Thursday, January 29, 2009

Apabila sayap Umno mahu dipotong

Bezanya burung dengan haiwan lain adalah ia bersayap. Rupa bentuk sayap bersalut pelepah bulu yang dijadikan Allah swt itu memungkinkan ia mengangkat dirinya terbang ke udara dan hinggap serta mengimbangi diri dimana sahaja ia kehendaki.

Burung tanpa sayap, akan menjadi makhluk yang terancam. Ia tidak boleh mempertahankan dirinya boleh sahaja ia mati atau dibaham musuh. Itulah peri pentingnya sayap bagi seekor burung.


Justeru apabila Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tengku Ahmad Rithaudeen mencadangkan agar sayap Puteri dan Putera Umno dibubarkan bagi mengelak atau menghapuskan gejala politik wang dalam Umno, saya membayangkan Umno sudah semakin hampir kepenghujung hayatnya.

Umpama burung tadi apabila ia sendiri memutuskan untuk mengerat kedua belah sayapnya, maka sudah pasti ia menempah maut, kerana sayap diguna untuk terbang dan menampung kehidupan. Bayangkan apa jenis burung yang rela sayapnya dikudungkan?

Tetapi mungkinTengku Ritahudeen melihat kedua sayap Umno itu sudah berulat, sudah bernanah, ia tidak boleh diselamatkan lagi kecuali dipotong kedua-duanya. Beliau mungkin melihat tubuh Umno lebih baik kudung dari menanggung derita yang dibawa dari kedua sayapnya itu. Kalau tidak dipotong nanti mudaratnya menular sampai ke seluruh tubuh Umno. Nanti Umno jadi lebih kacau, lebih berpenyakit, lebih parah. Sebelum ia mengancam nyawa Umno, lebih baik ia dipotong sahaja.

Teruk sangatkah penyakit dalam Umno?

Kalau tak teruk masakan dicadangkan dikudungkan kedua sayapnya. Biar Umno cari makan cara melompat-lompat di tanah. Walaupun risikonya besar, Umno mungkin lebih terdedah kepada ancaman musuh, sukar menyelamatkan diri, tetapi apa mahu buat, lebih baik begitu dari terus mati kerana memikul sayap yang penuh barah itu.

Demikianlah keadaan Umno. Kepada mereka yang masih berada di dalamnya, fikir-fikirkanlah. Di luar sini kawan-kawan menunggu dengan tangan terbuka. Kita tinggalkanlah tubuh yang parah dan sukar dirawat itu, kita bina harapan baru melalui PAS atau rakan-rakan lain dalam Pakatan Rakyat. Jangan sampai anda kecundang begitu sahaja.

2 comments:

Anonymous said...

Orang bijak pandai kata, busuknya ikan bermula daripada kepala.

Anonymous said...

SEcara pandangan peribadi ini...
Pas..UMNO... adalah kedua-duanya dari bangsa yang sama dan agama yang sama... Manakala PKR pula penyatuan dari pelbagai kaum...
Gagahnya burung helang bila dapat terbang tinggi bebas di angkasa...

SEcara peribadinya saya lebih suka mengibaratkan malaysia sebagai burung helang yang mampu terbang tinggi di angkasa...
Sayapnya terdiri dari UMNO dan Pas ..badannya pula adalah rakyat biasa ....kepala dan ekor pula terdiri dari kedaulatn sultan dan perdana menteri...
alangkah harmonisnya Malaysia jika sayap sebelah kiri sakit sayap kanan akan bekerja lebih keras untuk mengimbangi badan agar tidak seluruh tubuh jatuh kebumi... sesungguhnya sayap-sayap inilah yang diharap dapat mempamerkan, menghuraikan sebuah hadis dirawikan oleh Imam Ahmad, Abu Daud,Termidzi ,dan al-hakim dari Hadis Abdullah Bin Umar.

sabda Rasullullah SAW yang berbunyi "Orang-orang yang ada rasa Rahim akan dirahmati oleh Tuhan yang Rahman, yang memberikan berkat dan Maha Tinggi.Sayangilah orang-orang yang di bumi supaya kamu disayangi pula dilangit"

alangkah bagusnya dalam perselisihan pendapat dan cara untuk mentadbir negara dapat dikawal baik oleh setiap pemimpin yang telah dipilih oleh rakyat dan DAri ketentuan ilahi itu...
Pastinya setiap rakyat biasa hanya menginginkan pembelaan dan pembangunan rakyat tanpa memilih kasih oleh setiap wakil mereka...lebih-lebih lagi setelah musim pilihanraya berlalu.. keprihatinan dan kepekaan serta bimbingan yang membina pastinya akan menjadi pilihan rakyat tanpa perlu menceritakan kelemahan pihak lawan.. kerana pemimpin yang baik adalah pemimpin yang sentiasa mendekati rakyatnya..

perbetulkan jika ada kesilapan..