Tuesday, July 27, 2010

PAS Selangor mahu terus melangkah ke hadapan bersama PR

Salah satu rumusan yang dibuat dalam program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS peringkat Negeri Selangor di Shah Alam Ahad lepas, di bawah tajuk “Memenangi hati pengundi Melayu” berbunyi:

Umno Selangor sedang menuju jalan ke pusara. Mereka sedang memastikan yang kiranya mereka rebah ke bumi maka begitu jugalah kuasa politik orang-orang Melayu kononnya. Orang Melayu mesti diyakinkan bahawa propaganda kosong dan jahat mereka ini mesti ditolak.

Pimpinan Melayu di dalam PAS adalah pimpinan yang terbaik kerana kita menjunjung dan berpegang teguh pada ISLAM. ISLAM ADIL UNTUK SEMUA hanya dapat direalisasikan lebih-lebih lagi dirasai oleh umat Melayu selain bangsa-bangsa yang lain kiranya teraju kepimpinan Melayu beralih dari Umno yang zalim dan rakus itu kepada PAS yang menyelami jiwa ISLAM.

Berteraskan rumusan ini ternyata seluruh jentera PAS Selangor dari para penyokong, ahli-ahli biasa termasuklah para pemimpin tertumpu ke arah satu agenda utama iaiatu memastikan sokongan undi Melayu kali ini beralih terus sebagaimana para pengundi bukan Melayu dari Umno ke PAS dan di tempat-tempat tertentu kepada PKR.

PAS Selangor memikul tanggungjawab ini iaitu bekerja ke arah memindahkan sokongan ini dengan harapan nasib dan masa depan orang-orang Melayu terus terbela di bawah kerajaan Pakatan Rakyat. Tohmahan kononnya tanpa Umno kuasa politik Melayu akan pupus adalah dongeng yang perlu dikikis dari minda para pengundi Melayu. Ini bukan suatu tugas yang mudah, ia sukar, lantaran itulah seluruh tenaga dan kekuatan kita perlu dipacu ke arah itu.

Agenda perpaduan Melayu PAS-Umno tiada dalam kamus kita. Jangan ia mahu dijaja oleh sesiapa pun, baik Umno yang sedang tenat mahupun mana-mana pihak yang cuba menangguk di air keruh.

Kita jangan melayan tohomahan dan fitnah yang memang mahu memecah-belahkan perpaduan dalam PAS dan sesama rakan-rakan dalam PR. Macam-macam perangkap dan jerangkap dipasang musuh, jika kita tidak berhati kita berkemungkinan menjadi sebahagian dari perangkap itu.

Kurangkan bercakap dan banyakkan bekerja……

1 comment:

Anonymous said...

Salam, kalangan ahli PAS yang menjadi sebahagian anggota pentadbiran kerajaan Negeri Selangor terbukti lebih baik dari UMNO...semoga orang Melayu bersatu di bawah PAS demi Islam sejagat...