Sunday, October 17, 2010

Pemilihan PKR: Rakyat sedang memerhatikan anda

Syukur setakat ini rakan-rakan dari Parti Keadilan Rakyat sudah sampai ke peringkat akhir melaksanakan tanggungjawab pemilihan dalam parti mereka. Proses pengundian secara langsung ternyata menjadi perhatian dan mencuri minat ramai. Ditahapp-tahap akhir ini kelihatan ia berlangsung dengan lebih lancar dalam suasana muafakat, tertib dan member tumpuan kepada agenda yang lebih mbesar yang sedia menanti.

Semalam proses penerimaan pencalonan telah sempurna. Seperti biasa yang paling “excited” adalah rakan-rakan dari dunia media, samada media konvensional mahupun media baru.

Kita yang berada di luar PKR sekadar menyerahkan kepada rakan-rakan untuk melaksanakan amanah mereka masing-masing, moga dilaksanakan dengan baik dan sempurna dan menaikkan pimpinan yang paling baik dan layak antara yang baik-baik dan layak-layak belaka.

Sebagai kawan saya senang apabila melihat tiada pertembungan antara dua tokoh gergasi PKR iaitu Sdr Azmin Ali dan Tan Sri Khalid Ibrahim. Sesungguhnya kedua-dua mereka tokoh besar dan diperlukan dalam arus perjuangan menuntut keadilan dan kebenaran ini. Jika bertembung juga mereka salah seorang pasti akan gugur, dan apabila itu berlaku yang rugi adalah kita semua.

Saya teringat dalam PAS bagaimana sikap Timbalan Mursyidul Am, Dato Dr Harun Din. Beliau sedia dilantik untuk jawatan tertinggi tetapi jika ada pertandingan beliau rela member laluan. Ada yang nakal mengatakan, itu tanda Harun Din takut bertempur, takut kalah. Bagi saya itu satu telahan yang jahat dan singkat. Sepanjang hidup beliau Harun Din gergelut dan bertempur menghadapi apa sahaja halangan yang menganggu Islam di hadapan beliau. Beliau bukan insan sebegitu. Sikap itu sebenarnya cuma boleh terbit dari insan yang berhati dan berjiwa besar. Sehingga hari ini beliau terus dihormati dan dikagumi kawan dan lawan. Manusia cakap besar ramai tetapi yang berjiwa besar sangat sedkiti dan Harun Din terbukti salah seorangnya.

Berbalik kepada pertandingan Timbalan Presiden PKR, dengan pengunduran Tan Sri Khalid saya yakin laluan Azmin semakin selesa. Sekiranya ditakdirkan berjaya saya yakin Azmin dengan kepakaran, pengalaman dan kebolehannya akan mampu melonjakkan lagi PKR bersama Pakatan Rakyat jauh meninggalkan BN dan Umno yang semakin longgar dan ditolak rakyat itu.

Kita perlukan pemimpin yang ada upaya dan karisma untuk membawa kita ke Putrajaya. Azmin dan Tan Sr Khalid serta rakan-rakan lain selain pimpinan PAS dan DAP hari ini saya yakin memiliki kualiti-kualiti itu. Bawalah kami ke sana dengan restu semua.

No comments: