Sunday, October 17, 2010

Strategi laut biru – Umno mahu “bunuh” kawan-kawan

Ternyata “malapetaka” Mac 2008 terus-menerus menghantui Umno. Kalah dan hilang kuasa sebelum ini tidak pernah tersenarai dalam kamus politik Umno, lebih-lebih lagi di negeri-negeri sebelah Pantai Barat dimana Umno bertahun-tahun memegang teraju, seakan menongkat langit. Mustahil Umno boleh kalah di kawasan majoriti Melayu, begitulah sangkaan mereka dan sangkaan ramai. Tetapi Mac 2008 memecah khurafat sangkaan itu.

Mac 2008, rakan-rakan Umno antaranya MCA, MIC dan Gerakan kecundang teruk di kerusi-kerusi majoriti bukan Melayu. Umno walaupun tertewas juga di beberapa kerusi majoriti Melayu, lebih nampak pada kelemahan dan kekurangan rakan-rakan mereka daripada keburukan diri sendiri. Rata-rata Mac 2008, gelombang kemarahan pengundi bukan Melayu mengakibatkan rakan-rakan Umno tertiarap dikebanyakkan kerusi dan akibatnya Umno turut terbabit hilang kuasa dibeberapa negeri yang sebelum ini ia sangka ia akan terus berkuasa “dulu, kini dan selama-lamanya”.

Yang lemah, buruk, dangkal, dungu adalah MCA, MIC dan Gerakan serta lain-lain serpihan kecil. Mereka gagal membawa undi bukan Melayu kepada BN, akibatnya Kedah, Pulau Pinang, Perak (kemudiannya ditebus melalui politik pintu belakang) dan Selangor tumbang. Akibatnya orang-orang Umno jadi pembangkang, sesuatu yang mereka tidak pernah mereka bayangkan pun sebelum ini.

Tindakan mesti diambil. Yang penting Umno mesti kembali berkuasa, MB Umno mesti ditabal kembali di Kedah, Selangor dan jika perlu di Pulau Pinang biar Umno jadi Ketua Menteri.

Kaedahnya: “Strategi laut biru”!

Menurut Naib Presiden Umno, Zahid Hamidi:

“Jika mahu menang selesa, kita harus keluar daripada strategi dan pendekatan sedia ada, kita perlu pendekatan ‘laut biru’. Jadi sistem kuota sedia ada wajar dikaji semula dan diganti dengan formula baru yang selesa kepada semua parti komponen,” (Mingguan Malaysia: 17/10/10)

Ini bermakna Umno sedang bermain-main untuk merampas kerusi MCA, MIC dan Gerakan khasnya di kawasan-kawasan campuran. Itulah tuntutan Umno di kawasan-kawasan berkenaan.

Mingguan turut melaporkan:

Sebelum ini, seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut menyarankan agar sistem kuota itu dikaji semula jika pengundi tidak selesa dan tidak suka dengan calon daripada parti komponen BN yang bertanding di sesuatu kawasan itu

Manakala Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin pula dilaporkan bersetuju dan menurut Mingguan:

(Beliau) mahu semua parti komponen BN berlapang dada untuk mengkaji kelemahan masing-masing dan pada masa yang sama mempraktikkan sistem baru dalam soal pembahagian kerusi.

Rampas-merampas ini akan mengakibatkan reaksi dari MCA, MIC dan Gerakan. Akibatnya ketegangan akan melanda dalam BN. Akibatnya porak-peranda, akibatnya retak semakin membelah dan hancur berkecai.

Sesungguhnya Umno lupa (angkara sindrom Melayu mudah lupa) Umno juga sebenarnya telah kalah di beberapa kerusi campuran. Di Selangor sahaja sebagai contoh:

Ijok 49.9% Melayu calon Umno tewas kepada PKR (Tan Sri Khalid)
Seri Setia54.4% Melayu calon Umno tewas kepada PKR (Nik Nazmi)
Lembah Jaya 55.3% Melayu calon Umno tewas kepada PAS (Khasim Adb Aziz)
Bukit Antarabangsa 57.4% Melayu calon Umno tewas kepada PKR (Azmin Ali)

Cempaka 58.4% Melayu calon Umno tewas kepada PAS (Iskandar Samad)

Malah di kerusi majoriti Melayu pun Umno tewas contohnya:

Hulu Kelang 81% Melayu calon Umno tewas kepada PAS (Saari Sungib)
Gombak Setia 80% Melayu calon Umno tewas kepada PAS (Dato Dr Hasan Ali)

Hakikatnya bukan MCA, MIC dan Gerakan silap, Umno lebih “dajal” lagi. Mereka pun kalah dan kecundang tetapi yang mereka nampak adalah keburukan dan kelemahan kawan-kawan.

“Laut biru” yang mahu dijadikan strategi itu membawa maksud lautan dalam, barangkali selain kita membuang tayar-tayar buruk untuk dijadikan tukun-tukun tiruan, maka sudah sampai masanya, lautan biru yang besar dan dalam itu dijadikan sekali tempat persemadian, Umno dan rakan-rakannya MCA, MIC dan Gerakan bersekali. Biarlah dimanfaatkan mereka kepada ikan-ikan sebagai sumber makanan. Lebih sihat rakyat Malaysia jadinya nanti.

Bersedialah MCA, MIC dan Gerakan.......Umno mahu melaut birukan anda semua!

No comments: