Saturday, March 28, 2009

Ke mana Umno dan ke mana PAS selepas ini?

Perhimpunan Agung Umno ke 59 tamat petang ini namun klimaks yang ditunggu oleh kebanyakkan pemerhati sudah pun selesai. Klimaks yang dimaksudkan adalah proses pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti berkenaan. Timbalan PM Najib Tun Razak telah pun dinobatkan menang tanpa bertanding sebagai Presiden Umno yang ke 7 dan secara langsung bakal naik sebagai PM Malaysia yang ke 6.

Politik wang terus menyerang tubuh Umno yang sudah longlai dan tenat dengan penyakit kronik berkenaan. Sebelum perhimpunan kita telah menyaksikan betapa Lembaga Disiplin Umno yang bertindak selaku mahkamah dan badan disiplin tertinggi parti berkenaan menjatuhkan hukum ke atas mereka yang dikatakan telah terlibat dengan amalan kotor ini. Ada yang digugurkan haknya dari bertanding, ada yang digantung dan ada pula sekadar menerima amaran.

Rata-rata ramai yang terlibat ternyata tidak berpuas hati dengan keputusan lembaga berkenaan sehingga ada yang diberitakan akan mengambil tindakan terhadap Umno sehingga memungkinkan perhimpunan yangs edang berlangsung ini nanti diisytiharkan tidak sah kerana mereka yang didapati bersalah terus diberikan hak untuk mengundi. Malah ada pihak yang mahukan lembaga itu sendiri dibubarkan kerana mempertikaikan hukumannya.

Walaubagaimanapun proses pemilihannya telah pun selesai, yang menang kini sedang melonjak penuh gembira meraikannya manakala yang kecundang sedang meratapi kekalahan mereka.

Yang jelas pimpinan yang terpilih walaupun ramai muka baru namun masih ada yang memiliki rekod dan imej yang tercalar dan mencurigakan. Mujurlah beberapa yang memiliki rekod dan imej seperti itu gagal dipilih tetapi ada juga yang terlepas dipilih. Ada yang pernah disiasat mencabul kehormatan wanita, ada yang pernah berbelanja berjuta ringgit untuk merebut jawatan sebelum ini dan ada yang pernah terlibat dalam memalsukan kelulusannya sendiri. Apa pun itulah barisan kepimpinan Umno yang telah dipilih oleh ahli-ahlinya sendiri.

Najib Tun Razak dalam ucapannya merasmikan Persidangan Wanita , Pemuda dan Puteri Umno Selasa lalu ada menyebut; “ Safkanlah kepada saya sekumpulan pimpinan yang ampuh dan padu. Bariskanlah kepada saya satu pasukan yang setia, berintegriti, berkebolehan lagi berdedikasi”, dan inilah yang beliau dapat. Apakah Umno mampu mentranformasi partinya yang teruk terluka pada PRU lalu? Apakah Umno mampu bangkit, berjuang untuk rakyat dengan bersih, telus dan bermaruah? Atau apakah ia akan terus karam kerana tidak mampu belajar dari pengalaman yang lepas-lepas?

Sehubungan dengan itu PAS terkehadapan dalam aspek melahirkan pimpinan yang berkualiti dan bertaqwa. Dalam ia terus bertarung dan bersaing dengan Umno, musuh politik tradisinya, PAS semakin terserlah diterima masyarakat dengan saf kepimpinan yang disenangi dan disegani. Umat Melayu dan Islam semakin hilang harapan pada Umno yang nazak angkara wabak politik wang yang tidak kebah-kebah itu. Kualiti kepimpinannya semakin corot dan merosot, manakala akhlak mereka terus dipertikai.

Kini yang mereka nampak di hadapan hanyalah PAS yang bernaung di bawah Pakatan Rakyat. Oleh itu PAS perlu bijak menggunakan kesempatan ini dan terus meyakinkan rakyat akan kemampanan dan kemampuannya untuk mengambil teraju dalam menjuarai cita-cita perjuangan ummah, membela rakyat dan melahirkan sebuah Negara yang adil dan saksama.

Hari ini yang harus diberikan tumpuan dan keutamaan adalah mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang, sekali lagi pertarungan terbuka PAS dan Umno, bagi membuktikan yang PAS lah kini pilihan ummah, bukan lagi Umno. Dan dalam pada itu pada bulan Jun nanti giliran PAS pula untuk memilih saf kepimpinannya. Jangan kita ulangi kesilapan Umno. Kita bebas dari politik wang dan perlu kekal begitu kerana rakyat kenal kita begitu. Kita selama ini berjaya melahirkan saf kepimpinan yang berkualiti dan bertaqwa dan kita perlu kekal begitu kerana rakyat kenal kita begitu.

Bersungguh-sungguhlah bekerja mempertahankan Bukit Gantang (selain membantu rakan-rakan di Bukit Selambau dan Batang Ai) dan terus istiqamahlah mengenggam perjuangan ini, kerana selepas ini insyallah giliran kita pula menggantikan Umno.

No comments: