Tuesday, January 05, 2010

Kita diwaktu tua, bagaimana?

Saya tertarik dengan surat dari pembaca dalam akhbar The Sun hari ini. Surat dari Gursharan menceritakan darihal realiti dan nasib warga emas khasnya terhadap layanan yang diterima dari anak-anak kandung mereka.

Kata beliau sesiapa yang menjangkakan bahawa pengorbanan membesarkan anak-anak masing-masing akan menghasilkan anak-anak yang akan menjaga dan membela mereka diwaktu tua sesungguhnya sedang bermimpi. Ada yang mengatakan anak laki-lakilah yang sering meminggirkan ibu-bapa manakala adalah harapan sedikit pada anak-anak perempuan, itupun meleset kata Gursharan.

Anak-anak perempuan pun kini kononnya cerdik membelanjakan wang yang mereka perolehi dan sedar akan beban kos dan masa yang banyak perlu diberikan dalam memelihara ibu-bapa yang tua.

Ringkasnya dunia materialistik hari ini memisahkan anak-anak dari pertanggungjawaban untuk memelihara ibu-bapa masing-masing malah mengkategorikannya sebagai kos dan beban.

Memang ini bukanlah halnya dengan semua kita, tetapi hakikatnya ia suatu budaya yang semakin menular dan boleh dilihat di sekeliling kita.

Kata Gursharan lagi ibu-bapa dijadikan tempat transit untuk cucu-cucu, dahlah separuh usia membesarkan anak-anak kini diwaktu maghrib perlu menjaga cucu-cucu pula. Ada yang menjemput ibu-bapa ke rumah masing-masing hanya apabila penjaga rumah bercuti dengan harapan si tua tadi boleh mengambil-alih tugas penjaga rumah.

Memang durhaka bunyinya, tetapi adakah anda terkecuali?

Sedih dan kekadang seram melihat dan memikirkan perkara ini. Memang ada anak-anak yang membalas jasa ibu-bapa mereka seupaya yang ada walaupun jelas tiada wang ringgit dan harta yang sesungguhnya mampu menebus jasa ibu-bapa kita itu. Tetapi ada juga yang gagal. Gagal kerana mereka sendiri perit menguruskan kehidupan sendiri, tetapi bayangkan bagaimana ibu-bapa kita dahulu?

Yang lebih serius adalah mereka yang mampu, yang berjaya hasil dari pengorbanan dan doa ibu-bapa mereka.Mereka inilah yang memang ada mengabaikan tanggungjawab sehingga memandang berat untuk memelihara ibu-bapa sendiri diwaktu tua.

Kata Gursharan beliau bukanlah seorang pesimis tetapi seorang realis. Inilah yang berlaku di hadapan mata kita hari ini (malah mungkin angkara kita sendiri). Beliau berdoa semoga mati dalam keadaan mampu menyara hidup sendiri tanpa perlu mengharapkan belas ikhsan anak-anak,masyarakat atau kerajaan.

Kita bagaimana?

1 comment:

Anonymous said...

Assalamu'alaikum Tuan Roslan,

Saya beranggapan antara faktor menyebabkan anak-anak kurang 'mengenang budi' ialah kerana kesilapan kita sebagai ibu bapa juga.

Kita pernah mengalami kesusahan hidup dan menyedari kepayahan ibu bapa kita dahulu dalam membersarkan kita.

Setelah kita berumah tangga kita memberikan segala kemewahan kepada anak-anak kita kerana kita 'tidak mahu anak-anak kita mengalami kesusahan seperti yang kita lalui semasa kanak-kanak dahulu. Maka kita pun melayan anak, sehinggakan ke peringkat memanjakan mereka.

Apabila memasuki alam persekolahan, ibu yang basuh kasut sekolah dan pakaian sekolah. Ibu juga yang sterika pakaian mereka. Ibu atau ayah hantar ke sekolah atau ibu tuggu anak naik bas.

Cara ini mungkin baik bagi kanak-kanak untuk jangka masa pendek.

Namun kesan daripada cara didikan kita itu (memanjakan dan memberikan apa sahaja apa yang anak-anak pinta), anak-anak kita tidak menjiwai keperitan hidup dan tidak pernah merasai kesusahan ibu bapa, kerana apa sahaja yang mereka kehendaki ibu bapa sedia memberikan.

Mereka besar dengan budaya 'apa yang dikehendaki ibu bapa akan sediakan.' Hasilnya, anak-anak tidak 'nampak' dan dengan sebab itu tidak dapat menghargai kepayahan ibu bapa mencari nafkah untuk memberikan segala keperluan mereka. Apa sahaja yang mereka pinta ibu bapa mampu belikan. Falsafah 'kesusahan hidup' atau 'bukan senang untuk mendapatkan wang' tiada dalam kamus kehidupan mereka.

Apabila mereka dewasa dan memiliki kerjaya sendiri, tidak mustahil mereka tidak merasa 'terhutang budi' atau 'bertanggung jawab' membantu ibu bapa yang telah tua.

Kalau masa mereka kanak-kanak, ibu bapa membesarkan mereka dan membasuh pakaian sekolah mereka, kini apabila mereka sudah ada anak, ibu ayah 'dipinta' membesarkan cucu dan membasuh kain lampin cucu pula.

Bagi ibu bapa yang baru mendapat anak, awaslah! Adakah kita mendidik dan menjaga anak-anak dengan memanjakan mereka dengan anggapan kita membantu mereka? Mungkin sahaja cara sebegitu akan memberikan keselesaan kepada mereka dalam jangka masa pendek. Akan tetapi untuk jangka masa yang panjang, cara itu akan merosakkan mereka...