Thursday, August 12, 2010

Salam Ramadhan buat semua...........

Hari ini sudah 2 Ramadhan dan malam ini kita bertarawih bagi malam ke 3. Masjid dan surtau-surau sudah pastinya sendat dengan orang-ramai yang berkejar-kejar untuk mencari bekalan lebih untuk dibawa pulang ke Hari Akhirat yang kekal abadi nanti.

Sesungguhnya menahan diri dari makan dan minum adalah merupakan ujian yang besar buat manusia. Manusia yang hidup dengan makan dan minum sudah semestinya memberontak kiranya terpaksa menafikan dirinya dari menjamu dan meneguk apa sahaja yang diingininya.

Selain berlapar dan dahaga, manusia akan kehilangan tenaga, letih dan tidak bermaya kiranya menafikan dirinya sedemikian rupa.

Tetapi bagi manusia Muslim, ia menerima perintah ini dan mematuhinya, kerana perintah itu datang dari Allah swt dan wajib ke atasnya. Tidakkah ia menerima kesan dari menahan diri dari makan dan minum itu? Memang ia menerima kesan sebagaimana manusia biasa namun kerana ketahanan iman yang ada pada dirinya, manusia Muslim Mukmin boleh sahaja menyingkirkan lapar dan dahaga itu dan hidup sebagaimana manusia biasa.

Tidakkah kita berkata begitu semata-mata kerana kita seorang Muslim?

Sesungguhnya sejarah Islam telah membuktikan di bawah kepimpinan Rasulullah saw, orang-orang Islam yang berpuasa bukan sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga malah mengangkat senjata dan bertempur di medan perang iaitu pada 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah, dalam Peperangan Badar.

Mana mungkin manusia biasa bukan sahaja menahan diri dari lapar dan dahaga, malah bertempur dan akhirnya menang mengalahkan bala tentera musuh yang tiga kali ganda lebih besar dari mereka!

Hari ini kita tidak berada di medan Badar, hari ini kita sihat dan aman. Bekerja dan menjalankan tugas masing-masing. Seharusnya semangat Badar membakar jiwa kita yang sedang berpuasa untuk menjadi manusia Muslim Mukmin yang luar biasa. Tidak letih dan sugul lantaran berpuasa tetapi cergas seperti biasa.

Saya menyatakan ini kerana ingin berkongsi apa yang berlaku atas diri saya semalam. Hari pertama kita berpuasa. Saya menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Taman Perindustrian (IPMC) di Subang Jaya. Mesyuarat dihadiri kira-kira 35 orang. Semuanya beragama Islam kecuali 10. Mesyuarat dipengerusikan oleh ADUN Subang Jaya yang bukan Islam.

Mesyuarat dapat dibereskan dalam masa 45 minit dan YB Pengerusi sendiri memaklumkan kerana kita berada dalam bulan puasa eloklah ditamatkan segera mesyuarat. Barangkali beliau prihatin akan keadaan rakan-rakan beragama Islam yang berpuasa. Seorang wakil pengilang yang menghadiri mesyuarat itu bertemu saya selepas mesyuarat tamat menyatakan yang saya tidak kelihatan letih pun.
Disitulah mendorong saya untuk menjelaskan kepada beliau bahawa seorang Muslim yang berpuasa seharusnya tidak begitu kerana puasanya adalah untuk Tuhannya.

Saya tidak tahulah samada beliau menerima dengan serius jawapan saya itu tetapi itulah apa yang mahu saya kongsi dalam posting saya ini. Memang rakan-rakan kita yang bukan Islam khasnya di Malaysia hari ini faham dan tahu sangat akan bulan Ramadhan. Mereka kagum melihat kita mampu menahan diri sepanjang hari berlapar dan berdahaga.

Mereka tahu kalau berpuasa maka seseorang akan hilang tenaga, letih dan tidak bermaya. Kalau kita seorang Muslim Mukmin, yang memahami dan menjiwai semanagat Badar Rasulullah dan para sahabat, sedar dan ikhlas bahawa puasa kita ini untuk Allah, maka berlatihlah diri menunjukkan jiwa yang kuat dan teguh. Memang kita lapar dan dahaga, letih dan mengantuk, tetapi kita lakukan ia kerana mengejar ganjaran yang lebih besar dari dunia dan seisinya!

Tunjukkanlah kepada mereka dan semua kita bukan sekadar manusia biasa, kita manusia yang dipilih Allah swt. Selamat menjalani madrasah Ramadhan, moga berjaya dengan cemerlang.

No comments: