Tuesday, July 13, 2010

KL: Ayam di kepuk mati kelaparan............

Isu kemiskinan bandar merupakan suatu realiti yang tidak seharusnya dipandang kecil oleh semua pihak. Bandaraya Kuala Lumpur yang tersergam indah dengan menara dan bangunan pencakar langit, pusat hiburan taraf dunia dan kompleks beli belah mega umpamanya masih punya penghuni yang jumlah pendapatan mereka di bawah para kemiskinan.

CEO atau Ketua Pegawai Eksekutif di Kuala Lumpur ada yang berpendapatan RM150 sejam manakala ada penghuni bandar di KL yang mencatat tak sampai RM3.50 sejam atau RM2,500 sebulan iaitu di bawah paras kemiskinan. Sepinggan maggi goreng mungkin kurang RM2 tetapi ada yang menghirup sup sirip ikan yu (sharksfin soup) mencecah RM250 semangkuk kecil!

Itulah jurang kaya dan miskin di KLsetelah hampir 53 tahun Merdeka.

Tetapi kita bukan negara sosialis atau kominis dimana pengagihan kekayaan negaran wajib dibahagi sama rata. Malah itupun sudah tidak lagi terpakai di beberapa negara kominis umpama Republik Rakyat China. Memang kekayaan dan kemewahan hak masing-masing individu dan setiap individu berhak atas hasil usaha masing-masing dengan syarat ia tidak bertentangan dengan undang-undang, itulah amalan di negara kitab (dan bagi yang Muslim tidak mengabaikan kewajiban berzakat).

Walaubagaimanapun itu tidak bermakna kebajikan warga miskin dan kurang berkemampuan dipinggirkan begitu sahaja.

Dalam laporan sisipan Metro akhbar The Star semalam didedahkan darihal ramai warga sedemikian di KL tidak ditawarkan rumah pangsa PPRT walaupun mereka layak. Manakala sebahagian yang lain mengadu mereka tidak berjaya mendapatkan pinjaman bank yang ternyata memeras golongan ini.

Menurut sumber Dewan Bandaraya KL DBKL telah mengeluarkan 18,000 surat tawaran kepada mereka yang layak (pendapatan kurang RM2,500 sebulan). Dari jumlah itu 11,226 telah menjawab terima walaubagaimanapun yang benar-benar membeli cumalah 1,500 orang.

Dari 1,500 orang itu cuma 957 membayar tunai manakala 543 mendapatkan pinjaman bank. Selebihnya bagaimana?

Terdapat dua jenis rumah pangsa kos murah yang ditawarkan kepada rakyat yang layak iaitu yang pertama oleh MTEN PPR yang berjumlah RM35,000 seunit manakala oleh DBKL ditawarkan antara RM21,500 ke RM35,000 seunit tertakluk kepada saiz unit.

Jika dalam kes DBKL di atas dari 18,000 yang ditawarkan cuma 1,500 sahaja yang mampu ataupun 8.3 peratus sahaja bermakna lebih 91.66 peratus rakyat miskin masih tidak mampu memiliki rumah sendiri walaupun kerajaan telah menawarkan rumah kos murah kepada mereka.

Dimana silapnya di sini?

Penghuni rumah setinggan telah diarahkan berpindah dan rumah mereka dirobohkan untuk memberi jalan kepada pembangunan. Akhirnya mereka dipindahkan ke rumah kos murah tetapi rupanya tidak mampu memilikinya!

Rupanya ada rakyat Malaysia yang tinggal di ibunegara tetapi tidak mampu memiliki rumah sendiri walaupun rumah pangsa kos murah! Ini anak bangsa kita sendiri. Bukannya warga asing,bukan juga warga pemastautin tetap (PR).

Kita sedih bila tonton TV yang memaparkan kemiskinan rakyat di dunia ketiga, di Afrika, di Amerika Latin di sebahagian Asia, tetapi rupanya nasib yang sama menimpa rakyat kita sendiri tetapi tidak kita sedar.

Terdapat desakan agar satu skim yang lebih praktikal diperkenalkan untuk memudahkan mereka ini memiliki rumah berkenaan. Satu skim sewa beli yang lebih ringan dan mampu perlu segera diperkenalkan, jika tidak warga kita ini nanti bagaikan ayam dikepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan.

Mana pergi pejuang bangsa? Mana pergi juara rakyat?

No comments: