Wednesday, March 25, 2009

Apabila Harakah dihukum gantung.............

Perjalanan Timbalan Presiden Umno, Najib Tun Razak menuju ke persada takhta tertinggi Umno yang datang dengan kerusi tertinggi kerajaan iaitu jawatan Perdana Menteri sudah semakin hampir. Beliau hanya perlu membilang dengan jari sahaja hari-hari yang dimaksudkan itu.

Suka atau tidak rakyat Malaysia terpaksa menerima beliau sebagai PM Malaysia yang ke enam. Soal beliau bakal menyeret bersamanya bebanan dan puaka apa sahaja, itu sudah dijangka oleh seluruh rakyat yang prihatin.

Dalam erti kata lain Najib perlu melalui proses membina semula imejnya yang tercalar dan tersumbing akibat pelbagai skandal, kerana Malaysia dalam keadaan gawat ini tidak memerlukan seorang PM yang bermasalah. Rakyat akan melihat dan menatau beliau dengan penuh teliti dari hari pertama beliau menjejak langkah ke tempat yang pernah dipanasi kerusinya oleh arwah ayahnya itu.

Namun berdasarkan perkembangan beberapa hari kebelakangan ini Najib seakan tidak mengendahkan aspek berkenaan. Malah beliau lebih selesa mengunakan ancaman dan cengkaman, sesuatu yang pasti memudaratkan rekod beliau di masa depan.

Penggantungan Harakah selama 3 bulan berkuatkuasa Isnin lepas adalah suatu petunjuk betapa bengisnya Najib apabila berhadapan dengan mereka yang merupakan batu penghalang terhadap kepimpinan beliau. Dalam hal ini saya lebih berminat melihat dari aspek kebebasan media dan hak bersuara. Mungkin pada pengamatan pihak KDN, ada artikel dan pemberitaan Harakah yang agak keterlaluan atau ekstrim. Soalnya mengapa tidak difokuskan pada artikel atau pemberitaan itu. Panggil Editor Harakah untuk memberi penjelasan, siapakah yang bertanggungjawab, apakah motifnya. Memang Negara kita punya undang-undang dan semua pihak termasuk Harakah perlu patuh pada undang-undang dan peraturan.

Akan tetapi ianya mesti dilaksana dengan adil. Jangan kerana nyamuk keparat yang seekor, maka dibakar hangus kelambu yang ada!

Meng “gam” Harakah seperti ini hanya mencetuskan tandatanya dan syak wasangka rakyat yang akhirnya meledak pada kemarahan dan tidak puas hati. Kalau Najib benar mahu memulakan era kepimpinannya dengan permulaan yang baik, sewajarnya beliau berjiwa lebih besar. Harakah didirikan atas keringat dan airmata ahli-ahli PAS, ia kini sudah mampu berdiri sebagai akhbar alternatif yang ternama dalam pasaran. Meminjam senikata M.Nasir dalam salah sebuah lagunya: Lihat dunia dari mata burung, bukan dari bawah tempurung”, mungkin Najib perlu berbuat sesuatu.

Hak kebebasan dalam Negara adalah bersyarat dan ia bukan mutlak, hakikat ini diakui oleh semua. Tetapi syarat yang dimaksudkan mestilah dilaksanakan dengan penuh adil dan saksama. Kita diwajibkan bertalipinggang keledar ketika memandu, sesiapa yang mengambil risiko, jika ditahan maka akibatnya akan disaman oleh pihak polis. Itu kaedahnya, tetapi janganlah kerana tidak bertalipinggang keledar maka kereta disita atau pemandu dihukum sebat!

No comments: