Thursday, April 29, 2010




Semalam semasa mengiringi Dato Dr Hasan Ali ke IPD Shah Alam, seorang wartawan dari media arus perdana telah bertanya beliau berkenaan kes Allahyarham Adik Aminulrashid Amzah yang ditemabk mati oleh pihak polis di Shah Alam baru-baru ini.

Wartawan itu minta komen dari Dato Hasan tentang benarkah ada sesetengah pihak termasuk media alternatif yang telah mengeksploitasi kes ini.

Saya hairan bagaimana wartawan siaran televisyen milik kerajaan itu boleh bertanyakan sesuatu soalan yang seumpama itu.

Pertama sekali kes ini adalah sebuah kes pembunuhan yang kejam. Katalah apa sahaja, hakikatnya mangsa adalah seorang murid sekolah berumur 15 tahun, seorang juvana! Apa pun kesalahan beliau (jika ada) adakah ia memungkinkan penggunaan senjatapi ke atasnya, sehingga mengakibat beliau bukannya tercedera tetapi mati ditempat kejadian!

Kes ini masih dalam siasatan tetapi tidak ada siapa yang boleh menyekat orang awam dari memberikan komen dan pandangan. Sebagaimana dijelaskan oleh Dato Hasan kepada wartawan itu,kita berhujah berdasarkan fakta yang ada. Dan sebagaimana saya sebutkan, fakta utamanya Allahyarham Adik Aminulrashid sekadar berusia 15 tahun.

Orang ramai tidak akan terkejut dan marah-marah sebegini jika kes ini melibatkan seorang dewasa. Jika kes ini melibatkan seorang yang baru melakukan samun, rompak atau rogol bersenjata. Jika si mati ada senjata di tangan………….

Ini adalah satu pembunuhan kejam dan pihak yang bertanggungjawab mesti diseret ke muka pengadilan dan jika sabit kesalahannya di hukum sekeras-kerasnya.

Lebih cepat, adil dan terbuka penyiasatan yang dilakukan, maka lebih kuranglah cakap-cakap di luar. Tetapi apabila ada usaha menghalang-halang maklumat, apalagi jika ada usaha menyembunyi atau menokok-tambah maklumat, pasti rakyat jelata akan marah dan ini lebih mengeruhkan suasana.

Apa pun kesalahannya bagi saya apa yang berlaku terhadap adik ini adalah satu pembunuhan yang kejam dan sangat tidak berperikemanusiaan. Pihak yang terlibat mesti dipertanggungjawabkan jangan biarkan mereka lolos begitu sahaja.

Wednesday, April 28, 2010

Laporan polis terhadap Zahid

Pukul 3 petang hari ini Dato Dr Hasan Ali, EXCO Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor akan berada di Ibupejabat Polis Daerah (Shah Alam) untuk membuat laporan polis berkenaan kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa beliau telah memberikan khutbah berbaur politik dan menghina Tuanku Sultan Selangor di Masjid Bukit Sentosa Jumaat lepas.

Berdasarkan kenyataan pihak JAIS ternyata segala tuduhan yang terbit dalam akhbar-akhbar media perdana sehari selepas kejadian berkenaan semuanya fitnah dan bohong.

Semoga pihak polis akan segera menyiasat laporan yang dibuat oleh Dr Hasan itu dan pihak yang bertanggungjawab disiasat dan jika terbukti didakwa di mahkamah.

Tuesday, April 27, 2010

Biar Khir mabuk dengan kemenangan di Hulu Selangor

Khir Toyo melonjak gembira dengan kemenangan BN di Hulu Seleangor. Manakan tidak, setelah diterajang dari kerusi kuasa pada 8 Mac 2008 lalu, pastilah sekurang-kurangnya dapat menguis tubuh Pakatan Rakyat Selangor pun satu pencapaian besar baginya.







Dendam terus membara dalam dada angkara luka tersungkur 2 tahun lalu.

Tak mengapalah. Biarlah beliau bergembira dari terus murung dan duka. Jangan lupa banyak lagi sampah-sampah buruk dan busuk beliau di bawah tikar sepanjang menjadi MB yang masih belum selesai dan dibongkar.

Bergembiralah tapi jangan menabur onar dan duri, jangan membakar api adu-domba kerana mabuk sakan dengan satu kemenangan. Posting terbaru dalam blognya ternyata mendedahkan betapa ultra chauvinis perkaumannya Khir Toyo.

Beliau menulis:

Jika dilihat dari pola pengundian ini ternyata konsep 1 Malaysia dan pengenalan Model Ekonomi Baru (MEB) tidak diingini oleh kaum Cina di Selangor

Sebahagian besar kaum Cina di Selangor lebih cenderung untuk mengukuhkan kuasa Democratic Action Party (DAP). Sebab itu kita lihat dalam pilihan raya kecil ini, BN dibelasah teruk di peti undi-peti undi yang bermajoriti pengundi Cina. Apakah ini boleh ditafsirkan sebagai satu pola pengundian bersifat cauvinis cina?

Pada hemat saya kaum Cina memilih untuk setia kepada Pakatan bukan bersandarkan isu pembangunan mahu pun isu polisi tetapi lebih kepada isu kuasa orang Cina di Selangor yang lebih besar berbanding konsep perkongsian kuasa dalam BN. Ramai rakyat Selangor beranggapan yang menguasai kerajaan hari ini ialah DAP manakala Menteri Besar sekadar pembuat kenyataan bukannya keputusan. DAP juga dilihat menguasai kerajaan negeri dan potfolio penting.


Saya tidak pasti apakah tulisan Khir ini telah melanggar mana-mana peraturan atau undang-undang. Cumanya Khir saya kira tidak berlaku adil kerana membuat suatu “sweeping statement” tanpa berpijak pada fakta dan hakikat sebenar.

Aduhai Wak Khir, yang bertanding di Hulu Selangor adalah BN dan Pakatan Rakyat. Calonnya dari MIC dan PKR. Bangsa kaumnya adalah India dan Melayu, kenapa jauh sangat perginya Wak.

Pakatan Rakyat telah membelah dan mengenepikan politik perkauman apabila tiga parti PAS, PKR dan DAP (yang masing-masing punya prinsip, sejarah dan penyokongnya tersendiri) dapat bekerjasama demi kepentingan dan kebajikan rakyat dan negara. Di Hulu Selangor faktor kaum tidak pernah menjadi ukuran Pakatan Rakyat.

Kalau Khir mahu menjadi juara perkauman, kenapa Umno tak bertanding di Hulu Selangor? Kenapa letak calon MIC sedangkan kaum India merupakan kelompok terkecil di Hulu Selangor? Tidakkah meletakkan calon MIC membuktikan yang Umno melutut pada MIC atau Umno cuba selamatkan diri takut-takut kalah?

Memang di Hulu Selangor calon BN menang besar di peti-peti undi Melayu tetapi bukan semua orang Melayu mengundi BN! Contohnya Peti Undi Kg. Gumut, kawasan Melayu, saluran 1 BN memperolehi 172 undi PKR 104. Ini bermakna bukan semua orang Melayu sokong BN!

Memang di Hulu Selangor calon Pakatan Rakyat menang besar di peti-peti undi Cina tetapi calon kami bukan dari DAP tetapi dari PKR. Bukan kaum Cina tetapi Zaid Ibrahim, takkan Khir dah lupa atau buat-buat lupa!

Wak Khir, PAS menang dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu lalu sedangkan pengundi Cina nya tak sampai 11%. Siapa yang memenangkan PAS di sana, pengundi Cina juga kah?

Menisbahkan bahawa kuasa politik orang Cina di Selangor besar berbanding semasa BN dahulu saya kira adalah tindakan membakar api perkauman. Kerajaan PR Selangor bukan macam kerajaan BN Selangor dahulu. Jika benar besar sangat kuasa politik Melayu bawah Khir dahulu apakah yang orang Melayu dapat dari kuasa yang besar sangat tu? Ahli politik Melayu yang tidak bermoral, penipu, rampashak rakyat, rasuah.

Ketika ledakkan kebangkitan rakyat di Selangor pada pilihan raya umum lalu kalau sekadar pengundi Cina sahaja yang mengundi calon-calon PR, kerajaan PR Selangor tidak akan terbentuk. Tetapi ia terbentuk hasil dari kombinasi sokongan ketiga-tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Mungkin lonjakkan sokongan kaum Cina lah yang terbesar ketika itu namun ia tidak bermakna orang-orang Melayu tidak menyokong PR.

Bukitnya Ustaz Azrul Khakim tewas di DUN Sg Air Tawar majoriti 83.6% Melayu dengan cuma 123 undi. Ustaz Sallehen Mukhyi tewas di DUN Sabak majoriti 79.7% Melayu cuma 117 undi. Dato Dr Hasan Ali menang di DUN Gombak Setia majoriti 80.3% Melayu dengan majoriti 2,797 undi!

Khir boleh terus dengan politik sorong papan tarik papannya, tetapi PR Selangor tidak akan mengalah dengan tewas cuma 1 kerusi Parlimen di Hulu Selangor. Kerajaan PR Selangor terbentuk dengan sikap saling hormat-menghormati antara ketiga-tiga kaum terbesar di negeri ini. Sikap ini tidak berjaya ditegakkan semasa BN memerintah puluhan dekad lalu. Malah ketempangan dan kepincangan kerajaan BN semasa Khir dan mereka yang terdahulu darinyalah yang telah mengakibatkan rakyat bangkit menghukum mereka. Rakyat Selangor bosan dan mual dengan kerajaan BN yang korap, kronisma dan nepotisma.

Kami akur sokongan Melayu di Hulu Selangor merosot buat kami Ahad lalu, insyallah selaku parti yang membentuk kerajaan negeri, kami akan gunakan sepenuh daya dan kekuatan bagi menebus kemerosotan itu. Khir boleh terus menyanyi dan menari tetapi kami tidak akan meratapi Hulu Selangor, sebaliknya akan pastikan PR kekal sebagai tunggak kuasa di Selangor dan Hulu Selangor di tawan kembali pada PRU 13 nanti.

Terima kasih kepada seluruh pengundi di Hulu Selangor, kerajaan PR Selangor tidak sekali-kali akan memungkiri janjinya. Tolak politik perkauman, tolak Wak Khir.

Monday, April 26, 2010

Wajah-wajah ikhlas para pejuang













Nama mereka mungkin tidak dikenali. Tanpa upah tanpa sogokkan mereka datang jauh dan dekat demi perjuangan yang murni. Berbumbungkan matahari dan langit cerah. Tiada badai tiada ribut yang dapat melanda dan mematahkan semangat mereka.

Walaupun kita tumpas semalam namun ianya bukan bermakna kita terus rebah.
Wajah mereka yang ikhlas ini akan terus tampil ke hadapan menjinjing dan menjunjung perjuangan ini. Tan Sri, Dato Seri atau Tok Guru tidak mengenali mereka, tetapi merekalah pembakar obor, perintis laluan yang akan membuka ruang bagi para pemimpin yang ikhlas untuk naik ke atas.
Syabas anda semua, teruskan perjuangan.





Sunday, April 25, 2010

Kekecewaan di Hulu Selangor satu pengajaran

Semalam semasa berada di Markas PAS Kawasan Gombak di Batang Kali saya bertemu dengan sebuah van yang agak lama usianya, yang padat dengan 2 lelaki dan enam wanita. Mereka baru tiba setelah melalui 12 jam perjalanan dari Terengganu. Destinasi mereka ke kawasan pedalaman FELDA untuk bertugas sebagai jentera pilihanraya PAS membantu calon PKR. Melihatkan kegigihan mereka saya terpegun inilah komitmen dan kesungguhan ahli-ahli dan para petugas PAS di Hulu Selangor.

Memang keputusan PRK ini telah pun diketahui sebentar tadi. Calon PKR mewakili Pakatan Rakyat, Dato Zaid Ibrahim tewas ditangan calon BN dari MIC dengan kelebihan 1,725 undi.

Ramai rakan-rakan yang bertumpu di Kuala Kubu Bharu, pusat penjumlahan undi bagi PRK ini kecewa dan sedih dengan keputusan ini. Bayangkan mereka bertungkus-lumus sepanjang tempuh kempen bekerja, mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit, namun tewas.

Walaubagaimanapun sebagai para pejuang kita harus menerima kekalahan ini dengan hati yang terbuka. Allah swt belum mahu mengizinkan kita lagi. Dengan kekalahan ini biarlah kita bermuhasabah diri, melihat, memeriksa, menganl-pasti dan memperbaiki kelemahan kita kerana perjuangan ini belum berkahir.

Sebagaimana rombongan kecil dari Terengganu yang saya sebutkan di atas, ramai para petugas Pakatan Rakyat samada dari PAS, PKR mahupun DAP telah berkorban dalam PRK ini. PRK ini telah melihatkan semangat kerjasama yang kental dikalangan ketiga-tiga ahli dan petugas parti. Walaupun kita tewas, saya percaya Hulu Selangor telah mengajar kita menghargai kerjasama politik ini.

Seluruh kekuatan ketiga-tiga parti di Selangor dari MB, ahli-ahli EXCO, ADUN-ADUN, ahli-ahli Parlimen, ahli-ahli majlis, ketua-ketua kampung, JKKK dan pimpinan dipelbagai peringkat telah memberikan komitmen dan sumbangan besar dalam PRK ini. Ini tidak mengambil kira sokongan dari luar Selangor. Semangat kerjasama ini perlu terus dipupuk dan diperkukuhkan. Biar kita lebih teguh bagi menghadapi cabaran-cabaran seterusnya.

BN mungkin menambah satu kerusi parlimen di Selangor, tetapi ini tidak bermakna mereka boleh dengan mudah menundukkan kerajaan negeri yang ada. Kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor tetap kukuh dan insyallah akan terus bertahan dengan sokongan rakyat.

Pilihanraya kecil ini penuh dengan sogokkan dan janji, penuh dengan fitnah dan adu-domba. Walaupun permata yang berkilau dan bernilai berada di telapak tangan namun rakyat dikaburi lantas mempercayai yang kaca itu lebih berharga. Keputusan di Hulu Selangor memang mengecewakan ramai namun biarlah ia menjadi pengajaran yang paling mahal buat kita semua.

Anda berhak bersedih, tetapi setelah hari kembali siang, bangkit dan terus bekerja untuk mencapai matlamat kita yang lebih besar. Biar Hulu Selangor dan Hulu Selangor sahaja yang terkorban hari ini. Esok kita bina kembali kekuatan, kita tawan kembali Hulu Selangor dan terus melangkah ke hadapan.

Friday, April 23, 2010

Utusan pemfitnah dan racun buat rakyat

Pagi tadi saya ketika meniliti akhbar-akhbar tempatan (yang saya belia biasanya The Star dan Sinar sahaja) saya perhatikan Sinar harian mengeluarkan kenyataan saya berhubung PRK Hulu Selangor. Tajuknya :

PAS optimis pengundi pilih Zaid

Kira-kira jam 9.00 tadi saya menerima panggilan dari seorang rakan lama dari Ijok. Tanyanya betul tak kenyataan saya di Utusan Malaysia? Saya dilaporkan menyebut jentera PR Hulu Selangor lemah!

Saya berterima kasih kepada rakan saya itu kerana membawa ke pengetahuan saya namun saya menyebut lebih baik beliau membaca Sinar Harian hari ini, itu yang sebenarnya.

Lalu terpaksalah saya singgah membeli akhbar Utusan yang tidak pernah pun saya beli kecuali membacanya di internet.

Berita yang disebutkan kawan saya itu berada di muka 6 akhbar berkenaan di sudut bawah kanan, kecil sahaja tetapi tajuknya:

PAS akui jentera PR Hulu Selangor lesu

Memang seorang wartawan “junior” dari Utusan ada menelefon saya pagi semalam sejurus saya pulang menziarahi Ketua Pengarang Harakah Sdr. Lutfi Othman bersama Dato Dr Hasan Ali di Ampang.

Wartawan itu memang saya kenali, seorang anak muda yang peramah dan baik. Beliau sekadar mahukan “confirmation” dari saya tentang khabar angina bahawa jentera PR lesu antara sebabnya kerana boikot dari jentera PAS, faktor calon dan lain-lain. Saya menafikan.Malah saya sebut jentera PAS di Hulu Selangor tidak ada bezanya dengan jentera PASdi kawasan-kawasan pilihanraya kecil yang lain.

Cuma saya menjelaskan masalah utama di Hulu Selangor adalah factor geografi. Kerana kawasan parlimen ini terlalu luas, seluas negeri Melaka maka kerana itu jentera PR kelihatan tidak padat conmtohnya seperti di Bukit Gantang. Hakikatnya ia ada dan kuat tetapi tidak tertumpu di suatu kawasan atau peti undi sebaliknya tersebar luas dari Batang Kali ke Kalumpang, Serendah, Kuala Kubu, Rasa, Hulu Yam, Sungai Tenggi, Kerling dan Hulu Bernam.

Saya tidak pernah menyatakan jentera PR lemah!

Apa pun saya telah memaklumkan pimpinan Pakatan Rakyat berhubung berita palsu itu. Saya hormati wartawan Utusan itu,saya tahu bukan beliau yang memilih tajuk demikian.Tetapi itulah nilai atau maruah akhbar Utusan. Akhbar yang tersohor dan disanjung diwaktu awalnya dahulu terutama di zaman Said Zahari tetapi hari ini murah dan longgar serta melacurkan diri untuk kepentingan politik puak pincang dan dibenci rakyat.

Mungkin ada yang bertanya mengapa lain Utusan?

Mereka mungkin tidak professional tetapi kita punya maruah dan harga diri. Kita ditarbiah menghormati semua pihak termasuk musuh. Boleh sahaja saya pekakkan telinga dan enggan melayan, tetapi pengalaman sebagai Setiausaha Akhbar dan seorang ahli politik serta tarbiah Islami yang ada mendorong saya untuk berkata yang benar, layan secara hormat tetapi tidak sekali-kali menjual maruah.

Yang penting kita punya kurang 48 jam bekerja di Hulu Selangor. Yang penting rakyat perlu terus diyakinkan yang hanya Pakatan Rakyat pilihan tunggal terbaik buat mereka. Terima kasih Utusan kerana mengesahkan kualiti anda sebagai akhbar murahan, bukannya penyebar fikiran rakyat tetapi pemfitnah dan racun buat rakyat.

Berikut adalah kenyataan akhbar PAS Selangor Rabu lalu:

KENYATAAN AKHBAR:
PAS SELANGOR OPTIMIS DATO ZAID MENANG AHAD INI


PAS Selangor optimis setakat ini calon Pakatan Rakyat mendahului calon BN dari sudut sokongan rakyat khasnya para pengundi di Hulu Selangor. Kerja-kerja kempen yang dilakukan secara bersepadu antara para petugas PAS, PKR dan DAP terus-menerus mendapat sambutan yang menggalakkan dari penduduk tempatan.

Dari tinjauan didapati bahawa rekod buruk perkhidmatan wakil MIC dari Barisan Nasional sebelum pilihanraya umum 2008 lalu telah menyedarkan rakyat untuk tidak lagi memberi peluang pada BN. Ini ditambah dengan pencapaian memberangsangkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor di bawah kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) ternyata menyentuh hati rakyat jelata. Dan ini memberi kesan langsung kepada harapan Dato Zaid Ibrahim hari Ahad ini lantaran rakyat selesa dengan kesungguhan dan keikhlasan pimpinan dan kerajaan PR Selangor sejak berkuasa Mac 2008 lalu sehinggalah hari ini.

PAS Selangor menjangkakan jumlah para petugas PAS khasnya dari seluruh negara akan terus meningkat menjelang fasa terakhir tempuh berkempen dan pada hari mengundi bagi menyokong dan membantu jentera PKR.

PAS Selangor mengambil kesempatan menyeru seluruh pengundi berdaftar di Hulu Selangor agar keluar beramai-ramai pada Hari Mengundi Ahad ini dan memberikan undi kepada calon PKR yang mewakili Pakatan Rakyat bagi memberikan isyarat kesungguhan rakyat mahu melihat PR terus memerintah negeri Selangor ini. Begitu juga pada para pengundi pos yang berjumlah 799 orang itu, PAS Selangor mengharapkan agar mereka nanti akan berani menyalurkan suara melalui undi masing-masing demi membina sebuah Negeri Selangor yang maju, bersih dan berkebajikan buat semua.


DIKELUARKAN OLEH:
ROSLAN SHAHIR BIN DATUK MOHD SHAHIR
KETUA PENERANGAN PAS SELANGOR
BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI SELANGOR

21 April, 2010

Wednesday, April 21, 2010

Kenyataan Media PAS Selangor

Terima kasih MERDEKA REVIEW kerana segera membuat posting kenyataan media PAS Selangor

http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=10733
Apa citarasa rakyat Ahad ini?

Semalam saya berkesempatan bertemu seorang peguam berbangsa Cina seusia dengan saya. Beliau bukan pengundi di Hulu Selangor tetapi berminat mahu tahu perkembangan di sana. Saya jelaskan kepada beliau apa yang telah Pakatan Rakyat lakukan dan apa harapan kami setakat ini.

Peguam ini banyak berurusan dengan pihak Pejabat Tanah dan PBT. Bagi beliau semenjak PR berkuasa di Selangor, setakat urusan dengan Pejabat Tanah dan PBT, beliau akui telah banyak berlaku perubahan. Urusan semakin licin dan memang nampak ketara betul perubahannya.

Beliau kesal dengan serangan peribadi yang dilakukan ke atas Dato Zaid, calon PKR yang juga seorang peguam. Beliau secara berseloroh tetapi tampak serius menyatakan seolah pimpinan BN itu semuanya malaikat! Rakyat tahu perangai dan gelagat mereka masing-masing. Presiden baru MCA bagaimana?

Apa pun beliau mengharapkan PKR yang mewakili Pakatan Rakyat akan menang Ahad ini. Kata beliau rakyat dahagakan perubahan, rakyat mahu pemimpin yang jujur rakyat mahu negeri ini sejahtera, tiada rasuah tiada salah-gunakuasa lagi. Rakyat telah bosan dengan amalan pincang yang lalu. Rakyat di Selangor yakin hanya PR yang boleh melakukan reformasi ini dan bukannya BN.

Mungkinkah sentimen ini sama dengan rakyat pengundi di Hulu Selangor? Sama-samalah kita berdoa dan tunggu.

Tuesday, April 20, 2010

Undi BN Selangor kembali kelam!

Budaya rasuah dan salah guna kuasa merupakan suatu kanser yang diternak dan diundang oleh Umno hasil dari politik kronisma dan nepotisamnya yang menebal dan tegar dalam pentadbiran dan pemerintahannya. Bukankah Umno satu-satunya parti politik yang tersohor dengan budaya politik wang?

Demikian juga Selangor tidak terkecuali ketika di bawah tunggak BN yang diterajui Umno. Bersilih-ganti kebelakangannya dari Mat Taib ke Abu Hasan terus ke Khir Toyo.

Dalam pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor ini rakyat pengundi jangan sekali-kali lupa atau dilupakan akan perangai buruk Umno itu. Apabila Pakatan Rakyat mengambil-alih teraju pemerintahan negeri pada 8 Mac 2008 dahulu inilah gejala dan budaya yang mahu dikikis dan dihapuskan dari bumi Selangor.

Rakyat akan hidup senang dan tenang tanpa gejala dan budaya mungkar ini. Kemampuan Pakatan Rakyat Selangor menonjol dengan pentadbiran yang bersih dan telus itulah yang membimbangkan BN dan Umno.

Jika rakyat menghargai perjuangan ini maka mereka tidak sekali-kali akan mengundi atau menyokong BN. Menang BN di Hulu Selangor bermakna kanser yang sudah hampir pupus di Selangor itu akan menular hidup kembali.

Lupakah kita akan perangai dan budaya Umno itu?

Pada 23 Oktober 2001, Sdr Lutfi Othman yang kini Ketua Pengarang Harakah pernah membuat aduan rasmi kepada Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) berhubung aduan rasuah membabitkan YAB Menteri Besar Selangor ketika itu, Dr Mohd Khir Toyo.

Antara aduannya adalah berkenaan projek pembinaan Jalan Cross Ban 4, Sungai Panjang sepanjang 20.5 kilometer (dalam kawasan DUN Khir Toyo) yang kos kontraknya menurut Lutfi menelan belanja RM92.5 juta.

Khir memilih Meram Holdings Sdn. Bhd. untuk membina jalan ini. Menurut Lutfi syarikat ini sebuah syarikat bermasalah dan ia pula memperolehinya dari tangan Khir melalui kaedah rundingan terus, tiada tender terbuka!

Malangnya setelah bertahun berlalu aduan Lutfi ini ditolak begitu sahaja atas pelabagi alasan termasuklah tidak berasas.

Tetapi anehnya pada tahun 2006 Ketua Odit Negara melalui LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA AKTIVITI DAN KAJIAN KHAS JABATAN/AGENSI KERAJAAN NEGERI SELANGOR 2006 melaporkan:

Semakan Audit mendapati Syarikat Meram Holding Sdn. Bhd. ditawarkan Projek Jalan Cross Ban 4. Manakala Syarikat Radzah Engineering Sdn. Bhd. pula telah ditawarkan Projek Jalan B44. Kedua-dua syarikat telah dilantik secara rundingan terus dan mendapat kelulusan Pegawai Kewangan Negeri pada 5 Februari 2001 atas alasan kedua-dua syarikat adalah syarikat berwibawa, berpengalaman serta berkemampuan dari segi kewangan dan juga merupakan kontraktor tempatan.

Bagaimanapun, projek pembinaan kedua-dua jalan dan jambatan tersebut bukanlah merupakan kerja yang mendesak dan perlu disegerakan, maka saranan Jabatan untuk melantik kontraktor secara rundingan terus adalah tidak wajar dan tidak mengikut Arahan Perbendaharaan 181. Semakan lanjut mendapati kontraktor yang dipilih bagi projek pembinaan Jalan B44 iaitu Syarikat Radzah Engineering Sdn. Bhd. yang berdaftar sebagai kontraktor Kelas BX telah ditawarkan projek bagi kontraktor Kelas A tanpa mendapat kelulusan terlebih dahulu dari Pusat Khidmat Kontraktor. Modal berbayar syarikat tersebut semasa pelantikan berjumlah RM260,000.


Laporan itu turut menyebut:

Pemilihan kontraktor bagi projek ini telah dilaksanakan secara rundingan terus. Ini tidak mengikut peraturan kewangan yang menghendaki perolehan kerja yang melebihi RM200,000 dipelawa secara tender.

Bagi kedua-dua projek ini, harga rundingan terus adalah lebih tinggi dari anggaran yang dicadangkan oleh perunding. Bagi Projek Jalan Cross Ban 4, kontraktor telah menawarkan harga kontrak bernilai RM110.76 juta manakala bagi Projek Jalan B44, tawaran yang dikemukakan oleh kontraktor bernilai RM41.03 juta.


Malah laporan itu membuat kesimpulan:

Jika tawaran kontrak ini dibuat secara tender maka ramai kontraktor akan menawarkan harga yang lebih berpatutan serta lebih ekonomi dan Lembaga Perolehan Negeri mempunyai pilihan untuk memilih kontraktor yang lebih layak dan berwibawa. Dengan cara ini pemilihan yang terbaik berdasarkan "best value for money" dapat dilaksanakan.

Masalahnya wang rakyat berjuta ringgit dibelanjakan oleh Khir tanpa melalui proses yang telus. Kaedah rundingan terus yang diguna-pakai ternyata menimbulkan pelbagai keraguan dan boleh dipertikaikan oleh rakyat!

Inilah satu pengalaman kecil bawah kerajaan BN diterajui Umno semasa mereka memerintah Selangor. Bayangkan apa lagi ytang berlaku sepanjang lebih 50 tahun negeri ini bawah genggaman mereka!

Lantas jangan memperjudikan nasib dan masa depan anda dan anak-cucu anda. Jangan sekali-kalimengizinkan merekayang pincang dan kotor ini kembali berkuasa. Terus bersama Pakatan Rakyat di Selangor. Isyarat jelas perlu diberikan bermula dari Hulu Selangor. Undilah calon PKR Dato Zaid Ibrahim!

Monday, April 19, 2010

Sekurang-kurangnya Zaid telah insaf: Khir dan Umno macam mana?

Bekas MB Selangor Khir Toyo dilaporkan merestui agar isu calon PKR parlimen Hulu Selangor yang dikatakan “kaki botol” dijadikan bahan kempen. Biar pengundi tahu dan sedar siapa yang mereka undi.

Apa yang mahu menjadi bahan dan taktik BN, terpulanglah pada mereka sebagaimana Pakatan Rakyat juga tidak perlu memohon perkenan BN untuk berkempen atas apa sahaja isu.

Namun di sana ada apa yang dikatakan politik bermaruah, politik bermoral, politik murahan, politik biadap, politik songsang dan politik tidak beradab.

Sebagaimana kita gunakan apa sahaja yang ada dalam tangan untuk menjatuhkan musuh politik kita rakyat pengundi yang menjadi hakim dan penilai juga berhak menimbang dan memutuskan manusia politik jenis apakah kita.

Zaid dikatakan kaki botol lalu tidak layak diangkat menjadi wakil rakyat. Khir Toyo sangat setuju dan ghairah menjadikan hal ini bahan kempen. Dalam waktu yang sama Zaid menjelaskan sebagaimana dilaporkan dalam sebuah portal berita:

Malah, semalam Zaid mengakui kepada pemberita bahawa pernah minum alkohol seperti yang didakwa oleh BN dalam kempen mereka. Tetapi katanya, perkara itu dilakukannya ketika masih muda dan beliau kini sudah insaf.

Kalau benar beliau telah insaf apakah adil bagi Khir dan rakan-rakannya terus mahu memainkan lagu-lagu lama? Tiadakah isu dan perkara lain yang boleh diguna sebagai bahan kempen selain isu ini?

Mengapa tidak Khir bongkar:

Palanivel tidak dilantik dan diterima semula oleh BN khasnya Umno bagi dijadikan calon BN di Hulu Selangor kerana beliau mempunyai rekod khidmat yang buruk semasa beliau wakil rakyat dahulu. Apakah Kamalanathan nanti tidak berkemungkinan mengulangi prestasi buruk ini?

Antara faktor Hulu Selangor jauh terpinggir, bukan kerana terletak di Hulu tetapi kerana Khir!. Hulu Selangor adalah lubuk Mat Taib, pencabar Khir semasa BN berkuasa dahulu. Angkara marahnya pada Mat Taib maka Hulu Selangor menjadi mangsa. Umno akan bermatian semata-mata kerana mahu terus berpaut pada kuasa.

Buktinya pada bulan November 2007, dua pegawai kanan kerajaan di Hulu Selangor dihina oleh Khir semasa beliau MB. Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor Tukiman Nail dianugerahkan “penyapu” bernilai RM3.80 kerana MDHS antara PBT yang paling buruk prestasinya khasnya dalam kutipan hasil. Turut menerima penghinaan adalah Pegawai Daerah Hulu Selangor Mislan Tugiu yang kemudiannya menjadi YDP MPK. Mislan tidak hadir dikatakan berada di luar negara,dan seorang wakil menerima bagi pihaknya.
Bukankah ADUN Khir semasa beliau MB dahulu telah menyalahgunakan kuasa membina mahligai jutaan ringgit atas tapak tanah rumah rakyat miskin? Umno bahagian Kelang gagal bayar tunggakan cukai pintu pada MPK bertahun-tahun lamanya. ADUN itu dan keluarganya bina kompleks makan tanpa kebenaran dan kelulusan merancang dari MPK. ADUN itu sehingga dipanggil mengadap dan diberi amaran oleh Tuanku Sultan.

Seorang ahli parlimen Khir dan seorang Senatornya didedahkan mempunyai hubungan sulit walaupun masing-masing telah berkeluarga. Rakyat mual mengikuti laporan perbicaraan kes cerai Senator itu dan suaminya di Mahkamah Syariah, Senator itu didedahkan suaminya bertukar-tukar SMS cinta dengan ahli parlimen Khir.

Seorang EXCO Khir dari MIC telah membina sebuah restoran daun pisang di Padang Jawa yang besar dan boleh memuatkan ratusan pelanggan tetapi tidak pernah memohon kebenaran merancang dari Majlis Bandaraya Shah Alam.Ia telah beroperasi sekian lama sehinggalah didedahkan oleh akhbar.

Bahawa beliaulah ketika MB dulu atas desakkan EXCO MIC (yang kononnya di Tamil Nadu, India juga Ketua Menterinya lakukan perkara yang sama) membina Komplek Banglo EXCO di Seksyen 7 Shah Alam. Seluruh pembinaannya termasuk tanah, perabut dan peralatan bernilai RM40 juta. Kononnya semua EXCO Selangor akan tinggal di situ, mudah untuk bermesyuarat, berjumpa dan berbincang. Rupa-rupanya tidak ada EXCO pun yang tinggal di situ setelah siap kecuali beberapa kroni termasuklah keluarga Speaker DUN ketika itu.

Ada EXCO nya dari Umno yang disaman muflis oleh seorang wanita kerana dikatakan berhutang wang dengan wanita itu. Dalam affidavit mahkamah didedahkan bahawa EXCO itu semasa beliau ADUN telah menggunakan kedudukannya memohon tanah untuk kepentingan peribadinya dan kemudian menjual balik tanah anugerah kerajaan itu sekelip mata demi mengaut keuntungan jutaan ringgit.

Tetapi bagi Pilihanraya Kecil Hulu Selangor Khir lebih ghairah mahu menuduh Zaid kaki botol sedangkan beliau sendiri lebih buruk dari orang lain sedangkan yang beliau tuduh mengaku telah insaf, Khir bagaimana?

Lupakah Khir tentang isu BALKIS? Timbalan Pnedaftar ROS Selangor mengakui bahawa akaun BALKIS semasa Khir MB tidak pernah diodit oleh juruoditbertauliah. BALKIS punya tunai RM10 juta dan wang tersebut dan segala asetnya kini di bawa lari!

Lupakah Khir bahawa ADUN-ADUN beliau semasa beliau MB telah menghabis lesapkan peruntukkan tahunan negeri RM500,000 masing-masing dalam tempuh tak sampai 3 bulan iaitu dari Januari hingga 8 Mac 2008.

Dan hari ini Khir mahu jadi juara orang ini kotor orang ini tidak bermoral, beliau dan orang-orang Umno nya bagaimana?

Zaid menawarkan diri menjadi wakil rakyat. Beliau mengaku pernah “minum”tetapi kini insaf. Beliau bekas Menteri,beliau seorang yang berpegang teguh pada prinsip. Beliau letakjawatan Menteri apabila kerajaan menyalahgunakan ISA menangkap pimpinan pembangkang.

Antara Zaid dan Kamalanathan siapa lebih layak? Biarlah rakyat memutuskan.

Yang pasti kotor dan tidak layak adalah Khir kerana sehingga kini beliau masih belum insaf. Ehhh rumah banglow Khir di seksyen 7 Shah Alam yang bernilai RM24juta tu macam mana ya?
Turunkan “billboard” hutan rimba!

Maklumat terbaru pihak Suruhanjaya Pilihanraya melalui Timbalan Pengerusinya Datuk Wan Ahmad Wan Omar bersetuju dan akan mengarahkan agar papan-papan tanda dan billboard yang berbau provokasi dan hasutan yang dinaikkan oleh parti-parti yang bertanding agar diturunkan.

Papan-papan tanda dan billboard ini merupakan kesalahan di bawah Seksyen 4 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Cuma yang kita dapat tahu pihak SPR sekadar memberi nasihat kepada parti-parti yang bertanding agar turunkan. Sedangkan kita tinggal tak sampai seminggu sebelum hari mengundi. Kita berterima kasih atas keprihatinan SPR tetapi penguatkuasaannya Nampak terlalu lembap atas itu saya setuju dengan cadangan AMK PKR jika tidak diturunkan maka kita sahaja turunkan memandang ia telah sah dianggap sebagai satu kesalahan.

Saya yakin Pemuda PAS bila-bila masa sahaja sedia membantu.
Budaya hutan belantara BN

Kini Hulu Selangor dalam tempuh berkempen. Parti-parti yang bertanding sepatutnya menggunakan peluang tempuh ini untuk “menjual” calon masing-masing kepada rakyat pengundi. Apakah latarbelakang calon, apakah perancangan calon dan lain-lain jika diundi.

Pada hari penamaan calon 17 April lalu ternyata jumlah besar yang mengiringi calon Pakatan Rakyat iaitu Dato Zaid Ibrahim (PKR) ke Pusat Penamaan Calon terus menghantui para pemimpin dan penyokong BN. Mereka tidak mampu kalah lagi setelah siri-siri pilihanraya kecil mereka tumpas kecuali Bagan Pinang.

Tambahan pula di Selangor, jika BN tewas di sini bermakna peluang buat mereka bangkit kembali di negeri ini memang sukar. Kalah BN diHuluSelangor bermakna rakyat telah menjatuhkan hukum bahawa BN tidak perlu dan tidak relevan lagi di Selangor, hari ini dan buat selama-lamanya!

Kerana itu mereka jadi gelabah, histeria bagaikan terserampak dengan hantu jembalang. Apa cara sekalipun, Pakatan Rakyat mesti dikalahkan. Kalau perlu gunakan bomoh dan jampi mentera, ilmu halus, ilmu hitam apa sahaja, asal mereka dapat menang dan kekal relevan.

Antara yang terawal menaikkan poster, bunting dan billboard di Hulu Selangor adalah mereka. Ternyata wang yang banyak dibelanjakan untuk menaikkan bahan-bahan mereka yang cantik dan mahal-mahal itu. Tetapi mereka jenis yang tidak boleh berpuas hati dengan sekadar gambar calon, pimpinan mereka dan simbol dacing. Lantaran mahu menang sangat maka kalau perlu mereka guna taktik kotor, maka biarlah kotor,janji menang.

Semalam billboard hasutan dinaikkan oleh BN terang-terangan. Gambar karikatur yang ternyata gambar Dato Seri Anwar Ibrahim dengan tulisan merah pekat menutupi mulutnya berbunyi: “PENGKHIANAT NEGARA”! Latarbelakang karikatur itu memaparkan gambar demonstrasi jalanan.




gambar dari blog MSO



Mesejnya di sini jangan undi orang Anwar, jangan undi calon Anwar, jangan undi parti Anwar kerana apa kerana Anwar adalah pengkhianat negara.

Sejauh mana mesej jahat ini sampai dan mempengaruhi para pengundi di sini tidaklah diketahui, tetapi ternyata ia suatu kerja jahat yang seharusnya tidak diizinkan. Kenapa Anwar dihukum demikian? Malaikat belakakah di seelah BN itu?

Terdapat juga gambar Dato Zaid dengan arak, dan beberapa risalah gambar salah panas salah seorang EXCO Selangor diedarkan secara curi-curi. Sekali lagi yang BN sebenarnya bagaimana?

Inilah tindak-tanduk BN yang tiada berperaturan dan akhlak, mirip budaya hutan belantara yang dihuni haiwan dan makhluk tidada berakal dan tamaddun. Rakyat perlu bangkit menolak kelompok manusia jenis ini. Jika semata-mata kerana mahukan kuasa mereka sanggup melanggar adapt, bayangkan jika berkuasa!

Katakan TIDAK pada BN. Undilah calon PKR untuk Hulu Selangor.

Friday, April 16, 2010

Jentera PAS "full gear" membantu kemenangan Pakatan Rakyat

Semalam saya sempat menghadiri mesyuarat bersama jentera pilihanraya PAS di Hulu Selangor. Mesyuarat dipengerusikan Sdr Jamaluddin Elias selaku Pengarah Operasi Pilihanraya PAS dan dibantu sahabat saya Tuan Hj Nasir, bekas ahli parlimen Kuala Krai dari Jabatan Pilihanraya PAS Pusat.

Ternyata mereka yang hadir memenuhi bilik mesyuarat malam tadi semuanya bersemangat. Gerak kerja telah pun dimulakan di Unit Peti Undi (UPU) masing-masing dan akan terus bergerak aktif sehingga hari mengundi nanti. Setiap UPU digagahi oleh dua kontigen kawasan dalam Selangor dengan dokongan kontigen dari negeri-negeri bagi tiap UPU.

Begitu juga Dewan Pemuda dan Muslimat masing-masing telah menjalankan gerak kerja selain ketekunan dan ketelitian kerja oleh pasukan IT Negeri.

Kebanyakkan kawasan telah pun mula menjalankan operasi, saya difahamkan antara kontigen kawasan terbesar adalah dari PAS Tanjong Karang. Kontigen negeri-negeri juga telah pun mengambil posisi masing-masing. Kelantan, Pahang, Wilayah dan lain-lain semua sudah turun dan ramai lagi dijangka turun hari ini iaitu sehari sebelum penamaan calon esok.

Beberapa UPU akan mengerakkan ceramah umum setiap malam di kawasan masing-masing manakala yang lain akan diselang-seli.

Saya menerima laporan setakat ini antara program yang mendapat sambutan hangat adalah program kegamaan dan kerohanian. Forum perdana dan ceramah motivasi yang dipimpin sendiri oleh Dato Dr Hasan Ali selaku Pesuruhjaya serta ahli-ahli panel dan penceramah jemputan mendapat sambutan luar biasa.

Barangkali penduduk Hulu Selangor ketandusan program seumpama inis etelah sekian lama berada di bawah ketiak BN.

Pejabat EXCO dan PAS Selangor telah pun mengaturkan dengan padat program-program ini yang akan melibatkan penduduk tempatan dan diyakini akan beryjaya memberi kesedaran dan penerangan kepada mereka insyallah.

Dari markas operasi PAS di Kampung Kaliang itu saya kemudian menemani sahabat saya YDP PAS Kawasan Hulu Selangor Tuan Hj Abd Wahid Basri ke Rumah Rihat Kuala Kubu Bharu untuk berbicang beberapa isu operasi bersama pimpinan PKR. Kami disambut oleh YB Abdullah Sani ahli parlimen Kuala Langat dan kemudiannya disertai oleh YB Yaakob Safari EXCO Selangor.

PAS akan melancarkan secara rasmi jentera pilihanrayanya hari ini di Batang Kali dalam satu perhimpunan khas bersama Tuan Guru Presiden dan calon PKR Dato Zaid Ibrahim.

Rata-rata persiapan berjalan lancar dan seluruh kekuatan Pakatan Rakyat termasuk PAS akan bersama menemani dan berarak dengan calon Dato Zaid Ibrahim ke Pusat Penamaan Calon di Kuala Kubu Bharu esok.

Ayuh beramai-ramai kita ke Kuala Kubu Bharu pada hari penamaan calon esok Sabtu 17 April 2010. datanglah seawall-awal pagi. Jumpa anda di sana!

Thursday, April 15, 2010

PAS akan pastikan kemenangan calon PKR di Hulu Selangor

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor telah ditetapkan pada hari Sabtu ini 17 April 2010. Pakatan Rakyat telah pun memutuskan yang PKR akan bertanding sebagai calonnya. Calon PKR, iaitu Dato Zaid Ibrahim telah pun diisytiharkan baru-baru ini.

Hari ini kita menunggu calon BN yang akan diumumkan petang nanti.

Semakin hampir pilihan raya itu maka semakin panaslah suasana politik. Potensi untuk Pakatan Rakyat mempertahankan kerusi ini besar. Pertama kerana rekod pemerintahan dua tahun kerajaan PR Selangor terus meyakinkan dan kedua BN sudah semakin jauh dari hati rakyat di Selangor.

Kita pasti BN akan menggunakan sepenuh dayanya untuk menang, kerana kekalahan BN bermakna berkurublah harapan mereka untuk merampas kembali negeri bertuah ini. Maka segala muslihat dan akal akan digunakan untuk menabur benci dan adu domba terhadap PR Selangor.

Saya lihat bibit-bibitnya sudah bermula, dan PAS dilihat sebagai sasaran untuk membunuh harapan PR.

Baru sebentar tadi seorang rakan wartawan dari akhbar berbahasa Cina menelefon saya. Katanya sebuah portal berita di internet melaporkan yang jentera PAS Selangor di Hulu Selangor lembap. Kononnya ramai orang PAS tidak berpuas hati dengan pemilihan calon PKR.

Malah pagi ini akhbar The Star melalui ruangan Joceline Tan turut membantu mengadu-domba dengan melaporkan kononnya PAS Selangor bawah Dato Dr Hasan Ali tidak akan beri kerjasama kepada PKR lantaran pemilihan Dato Zaid sebagai calon.

Fitnah,fitnah, fitnah!

PAS Selangor sudah mula menggerakkan jenteranya sejak berita kematian Allahyarham Dato Dr Zainal. Pada 1 April lalu PAS Selangor telah mengadakan mesyuarat khas perhubungan negeri berhubung pilihanraya kecil ini yang dipengerusikan Dato Dr Hasan. Seluruh jentera pilihanraya PAS Selangor, Muslimat dan Pemuda telah pun digerakkan.

Pimpinan PAS negeri dari Dato Dr Hasan, ahli-ahli Dewan Harian, Perhubungan, Muslimat, Pemuda dan Ulamak serta wakil-wakil rakyat semuanya sudah naik turun ke Hulu Selangor. Jentera bersama dengan Pakatan Rakyat juga sudah digerakkan.

Siapa yang lembap? Siapa yang tidak beri kerjsama?

Kepada seorang pemberita wartawan berbahsa Inggeris telah saya nyatakan semalam bahawa kerusi Hulu Selangor ini penting bukan hanya buat PKR malah buat DAP dan PAS. Ketiga-tiga DUN di parlimen ini masing-masing ditandingi PKR, DAP dan PAS pada pilihan raya lalu. Sudah pastilah peluang ini mahu digunakan untuk memastikan yang pengundi di ketiga-tiga DUN ini telah kini sedar dan akan memberikan kemenangan kepada PR dalam pilihanraya kecil ini dan pada pilihan raya umum nanti kepada ketiga-tiga parti di ketiga-tiga DUN.

Soal calon adalah hak PKR untuk memutuskan kerana ini kerusi mereka. PAS akan terima siapa sahaja yang menjadi pilihan PKR sebagaimana kita sendiri juga akan putuskan siapa sahaja calon di kerusi-kerusi kita tanpa mahu mana-mana pihak campurtangan pada pilihan raya umum nanti.

Pilihan PKR itulah calon PR dan kemenangan calon PR penting buat PAS.

Kita lihat yang bermasalah sebenarnya adalah BN bukan PR. Umno mahu kerusi ini, kemudian MIC berkeras dan kini Umno mahu taja pula calon dari kalangan MIC, yang rumit dan bermasalah sebenarnya adalah mereka.

PAS akan hadapi pilihanraya ini dengans emangat seolah PAS yang bertanding. Begitulah selalunya pengalaman PAS. Rakan-rakan dalam PR khasnya PKR dan DAP sedia faham akan komitmen PAS di Selangor ini khususnya. Malah hari ini sahaja Dato Dr Hasan punya aturcara padat bersama Tan Sri Khalid dan lain-lain EXCO.

Kepada pengadu-domba dan agen-agen upahan, teruslah dengan aktiviti tidak bermoral anda. Kami punya misi dan amanah besar dalam PR Kecil ini iaitu tidak lain dan tidak bukan memenangankan calon PR.

Hulu Selangor,undilah Zaid Ibrahim!

Thursday, April 01, 2010

Akhirnya kerajaan akur............

Setelah berpuluh tahun PAS khasnya membantah upcara atau majlis seumpama perayaan Hari Pahlawan diadakan di hadapan Tugu Negara, akhirnya kerajaan Persekutuan mengumumkan tidak lagi akan mengadakan majlis seumpama itu kerana menghormati pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan.


Majlis Fatwa ada memutuskan amalan seperti tiupan ‘Last Post’, bertafakur dengan menundukkan kepala, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan ‘Rouse’ yang dilakukan di hadapan tugu dalam upacara menyambut Hari Pahlawan adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.

Semoga segala amalan syirik dan haram lain dapat ditiadakan dan masyarakat dapat dibersihkan dari unsur-unsur yang mengundang murka Allah swt.

Walaubagaimanapun pengumuman Menteri Pertahanan bahawa sebuah dataran akan dibina di Putrajaya bagi diadakan majlis berkenaan (tanpa tugu) bagi saya adalah satu pembaziran. Bukannya kita tidak menghargai majlis memperingati jasa pahlawan-pahlawan kita, tetapi bijakkah dibelanjakan wang rakyat untuk membina sebuah dataran sedangkan kita telah sedia ada banyak dataran, stadium dan seumpamanya.

Di Putrajaya pun telah sedia ada dataran yang digunakan untuk perayaan Hari Kemerdekaan. Gunakanlah sahaja apa yang ada. Islam bukan sekadar mengajar kita menjauhi amalan syirik tetapi juga mengesyorkan kita agar mengelakkan pembaziran tambah-tambah yang melibatkan wang rakyat