Thursday, May 20, 2010

Terima kasih tidak terhingga buat anda semua
(Sempena ulangtahun ke 6 blog ini)

Saya minat menulis. Melalui tulisan saya mudah menyampaikan pandangan dan isi hati sehingga mencetuskan kepuasan yang tidak terhingga. Lantas jika tidak menulis seolah segala yang terbuku dihati terus bersarang, membusung, meronta-ronta untuk keluar. Duduk dan jaga menjadi gundah dan gelisah.

Kepuasan terus melonjak jika didapati yang nukilan saya bermanfaat, bernilai sehingga dijadikan bahan perbualan dan perbincangan dikalangan masyarakat. Lalu dengan minat itu saya menyalurkan isi perjuangan yang saya anuti. Biar tulisan ini menjadi medan dakwah, menyibar perjuangan agar diterima dan disahut ramai.

Saya tidak menulis untuk menyemarakkan api kemarahan, apa lagi mengadu-domba, memfitnah walau saya tahu ia mampu diasah menjadi senjata yang tajam lagi berbisa. Adab berjemaah mengingatkan saya agar tidak menjadi alat yang menyusahkan perjuangan apalagi merosak dan menjahanamkannya.

Jangan kerana tulisan kita orang marah, orang benci dan orang meninggalkan perjuangan. Biarlah tulisan kita menjadi penyeri, menjadi ubat rindu yang menggamit umat mendekati dan memeluk perjuangan ini.

Namun kita tidak sunyi dari melakukan kesilapan. Yang silap perlu diperbetulkan,jangan ia terus dibiar sehingga menyilapkan khalayak yang ramai. Jika kita menulis untuk menegur maka kita juga perlu berani untuk ditegur. Jika kita menulis untuk memikat jangan sekali-kali menghina, merendah-rendah apalagi memaki hamun dalam berkarya. Allah melihat apa yang kita lakukan, biarlah tulisan, teguran dan nasihat kita berada dalam redha Nya sentiasa.

Hari ini genaplah 6 tahun saya menggunakan ruang media alternatif, blog ini, ROSLAN SMS CORNER untuk berkarya. Saya mohon maaf kiranya ada sesiapa yang terguris hatinya, terhina maruahnya lantaran tulisan saya di sini. Tiadalah niat saya selain memanjangkan perjuangan yang saya dukungi melalui blog ini. Jika terkasar, maaf dipinta. Perjuangan ini tidak salah, yang salah saya.

Alhamdulillah sejak mula mengusahakan blog ini sehingga kini saya telah menghasilkan 2,676 posting. Kalau menurut MOTIGO WEBSTATS yang mengukur blog saya sejak 12 Julai 2006 (2 tahun setelah dilancarkan blog ini), saya telah menerima sejumlah 2,752,516 kunjungan. Kunjungan teramai dalam satu hari bagi blog ini adalah 10,212 iaitu pada 14 Disember 2007 semasa kempen pilihanraya kecil DUN Ijok yang ditandingi Tan Sri Khalid Ibrahim buat kali pertama tetapi tewas.

Dari segi ranking jika menurut MOTIGO Top 1,000 di Malaysia saya duduk di ranking ke 17. Manakala menurut ONESTATFREE.COM di Malaysia saya duduk diranking ke 8.
Walaubagaimanapun ukuran-ukuran ini hanya mengambil kira blog yang berdaftar dengannya sahaja.

Apa pun saya berterima kasih kepada semua yang meminati karya saya di sini. Ada yang mengunjunginya kerana minat tak kurang kerana mahu mencari bahan untuk menembak kembali.

Tidak lupa jutaan terima kasih kepada mereka yang mendorong saya menulis, saya tidak akan lupa pujuk rayu dan dorongan Akhi Romizi http://kaset79.blogspot.com

Terima kasih juga kepada 330 kawan-kawan yang mendaftar sebagai pengikut saya walaupun sebahagian besar anda tidak saya kenali.

Insyallah saya akan terus kekal berkarya di sini selagi diberi kekuatan. Semoga apa yang tersurat dan tersirat bermanfaat dan dapat dimanfaatkan.

Terima kasih.

3 comments:

::.. Alia ..:: said...

Salam EN. Roslan, moga terus thabat menulis dlm ruang media alternatif ini. Saya sentiasa keep reading posting2 dlm ni, walaupun tidak mendaftar sebagai follwer. Terima kasih juga atas idea2 penulisan. - Dahlia

wakmeli said...

Assalamualaikum wbt,
saya ingin mengucapkan tahniah kerana telah 6tahun blog saudara beroperasi dan sya telah melayari blog saudara sejak tahun 2004 lagi hingga sekarang. Cara saudara menyampai dan mengulas sesuatu isu itu amat menarik dan berhemah.
Akhir kata semoga saudara terus berjuang dalam menegakkan syariah islam dan sama2 kita berdoa agar matlamat tercapai...insyAllah..

Unknown said...

takbir!