Saturday, March 28, 2009

Pastikah Najib menjadi PM baru hujung minggu hadapan?

Perhimpunan Agung Umno telah pun berakhir. Pimpinan barunya telah pun dipilih. Jika tiada aral melintang, beberapa hari lagi Presiden barunya Najib Tun Razak akan mengangkat sumpah sebagai PM yang baru mengantikan Dollah Badawi. Jalan menuju ke Putrajaya tampak jelas buat Najib, tetapi saya tertarik juga dengan susunan ayat yang terbit dari ucapan Dollah semasa menggulung perbahasannya kali terakhir selaku Presiden Umno. Kata Dollah:

Saya akan menghadap Yang Dipertuan Agung untuk memaklumkan peletakkan jawatan saya dan jika diberi perkenan, Datuk Seri Najib akan menjadi Perdana Menteri

Walaupun jalan ke Putrajaya hampir pasti buat Najib, namun ayat “jika diberi perkenan” yang digunakan oleh Dollah itu boleh silap-silap membuakkan peluh jantan. Menurut Dollah beliau akan mengadap Tuanku pada hari Khamis 2 April ini untuk memohon perkenan perletakkan jawatannya, tetapi di sana tiada jaminan yang Najib pasti akan diberi perkenan menggantikan beliau.

Bukankah Tuanku juga yang pernah menolak Idris Jusoh sebagai MB Terengganu selepas PRU lalu? Apa jaminan yang Tuanku kali ini tidak akan berbuat perkara yang serupa atas alasan yang Tuanku fikirkan wajar.

Benar artikel 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan memaktubkan bahawa Tuanku boleh melantik seorang Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang calon dari Dewan Rakyat yang pada pandangan Baginda mampu mempunyai kepercayaan majoriti ahli-ahli dewan. Berkemungkinan jika Tuanku melaksanakan tugasnya dalam hal ini seorang dari Umno akan Tuanku lantik sebagai PM.

Tetapi apakah Tuanku hanya wajib melantik Najib?

Di Terengganu (dan juga selepas itu di Perlis) BN telah pun mengemukakan Idris Jusoh sebagai calon MB tetapi atas sebab yang Tuanku fikirkan wajar, Idris ditolak dan sebaliknya Ahmad Said menjadi pilihan Tuanku. Bolehkah perkara yang sama juga berlaku dalam perlantikkan PM baru nanti?

Menurut artikel 40 (2) (a) undang-undang tertinggi Negara iaitu Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa budibicara (discretion) kepada Tuanku dalam hal perlantikan Perdana Menteri. Ini merupakan kuasa mutlak Tuanku, oleh itu Tuanku berhak menerima perletakkan jawatan Dollah Khamis ini namun dalam waktu yang sama berhak pula menolak Najib dan memilih calon lain selain Najib!

Ini mungkin angan-angan sebahagian kita tetapi dengan kuasa yang ada dan berdasarkan pengalaman yang lepas tidak mustahil ia boleh berlaku!

Apa sebab tuanku mahu menggunakan kuasanya menolak najib, itu hanya Tuanku yang tahu, tetapi apa pun atas dasar itulah saya percaya maka Dollah tidaklah terlalu ghairah menobatkan Najib lagi sebagai PM. Kerana itu kuasa Tuanku, dan setakat ini tiada jaminan bahawa Tuanku akan akur begitu sahaja.

Setakat ini memang kebanyakkan pihak khasnya rakan-rakan Umno dari kalangan group Najib/Muhyuddin menjangkakan yang peralihan kuasa dari PM ke PM baru, dalam hal ini dari Dollah ke Najib akan berlaku secara licin menjelang Khamis ini, tetapi mengambil kira peruntukkan yang disebutkan di atas, kita belum pasti melainkan menunggu juga Khamis ini.

2 comments:

al-Balingi said...

Salam,

* Betul, ayat 'jika diperkenan' tu yang DS Najib sahih tak sdap dengaq tu..

* Tapi semasa pembukaan sidang parlimen baru2 ni, YDP Agong T.Mizan ada menyatakan ucapan terima kasih kpd Paklah kerna jasa baktinya selama ni kpd negara.

* Tu sbg satu signal bahawa dia bersedia menerima DS Najib.

* Apa pun wait n see...

Anonymous said...

Tapi itu waktu itu, skg dah masuk banyak kontroversi...amacam...?

Pulak YDP Agong tak sebut nama pengganti pun...