Monday, June 01, 2009

Pemilihan PAS:
Pilihlah dengan iman dan taqwa

Ramai yang pinta saya komen, berilah ulasan walau sebutir dua. Saya sedar disaat inilah masing-masing mahu menunjukkan kecenderungan masing-masing, saya juga begitu. Walau ada tugas, jawatan ini dan itu, tetapi di sini saya seorang blogger, saya juga mahu menyumbang dan mahu didengar. Cumanya saya dan saya percaya semua yang seperti saya sesungguhnya terikat dengan disiplin, adab dan akhlak Islam, kita boleh mempromosi dan berkempen tetapi biarlah sentiasa dalam semangat disiplin, adab dan akhlak Islam, tidak sebaliknya.

Tidak dapat dinafikan setiap kali berulang pemilihan dalam parti, setiap itulah kita rasa tertekan, bukannya kerana kita bertanding dalam pucuk pimpinan tertinggi, tetapi kerana kita semua kasih dan sayangkan parti kerana hanya parti inilah satu-satunya badan siasah yang menjulang dan mendaulatkan Islam sebagai dasar dan matlamat perjuangan. Kerana itu kita bimbang dan tidak sekali-kali mahu melihat lantaran pertandingan dalam parti, parti yang kita cintai ini nanti jadi kacau, berpecah, bercerai-berai (sesuatu yang berjaya kita elakkan sejak lebih puluhan tahun yang lalu).

Kita pernah melihat banyak parti jadi begitu, malah seteru politik kita, Umno, dari hidup jadi mati kemudian hidup kembali dan kini terus retak seribu angkara perebutan jawatan dan tolak-menolak serta tikam-menikam yang tercetus akibatnya.

Kita bukan Umno, bukan PPP, MIC atau mana-mana pun. Kita PAS, gerakan Islam yang dibina atas dasar iman, aqidah dan taqwa, yang ditegakkan hasil dari keringat, darah dan airmata mereka yang terdahulu, yang ikhlas dan istiqomah, sambung-menyambung sehinggalah boleh pada kita kemenangan dan kekuatan sebagaimana pada hari ini.

Saya melihat barangkali kerana berada pada tahap selesa hari ini, ramai yang berminat untuk mencuba jawatan-jawatan tertinggi dalam parti. Bagi saya masing-masing mahu menawarkan idea dan tenaga, itu baik dan sihat. Malah pertandingan dalam parti bukanlah sesuatu yang baru pun. Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy ketika menyertai PAS telah pinta supaya tidak diberi jawatan Presiden (ketika itu Yang Dipertua Agung) secara percuma tetapi mahu dipertandingkan dan benar pun pada muktamar PAS ke 5 pada bulan Disember 1956 berlaku pertandingan bagi jawatan tertinggi parti.

Dalam muktamar itu Dr Burhanuddin, seorang ulamak profesional menjadi pilihan para perwakilan manakala Prof Zulkiflee Muhammad juga seorang ulamak diangkat sebagai Timbalan.

Saya difahamkan pertembungan itu tidak mencetuskan sebarang gelombang dalaman (al maklum tiada internet ketika itu, tiada sms, tiada blogger nakal, upahan dan sebagainya), malah PAS terus muncul kuat, bersatu dan teguh sehingga melalui gandingan kedua ulamak ini PAS mampu walau dalam pelbagai kekurangan mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya umum pertama tahun 1959 apabila memenangi dua buah negeri dan wakilnya berjaya menjejakkan kaki ke parlimen (termasuklah Presiden dan Timbalannya sekali).

Itu 40 tahun dahulu dan mereka pun sudah tiada lagi bersama kita pada hari ini. Hari ini bagaimana?

Alangkah baiknya jika kita terus dapat mengekalkan amalan dan tatacara itu juga. Kalau mampu disyurakan itulah sebaik-baiknya sebagaimana yang berlaku dalam Dewan Pemuda dan Dewan Ulamak, jika tidak, bertandinglah tetapi dalam semangat ukhuwah dan setiakawan yang baik.

Yang bertanding adalah kita sesama sahabat, kalau kalah yang kalah itu sahabat, kalau menang yang menang itupun sahabat juga. Tiada yang sepatutnya mati atau harus dibunuh untuk menang dalam pertandingan ini, kerana ini bukan peperangan tetapi kerja kebajikan, bukan persengketaan tetapi tawar-menawar yang paling mulia sesama sahabat sesama ahli jemaah.

Nyatakanlah apa yang mahu kita bawa, zahirkanlah pandangan kita, rancangan kita. Kita nanti bukan pinta diukur oleh musuh atau orang asing, tetapi yang akan mengukur dan menyukat kita adalah ahli sesama jemaah. Tidak perlulah kita menyerang lawan kerana lawan itu sahabat kita, apa lagi kita memfitnah, menokok-tambah dan mereka-reka.

Percayalah tiada siapa diantara kita mahu melihat PAS hancur dan musnah, tiada siapa mahu membawa parti ke jalan binasa. Dr Burhanuddin 40 tahun lalu dikatakan oleh musuh kononnya mahu membawa sosialisma dan komunisma dalam PAS kerana beliau kononnya condong kepada fahaman kiri, macam-macam tohmah dilontar kepada beliau, tetapi oleh musuh. Dan nyata musuh telah gagal.

Biarlah kita memilih yang terbaik antara yang baik-baik, termasuklah bagi jawatan Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden serta AJK Pusat. Kita telah sepakat mengekalkan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sebagai Presiden yang kita semua iktiraf sebagai terbaik, kini atas kita pula memilih gandingannya, yang boleh bekerja dengan beliau, yang boleh menjadi ahli-ahli pasukan beliau, yang boleh memelihara dan mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan PAS yang kekal dipertahankan sehingga kini. Yang akan menjadi umpama Abu Bakar kepada Rasulullah, Omar kepada Abu Bakar , Othman kepada Omar dan Ali kepada Othman.

Tugas kita sukar dan serius, suatu amanah yang penting dan akan dipersoalkan bukan hanya di dunia lebih-lebih lagi di akhirat nanti. Para perwakilan sebagai hakim perlu mengambil kira semua perkara dan mendengar pesanan serta nasihat dan panduan dari orang yang baik-baik. Kekalkan al Quran dan Hadis sebagai rujukan dan pedoman kita bukannya khabar angin dan adu-domba.

Tuan Guru Presiden ketika berhadapan dengan keputusan untuk memilih calon terbaik antara yang baik-baik untuk pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu dahulu,telah mengerjakan istikharah, memohon panduan dari Allah swt. Oleh itu kita semua sewajarnya jangan perkecilkan senjata ini. Mudah-mudahan PAS kekal sebagai sebuah parti dan gerakan Islam yang kuat dan relevan setiap masa dan ketika dan terus diredhai Allah swt. Nasib dan masa depan Islam terletak ditangan anda.

Allah swt berfirman dalam surah Ali Imran ayat 103:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.”

1 comment:

Sang Kelana said...

abg Roslan,

suarakan supaya semua perwakilan yang memilih supaya bersolat sunat istikharah bermula sekarang sehingga hari pemilihan. mungkin ada yang terlupa.boleh nyatakan dalam harakahdaily.