRC.

Sepatutnya sebagai anggota UNHRC, Malaysia membuktikan bahawa hak asasi manusia dijamin, dipertahankan malah dipelihara dalam negara sendiri. Apa guna jadi juara global sedang anak di rumah mati kelaparan?

Perihal judi dan masa depan Islam

Allah swt berfirman dalam surah al Baqarah 219:

Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya………..

Isu yang terpampang di hadapan kita pada hari ini adalah lesen judi bolasepak yang diberitakan akan diberi oleh kerajaan Pusat kepada konglomerat judi Berjaya Group milik Tan Sri Vincent Tan. Lesen ini nanti akan membolehkan Berjaya mengambil pertaruhan dari rakyat Malaysia khasnya sempena kejohanan bolasepak Worl Cup 2010 di Afrika Selatan mulai 11 Jun sehingga 11 Julai nanti. Denganlesen inijuga syarikat ini nanti boleh memungut pertaruhan untuk berbagai jenis sukan lain.

Alasan pemberian lesen itu kononnya mahu mengelakkan judi secara “black market” atau haram yang hanya akan merugikan pihak kerajaan.

Hari ini di Malaysia kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional bertanggungjawab meluluskan beberapa lesen judi pertaruhan nombor yang diberikan kepada beberapa syarikat antara yang terbesar termasuklah Magnum, Pan Malaysian Pools dan Berjaya sendiri. Hasil cukai yang dipungut dari industri yang diharamkan oleh Islam ini mencecah RM1.2 bilion.

Ayat di atas jelas mengharamkan kegiatan judi samada berlesen atau tidak dikalangan umat Islam. Sudah pastilah mana-mana umat Islam yang diberi kuasa oleh Allah swt memerintah, akan terpikul beban di atas bahunya untuk memastikan yang kegiatan yang dimurkai oleh Allah swt ini tidak diizinkan dikalangan rakyatnya khasnya yang beragama Islam.

Pada suasana hari ini ayat ini tidak terkena di atas kepala Najib Tun Razak dan Muhyiddin Yassin sahaja, tetapi turut terkena pada kepala Nik Abd Aziz, Azizan Abd Razak, Khalid Ibrahim dan lain-lain.

Tetapi di Malaysia pihak yang memberi lesen kepada kegiatan judi adalah Menteri Kewangan iaitu dari kerajaan Pusat. Sejak dari zaman loteri kebajikan masyarakat lagi, kuasa memberi lesen ini terletak pada kerajaan Pusat. Kerajaan-kerajaan negeri sekadar memberikan lesen premis melalui Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing. Contohnya di Kelantan dan dahulu Terengganu semasa PAS memerintah, lesen-lesen premis bagi kegiatan atau aktiviti judi berlesen telah diharamkan.

Hari ini isunya adalah lesen judi sukan yang mahu diberikan kepada Vincent Tan. Apakah perlu dan mendesak sangat lesen ini pada ketika ini? Hari ini tentangan terhadapnya bukan hanya didengar dari PAS malah pimpinan Umno, BN dan NGO turut bersuara menentangnya. Mantan PM Abdullah Badawi turut mendesak agar pihak kerajaan menghormati pandangan rakyat dan tidak meluluskan lesen ini.

Isu kononnya lesen ini bukan lesen baru tetapi lesen yang dikeluarkan semula kepada Berjaya tidak berbangkit. Yang penting adakah kerajaan BN akan melulus atau mengeluarkan semula lesen ini tanpa mengambil kira bantahan orang-ramai, tanpa sensitif pada luahan hati umat Islam, tanpa taku pada peringatan Allah swt?

Dalam mendepani isu ini kita lihat malah kalangan ahli dan pimpinan Umno pun tidak bersetuju. Tetapi adalah juga segelintir yang menangguk di air keruh. Ada antara yang berkata kenapa kerajaan PR yang turut disertai PAS tidak menuntut agar diharamkan judi yang ada di negeri-negeri PR seperti Kedah, Pulau Pinang dan Selangor?

Ternyata ianya usaha untuk lari dari isu sebenar, tapi tak mengapalah, bukankah itu memang pun sikap mereka.

Kepada Khir Toyo yang turut termasuk dalam golongan ini, tidakkah saudara sedar lesen premis judi yang ada di Selangor hari ini yang diluluskan oleh pihak PBT seluruh Selangor merupakan warisan kelulusan yang diberikan semasa saudara dan barisan MB sebelum saudara (semua dari Umno) berkuasa dahulu! Kalau Umno benar berjuang untuk kepentingan agama, bangsa dan negara mengapa tidak saudara tutup sahaja premis-premis ini sebagaimana yang dilakukan oleh Nik Aziz di Kelantan?

Atas alasan Selangor negeri berbilang kaum, kita raikan dahulu warisan ini. Namun setahu saya ahli-ahli majlis PAS yang duduk dalam 12 PBT seluruh Selangor tidak akan bersubahat meluluskan mana-mana lesen baru di kawasan masing-masing. Saya sendiri selaku ahli majlis di Subang Jaya sepanjang PR memerintah telah menolak lesen-lesen baru dan rakan-rakan ahli majlis dari DAP dan PKR menghormati pendirian PAS itu.Adakah semasa Umno dahulu perkara yang sama berlaku?

Dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor,PBT di Selangor sering mengadakan operasi memastikan premis-premis judi ini tidak dilanggani oleh orang Islam. Dan insyallah kita akan meneruskan operasi ini supaya orang-orang Islam yang terpesong ini tidak lagi melakukan amalan haram itu.

Kehadiran PAS di Selangor contohnya walaupun dengan saham kecil dalam kerajaan campuran ini, tetap tidak sekali-kali menggadai prinsip dan dasar perjuangan. Kita insaf yang kita rakan terkecil namun dalam bab hukum-hakam dan syiar Islam kita sekali-kali tidak akan rela ia dipersenda atau dipermainkan apalagi tidak dihormati. Pencapaian kita yang paling besar adalah menerima pengiktirafan dan penghormatan dari rakan-rakan DAP dan PKR.

PAS akan terus memainkan peranannya kerana tuntutan perjuangannya tidak akan sekali-kali pada dalam apa keadaan dan suasa sekali pun.

Umno bagaimana? Marilah dalam bab Islam ini kita mengenepikan politik kepartian. Umno punya kuasa diperingkat pusat. PM dan TPM serta semua MB-MB kecuali KM Sarawak adalah dari Umno. Mengapa perlu berdolak-dalik dalam isu lesen judi baru kepada Berjaya ini? Batalkan sahaja atau jangan beri kelulusan atas nama Islam. Malah masyarakat bukan Islam pun saya yakin tidak nampak manfaat yang besar dari judi ini yang hanya membawa kesan sosial yang negatif dan keruntuhan rumah tangga.

Kalau Umno berani menjual saya yakin PAS pun berani membeli demi masa depan dan kelangsungan Islam. Kita hormati hak dan amalan rakyat yang bukan Islam tetapi atas sesama Islam kita perlu bertegas dalam memelihara dan mempertahankan Islam.

Buktikan keikhlasan kita bukan hanya menuntut di Kedah, Selangor dan Pulau Pinang tetapi juga di Perlis, Perak, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Kita pelihara dan martabatkan Islam menurut keupayaan kita.

Yang mendesak hari ini rakyat mahu lihat kerajaan pusat batalkan lesen judi ini, Malaysia boleh?

Friday, May 21, 2010

Demokrasi atau kuku besi?


Saya cukup terganggu melihat gambar dalam akhbar The Star hari ini. Gambar menunjukkan ADUN Sarawak dari PKR Dominique Ng ditahan oleh anggota polis apabila beliau bertindak untuk masuk ke bangunan DUN Sarawak.

Dominique telah digantung oleh DUN beberapa hari lalu apabila enggan mematuhi arahan Speaker.

Bagi saya penggantungan tidak bermakna beliau tidak boleh masuk ke bangunan dewan untuk apa sahaja urusan lain. Sejak bilakah negara kita mengamalkan peraturan kuku besi sebegini?!

Bayangkan gambaran dunia antarabangsa melihat seorang wakil rakyat yang telah dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi tetapi diperalakukan begini bagaikan seorang penjenayah.

Saya pasti rakyat Sarawak mengikuti perkembangan ini. Tidak mustahil rakyat akan bertindak balas, dan mangsanya sudah pastilah BN dalam pilihanraya negeri tidak lama lagi.

Thursday, May 20, 2010

Terima kasih tidak terhingga buat anda semua
(Sempena ulangtahun ke 6 blog ini)

Saya minat menulis. Melalui tulisan saya mudah menyampaikan pandangan dan isi hati sehingga mencetuskan kepuasan yang tidak terhingga. Lantas jika tidak menulis seolah segala yang terbuku dihati terus bersarang, membusung, meronta-ronta untuk keluar. Duduk dan jaga menjadi gundah dan gelisah.

Kepuasan terus melonjak jika didapati yang nukilan saya bermanfaat, bernilai sehingga dijadikan bahan perbualan dan perbincangan dikalangan masyarakat. Lalu dengan minat itu saya menyalurkan isi perjuangan yang saya anuti. Biar tulisan ini menjadi medan dakwah, menyibar perjuangan agar diterima dan disahut ramai.

Saya tidak menulis untuk menyemarakkan api kemarahan, apa lagi mengadu-domba, memfitnah walau saya tahu ia mampu diasah menjadi senjata yang tajam lagi berbisa. Adab berjemaah mengingatkan saya agar tidak menjadi alat yang menyusahkan perjuangan apalagi merosak dan menjahanamkannya.

Jangan kerana tulisan kita orang marah, orang benci dan orang meninggalkan perjuangan. Biarlah tulisan kita menjadi penyeri, menjadi ubat rindu yang menggamit umat mendekati dan memeluk perjuangan ini.

Namun kita tidak sunyi dari melakukan kesilapan. Yang silap perlu diperbetulkan,jangan ia terus dibiar sehingga menyilapkan khalayak yang ramai. Jika kita menulis untuk menegur maka kita juga perlu berani untuk ditegur. Jika kita menulis untuk memikat jangan sekali-kali menghina, merendah-rendah apalagi memaki hamun dalam berkarya. Allah melihat apa yang kita lakukan, biarlah tulisan, teguran dan nasihat kita berada dalam redha Nya sentiasa.

Hari ini genaplah 6 tahun saya menggunakan ruang media alternatif, blog ini, ROSLAN SMS CORNER untuk berkarya. Saya mohon maaf kiranya ada sesiapa yang terguris hatinya, terhina maruahnya lantaran tulisan saya di sini. Tiadalah niat saya selain memanjangkan perjuangan yang saya dukungi melalui blog ini. Jika terkasar, maaf dipinta. Perjuangan ini tidak salah, yang salah saya.

Alhamdulillah sejak mula mengusahakan blog ini sehingga kini saya telah menghasilkan 2,676 posting. Kalau menurut MOTIGO WEBSTATS yang mengukur blog saya sejak 12 Julai 2006 (2 tahun setelah dilancarkan blog ini), saya telah menerima sejumlah 2,752,516 kunjungan. Kunjungan teramai dalam satu hari bagi blog ini adalah 10,212 iaitu pada 14 Disember 2007 semasa kempen pilihanraya kecil DUN Ijok yang ditandingi Tan Sri Khalid Ibrahim buat kali pertama tetapi tewas.

Dari segi ranking jika menurut MOTIGO Top 1,000 di Malaysia saya duduk di ranking ke 17. Manakala menurut ONESTATFREE.COM di Malaysia saya duduk diranking ke 8.
Walaubagaimanapun ukuran-ukuran ini hanya mengambil kira blog yang berdaftar dengannya sahaja.

Apa pun saya berterima kasih kepada semua yang meminati karya saya di sini. Ada yang mengunjunginya kerana minat tak kurang kerana mahu mencari bahan untuk menembak kembali.

Tidak lupa jutaan terima kasih kepada mereka yang mendorong saya menulis, saya tidak akan lupa pujuk rayu dan dorongan Akhi Romizi http://kaset79.blogspot.com

Terima kasih juga kepada 330 kawan-kawan yang mendaftar sebagai pengikut saya walaupun sebahagian besar anda tidak saya kenali.

Insyallah saya akan terus kekal berkarya di sini selagi diberi kekuatan. Semoga apa yang tersurat dan tersirat bermanfaat dan dapat dimanfaatkan.

Terima kasih.

Tuesday, May 18, 2010

Jangan perlekeh keupayaan orang Melayu

"Jangan sangka apabila seekor ayam berkokok maka ertinya hari sudah siang", demikian ulasan Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud ekoran kekalahan calon BN dalam pilihanraya kecil parlimen Sibu.

Dalam ertikata lain beliau cuba membayangkan bahawa kemenangan DAP di Sibu itu tidak akan memberi kesan atau menjejaskan pilihanraya dewan undangan negeri Sarawak yang dijangka diadakan selewat-lewatnya tahun hadapan.

Kalau Taib boleh kata begitu kerana kalah di Sibu, apa salah PR juga katakan jangan kerana baru menang Hulu Selangor, maka BN Selangor khasnya Umno mahu mengimpikan yang negeri berkenaan boleh jatuh atas riba mereka. Boleh?

Sibu timbul atas timbunan rasuah politik, peruntukkan, janji-janji pembangunan dan kehadiran segala bala tentera BN dipelabagai peringkat diketuai PM sendiri. Ada yang mengatakan BN lupa mengundang Dr Mahathir. Kalau Tun turun ke Sibu barangkali majoriti DAP berlipat kali ganda lagi!

Di Selangor Umno dan BN Selangor menjaja seluruh pelusuk kampung, kemenangan BN di Hulu Selangor petanda Umno dan BN akan bangkit kembali. Biarlah mereka berkokok begitu, hakikatnya apa alasan pun PR perlu bekerja lebih kuat dan beri tumpuan pada kawasan-kawasan luar bandar khasnya yang majoriti Melayu. (Sedang yang menang di Hulu Selangor bukan Umno tapi MIC).

Mereka lupa jika Sibu boleh dijadikan kayu pengukur, maka dengan bantuan tambahan pengundi Cina di Selangor tidak mustahil banyak lagi kerusi DUN Selangor akan gugur ketangan PR. Memang di Hulu Selangor tali hayat BN terletak pada pengundi Melayu dan India, tetapi jangan "under estimate" mereka.

Orang Melayu jangan dihina, jangan dikatakan buta politik. Mereka mungkin tersilap di Hulu Selangor, tetapi jika diberi masa dan semangat tidak mustahil mereka juga boleh seiringan dengan para pengundi Cina menolak Umno dan BN. Siapakah yang menaolak Umno dan BN di Kelantan dan Terengganu serta Kedah dan malah sebahagian kerusi DUN Selangor yang dimenangi PR jika tidak pengundi Melayu sendiri.

Saya melihat rakan-rakan pengundi Melayu/Melanau di Sibu pun sudah semakin celik walaupun majoriti masih mengundi BN. Pokoknya mereka mahu berubah juga. Kalau semangat itu ada di sana tidak mustahil kali ini ia boleh menjadi di Semenanjung.

Bayangkan jika orang Melayu meletakkan nasib mereka pada PAS dan PKR, memutuskan talian mereka dengan Umno, ditambah dengan pengundi Cina yang sudah menolak sama-sekali BN, Malaysia baru akan muncul menyinari segenap pelusuk tanahair.

Pengundi Melayu pun bijak juga cuma mereka telah lama berteduh bawah Umno,demikian juga para pegawai kerajaan termasuklah yang di Selangor sendiri. Rayu mereka agar membuat pertimbangan dengan saksama. Lihat pada akhlak, keterampilan, agama pemimpin. Lihat pada mereka yang ikhlas, bersih dan sanggup berkorban untuk rakyat.

Dikalangan masyarakat Cina mereka menolak Koh Tsu Koon, menolak Chua Soil Lek, menolak pemimpin MCA dan Gerakan, kerana mereka tidak lagi bertenaga memperjuangkan nasib dan kepentingan masyarakat Cina setelah hampir 60 tahun diberi kepercayaan dan amanah. Mereka berpaling pada Lim Guan Eng pada Ronnie pada Teresa.

Orang Melayu juga insyallah boleh begitu, tolak Najib, tolak Muhyudin, tolak Khairy gantikan dengan pimpinan PAS dan PKR yang lebih baik serba-serbi. Beri masa insyallah ia akan berlaku jua nanti.

6 tahun Roslan SMS Corner -20 Mei 2010

Insyallah 20 Mei 2010 ini genaplah 6 tahun blog ini. Begitu cepat masa berlalu. Saya mendirikan blog ini atas desakan dan sokongan rakan-rakan khasnya Akhi Romizi disaat meratapi kekalahan PRU ke 11.

Alhmadulillah sepanjang jalan perjuangan melalui medan media alternatif ini banyak ranjau, pahit dan manis dilalui.

Saya akan mengimbau kembali saat-saat itu 20 Mei nanti.

Terima kasih atas sokongan anda semua.

Sunday, May 16, 2010

DAP menang 398 undi!

10.53 – Jumlah undi pos sudah pun diumumkan. BN dapat 2,323, Bebas 36 dan DAP cuma 70. Namun keseluruhannya jumlah yang diperolehi oleh parti-partinyang bertanding adalah seperti berikut:

Barisan Nasional 18,447 Bebas 232 DAP 18,845

Bermakna calon DAP mewakili Pakatan Rakyat WONG HO LENG menang dengan majority 398 undi.

Syabas DAP, syabas Pakatan Rakyat, syabas para petugas PR, syabas para pengundi Sibu. AWAS BN!

Kenapa lambat sangat SPR??!

10.39 malam – Rancangan Analis Astro Awani menerima panggilan dari seorang penganlisis politik dari UNIMAS iaitu Dr Jeniri Amir. Kata Dr Jeniri kemenangan DAP ini menunjukkan yang rakyat di Sibu sudah menolak SUPP (yang mewakili BN). Tambah beliau rakyat juga muak dengan Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud yang rasuah.

Menurut beliau lagi segala janji-janji termasuk yang diberi oleh PM sekalipun sudah terlambat.

Malam ini para penganalisa dan ahli akademik bersemangat dan berani seberani rakyat yang sudah mula bersuara sejauh Sibu.

Sarawak akan menghadapi pilihan raya umum negeri bila-bila masa. Ternyata Pakatan rakyat punya harapan yang baik khasnya dengan kemenangan di Sibu ini.

Bagi saya kedudukan selepas PRU 2008 dengan kemenangan Sibu ini meletakkan matanya kepada 2-1 iaitu 2 untuk PR dan 1 untuk BN. Bagaimana?

Ia merujuk kepada kerusi milik satu-satu parti yang berjaya ditawan oleh parti lain. Yang saya maksudkan 2 bagi PR adalah Kuala Terengganu dan Sibu manakala 1 bagi BN adalah Hulu Selangor.

Sementara itu rakyat masih tertunggu-tunggu keputusan rasmi. SPR perlu lebih profesional dalam hal ini. Seluruh dunia sedang melihat. Kelewatan ini sangat memalukan. Semain buruklah nama SPR lepas ini.

Tak rasmi: DAP menang 314 undi

Jangan diperkecilkan pandangan dan pemahaman rakyat demikian pandangan salah seorang Profesor yang menjadi ahli panel rancangan “Ananlisis Astro” mala mini.

Beliau menyebut tentang kegagalan perang saraf BN iaitu untuk melaga-lagakan antara PAS dan DAP dengan harapan membangkitkan kebimbangan masyarakat contohnya atas isu “Negara Islam”, tidak boleh makan khnizir dan seumpamanya.

Modal lapuk ini ditolak di Sibu, dan jika masyarakat Cina Sibu yang terletak jauh merentasi Laut Cina Selatan iaitu di Sarawak pun menolak politik adu-domba BN ini, bermakna di Semenanjung, tidaklah keteralluan untuk dikatakan bahawa masyarakat Cina sudah tidak ada masalah lagi dengan PAS.

Panelis itu juga menyebut berkenaan kehadiran Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang yang naik berceramah atas pentas DAP di tengah Pekan Cina Sibu, sebagai perkembangan yang positif buat PR dan sesuatu yang seharusnya membimbangkan BN.

Rakyat seluruh negara sedang menunggu-ninggu pengumuman rasmi keputusan PRK Sibu. Khabarnya DAP telah menang tetapi pihak SPR masih terhencut-hencut mahu buat pengumuman rasmi.

Saya terima SMS berikut dari rakan DAP yang berada dalam dewan penjumlahan undi:

Unconformed, after POS undi (2,809) DAP win by 314.

Antara Piala Thomas dan PRK Sibu (7.55malam)

Petang tadi sebagaimana yang semua telah ketahui, Cina merangkul Piala Thomas mengalahkan Indonesia 3-0. Malaysia telah tersungkur diperingkat separuh akhir terdahulu dari itu.

Kini jam 7.48 malam, penjumlahan undi di Sibu sedang rancak dan panas. Baru sahaja Timbalan Menteri MCA Wee Kia Siong mengirim tweeter:

Jika DAP mendahului dengan 3,000 undi bermakna tidak mudah merapatkan jurang lagi.............

Sebelum itu Jeff Ooi mengirim tweet bahawa DAP kini mendahului dengan 3,022 undi berdasarkan keputusan dari 93 daripada 110 saluran.

Keputusan mukatamad belum diketahu lagi. Adalah dijangkakan sebahagian besar dari 2,809 pengundi pos yang mengundi memberi undi pada BN. Apa pun setakat ini DAP punya harapan cerah. Mengikut laporan walaupun tetap tewas di peti-peti undi Melayu/Melanau namun terdapat peningkatan undi pada DAP berbanding pilihanraya umum 2008. Mungkinkah ini sumbangan PAS?

Saturday, May 15, 2010

Kandang BN semakin sendat dengan pembelot

Sebentar tadi wartawan dari sebuah akhbar Cina menghubungi saya. Saya sudah menjangka,sudah pastilah komen yang beliau mahukan adalah mengenai “lompatan” terbaru melibatkan ahli parlimen Wangsa Maju dari PKR Sdr Wee Choo Keong yang telah isytihar keluar PKR menjadi ahli parlimen Bebas.

Saya mengenali Sdr Wee sejak tahun 1989 lagi ketika itu beliau adalah ahli DAP. Saya pernah berkempen dan berceramah bersama beliau sehinggalah kemudiannya beliau menang sebagai ahli Parlimen Bukit Bintang. Kemudian hubungankami terputus. Pada pilihanraya 2008 lalu beliau dicalonkan oleh PKR untuk bertanding di kerusi parlimen Wangsa Maju dan berjaya mengalahkan calon BN di sana.

Saya beritahu wartawan tadi saya yakin para pengundi Wangsa Maju akan berasa kecewa dengan tindakan Wee itu. Pengundi di Wangsa Maju sebagaimana kebanyakkan pengundi di Lembah Kelang telah bangkit menolak BN tak kiralah dari MCA, Gerakan atau Umno kerana hilang keyakinan kepada BN. Rata-rata calon-calon DAP, PKR dan PAS menang khasnya di Lembah Kelang lantaran sentimen kebencian rakyat itu.

PAS sendiri menang buat pertama kali di Wilayah Persekutuan apabila calon kami Dr Lo’lo Dato Ghazali menang di kerusi parlimen Tititwangsa.

Pada saya Wee telah medurhakai amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh para pengundi Wangsa Maju. Bayangkan sumbangan tenaga dan wang ringgit para pekerja dan petugas parti termasuklah dari PAS yang telah bermati-matian bekerja dan berkempen untuk kemenangan beliau, tiba-tiba dengan mudah beliau lompat keluar begitu sahaja.

Waratawan yang sama turut bertanya kepada saya tentang impak tindakan Wee itu terhadap pilihan raya kecil Sibu yang hari mengundinya esok.

Saya katakan insyallah para pengundi di Sibu telah pun membuat keputusan. Tindakan Wee hanya akan mendorong rakyat untuk berhati-hati agar tidak memilih calon yang seumpama Wee. Bagi saya harapan Pakatan Rakyat tidak akan terjejas dengan tindakan paling tadah Wee itu.

Beliau juga bertanya tidakkah agenda Pakatan Rakyat terjejas dengan tindakan seumpama ini mengambil kira beberapa kes lompatan sebelum ini. Saya berharap rakan-rakan dari PKR segera mengambil tindakan merawat penyakit ini. Ia sudah pastilah sesuatu yang tidak sihat buat PKR dan Pakatan Rakyat sendiri. Kejadian seumpama ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap PR.

Namun saya yakin rakan-rakan dari PKR akan segera bertindak dan mengambil langkah yang sewajarnya. Mereka yang berpaling tadah dan pembelot seperti ini tidak akan dapat kekal bertahan.

Dalam sejarah Melayu Melakapun banyak kit abaca berkenaan pembelot. Salah seorang adalah saudagar (korpratlah kalau pada hari ini) Jawa bernama Utimutiraja. Kerana rasa tidak puas hati dan mhukan kesenangan dan kekayaan berlebihan beliau telah mengarahkan hamba-hambanya seramai 5,000 orang membantu Portugisdalampenaklukan Melaka. Khabarnya beliau kemudiannya dibunuh sendiri oleh Portugis kerana Portugis bimbang manusia seumpama ini kalau boleh belot sekali takmustahil dia belot berkali-kali.

Jaga-jagalah BN banyak pembelot dalam bilik tidur mu!

Wednesday, May 12, 2010

13 Mei jangan berulang lagi

Esok 13 Mei 2010, bermakna telah 41 tahun berlalu sejak tercetusnya Peristiwa Hitam 13 Mei 1969.

Ada diantara kita sudah dewasa ketika itu, ada masih kanak-kanak dan malah ada yang belum lahir pun. Tetapi peristiwa itu terus terpahat dalam sejarah negara, satu malapetaka pahit, satu babak yang malang dan kadangkala mencetuskan ketidakselesaan apabila sahaja ia disebut atau diketengahkan sebagai bahan bicara.

Apa yang sebenarnya berlaku pada hari berkenaan, selang beberapa waktu selepas Pilihanraya Umum ke 3?

Banyak versi, banyak catatan dan laporan yang dibuat dan boleh dibaca. Yang nyatanya banyak nyawa anak-anak tempatan, Melayu, Cina dan India terkorban lantaran peristiwa malang itu. Ramai yang tercedara, banyak harta benda musnah.

Hari ini apabila kita menoleh ke belakang, tiada siapa yang mahu berbangga dengan apa yang telah berlaku. Orang Melayu, orang Cina, orang India semuanya mahu melupakan sahaja insiden itu. Biar ia pergi berlalu jauh meninggalkan kita. Yang pentingnya apa yang kita pelajari dari perisitiwa itu dan apa yang seharunya kita lakukan bagi memastikan ianya tidak berulang lagi.

Kita harus insaf bahawa isu perkauman, warna kulit dan kepercayaan jangan sekali-kali dibiarkan menyala sehingga marak membakar. Elakkan dari menyumbang ke arah menyalakan api puaka itu.

Orang Melayu, Cina dan India perlu saling terima menerima antara satu dan lain. Hormat-menghomati, faham-memahami adalah konsep penting dalam membina kekuatan negara dan mengelakkan ketegangan. Jika kita cinta negara ini, jika kita mahu hidup bersama di atasnya, aman, makmur dan sejahtera maka bersedialah untuk berkongsi bersama bumi ini, bersedialah bertolak-ansur dan berkorban.

Jangan berpolitik sehingga kita memusnahkan apa yang telah dibina sekian lama. Fikirkan kelangsungan negara ini, fikirkan nasib, kebajikan dan masa depan anak-anak kita.

Jangan ada 13 Mei lagi di sini. Mari kita terus melangkah dengan perpaduan kaum yang kental dan persefahaman yang terjalin mesra. Campakkan ke tepi apa sahaja perbezaan yang mungkin menyakiti atau mencetuskan ketegangan sesama kita. Mari kita bersama membina sebuah Malaysia yang selamat buat semua.

Happy birthday to you Umno

Umno dah 64 tahun usianya. Diasasakan oleh Allahyarham Dato Onn Jaafar dengan matlamat menentang Malayan Union. Dari tahun ke tahun ia berkembang akhirnya menjadi teraju negara sehinggalah ke hari ini.

Tiadalah yang selebih kuat dan perkasa dikalangan parti politik melainkan Umno, tapi itu pun satu ketika dahulu.

Hari ini mencecah usia 64 tahun laksana seorang lelaki yang usia begitu, Umno sudah tidak segagah dahulu. Tubuh sudah mula berkedut, rambut beruban dan mula gugur, penglihatan sudah kabur, pendengaran sudah kurang. Malah ingatan pun sudah mula timbul tenggelam.

Kata Presiden Umno Najib Tun Razak, Umno perlu kembali menghayati semangat jati diri parti yang berjuang untuk rakyat dan bukannya mengamalkan politik sempit yang menguntungkan kelompok tertentu.

Bermakna setelah 64 tahun berjuang kini pimpinan Umno sedar mereka telah jauh lari dari semangat asal parti mereka. Mereka kini mengamalkan budaya perjuangan yang sempit. Mereka kini berjuang untuk kepentingan diri, menguntungkan kroni mereka sedangkan yang ramai diabai dan dipinggirkan atau diguna hanya bila perlu.

Bermakna semuanya telah berubah. Bukannya berubah untuk kebaikan tetapi sebaliknya. Bukannya mencatat kemajuan tetapi mundur terus mundur.

Dalam semangat 64 tahun itu baru-baru ini mantan MB Selangor Khir Toyo menyatakan yang Umno sesungguhnya masih relevan. Saya tidak tahu tentang tempat lain tetapi kalau Khir merujuk negeri Selangor,saya kira beliau masih belum kebah dari demam panas yang menimpanya pada 8 Mac 2008 lalu.

Bukankah kerana tidak relevanlah maka beliau hilang negeri 8 Mac 2008 lalu. Memang Umno mungkin mampu bertahan di 18 kerusi di Selangor tetapi pasukan Umno pimpinan Khir tewas dan tersungkur di 16 kerusi. 18 kerusi yang menang pun ada yang tipis-tipis, paling tipis 45 undi di Seri Serdang.

Umno bersarang dengan masalah. Di Selangor rakyat sudah hilang kepercayaan pada Umno. 64 tahun satu usia yang lama tetapi bagi Umno ia sudah hampir ke Maghrib usianya. Jangan ingat menang di Hulu Selangor tiba-tiba Umno Selangor kembali tegap! Yang menang tu bukan Kamal tetapi Kamalanathan dari MIC. MIC pun orang tak percaya boleh bangkit kembali dengan kemenangan ini, apatah lagi Umno.

Selamat hari jadi Umno…..yang hidup pasti mati.

Tuesday, May 11, 2010

Fenomena baru politik Sibu

Satu fenomena baru bagi orang Sibu adalah melihat bulan dan roket dikibarkan beringan di Pekan Sibu semasa hari penamaan calon. Sibu yang pengundi Cinanya mencecah 66.6% sudah pasti tidak pernah melihat klehadiran PAS tambahan pula memang PAS tidak mempunyai 1 pun cawangan di sana.

Tetapi mereka tidak kalut tidak bimbang atau takut melihat kehadiran PAS di Sibu. Malahan para petugas PAS diberi senyuman dan disambut baik oleh para pengundi Cina di sini kecuali akhbar berbahasa Cina termasuklah akhbar tempatan di Sarawak yang cuba melaga-lagakan antara PAS dan DAP.

Sesungguhnya PAS dan DAP sudah masak dengan kerja-kerja adu-domba seperti ini. Saya yakin ia dapat ditangani dengan mudah oleh jentera Pakatan Rakyat.

Saya kira mungkin pengundi Cina sudah begitu terdedah akan aktiviti dan perkembangan melibatkan PAS.Saya kira mereka selesa dan senang melihatkan parti Islam yang ikhlas dan telus ini dapat berganding dengan DAP yang juga begitu.

Yang pentingnya misi kehadiran jentera PAS adalah untuk menawan hati pengundi Melayu/Melanau. Di Sibu terdapat 16.2 peratus pengundi Melayu/ Melanau. Malah salah sebuah DUN dalam Parlimen Sibu iaitu N. 49 Nangka mempunyai 47.6 peratus pengundi Melayu/Melanau. Kerusi ini diwakili Awang Bemee (BN-PBB).

Jentera PAS memberi tumpuan pada DUN ini. Dahulu DAP menghadapi masalah untuk masuk ke kawasan majoriti Melayu/ Melanau,kini dengan kehadiran jentera PAS, kawasan ini dapat diterokai dan diharapkan jika tidak pun dapat menawan keselurhan,sekurang-kurangnya lebih 20 peratus pengundi Melayu/Melanau dapat bersama PR.

Sabtu lepas contohnya, AJK PAS Pusat merangkap Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato Dr Hasan Ali dapat masuk ke rumah Penghulu Nangka dan Imam masjid di kawasan ini. Penghulu berusia hampir 70 tahun itu mengalu-alukan kehadiran pimpinan PAS malah bersedia menjadi tuan rumah kepada program baca yasin anjuran Muslimat PAS Selangorbawah Ustazah Mariam.

Banyaklah masalah penduduk setempat telah dicurahkan kepada Dr Hasan termasuklah isu peminggiran penduduk tempatan dari arus pembangunan, masalah geran, hakisan, banjir dan lain-lain. Ternyata penduduk tempatan tidak berpuas hati dengan prestasi ADUN dan wakil parlimen.

Saya dan rombongan petang itu mengikuti Dr Hasan keluar masuk kampung, dan rata-rata semua rumah yang kami kunjungi memberi layanan baik kepada wakil PAS.

Saya yakin fenomena ini akan memberi lonjakkan positif buat calon DAP.

Yang bertarung kedua-duanya calon Cina antara PR-DAP dan BN-SUPP. Bagi pengundi Cina, mereka telah masak dan hampir telah membuat keputusan. Bagi pengundi Melayu/Melanau saya pasti mereka mahu melihat siapakah rakan-rakan calon DAP dan SUPP. Yang mereka nampak, PAS adalah rakan DAP. Mereka senang dengan PAS. Pemimpin PAS mereka kenal dan hormati.

Jika mereka dapat bertahan baki beberapa hari ini, dapat menghadapi lambakkan wang yang akan turun dengan turunnya Perdana Menteri sikit hari lagi, saya yakin keputusan parlimen Sibu pada 16 Mei ini nanti tentu mengejutkan.

Rapatnya hubungan PAS dan DAP ini diharapkan dapat diterjemahkan dalam bentuk undi di Sibu. Begitu juga tidak lupa bantuan dan sokongan kuat jentera PKR dan SNAP rakan baru dari Sarawak.

Kita bicarakan darihal pencapaian kerajaan PR di Selangor, kemajuan di Pulau Pinang dan prestasi Kedah dan Kelantan. Ketelusan, keadilan, kesaksamaan dan kebajikan yang terbela orang rakyat di negeri-negeri di bawah Pakatan ini perlu dikempenkan pada para pengundi Sibu.

Benar antara PAS dan DAP banyak berbeza dari segi prinsip dan dasar pejuangan, namun kami boleh bekerja bersama dengan baik demi mempertahan dan membela nasib serta kebajikan rakyat. BN mungkin bagai gergasi besarnya dengan rakan komponan Umno, MIC, MCA, Gerakan, PBB, SUPP dan lain-lain. Namun kepincangan mereka telah diketahui rakyat. Sehingga orang Melayu/Melanau di Sibu pun faham sangat akangelagat dan perangai mereka ini.

Isunya, adakah mereka nanti akan berani bangkit mengundiuntuk perubahan?

Setakat yang kami lalui mereka kelihatan sekana bersedia. Insyallah kita doakan begitulah. Kemenangan di Sibu penting bagi menunjukkan rakyat masih mahukan perubahan.Biarlah Hulu Selangor sekadar menjadi pengajaran, yang penting Sibu mesti bersuara.

Sibu Jom Ubah!

Sunday, May 09, 2010


Happy Mothers Day: Mak

Betapa tidak hanya engkaulah
Yang menyinari hidupku
Sepanjang masa engkau berkorban
Tidak putusnya bagai air lalu

Demikianlah seni kata lagu “Ibu” ciptaaan Allahyarham P.Ramlee.

Hari ini “Hari Ibu”, hari memperingati kaum ibu. Bagi para pengkritik akan bingkas bangun menyatakan hari ini asal-usulnya berbagai-bagai, tiada kena mengena dengan anutan kita. Apa pun bagi saya falsafahnya adalah memperingati, mengenang jasa dan memberi pengiktirafan pada ibu masing-masing. Siapa pun yang waras akan lembut dan sejuk hatinya apabila mengenang dan mengingati ibu masing-masing samada insan itu masih hidup atau telah tiada lagi.

Allah swt berfirman dalam surah Luqman ayat 14:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

Dalam sebuah hadis Rasulullah saw:
Seorang sahabat bertanya:

Wahai Rasulullah saw siapakah diantara manusia yang paling berhak kepada ku untuk berbuat baik padanya?

Kata Rasulullah: Ibumu

Kemudian siapa tanyanya lagi

Ibumu jawab Rasulullah

Kemudian siapa tanyanya sekali lagi

Ibumu jawab Rasulullah

Kemudian siapa tanyanya lagi

Ayahmu jawab Rasulullah

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tiadalah insan yang lebih saya sanjung, yang saya julang dan saya tempatkan dalam ruang istimewa dalam hati ini selain ibu saya yang saya kasihi. Apakah anda tidak begitu?

Ibu manusia keramat yang luar biasa. Dikurnia Allah keistimewaan dapat membaca apa yang terbuku di hati anaknya. Sakit anak, sugul anak, resah, pilu semuanya dapat dikesan dan mahu ditatang, dirawatnya.

Siapakah yang lebih layak dikenang, diingati, disanjung dan dimuliakan jika tidak mereka yang istimewa ini yang bergelar ibu.

Anak membentak, anak memberontak, anak merungut dan kekadang mengugut, ibunya akan menelan segalanya. Anaknya yang paling baik, anaknyalah yang paling bertuah walau menyusah walau membawa duka pada ibu. Tangis anak dihujaninya dengan kasih sayang, membalut, membelai luka hati anaknya itu, tetapi tangisnya kekadang tidak kelihatan oleh anaknya, tangis ibu disorok-sorok, kerana pilunya biarlah pilunya seorang, Allah mulianya ibu kita.

Anak seorang, anak berdua, berempat, berlapan, berbelas boleh dipelihara boleh dibela boleh dibesarkan oleh ibu seorang sehingga menjadi manusia, tapi ibu seorang belum tentu boleh dijunjung oleh anak sepuluh mahupun seorang.

Ya Allah ampunkanlah dosa ibu kami, Ya Allah tempatkanlah insan yang paling istimewa dalam hidup kami ini dikalangan insan-insan yang Engkau kasihi. Permudahkanlah hidupnya Ya Allah. Berikanlah kami kekuatan untuk menaburkan bakti dan kasih sayang padanya sebagaimana ia seorang menaburkan jasa dan pengorbanan kepada kami sejak kami dalam perutnya yang mulia itu sehingga lahir ke dunia ini dan dibesarkan olehnya.

Ampunkanlah dosa kami ibu,jika kami telah menyakiti, meluka hati mu, ampunkanlah.

Selamat hari ibu, ibuku yang sangat ku kasihi.

PAS komited bantu DAP di Sibu

Koleksi foto jentera pilihanraya PAS tekun membincang kaedah untuk memenangkan calon PR dari DAP di Markaz Besar PAS di Nangka, Sibu.



Ternyata semua kekuatan PAS yang berada di Sibu, besar atau kecil, pimpinan atau ahli biasa, semua komited untuk menyumbang tenaga dan fikiran bagi memenangkan rakan PAS dalam PR iaitu DAP dalam PRK ini.




Petugas datang dan pergi silih berganti di Sibu, dari segenap pelusuk negara termasuk Sabah dan setiap ceruk Semenanjung. Mudah-mudahan segala jasa dan bakti yang ikhlas yang kita taburkan ini akan beroleh ganjaran kejayaan kesudahannya, insyallah.

Penamaan calon Sibu berlangsung aman


Penamaan calon Pilihanraya Kecil Parlimen Sibu semalam berjalan lancar. Tidak seperti suasana PRK di Semenanjaung Malaysia, di Sibu suasananya agak “sejuk” namun bersemangant. “Sejuk”mungkin kerana masalah hubungan antara Sibu dan Semenanjung dan malah Sibu dan daerah lain di Sarawak dan Sabah sendiri.


Rombongan PR bersedia untuk melangkah. Dari kiri:
YB Kit Siang, Dr Hasan Ali, Tan Kok Wai, Jeff Ooi dan
Tunku Aziz (di belakang terlindung Ustazah Mariam)
"Sibu for change"
Jumlah penyokong yang mengikuti calon masing-masing jauh lebih kecil berbanding PRK di Semenanjung. Calon BN diketuai Timbalan Presiden Umno Muhyuddin Yasin dan Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud diiringi kurang- lebih 2,500 penyokong manakala calon Pakatan Rakyat diketuai pimpinan tertinggi DAP, PKR, PAS dan SNAP tiba dengan tidak kurang 1,500 penyokong.

Antara pimpinan kanan DAP yang mengiringi calon Wong Ho Leng adalah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Dr Tan Seng Giaw, Teresa Kok, Senator Tunku Aziz, Chong Eng, Fong Kui Lun. PKR diketuai Dato Seri Dr Wan Azizah, Tan Sri Khalid Ibrahim, Azmin Ali, Fuziah Salleh, Dr Xavier Jayakumar, Elizabeth Wong. PAS pula diketuai Naib Presiden Salahuddin Ayob, AJK PAS Pusat Dato Dr Hasan Ali, Dr Siti Mariah Mahmud, Dato Wan Rahim dan lain-lain.

Rombongan Pakatan Rakyat berarak kira-kira 1 kilometer lebih dari Pejabat DAP Sibu di Pekan Sibu ke pusat penamaan calon. Megah berkibar bendera roket, bulan, PKR dan SNAP. Menurut penduduk tempatan inilah pertama kali mereka melihat roket dan bulan berkibar sama, ternyata satu perkembangan positif di Sarawak.

Suasana keseluruhan dari awal hingga selesai proses penamaan calon, ceria dan terkawal. Tiada insiden yang tidak diingi. Malah di perkarangan pusat penamaan calon pimpinan BN dan Pakatan Rakyat kelihatan selesa bermesar dan berbual antara satu sama lain. Diharapkan begitulah suasana sepanjang pilihanraya kecil ini. Kita berkempen untuk memperkenalkan calon dan manifesto masing-masing, lakukanlah ia dengan tertib dan waras, tidak emosional dan mencetuskan ketegangan.

Saturday, May 08, 2010


Selamat pagi Sibu

Jam 6.20 pagi. Baru sahaja selesai menyediakan satu riasalah buat para petugas PAS di DUN Nangka, Parlimen Sibu sebagaimana diarahkan jentera parti semalam. Sebentar nanti akan ke Pekan Sibu untuk mengiringi calon Pakatan Rakyat dari DAP YB Wong HoLeng ke pusat penamaan calon.

Tenghari semalam telah mengiringi Dato Dr Hasan Ali bertemu para pengundi di sekitar Pekan Sibu. PAS Selangor menyediakan dua buah kenderaan khas siap dengan pelekat parti dan bendera PAS yang jarang-jarang berkibar di sini.

Ternyata kehadiran rombongan PAS menarik perhatian masyarakat dan ramai yang memang mengenali Dr Hasan, seorang tokoh motivator dan pengerusi program forum di TV kira-kira 20-30 tahun lalu.

Setiap kedai yang kami kunjungi pasti ada yang akan menegur dan mohon bergambar sekali lantas membuktikan betapa peramah dan baiknya hati penduduk tempatan di sini.

Dari Pekan Sibu kami kemudian ke DUN Nangka,ke markas besar operasi PAS. Kelihatan anak-anak muda para petugas dari seluruh Sarawak telah ada bersedia menghulurkan tenaga. Saya berjumpa bekas ahli parlimen Jeli, sahabat saya Sdr Affendi Mohamad. Turut berada di sana adalah Pengarang Siasah Sdr Sayuti MSO.

Turut tiba kemudian adalah YB Salahudin Ayub, YB Dr Nik Mazian dan ramai lagi.

Dari DUN Nangka kami kembali ke Pekan Sibu untuk minum petang. Sekali lagi disebuah restoran mamak, pemilik kedainya keluar menyambut kami dan mohon bergambar bersama Dr Hasan.

Kami kemudian menerima ketibaan rombongan Pemuda dan Muslimat PAS Selangor.Pemuda diketuai sendiri Ketua Pemuda Negeri Ustaz Hasbullah (ahli majlis Selayang) manakala Muslimat oleh Timbalannya Ustazah Mariam (ahli majlis bandaraya Shah Alam).

Sebelah malamnya kami kembali ke Markas Besar untuk mengikuti taklimat akhir sebelum penamaan calon. Majlis telah dipengerusikan Pesuruhjaya PAS Sarawak. Turut dihadiri oleh YB Tony Pua dan YB Dato Wan Rahim dari Jabatan Pilihanraya PAS Pusat. Turut hadir adalah Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat Ustaz Azman Shapawi dan Dr Mariah Mahmud.

Kini masing-masing menunggu proses penamaan calon. Jika semua selesai tengahari ini maka bermulalah tempoh kempen secara rasmi.

Friday, May 07, 2010

Sehari sebelum penamaan calon di Sibu

Saya selamat tiba di Sibu kira-kira jam 10.40 pagi tadi. Saya bersama rombongan Pesuruhjaya PAS Selangor Dato Dr Hasan Ali. Pesawat MAS dari KLIA berlepas kira-kira jam 8.50 pagi tadi. Turut berada dalam pesaawat yang sama adalah ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad dan rombongan, Senator Tunku Aziz dan seorang EXCO Pulau Pinang selain rombongan BN diketua Shahrizat Jalil.

Rombongan Pemuda dan Muslimat PAS Selangor dijangka tiba lagi dalam penerbangan disebelah petang. Sdr Khairuddin Othman, Setiausaha Perhubungan PAS Selangor dan rombongan sudah pun berada di sini sejakabeberapa hari lalu.

Hotel di Sibu dilaporkan semuanya telah penuh dengan sebahagian besar disapu oleh pihak BN. Para petugas PAS akan ditempatkan dibeberapa rumah sewa yang telah dikenal-pasti.

Parlimen P.212 Sibu mempunyai 55,003 orang pengundi. Pengundi Cina adalah kelompok yang terbesar iaitu 36,640 atau 66.6 peratus. Diikuti Iban 16.3 peratus dan Melanau 16.2 peratus. Terdapat tiga DUN di sini iaitu Nangka (majaoriti Melanau), Pelawan (majoriti Cina) dan Bawang Assan (majaoriti Cina).

Saya tidak pasti apakah harapan calon Pakatan Rakyat dari DAP, memang setelah kita tewas di Hulu Selangor, BN dijangka lebih berkepak lagi,walaubagaimanapun semuanya tertakluk pada kualiti kerja masing-masing semasa kempen pilihanraya dan bantuan dari Allah swt.

Semasa dalam pesawat saya terserempak dengan bekas calon Umno di Kelantan. Beliau seorang bekas polis dan kawan rapat keluarga saya. Kata beliau ini lawatan keduanya ke Sibu dalam tempuh terdekat ini. Menurut beliau setakat ini bacaannya condong pada pihak PR.

Saya sekadar tersenyum namun tahu yang kawan saya itu serius. Apa pun masa masih terlalu awal, yang penting kita jangan sekali-kali "over confident", kerja mesti tersusun dan terancang. Kemenangan di Sibu penting buat PR setelah kita tewas di Hulu Selangor.

Sebenarnya keputusan setakat ini adalah seri 1-1 iaitu melibatkan kemenangan merampas kerusi lawan. PR berjaya rampa Parlimen Kuala Terengganu dari BN dan BN berjaya rampas kerusi Hulu Selangor dari PR. Jika PR menang Sibu bermakna 2-1!

Kerajaan Pak Pandir 1 Malaysia

Kerana menghadapai masalah besar berhubung pengedaran dadah dan krisis penagihan dadah dikalangan rakyat Malaysia satu ketika dahulu maka kerajaan memperkenalkan undang-undang menggantung sampai mati sesiapayang didapati bersalah mengedar dadah. Begitu juga dalam kes memiliki senjatapi secara haram atau tanpa lesen. Untuk mengekang dan mengatasinya kerajaan memperkenalkan undang-undang menggantung sampai mati sesiapa yang memiliki senjatapi tanpa lesen.

Langkah pencegahan seumpama ini adalah untuk memastikan ianya dapat dikawal jika tidak pun dihapuskan.

Tiba-tiba terbaru kita diberitahu kerajaan akan melakukan sesuatu yang sebaliknya. Kita didik masyarakat yang judi itu merugikan (dalam Islam jelas HARAM), meruntuhkan keluarga dan masyarakat. Walaupun kerajaan Pusat melesenkan kegiatan judi namun semuakelompok masyarakat terus-menerus cuba mengajak masyarakat masing-masing agar menjauhinya kerana kemungkaran yang ia bawa.

Apakah yang akan dilakukan kerajaan itu?

Kerana bimbang rakyat akan tercebur dalam perjudian haram khasnya yang melibatkan acara-acara sukan, dalam hal ini kejohanan bolasepak Piala Dunia di Afrika Selatan tidak berapa lama lagi, Timbalan Menteri Kewangan menyatakan yang kerajaan berkemungkinana akan menghalalkan jenis judi seumpama ini. Akibatnya kerajaan akan berjaya mengutip cukai yang tinggi dan negera akan mengaut keuntungan berbanding jika judi jenis ini dibiarkan dikenadali secara haram!

Bimbang dadah kita hukum mati pengedarnya.
Bimbang salah-guna senjatapi kita hukum mati pemiliknyayang tidak berlesen.
Bimbang judi haram kita halalkannya!

Inilah kerajaan bijak Pak Pandir 1 Malaysia!

Jika begini perjalanan kerajaan ini bayangkan apa lagi akan dihalalkan pada masa hadapan asal sahaja kerajaan untung dan tidak rugi. Fikir-fikirkanlah.......

Thursday, May 06, 2010

Rakyat di bawah tidak senang

Saya mendapat maklumat kerajaan BN bimbang dengan perkembangan yang melibatkan kematian tragis Allahyarham adik Aminulrasyid Amzah. Ada yang bertanya kawan-kawan bagaimana reaksi rakyat di akar umbi.

Isu ini bukan mahu dipolitikkan. Isu melibatkan hamba Allah yang tidak berdosa matiditembak siapa yang mahu politikkan! Ini bukan soal pembangkang betul kerajaan salah atau sebaliknya.

Ini isu kesilapan atau keghairahan terlampau dalam menjalankan tanggungjawab sehingga mengakibatkan kecuaian yang berkahir dengan kematian.

Kesalahan Allahyarham dari versi rasmi: Menimbulkan kecurigaan seolah beliau adalah penjenayah. Lari dari pihak polis sehingga merempuh kenderaan lain.

Hukuman: Kenderaannya dihujani peluru untuk memaksanya berhenti.

Kesudahannya: Sebiji peluru tembus melalui belakang tempurung kepala Allahyarham terus membunuhnya. Injin kenderannnya masih hidup tetapi yang mati beliau.

Siapakah beliau: budak tingkatan tiga berusia 15 tahun. Tidak pernah memiliki rekod membunuh, menyamun atau merogol orang.

Lalu kalau mahu tahu senitmen rakyat akar umbi jawapannya – rakyat marah, kecewa, tidak percaya yang kejadian seumpama ini boleh berlaku, Menurut rekod inilah kejadian pertama dalam negara dimana seorang budak berusia 15 tahun mati ditembak polis!

Semoga kita semua belajar dari kejadian tragis ini. Jangan biarkan ia berulang dan mencemarkan nama baik kita semua.

Ibu-bapa perlu memantau anak masing-masing. Pihak polis perlu memastikan anggotanya benar-benar terlatih dan bersedia menghadapi situasi cemas.Tidak “trigger happy”, tetapi professional dan cekap dalam menjalankan tugas.

Jangan ulangi insiden seumpama ini lagi.

Tuesday, May 04, 2010

Siapa yang tidak beretika?


Getting the friend of Aminulrasyid Amzah to tell his version of what happened that led to the shooting of the 15-year-old is an unethical move.

Selangor police chief Deputy Comm Datuk Khalid Abu Bakar said the lawyer’s action in holding a press conference and exposing the boy, a key witness in this case, was a cheap publicity stunt to garner public sympathy while investigations were still under way.


ETHICAL atau beretika bermaksud melaksana atau melakukan sesuatu perkara dengan cara bermoral atau menepati perlakuan yang betul.

Semalam adik Azamuddin Omar 15 tahun, rakan kepada Allahyarham adik Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati oleh pihak polis di Shah Alam baru-baru ini telah membuat kenyataan kepada media, versi beliau sebagai saksi utama, akan apa yang sebenarnya terjadi pada malam kejadian tersebut.

Pihak polis menganggap tindakan membuat kenyataans eumapam itu sebagai TIDAK BERETIKA, publisiti murahan untuk meraih simpati masyarakat.

Sesungguhnya simpati masyarakat telah pun bersama keluarga Allahyarham Adik Aminulrasyid sebaik mengetahui tentang insiden malang ini. Simpati masyarakat bukannya membuta, tetapi bersandarkan satu fakta penting iaitu anggota polis yang bertugas pada malam itu telah menggunakan senjatapi dan menembak seorang murid sekolah 15 tahun yang tidak bersenjata sehingga mati.

Siapa yang tidak beretika?

Beretikakah kita apabila mengeluarkan kenyataan bahawa Allahyarham adalah penjenayah?

Bagi saya tindakan adik Azamuddin Omar semalam adalah berani dan bijak. Kini rakyat terdedah dengan perkara sebenarnya. Tiada siapa yang boleh menyembunyikan fakta lagi. Yang kita mahu adalah keadilan, walaupun pahit dan mengena batang hidung sendiri, asal saja kita tidak zalim dan dimurkai Allah!