Sunday, June 20, 2010

Mengapa Pulau Pinang sahaja, Putrajaya bagaimana?

Bahang kontroversi lesen judi bolasepak Ascot milik jutawan Vincent Tan terus diperdebatkan. Ada pemimpin bukan Melayu yang menyokong pengharamannya ada pula pemimpin Melayu yang menyokong ia dilesenkan.

Apa pun polemik ini menyerlahkan keperluan melihat semula aktiviti perjudian berlesen dan keperluan membendung atau menghapuskannya sama-sekali. Hakikatnya judi jangankan yang tidak berlesen, yang berlesen pun mengundang masalah sosial yang buruk ke atas semua kaum dalam negara kita.

Semalam di TV kita melihat seorang anak muda mengaku bertaruh ribuan ringgit melalui kegiatan judi haram “on-line”. Beliau mengaku kiranya tidak berjaya beliau terpaksa membuat pinjaman melalui “ah long” yang pastinya membawa padah pada masa depannya.

Maka boleh judi atau tidak boleh judi, perkara ini akan terus diperdebatkan.

Apa yang kita tahu sejak tahun 1990 sebuah negeri di Malaysia iaitu Kelantan telah mengharamkan aktiviti ini. Ia diharamkan apabila kerajaan negeri mengarahkan PBT nya, tidak lagi mengeluarkan lesen premis untuk syarikat-syarikat yang memiliki lesen judi dari Kementerian Kewangan. Bermakna sejak itu tiada aktiviti judi berlesen di Kelantan.

Kini perkembangan membabitkan Ascot ini melihat ada gelombang menuntut agar aktiviti judi berlesen ini disemak semula.

Saya baru pulang dari Pulau Pinang siang tadi. Semasa di sana saya sempat mengambil gambar kain rentang ini yang dinaikkan di tengah bandar Georgetown. Ia berbunyi:

Kami memohon kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan kepada YAB Tuan Lim Guan Eng: Haramkan segala bentuk judi di negeri ini, termasuk Magnum, Toto, Lumba Kuda dan sebagainya. Jikalau benar-benar hendak membenteras kegiatan judi, tarik balik lesen-lesen perniagaan kedai-kedai nombor ekor.

Kain rentang “layang” ini (macam surat layang kerana tidak bertuan) sah dinaikkan oleh orang atau kumpulan yang tertentu yang mahu mengambil kesempatan keputusan kerajaan negeri menolak sama-sekali sebarang permohonan dari Ascot untuk beroperasi di Pulau Mutiara itu.

Mesej kain rentang ini jelas, iaitu haramkan semua jenis judi berlesen di Pulau Pinang. Ia mungkin mahu Pulau Pinang mencontohi Kelantan.

Sebagai seorang Islam sudah pastilah kita insaf bahawa judi itu haram dan ia mendatangkan banyak mudarat kepada masyarakat. Dalam hal masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama ini wajar atau mungkinkah judi diharamkan sebagaimana seruan kain rentang layang ini?

Ia boleh diharamkan atas kudrat politik parti yang memerintah. Pulau Pinang contohnya kini diperintah oleh Pakatan Rakyat dengan Sdr Lim Guan Eng dari DAP sebagai Ketua Menteri, pemerintahannya baru berusia 2 tahun 3 bulan. Ia membuktikan walaupun ia belum memikirkan untuk mengharamkan semua aktiviti judi berlesen tetapi ia punya kudrat politik menolak yang baru, iaitu yang mahu dibawa oleh Ascot.

Dahulu negeri ini diperintah Barisan Nasional, Ketua Menteri terakhir adalah Koh Tsu Koon dari Gerakan. Sepanjang puluhan tahun BN memerintah kepentingan politik mereka tidak memungkinkan langsung pertimbangan pengharaman apa bentuk judi berlesen pun dipertimbangkan.

Kelantan sebagaimana saya sebut sudah 20 tahun sejak PAS memerintah mengharamkan terus semua bentuk judi berlesen. Sebelum itu semasa BN, negeri yang lebih 90 peratus penduduknya beragama Islam langsung tidak memikirkan pun darihal pengharaman kegiatan ini malah dizaman BN lah lesen-lesen premis judi dikeluarkan di Kelantan. Begitu juga tak sampai 5 tahun PAS memerintah Terengganu, 1999-2004, judi diharamkan!

Maka pokoknya di sini adalah kudrat politik. Bagi saya yang paling memiliki kudrat politik adalah kerajaan Persekutuan yang tampuknya diterajui BN sejak 1957! Perdana Menteri nya sejak itu sehingga kini berbangsa Melayu (dari Umno) dan beragama Islam. Kalau mahu, haramkan sahaja segala bentuk aktiviti perjudian yang dilesen oleh kementrian kewangan maka tiadalah susah-susah negeri mahu atau tidak mahu keluarkan lesen premis perjudian.

Saya sarankan kain rentang “layang” mungkin yang lebih besar di pasang di Putrajaya! Sarankan pada YAB Dato Seri Najib Tun Razak, pemimpin negara Islam tersohor, ketua parti Melayu terbesar di dunia, haramkan sahaja segala bentuk judi di Malaysia. Ketika itu bukan sahaja Guan Eng, malah Zambri, Ghani Othman, Ali Rustam, Adnan, Taib Mahmud, Musa Aman dan lain-lain seluruh negara semuanya akan akur. Kalau benar-benar mahu benteras judi, situlah letaknya kuasa tertinggi iaitu di Putrajaya……….


No comments: